Tuesday, December 29, 2015

My walking Google Translate



Assalamualaikum..

Bila Eusoff dah boleh cakap walaupun macam orang luar baru belajar cakap melayu, seronoknya usik dia. Kadang2 sengaja tenung dia lama2. Bila dia perasan je, dia cakap

"Eh..apa tengok sana sini?"

Bila dia buat perangai dan kita tegur, dia pandai komplen...
"Sentiasa kesalahan Eusoff. Usaha lagi ye?"

Bila kita pura-pura rampas Kit Kat favorite dia, dia cakap...
"Jangan jangan..Jangan ambik ye?"
Bila kita pulangkan semula, dia cakap..
"Hmm! Good girl. Begitulah bagus!"

Struktur ayat lintang-pukang macam translation cerita dalam DVD cetak rompak. Terjemahannya macam guna Google Translate pun ada. Kadang-kadang dari nak marah, jadi nak gelak pulak..

Monday, December 28, 2015

Penyakit label-melabel

Assalamualaikum w.b.t.


Selalu ibu bapa memperkenalkan anak mereka dengan ayat." Anak saya mild autism." Tak ada seorang pun pernah approach dan beritahu "Anak saya severe autism".

Semua highlight...

"Anak pandai, belajar dapat 20A. 
Tiada masalah hyper langsung.
Uii..pandai bercakap!
Tiada masalah berkawan.
Sayang adik beradik dan keluarga.
Tidak pernah mencederakan sesiapa.
Tak pernah stimming.
Tak pernah lari.

Toilet train baru 3 hari terus pandai.
Anak saya seperti anak tipikal je..belajar pun di mainstream".

Tiada ibu dengan anak severe autism pernah ke hadapan memperkenalkan diri dan anaknya kecuali saya yang approach dulu dan bertanya. Barangkali rasa rendah diri dan merasakan tiada sesiapa memahami apa cabaran yang mereka lalui setiap hari.

Sebenarnya autism tetap autism..
Sejenis kecacatan neurology, 
Mild, moderate atau severe autism..Low atau high functioning, anak2 ini tetap autistik. Dan jelas bahawa autism ini ada isu-isunya yang tersendiri.

Media tempatan pun berat sebelah. Jemputan di rancangan TV hanya nak dengar cerita yang indah2. Anak-anak autism yang savant. Atau dengan bakat istimewa. Hakikatnya savant hanyalah peratusan kecil dalam dunia autism. Yang terlebih ramai adalah anak-anak yang mencabar nak membesarkannya. Tak kurang yang biasa-biasa sahaja.

Ibu dengan anak low functioning tidak pernah dijemput. Rakaman mengenai struggle mereka juga tiada, Sebab apa..? Penerbit sendiri takut dengan label "SEVERE AUTISM". Takut budak itu agresif dan tidak boleh dikawal. Takut seperti budak-budak itu makhluk asing ganas yang selalu gaduh dengan Ultraman. Severe autism atau low functioning itu tak semestinya agresif tahu?

Sekarang timbul pula gejala parents mendiagnos anak sendiri angkara terlebih rajin membaca di Google. Semua mengaku anaknya mild kerana tak puas hati, sebab dalam report doktor selalunya tulis 'Autism' atau 'Autism Spectrum Disorder' sahaja. Walhal sebaik saja dapat diagnosis, perkara yang paling penting harus difikirkan adalah INTERVENSI.

Dalam kelompok ibu bapa pun ada penyakit label-melabel. Sudahlah dilabel macam-macam oleh manusia-manusia tipikal dalam dunia mereka yang serba sempurna ini, sesama kita pun sibuk bebenor nak label anak-anak ni.

Untuk apa?
Nak tunjuk siapa lebih hebat mendidik anak?
Atau anak siapa lebih "functioning?"

Jujur saja..benarkan anak anda seorang mild autism? 
Padahal bila kita toleh, kita lihat anak kita sedang bercakap sorang-sorang sambil mulutnya menggigit leher baju.


Yang lebih penting ialah persoalan "Dengan 'mild autism'nya dia, bolehkan dia hidup tanpa kita di luar sana?"

Atau adakah kita yang masih hidup dalam denial?






Sunday, December 20, 2015

Orang baru belajar bercakap..

Assalamualaikum w.b.t.

Sejak dah pandai cakap, dia cakap macam-macam. Sambil bercakap berselang dengan vocal tics perkataan seperti 'denggi', 'aedes' dan 'kesihatan'. Kebanyakan soalan dan jawapan dalam ayat skema seperti:-

"Saya salah."
"Saya salah ke?"
"Ini salah saya."


Atau..

"Sayang tak?"
"Awak tak sayang saya?"
"Awak sayang saya ke?"
"Saya ini bising ye?"


Dia menyebut perkataan 'tidur', 'seluar' atau 'besar' dengan membunyikan huruf 'r' di hujung.
Sekali imbas nadanya seperti orang sedang membaca berita atau skrip. Kadang-kadang tengah nak marah terasa lucu pulak bila dengar dia cakap...

"Sudahlah tu. Sabar..sabar. Untuk kesihatan mental ye?"
Atau "Ke Tesco pula ye? Untuk hilangkan stress."

Kalau untuk nak menguntungkan dia, memang pandai pulak dia bercakap. Nak pergi sana sini..nak beli aiskrim atau nak tengok Shieldtox. Siap berlakon sedih... :D 

Wednesday, December 16, 2015

Bengkel Penulisan

Assalamualaikum..

Ketika menaip ini saya sedang  dalam perjalanan balik ke Kuala Kangsar. Siang tadinya saya berkesempatan menghadiri bengkel penulisan yang disampaikan oleh penulis buku 'Harta Yang Menyeret Ke Neraka'; Saudara Firdaus Shahidin yang juga merupakan rakan pensyarah di kolej tempat saya bekerja.

Banyak ilmu dan tips penulisan yang beliau kongsikan. Sangat menarik dan saya pun selesa berkongsi dan bertanya sebab penceramah kawan sekerja sendiri.

Saya sempat berkongsi hasil coretan saya di blog ini dengannya dan beliau bersungguh-sungguh mahu saya ketengahkan hasil penulisan saya dengan menerbitkannya dalam bentuk buku.

Semangat juga bila ada orang beri galakan. Isi dan catatan saya yang banyak dan bertahun-tahun di sini sudah lebih dari cukup untuk saya menghasilkan sebuah buku.

