Wednesday, September 26, 2012

Eusoff dan Tauhid

Assalamualaikum..

Sebak. 

Itu ialah apa yang saya rasa bila menemukan apa yang Eusoff eja di biliknya. Anak saya yang tidak fasih bertutur dan selalu senyum saja bila diajak berbual telah menyatakan kalimah tauhidnya dengan cara yang luar biasa. Saya akui..kerana kealpaan saya, serta menganggap dia tak mungkin mengerti dan kerana autismenya, saya tidak pernah mengajarkan tentang siapa Allah kepada Eusoff.

Saya menangis hingga basah wajah saya tatkala melihat ini yang sesungguhnya di luar dugaan saya. Saya rasa sungguh malu kepada Allah.. kerana sering meringankan suruhanNya, sering cuai dan tidak konsisten dalam amal ibadah saya. Saya lupa mengajarkan pada anak-anak saya perkara yang paling penting..iaitu kita semua hidup kerana siapa? Untuk siapa? Dan kelak berakhir dan kembali kepada siapa...

Saya bingung memikirkan dari mana dan siapa yang mengajar Eusoff erti tauhid. Kerana saya sendiri dengan ilmu yang cetek ini tidak tahu harus bermula dari mana. Bagaimana pula saya harus menetapkan keyakinan dalam jiwa anak-anak saya mengenai Pencipta mereka?

Subhanallah. Sungguh benarlah anak saya ini kiriman dari syurga. Dia hadiah yang sempurna buat saya sebagai tanda kasih-sayang Ar-Rahim. Lihat saja hatinya...bersih dan tulus mencintai Allah. Lihat saja kesedarannya mengakui kedudukannya sebagai hamba yang harus mengingati Allah tiap waktu dan ketika.

Lalu persoalannya..kita yang dilahirkan sempurna akal dan fikiran, di mana kita letakkan Allah dalam kehidupan ini? 

Astaghfirullah hal azim...

Tuesday, September 25, 2012

Resemblance

Assalamualaikum..

Eusoff adalah umpama jelmaan saya waktu kecil. Dia seakan saya..sungguh!! Apa yang membezakan saya dan Eusoff hanyalah dia mengalami masalah pertuturan sedangkan saya tidak. Soalan dari seorang sahabat mengenai masa kecil saya sesungguhnya telah membuka sebuah dimensi baru tentang bagaimana seharusnya saya memahami Eusoff...anak autisme saya.

Saya juga seorang hyperlexic..boleh membaca sendiri tanpa masuk kelas secara formal. Duduk bersama abang-abang yang membuat kerja sekolah atau minta emak membacakan cerita bersiri di akhbar mingguan sudah cukup bisa membuatkan saya tahu membaca. Seingat saya..sedari berumur 5 tahun saya sudah boleh membaca buku cerita. Sewaktu berumur 7 tahun, saya sudah mula membaca novel cinta, novel seram, thriller dan penyiasatan malah juga buku kesusasteraan kepunyaan abang-abang atau buku-buku yang mereka pinjam dari perpustakaan sekolah. Seringkali juga saya ditinggalkan bas sekolah kerana asyik membaca buku dan tak sedar bas yang di depan mata sedang bergerak pergi. 


Saya sering disuruh diam kerana kebanyakan orang tak larat melayan pertanyaan demi pertanyaan dari saya. Dan sekiranya saya mahukan apa2..saya akan menangis dan merajuk berhari-hari hingga mendapat apa saja yang dihajati. Baru-baru ini ketika bercuti hari raya di rumah emak saya, emak saya telah membuat pengakuan ini "Kamu memang susah sikit nak dijaga masa kecil, maklumlah kamu perempuan seorang. Memang lain dari yang lain".. Maksud emak saya tak jelas sangat, tapi mungkinkah apa yang cuba disampaikan adalah kerana saya mempunyai autism traits?