Terima kasih big boss Vice President Academic kerana beri peluang pada saya untuk hadir bengkel yang menarik ini. Dan terima kasih Firdaus atas perkongsian, tips dan teknik menulis  yang sangat menarik dan dorongan yang diberikan.

Manalah tahu,ada rezeki mungkin kisah saya dan Eusoff bakal diterbitkan dalam bentuk buku pula. InsyaAllah...

Tuesday, December 15, 2015

Jaga anak semasa cuti sekolah

Assalamualaikum..

Sekarang cuti sekolah. Centre pun tak bukak. Eusoff hanya duduk di rumah dengan cikgu misai. Saya kerja kerana semester baru sudah bermula.
Bila tak ada aktiviti dia bosan. Dia pun selalu cakap pada saya.."saya bosan". Saya suruh cikgu misai bawa dia naik kuda, mandi laut atau jalan2 di taman bandar bagi keluar peluh. Dia tak nak. Bila dibawa keluar, hanya ke pasaraya sebab ada barang yang nak dicari. Bila ke tempat mcm tu, Eusoff mulalah nak tengok Shieldtox..atau mintak makan coklat.

Setiap hari babah dia mengadu macam2.
Eusoff main air pancutkan dalam bilik air master bedroom, sampai basah lantai bilik.
Eusoff makan gula macam makan nasi.
Eusoff conteng dinding.
Eusoff tak basuh berak.
Eusoff kencing dekat sliding door.
Eusoff itu.. Eusoff ini.
Kepala rasa nak pecah dengar aduan yg macam2 sampai pernah satu hari saya cakap "Bunuh sajalah budak tu kalau menyusahkan sangat. Setiap hari cakap benda sama je."

Masa cikgu misai jaga exam STPM baru2 ni, saya jaga Eusoff hampir setiap hari bawak dia ke pejabat. Dia lari ke jalan. Saya kejar. Dia main air kat pantry, saya mop. Saya aturkan dia bawa ke toilet sbb dia tak biasa dgn toilet office. Dia kotorkan diri dia, saya mandikan. Dia lapar, saya bawak keluar lunch.

Sambil tu saya kerja. Saya pergi kelas saya tinggalkan dia dlm kereta dengan enjin running dan aircond terpasang dengan ditemani kakak Damia. Saya  buat dokumen OBE dan dokumentasikan silibus. Saya jugak buat kerja2 admin dan P&P lain.

Ingat senang ke?

Ada merungut tak? Ada mengadu siang malam hitung satu2 kerja yg dibuat tak?

Tak ada.

Sebab apa? Sebab saya ikhlas. Sebab Eusoff anak saya. Sebab saya sayang dia walaupun kadang2 saya cepuk jugak sebab nakal sangat. Kalau saya mati siapa nak jaga dia? Dua minggu ini pun babah dia asyik pening, penat, berleter macam2. Yang pelik tu kalau saya dekat rumah dengan Eusoff memang dia buat nakal juga. Tapi tak keterlaluan sangat. Sebab budak ni nak dilayan..nak diajak berbual. Nak kena buat aktiviti.

Kalau jaga anak awal-awal lagi dah dianggap beban, memang semuanya rasa tak kena. Sebab aura negatif tu dah dipupuk dalam kepala tu sebelum kejadian berlaku. Saya tak banyak merungut dengan perangai Eusoff, bukan kerana saya ni hati besi sangat dan tidak terkesan dengan kelakuan nakal dia. Tapi saya tidak mahu mulut ini yang menjadi agen negatif kepada hati dan minda agar turut berfikiran dan berpersepsi negatif pada Eusoff.

Ini realiti. Keluarga dengan anak autism. Kalau ada sekelumit kebahagiaan dapat hirup kopi di kafe satu jam tanpa anak autism pun rasanya lebih happy dari hari raya. Dan parents dengam anak autism..kami struggle utk bahagia dalam perkahwinan.

Sekian luahan hati tulus ikhlas. Tak kisah siapa pun nak baca. Malam ini hampir pukul 1 pagi, dan saya baru sapu beras dalam bilik tidur yg bertabur-tabur dimain dek Eusoff. Maaflah...tak dapat nak cerita yg indah-indah, melainkan realiti yg berlaku sebenar-benarnya. Saya lebih rela penat mengejar si Eusoff yang lari sana-sini dari mendengar sungutan dan komplen dari siang membawak ke malam. Penat otak. Penat telinga.

Pendek kata....

"Don't complaint about things you are not willing to change."


Thursday, December 10, 2015

Perlukah 'Me' Time??

Assalamualaikum...

Lama benar sejak saya menulis di blog ni. Tak berkesempatan nak menulis panjang-panjang walaupun ada idea. Sekarang saya banyak menulis yg ringkas2 di Facebook sahaja, jadi dah macam jarang juga berblogging ni.

Di kesempatan ini, (chewahhh!) saya ingin menulis tentang suatu perkara. Persoalan ini saya terbaca pada mulanya di laman FB, dalam support group mengenai perlukah 'me' time untuk ibu bapa anak keperluan khas?




Secara jujurnya, saya pun selalu dihambat rasa bersalah bila hendak pergi bersuka-suka hati bersendirian atau melepak dengan kawan-kawan tanpa anak-anak. Naluri mak-mak agaknya memang nak berkepit je dengan anak, walaupun masa tu dah burnout, dah stress tahap gaban. Atau saya sebenarnya bimbang dengan persepsi orang, atau merasa bersalah pada suami yg terpaksa tinggal menjaga anak2 sendirian.

Bertahun-tahun sebenarnya saya cuba bertahan dan melalui hari-hari saya dengan keadaan tertekan. Tapi memaksa diri menganggap semuanya ok, sedangkan hati sedang bergelumang dengan segala macam perasaan dan  kadang-kadang hingga menyebabkan hilang pertimbangan adalah perkara yang sangat merbahaya, baik kepada ibu bapa atau pun anak-anak.


Selepas sekian lama, akhirnya saya telah berdikit-dikit belajar melepaskan. Melepaskan anak-anak saya dalam sejam dua bersama suami untuk saya menikmati ruang personal saya sendiri. Saya belajar meyakini bahawa suami juga betah mengurus anak-anak. Yang paling penting ialah saya belajar menyerahkan anak-anak terutama anak istimewa saya dalam perlindungan Allah s.w.t. 

Waktu itu saya biasanya pergi berlari atau sekadar jalan-jalan menghabiskan masa, window shopping atau memandu sendirian. Dari keluar sejam dua, saya akhirnya belajar meninggalkan mereka semalaman dengan babah mereka bila saya berlari dalam event-event di luar Kuantan. Saya tidur di hotel bersama kawan-kawan, menikmati 24 jam terbahagia tanpa perlu berhadapan jeritan tantrum dan obsesi Eusoff terhadap aerosol racun serangga. Tanpa perlu tidur dalam keadaan separuh lena takut-takut Eusoff terjaga di tengah malam dan bermain dengan alatan merbahaya di dalam rumah.

Saya pulang dalam keadaan lebih segar. Lebih tenang. Dan lebih bersemangat. Kini saya juga telah cuba keluar seminggu sekali berduaan dengan suami, dalam satu jam atau satu jam setengah..sekadar berbual-bual dan minum-minum di kafe. Sementara Daniel dan Eusoff saya telah tidurkan awal-awal dan kakak Damia menjadi babysitter dengan upah sepotong kek coklat atau ice cream kegemarannya yang kami bawa pulang. 


Kehidupan barangkali mendesak kita untuk mengorbankan banyak perkara. Tetapi kita manusia biasa. Bukan Superwoman atau Superman..yang tahan disalai, dibakar, dilanggar keretapi atau dilanda ribut taufan. Ada masanya kita juga perlu masa untuk membahagiakan diri sendiri dan meraikan kasih sayang pasangan seperti mana selayaknya. Jangan hingga kerana sayangkan anak, jiwa merana dan pasangan kita pula terabai tanpa perhatian. 

Chewaahhh...dah macam kaunselor perkahwinan  pulak khennn...keh keh keh...Sekian dulu, semoga bertemu lagi. Wassalam...


Gambar dating sempena anniversary ke 11 baru2 ni... Anak tido mak apaknye sneak-out..keh2.
Tq kakak tolong jaga adik2. Love you mucho2!! 





Tuesday, September 22, 2015

To nobody..

Assalamualaikum...

Ada banyak berita mengejutkan yang saya terima sehari dua ini. Saya mencuba untuk tidak menghakimi tapi bagi saya, kebahagiaan haruslah didapati dengan cara yang murni dan diredhai Allah.

Matlamat tidak menghalalkan cara, begitu juga sebaliknya. Saya cukup terkesan dengan berita ini kerana si pelaku merupakan seseorang yang dikagumi, tetapi melakukan perkara yang tidak sepatutnya dilakukan oleh orang-orang yang terhormat.

Saya mendoakan agar apa yang diperjuangkan dan ingin dibuktikan itu mencapai matlamatnya. Dan juga doa saya buat mereka-mereka yang terluka agar sentiasa dikurniakan ketabahan dan kekuatan. Ujian bukan hanya pada hamba yang sedang diuji, tapi juga pada orang sekelilingnya.

Usah biarkan nilai keinsanan hilang semata-mata mahu mencapai apa yang dihajati. Sesungguhnya saya amat takut pada kekuatan doa orang yang teraniaya..

Wassalam.

Thursday, September 10, 2015

Masuk sekolah, bersedialah...

Assalamualaikum...


Semasa Eusoff kecil, dan saya  tidak mengerti kenapakah dia berkelakuan tidak seperti anak-anak yang sebayanya, saya  berada dalam keadaan yang keliru dan tertanya-tanya. Bila akhirnya dia didiagnos sebagai mempunyai autism, segala persoalan terjawab. Walaupun sedih dan rasa terpukul, saya  masih mampu bangun dan mencari rawatan terbaik untuknya. 

Dari speech therapy (ST), Occupational Therapy (OT) dan Early Intervention Program (EIP)...sedikit demi sedikit, keadaan Eusoff mula ,berubaah menjadi lebih baik, walaupun pertuturannya masih belum jelas dan ada masalah obsesi dan tingkah laku, namun secara akademik dia adalah setara dan barangkali adalah lebih baik di sesetengah bidang berbanding rakan sebaya. Eusoff juga sudah boleh menguruskan dirinya sendiri, makan minum, mandi, buang air di tandas dan berpakaian..semua mampu dilakukan sendiri.  Saya  sangka, segala mimpi ngeri yang aku alami selama ini akan berakhir. Kehidupan dan emosi saya  kembali stabil dan setelah beberapa tahun akhirnya saya  kembali gembira dengan kehidupan seharian

Apabila dia mula melangkah ke alam persekolahan, dia ditempatkan di arus Pendidikan Khas Intergrasi Bermasalah Pembelajaran (PPKI). Dari detik inilah, perlahan-lahan kebahagiaan yang baru dikecapi berkecai secara perlahan-lahan.

Eusoff sukar menyesuaikan diri. 


Situasi baru..teman-teman dan guru-guru baru. Cara belajar yang baru.

Sekarang dah pertengahan September. Sejak akhir-akhir ini, saya terima aduan dari cikgu boleh dikatakan hampir setiap hari. Dia kadangkala ok..kadangkala hanya menjerit menangis sepanjang masa di sekolah. Dia tidak suka bergaul dan mahu dibiarkan saja sendirian. Sepertimana dia di rumah yang lebih suka buat hal sendiri-sendiri, tetapi sampai bila dia nak berkelakuan seperti itu? Lambat laun dia terpaksa bergaul juga dan belajar menerima apa yang dia tidak suka berlaku di sekelilingnya. Dan rakan sekelas yang juga semuanya pelajar istimewa, manakan mungkin memahami bahasa tubuhnya si Eusoff yang hanya mahu bersendirian tanpa dapat menyuarakan hasratnya secara verbal?

Eusoff juga mudah bosan bila disuruh melakukan perkara yang dia dah tahu buat. Oleh kerana dia juga hyperlexic, sukatan pelajaran yang mudah ada yang sudah dia tahu sepertimana dia pandai membaca secara automatik ketika dia masih bayi. Terikat dengan sukatan pelajaran, dan terpaksa belajar benda-benda asas yang dia dah tahu, dia mula memberontak hanya mahu melukis dan tak mahu buat tugasan yg diberi oleh cikgu.



Makin memburukkan keadaan, kelasnya dalam proses ubah suai. 4 kelas yang terlibat, salah satunya kelas Eusoff. Maka 8 buah kelas PPKI sekarang ditempatkan secara berhimpit-himpit dalam 4 buah kelas. Aku faham Eusoff mudah sensory overload duduk ramai-ramai begitu, tapi apalah daya saya. Sekiranya aku ada keluarga terdekat berdekatan, mungkin saya  berhentikan sekolahnya sementara menunggu bangunan kelasnya siap diubahsuai, barulah saya hantar Eusoff ke sekolah. Saya terpaksa bekerja dan Eusoff tiada siapa yang mampu menjaganya. hendak tak hendak, dia terpaksa saya hantar ke sekolah juga. Setiap kali saya berjalan dengannya dari kereta ke kelas, jiwa saya berperang antara kasihan dan terpaksa, dan tambah sayu bila dia mula merengek-rengek mohon simpati agar saya tak hantar dia ke kelas. Menambah luka yang sedia ada, hanya dia seorang saja dengan perangai macam ini..tak ada murid lain. Masa ni otak saya akan fikir kenapa Eusoff yg Allah jadikan moderate - severe autism? Kenapa anak orang lain mild? Kenapa anak saya yang suka buat kacau dalam dunia ni? Kenapa anak orang lain elok je walaupun mak dia takde la sampai kurus berlari macam orang gila sebab nak terapikan anak?

Akhir-akhir ini, emosi saya terganggu sangat-sangat. Berlari pun saya tak bersemangat. Setiap kali saya ambil Eusoff dan tengok dia sedang menangis saya rasa nak mati. Saya penat membawa dia terapi sana sini, bawak dia berlari, bawak dia berkuda..korbankan waktu kerja dan peluang utk expand kerjaya. Masa saya. Waktu rehat saya. Tiba-tiba saya rasa semuanya sia-sia kerana Eusoff kembali ke square one. Macam mula-mula masuk sekolah dulu balik. asyik tantrum dan menangis.

I feel like punching somebody in the face, tapi saya tak tau kepada siapa harus saya salurkan kemarahan tu. Saya selalu menangis macam orang gila waktu bawak kereta macam dulu-dulu balik dan rasa saya ibu yang teruk dan gagal serta tak berguna satu sen pun setiap kali dapat aduan dari cikgu-cikgu. As if I am doing nothing at all. Walhal segalanya saya dah buat...tinggal nyawa lagi je yang saya  belum bagi kepada Eusoff... 



Kasihan anak-anak, selalu bertanya macam-macam tapi saya biarkan tak berjawab kerana saya lebih memilih untuk diam dan melayan perasaan mencari di mana silap saya. Susah saya nak berlakon gembira sedangkan jiwa tak tenang. Sekiranya saya ada duit, dan tak perlu bekerja untuk kelangsungan hidup, saya lebih rela homeschool si Eusoff dari menyeksa dia setiap hari hantar ke sekolah dalam keadaan begini...




Wednesday, August 26, 2015

Eusoff terfemes sekejap

Assalamualaikum..

Huh..banyaknya sawang.
3 bulan tak bukak blog ni...Sibuk sgt. Serius sibuk.

Alkisahnya hari tu citer psl Eusoff and mak dia ni masuk kat website thevocket.com.

Nak citer lebih2 pun tak guna..so baca kat link ni okeh?
http://thevocket.com/demi-anak-autisme-ibu-ini-sanggup-menukar-cara-hidup/

Thursday, May 14, 2015

Ada ke nak sponsor?

Assalamualaikum..


Saya selamanya bercita-cita nak sebarkan awareness mengenai autism semasa berlari. Memang tujuan asal pun lari sebab si Eusoff... Saya sering merasakan super power saya sebagai seorang wanita dan ibu, serta seorang runner ialah kerana saya membesarkan anak istimewa:- Anak yang suka berlari. Anak hyperaktif yang mendorong ibunya yang obese berlari sampai boleh menjadi seorang runner.

Sebelum ini saya pernah buat design untuk running t-shirt/jersey. Design dia ada logo OKU, ada puzzle autism, ada tertulis Autism Runner's Mommy, Run For Autism dan macam-macam lagi.. Bercita-cita nak pakai la waktu running. Tapi ongkos tu kalau nak buat setakat selai dua..dengan material kain yg mcm jersey itu, mahal nau la pulaks.

Dalam dunia running, memang ada ramai juga yang 'run for cause'. Ada yang lari untuk mengenang pesakit kanser. Ada yang lari demi lain-lain penyakit kronik. Ada yang lari untuk mengenang ahli keluarga yang telah tiada. Apatah lagi berlari ni memang sejenis terapi, jadi ramai sebenarnya yang berlari kerana berjuang demi sesuatu.

Bagi saya, perjuangan untuk autism ialah perjuangan sepanjang hayat. Allah berikan Eusoff kepada saya kerana Dia tahu saya  akan mencintai anak ini dan berjuang untuknya.

Selalu saja saya bayangkan berlari sambil spread the autism awareness. Alangkah bestnya kalau saya  boleh lari mainstream races seperti Penang Bridge International Marathon (PBIM) atau Standard Chartered Kuala Lumpur Marathon (SCKLM) sambil memakai t-shirt macam gini. Fuhhh....sure gempak!! 



Contoh t-shirt. Ihsan Pakcik Google.

Ada tak yang nak sponsor running T-shirt ni untuk aku agak-agaknya?

Wednesday, May 13, 2015

Aktiviti Fizikal dan Terapi Berkuda

Assalamualaikum...

Setelah lama sangat saya  nak buat 2 benda ni dengan Muhammad Eusoff Danish, akhirnya dipermudahkan oleh Allah. Satu ialah terapi berkuda. Satu lagi ialah nak bawa dia pergi outdoor activity seperti trail run atau beach running dan hiking.  Mula-mula cikgu sekolah Eusoff whatsapp satu brosur pasal stable kuda yang tawarkan perkhidmatan horse riding kepada umum. Lebih menggembirakan lokasinya memang dekat dengan rumah. Hanya 5 minit perjalanan menaiki kereta. Berbekal nombor telefon yang diberikan,saya  call dan dapatkan lokasi stable tu. Lepas tu cari tempat tu...rupanya dekat sangat dengan jalan yang biasa saya  gunakan hari-hari dekat rumah tu serta tak jauh pulak dengan sekolah kakak Damia.

Mula-mula Eusoff naik kuda berdua dengan Cikgu Misai. Sekarang dah boleh naik sendiri.

Selain dari Eusoff, kami pun bagi kakak Damia dan Daniel naik kuda jugak. Tapi setakat ni kakak je yang nak naik. Daniel takut katanya. Jadi untuk permulaan saya bagi Daniel pat dan gosok-gosok kuda dulu. Nanti dia dah berani baru boleh naik. Oh ya...kuda ni nama Sophia.. :)










Setakat ni nampak ada perubahan setelah hampir sebulan kami bawa Eusoff naik kuda 1-2 kali seminggu. Sebelum ni dia fidget bila dudut atas kuda. Sekarang dah ok dah. Dia pun nampak lebih relaks dan mood swing pun dah kurang. Fokus pun nampak bertambah ok. 

Selain dari terapi berkuda ni saya  bawa juga Eusoff untuk experience the nature. Wahh..gitu! Bawa dia hiking dan running. Minggu lepas saya  bawak dia hiking di Bukit Pelindung. Alhamdulillah...first trial je dah sampai puncak gitu. Trail dia tu 4km jugak naik dan turun. Kuat kan hero saya ni! Minggu ni ingat nak bawa dia barefoot running di pantai pulak. InsyaAllah... nak try bawa dia lari di sepanjang Pantai Sepat. Selagi ada kudrat dan kemampuan, saya  akan buat apa saja untuk meransang perkembangannya. Semoga restu Allah sentiasa bersama-sama kami. Ameen...

Sementara tu, ini gambar-gambar Eusoff pergi hiking! Enjoy!

Sengih kemain. Suka sangat ni...

Breakfast atas puncak Bukit Pelindung


Penat!



Wednesday, April 1, 2015

First Half-Marathon

Assalamualaikum...

Setelah aku berlari selama lebih kurang 8 bulan, menyertai beberapa event 3-10km, tibalah masanya aku melakukan HALF-MARATAHON yang PERTAMA berjarak 21km! Event ni bertajuk Malaysian Women Marathon dan disertai kaum wanita aje (bersama beberapa ketoi pacer lelaki) bersempena International Women's Day 2015.

Cabaran dia bukan setakat lari 21km, tapi aku kena drive sendirian ke Shah Alam dengan Myvi Cikgu Misai (sebab kete ni je auto!). Berpandukan GPS dan Waze kat henpon Acer cap Indonesia aku ni, aku redah jugak pegi Shah Alam sorang-sorang dan balik in ONE PIECE! Hohoo..kemajuan kan kannn? kehkehkeh...

Pagi 7hb Mac 2015 (sabtu) tu, aku bertolak dari rumah pukul 8.30pg mcm tu. Berhenti isi minyak full tank kat Petronas Pandan, lepas tu terus menuju ke exit Gambang. Perjalananan sungguh lancar, berhenti sekali lagi dekat Petronas Sungai Dua, Bentong beli Snickers dan pegi toilet. Lepas tu benti sekali lagi kat Hentian Gombak sebab nak setkan Waze nak pegi Taman Melati umah my bestie katanya nak jemput iols makan-makan dan small gathering gituh! Alhamdulillah..senang je sampai umah dia. Yayyy..!! Walaupun aku bajet sesat..sekali tak sesat pulak. Hoho...siap sampai awal lagi makcik tu belum siap. kahkah... Alhamdulillah. Terus mesej Cikgu Misai cakap dah sampai Kay Ell..

Pukul 1 makcik sorang lagi sampai..nak tompang carbo-loading walaupun tak lari. Memang normal kalau aku carbo-loading orang yang tak lari akan tompang sekaki melantak bagai nak rak.. hahaha

Yaa...lihatlah nasi arab itu dgn kambeng. Ya rabbi sedapnya yang amat..
Dari hadapan, Mak Buyung si Farrah, aku dan Tuan Tanah si Baya

Bersama tuan khemah..eh..tuan tanah..ehhh..tuan rumahhhh!
Boy yg comel itu Daniel the special one..Daniel mcm Eusoff juga!

Pukul 1.30ptg camtu aku gerak nak pegi ambik my BFF cum my pacer untuk event esok tuh, Makcik Jie!! Sekali kali ni Waze bawak aku sesat la plak. hahaha..Sbb jalan yg sepatutnye masuk dah tutup ada construction, dia bawak aku pusing2 kat KLCC plak..kejadohnye? Disebabkan maleh nak pusing-pusing ala roundabout kat KLCC tu, aku call je makcik tuh suh pegi KLCC naik LRT dan aku pick up je dia kat sana. Tunggu dlm 20 minit, makcik tu sampai. Selepas selesai sesi beramah mesra dan polok-polok dalam kereta, dia pulak take over bacakan maps dan direction Waze sehinggalah kami sampai ke Hotel De Art kat I-City Shah Alam. Check in je, baring-baring dulu...hati dah nervous sambil tu call Cikgu Misai cakap dah check-in dan call lagi sorang makcik si Shahanie penduduk tetap Shah Alam ni suh datang geder-geder malam tuh and tunjukkan jalan nak ke starting point esoknye. Ni lari tak seberapa jumpa geng-geng makcik je yang lebihnye kann...haha..gasakalah, bukan selalu dapat bujang camnih kannn..



Ambik gamba dlm bilik hotel tempat skandal kitorang..hahahaha

Budak Chadeeja ni...eeiii..geram nau dgn dia!

Sha, Jie dan Yati. Just like the old days. Reunion after almost 13 years.

Malam tuh kami pun makan-makan dan survey starting point, parking area dan lain-lain. Sampai kat tempat kejadian je rasa nak terkencing dekat 20x sebab nervous tahap gaban. Main-main dengan baby Chadeeja anak si Sha, ambik gamba selpie bagai nak rak, kira rasa rileks la sikit time tuh. Bestlah ada 2 org makcik ni, boleh tone down sikit adrenaline rush dan anxiety aku. Lepas balik hotel dia buat balik dah...nervous sampai takleh tido. Argghh..

8hb Mac 2015.

Order wake up call kat reception pukul 3.30, pukul 2.30 dah bangun...mata takleh lelap sebab nervous sangat-sangat-sangat. Terkebil-kebil sambil tengok si Jie sedap tido..argghh..tensen!! Aku pun mainlah tepon..main pesbuk..main instagram.. nak main wassap orang semua tengah tido plak... Sekali receptionist call je pukul 3.30 pagi, terus melompat jawab call dan terus je pegi siap. Pagi tu sebelum gerak,berjaya telan 3 ulas cenonet kismis, 2 ketoi kurma dan separuh botol isotonic drink. Aku dan Jie pun bergerak ke starting poin jam 4.10 pg camtuh. Sampai je..dah nampak beberapa runner jalan dalam samar-samar cahaya lampu jalan. Parking pun banyak lagi kosong dan kami berjaya dapat parking spot yanga agak comei la kat tepi sekali. Nervous aku masih ada tapi berkurangan sebab dekat area stage dah mula meriah dengan organizer dan Emcee membuat bunyik-bunyik bising yg best.



Tak reti aih nak posing angkat kaki cam si Jie nih..haha

Ngantuk dan nebes!
Jam 4.30pg, peserta Full Marathon (42km) mula dilepaskan. Kami pun turut sama bersorak dan bertepuk tangan untuk support runner2 FM. Lepas tu mula la Emcee panggil organizer MWM Mdm Karen Loh utk berucap dan seterusnya menayangkan nama virgin runners di skrin untuk half-marathon pulak. Yaaa..nama gua pun ada! Perghh..terharu iols walaupun nebes dan ngantuk ya rabbi. Selepas tu diadakan acara zumba untuk warm-up dan sempatlah penat dan berpeluh sebelum mula lari. Kami mula menyusup dicelah orang ramai untuk ke garisan permulaan dan tepat jam 5.30 pagi peserta Half-Marathon mula dilepaskan. Yes! This is it! This is the moment I've been waiting for, my hard work of training and my exhausting LSDs. Lari Yati oiii..ko nak sangat lari kannn???

Jie berlari di hadapan dan aku kejor dia dan kejor dan kejor. Makin ku kejor makin dia laju. Kaki dia macam kartun, gile la weii..penat makcik! Lepas dah 1.5km camtu aku pun tak larat dah.. yelah..makcik ni pace 8-9,im/km...orang tu pace 6min++/km. Perghhh.. gitulah slow and steadynye aku..hahah...kesian dia kena slow down pulok tunggu aku punya pasal. Sampai kat km berapa entah, ada mobile surau..kami pun benti dan solat Subuh. Kat situ jelah yg benti lebih 10 minit, yg lain semua kami lari-jalan-lari-jalan sampai ke garisan penamat,

Kat setiap 2km ada la water station dan toilet bergerak (yang aku bajet2 akan terkencing setiap kali aku nampak tu, tapi sebenornya sekali pun tak masuk sampai abis race). Kat situ jugak ada ambulans dan St.John yang standby tunggu kot-kot ada sapa-sapa sakit. Setiap kali benti minum je aku akan ambik air garam dan isotonic drink untuk minum, manakala air sejuk tu aku buat simbah-simbah muka je nak bagi sejuk. Setiap kali minum aku gelojoh mcm Viking sampailah dah separuh jalan baru la makcik pacer cakap.."minum tu sip sikit-sikit jangan teguk ganeh2."Beliau kata, ni advice dari seorang pro runner. Hampeh! Dah banyak kali aku minum ganeh ni baru dia nak bagi tau aku...ok lepas tu kat lain-lain water station, aku pun minum ala2 wanita melayu terakhir.

Pisang tandukkkk!!
Sampai kat Dataran Shah Alam tu ada plak abam-abam bomba sembur air ala2 shower kan, sempat la aku selit henpon Acer cap Indonesia tu bwh ketiak takut jahanam kena ayor dan aku pun lari-lari ala iklan Mild Seven kat pantai bawah air shower saiz beso tuh. Sejuk ngkooo....pergghhhh...meme best weii. Entah kat km berapa disediakan pulak in-race breakfast berupa pisang dan kek pisang. Aku dgn Jie rembat pisang je..sempat buat kelakau pulak tu dengan pisang sambil selpie sampai ada aunty chinese kat belakang tompang sekaki gelak tengok makcik2 main pisang mcm jakun je apahal kan...

Akhirnya dah dekat-dekat nak abis tuh kaki ni mcm nak lari je pulak..aku pun slow jog sambil mengekor jie yg berjalan. Yaaa..inilah teknik larian kura-kura, jimat energy. hahaha... Akhirnya kami berjaya abiskan 21km dlam masa 3 jam 03 minit (ikut Endomondo sprots tracker) manakala official timing plak 3 jam 7 minit. Alhamdulillah... Sampai je Sha pun ado kat garisan penamat dok cheer kat kami dan adik dia pun ada gak masuk which we met earlier kat Surau bergerak subuh tadi. Tamatlah sudah acara lari. Leganya perasaan dan happy melampau-lampau sebab endorphine overflow dan feeling sebuah kejayaan itu..MasyaAllah sungguh luar biasa nak habaq maiii!

Terima kasih Allah..kerana perkenakan doa aku untuk tamatkan 21km tanpa injury walaupun dekat setapak dua lagi kat finishing line tu kaki mcm nak cramp tapi dia tak jadi. Ahamdulillah 3x... Lepas setel semua, dah ambik medal, dah bergambo, berzumba bagai..kami pegi sarapan kat Seksyen 10 dan balik ke hotel semula untuk qadha tido! Mintak kat reception extend check out pukul 1, dan lepas tu kami pun balik ke KL semula. Sempat shopping compression outfit dengan Jie kat Sports Direct, melantak dan mengopi sebelum drive balik Kuantan. Sebelum pukul 7 malam dah terpacak depan umah dan terus polok budak-budak 3 owang yang buat tak tau je kat mak dia. Kita punyalah rindu kat depa..depa lagi sibuk selongkar beg cari jajan..chehhh!!

Sekiannnn...majulah sukan untuk negara!


Tangan terkembang tahan kaki dari nak cramp..


Geng Kuantan..Syazrah

Medal so cute! Suka sangat2!!

Geng runners yg baru berkenalan..kalau tak salah dari JB dan Klang Valley





Geng runners kawan2 baru

Bersama makcik cheerleader

Wednesday, February 18, 2015

Fasa Baru

Assalamualaikum..

Akhirnya dah dekat 2 bulan Eusoff sekolah. Pagi ke PPKI dan petang pergi ke EIP. Tengahari saya bawa ke pejabat, tumpang guna tandas dan bilik mandi. Lepas bersiap, dia makan tengahari selalunya dengan bekal nasi dan lauk ayam goreng yang saya bawa dari rumah.



Busy bebenor dah saya bergegas ke sana sini menguruskan dia. Kekadang energy level saya pun hampir zero juga..Lepas hantar eusoff ke PPKI, kena mengajar pula.. Tahun ni pula ditakdirkan saya kena mobile sebab ada kelas kat branch lain. Dari sana rushing ambil Eusoff, bersiap dan hantar ke EIP pula selepas waktu sekolah. Semua dalam jangkamasa sejam setengah. Sebab kelas petang menanti pula lepas tu. Mujur unit jadual waktu bagi kelonggaran pada saya untuk mulakan kelas jam 2.30 petang, kalau tidak entah macamana saya nak uruskan hal persekolahan si Eusoff ni.

Penatnya..kadang-kadang pegi running waktu petang pun dah tak larat nak angkat kaki. Sedangkan masa berbaki cuma kurang sebulan dari tarikh half-marathon saya yang pertama.

Kadang-kadang waktu saya memaksa diri supaya lari, saya berdoa "Allahurabbi...aku lakukan ini semua  untukMu, supaya aku sihat dan panjang umur untuk menjaga amanahMu ..sebab aku tau tiada orang lain mengasihi dia lebih dari aku. maka kau kuatkanlah aku dan elakkanlah aku dari injury...".

Ada ke orang yg nak masuk half marathon mintak Allah boost energy dia macam yang saya mohon ni, saya tak taulah...Selalunya orang makan Power Bar atau Energy Gel..saya ni main doa je pulak. hehehehe :)

Eusoff pula semenjak masuk sekolah...mula berminat menyanyi lagu kanak-kanak, bermainan permainan :- macam kereta dan games kat handphone. Sebelum ini kalau dia pegang tab atau handphone, dia selalunya guna google, main Whatsapp atau hijack Facebook saya. Dan vocabulary dia semakin bertambah dan selalu bercakap ayat ringkas. Paling lucu dia juga dah boleh menyuruh dirinya sendiri diam, bila dia sedar vocal ticsnya kuat sangat.:)

Saya  sejujurnya tidak letak target pun pada Eusoff untuk dia masuk mainstream ke..ambil UPSR atau apa. Saya cuma mahu dia mendapat haknya bersekolah, bergaul..bermain dan menikmati hidupnya jadi kanak-kanak macam orang lain. Dengan anak-anak yang lain pun saya tidak letak sebarang penanda aras untuk berjaya dalam akademik, walaupun saya seorang academician. Bagi saya kelangsungan hidup dan kemahiran itu jauh lebih perlu...kerana saya sedang berada di dalam sistem pendidikan dan mungkin saya mendapat overview keseluruhannya, maka saya berpendapat seperti ini.

Ok lah..banyak melarat-larat pulak entri ni.. SELAMAT TAHUN BARU CINA kepada semua yang menyambutnya dan Selamat Bercuti semua. Yang paling best bercuti tentulah mak saya, sebab dia nak fly ke Bandung esok petang... huhhuuu..bestnyer shopping!!

Enjoy your holidays peeps... XOXO!











Thursday, January 15, 2015

Jurnal: Eusoff Melangkah Ke PPKI

Assalamualaikum..

Day 1.

Hero ku yang ajaib ini dah masuk darjah 1 Pendidikan Khas. Gambar ini diambil ketika dia restless menunggu waktu perhimpunan berakhir. Sempat suruh babahnya lukis Shieldtox selepas berjaya memaksa mak dia panjat tangga sekolah sampai tingkat 2.

Budak autistik perlukan lebih byk masa untuk adjust ke rutin baru, persekitaran dan orang-orang baru di sekelilingnya. Bayangkan betapa takut dan kelirunya dia bila dia berseorangan di tempat yg serba asing...sedangkan cabaran paling besar bagi mereka adalah komunikasi dan sosial. 


It's a wee bit emotional morning for me when I saw him trying hard to cope with the new environment..new teachers...new classmates. I left him screaming on the floor.. From afar I heard him banging on the door..trying to get out. I walked away...fast with tears in my eyes.

It is a new experience for me too because my 2 other kids were very independent and adapting well on their 1st day at school.

Today, reality is showing its very true side of story. That Eusoff is different. And forever will differ fom others. This time it's not going to be as easy as before. It is not only his battle..but mine also.
Buckle up momma...it is not going to be easy ... for at least two weeks.



Day 2. 
Pagi.


Ini dia...pagi tadi waktu perhimpunan. Terdapat beberapa percubaan untuk melarikan diri tapi berjaya digagalkan oleh cikgu-cikgu.
Pukul 12 tghari...di kawasan menunggu bersebelahan kelas. Aku dengar jeritannya dari jauh.
Ya...dia masih menjerit lagi.



Malam
Social story lagi... Repeat 3x berselang-seli lukis Nobita and friends. Eusoff nampak tenang malam ini.

Happy.

Ketawa.

Harap2 dia tak traumatized dgn permulaan yg buruk hari ini. Esok mama ada kelas pagi...tak dapat temankan Muhammad Eusoff Danish. Ajar anak orang...anak sendiri menggelupur dlm kelas.



Day 3.


A short conversation in the car while we are on our way to after-school program.

"Eusoff..please behave at school. If you are not behaving well, you will be kicked out of school. Where do you want to go then?"

"Home." And he was looking outside the window.. emotionless.

I am going to run my heart out this evening.. run till I can't feel my legs.



Day 4.

Semalam.. aku suruh Eusoff ikut aku cakap ..

"Eusoff tak nangis kat sekolah.
Tak jerit.
Tak lari.
Eusoff dengar cakap cikgu."

Pagi ni..dekat perhimpunan, pengawas PK 2 orang yg jaga dia. Dia fidget..duduk baring. Macam-macam style. Tapi selalu dibetulkan oleh 2 orang pengawas tu. Sekali-sekala dia peluk cikgu sambil senyum...

Sebelum masuk kelas, dia menoleh ke arah aku. Aku lambai tangan dan dia senyum sebelum masuk ke kelas.  Dari jauh aku lihat dia duduk diam-diam di meja, matanya melilau melihat-lihat keliling kelas itu.
Harap-harap mood dia yg baik tu kekal sampai balik. Aminnnn...






Thursday, January 8, 2015

Pelari Autistik Kembar

Assalamualaikum...

Hari ni tersentuh sangat tengok satu video yang dikongsi oleh kawan saya..si Supermommy Nurbaya. Video pasal kembar autistik yang lari dengan mak diorang.

Masa tengok tu seribu satu perasaan bermain dalam kepala saya.. Rasa mcm nak nangis pun ada..bangga, happy, inspired, sedih pun ada juga...segalanya bercampur baur. Ini cita-cita saya untuk Eusoff...saya nak lari dengan dia.

InsyaAllah Eusoff...one fine day.

Ini link  website mereka...mmg super awesome!

http://www.autismrunners.com/in-the-news.html

Tuesday, January 6, 2015

Teknik Foreshadowing Untuk Menangani Tantrum

Assalamualaikum...

Semalam, Muhammad Eusoff Danish dah mula buat perangai dari petang waktu aku balik dari jogging.  Dia nak keluar jalan-jalan naik kereta padahal dah nak masuk waktu maghrib. Sebagai gantinya aku bawak dia jalan santai-santai sekitar rumah..suruh lari dia tak mau la pulak. Dia merapu macam-macam masa berjalan tu dengan rengekan dan tangisan.. Aku bagitau dia.."kita counting backwards sama-sama. Lepas kiraan 1, Eusoff mesti berhenti nangis". Sambil berjalan aku mengira: 30,29,28...sampailah 1. Alhamdulillah lepas tu dia berhenti nangis dan mula tunjuk-tunjuk pada burung layang-layang yg banyak terbang ke sarang waktu senja tu.

Lepas maghrib kami ke klinik sebab kulit sensitif Daniel mula naik gatal-gatal sebab waktu banjir hari tu rumah dan kereta yang ditinggalkan berkulat bagai nak rak. Walaupun dah dicuci mungkin ada spots yg aku tertinggal atau tak nampak yang Daniel sudah tersentuh. Tiba di klinik aku bawa Daniel dan Damia masuk klinik dulu. Eusoff dan babahnya pulak detour ke 7 Eleven.

Seketika kemudian, aku dengar suara tangisannya di luar klinik...serentak dengan Cikgu Misai call beritahu yg Eusoff tantrum sebab nak beli Shieldtox (again!) kat 7 Eleven. Pujuk-pujuk pun dia tak mau berenti nangis. Aku dapat lihat dari dalam klinik melalui pintu yg lutsinar, Eusoff sedang duduk di kaki lima sambil membentak-bentak..menangis dan memukul-mukul kepala dan mukanya. Daniel pulak sibuk nak babah dia. So aku ambil keputusan supaya swap tempat :- Cikgu Misai tunggu turn jumpa doktor dengan Daniel, dan aku pulak handle tantrum si Eusoff.

Anak pun bertukar tangan.

Aku pegang muka Eusoff dan panggil namanya berkali-kali supaya dia renung muka aku. Bila aku dah berjaya dapatkan fokus dia, aku cakap pada dia, "Eusoff dah ada banyak Shieldtox kat rumah. Tak payah belilah Shiledtox dekat 7 Eleven tu." Dia masih membentak-bentak dan melaung-laung "Shieldtox aerosol! Shieldtox aerosol!"

Aku beritahu padanya, aku boleh belikan dia benda lain. Makanan atau minuman sebagai ganti sekiranya dia berhenti menangis dan behave. Kali ini aku akan kira 10 sahaja. Aku beritahu dia, bila sampai nombor 1 je, Eusoff mesti berhenti nangis atau semua apa benda pun dia tak dapat. Aku mula kira "10,9,8,7...". Lepas tu tiba-tiba Eusoff sambung aku kira "6,5,4,3,2,1!" Aku kesat air matanya dan dia nampaknya lebih tenang dari tadi. Aku ajak dia ke stesen minyak Shell bersebelahan klinik supaya dia boleh pilih apa-apa makanan atau minuman sebagai reward dia berhenti tantrum dan berkelakuan baik.

Eusoff beli sebotol Sarsi dan aku beli sebotol jus oren untuk Daniel dan Damia. Kami berjalan kembali ke klinik dan Eusoff nampak gembira..membaca papan tanda jalan, nombor plat kereta yang terletak di parking sambil tangannya menghayun tinggi tangan aku sambil kami berjalan. Kami masuk klinik dan dia minum Sarsi tu.. dia minta "Nak! Lenovo!" Aku beri dia telefon bimbit aku dan dia nampak tenang dan happy menonton klip video kartun Doraemon sambil menikmati Sarsinya.

Apa yang ingin aku sampaikan kat sini ialah...nak handle anak autism time dia tantrum bukan senang weii... Tambah-tambah bila dekat public dan dia dah makin besar. Tenaga dia dah kuat. Kalau kita tak sabar dan bijak handle situasi, tantrum dia boleh jadi lebih teruk...mungkin boleh sampai jadi meltdown. Orang yang lalu-lalang boleh saja buat judgement ini anak spoil brat...degil atau tak makan ajar. Atau ini contoh bad parenting. Itu yang aku cuba elakkan. Aku bukan jaga air muka aku sangat...aku jaga air muka Eusoff. Aku tak suka orang pandang dia macam tak berguna sangat atau dia budak yang menyusahkan.

Teknik "foreshadowing" dengan mengira ni memang jadi setiap kali. Setakat inilah. Tapi make sure kita pastikan dia dengar arahan kita waktu itu. Kalau dia tengah marah-marah atau menangis-nangis, masa tu jugak kita nak beri arahan nak mengira ke hape, memang takkannye berkesan. Pastikan dia renung muka kita dulu dan fokus waktu kita beri arahan padanya. Ni ilmu ni....2-3 tahun praktis barulah aku terer. Tak sampai 5 minit je dah setel pun. Wahh..eksen pulak aku ni kan..hahaha. Kepada mak-mak dan bapak-bapak yang ada anak autism yang mungkin sedang baca entri ni, cuba le praktikkan teknik foreshadowing ni kalau anak-anak buat perangai cantik kat luar tu.. Memula mungkin tak jadi, tapi lelama tu kacang jer...chewahh!

*gambor Sarsi sebagai hiasan. Ihsan Pakcik Google. Sedap je nampak kan....slurppp!