Kerana saya ini kategori yang pandai di sekolah..memang selalu menerima hadiah dan anugerah cemerlang setiap tahun. Seingat saya, cuma 2 kali saya tak dapat anugerah tiga terbaik di kelas sepanjang darjah 1 hingga 6, tapi saya masih menerima anugerah cemerlang matapelajaran. Sedangkan kerja saya di rumah hanya menonton TV dan bermain. Ini membuatkan saya sering menerima keistimewaan di rumah..dibelikan makanan yang sedap-sedap dan diberikan hadiah yang abang-abang saya tidak boleh mendapatkan. Jadi saya sering ditinggalkan ketika mereka pergi bermain..atau jadi mangsa usikan dan dipukul di belakang emak dan abah.


Saya juga mempunyai masalah kerap bermimpi buruk. Sangat banyak mimpi buruk. Dalam ertikata lain..saya kerap mengigau. Sungguh banyak mimpi buruk yang masih segar dalam ingatan saya hingga saat ini.. Seiring dengan usia meningkat dewasa, mimpi buruk saya akhirnya hilang sehingga kini saya terasa agak sukar saya mahu bermimpi ketika tidur.

Dan masalah sensory mulut yang sehingga sekarang menyebabkan saya mengalami kerosakan gigi yang agak teruk dari kecil sampai dewasa kerana saya benci memberus gigi. Sewaktu mengandung saya bertambah benci dengan berus gigi..berkali-kali saya membuangnya dan membeli berus gigi yang baru. Tapi kebencian itu tetap tidak dapat saya hilangkan.. Akhirnya saya mengerti, sebenarnya saya mengalami masalah 'sensory' mulut yang teruk.



Mengimbas kembali kisah saya masa kecil membuat saya merenung kembali apa yang Eusoff alami. Dia cuma seperti saya..tidak ada apa yang teruk sangat mengenai autisme. Ini menguatkan keyakinan pada apa yang saya doakan setiap hari.. Eusoff akan sembuh suatu hari nanti, sepertimana saya juga yang kini telah pun mempunyai keluarga dan kehidupan sendiri.  

Wednesday, September 19, 2012

Majlis Aidilfitri Autisme Malaysia

Assalamualaikum..

Minggu ni mood saya happy. Walaupun saya baru dapat memo kena berkursus hujung minggu ni selama dua hari (there goes my weekend.. sigh) sebab saya masih terbawa2 mood happy menghadiri Majlis Aidilfitri Autisme Malaysia(AM) di Dewan Masjid Putra, Putrajaya pada hari Ahad, 16 September 2012 yang lalu bersamaan dengan Hari Malaysia yang kebetulan jatuh pada hari yang sama.

Memang meriah sambutannya. Jemputan seramai lebih kurang 300 orang terdiri dari ibu bapa, anak-anak autisme dan tipikal, ahli keluarga, guru-guru pendidikan khas dan doktor yang terlibat secara langsung mendidik anak-anak syurga ini. Kami sekeluarga mengenakan pakaian raya berwarna merah jambu dan bertolak ke Putrajaya dari Bentong lebih kurang jam 8.30 pagi. 

Sampai je dah agak lewat dari jam 10 pagi kerana trafik yang agak perlahan berikutan terdapat 3-4 kemalangan jalanraya sepanjang perjalanan kami. Pagi itu hujan renyai jadi keadaan jalanraya agak licin. Ditambah pulak Cikgu Misai yang kerap salah simpang ketika mencari jalan ke Masjid Putra. :)

Kedatangan kami disambut rakan AM yang bertugas menjaga pendaftaran dan Eusoff diberikan tag nama untuk dipakai. Kemudian kami sempat diajak bergambar keluarga sebelum masuk ke dewan. Masuk je dalam dewan, suasana meriah hari raya mula terasa dek lagu-lagu raya yang berkumandang, rakan-rakan AM yang segak dan cantik berpakaian raya dan anak-anak yang sibuk berlari sambil bermain belon AM. Juadah yang disediakan juga semuanya sedap..sampai rambang mata tak tau nak makan yang mana dulu.

Kami sekeluarga membawa keropok lekor dan sosnya sekali sebagai juadah pot luck. Tak sangka..letak je 5 minit terus licin. Berbaloi rasanya mencari keropok yang tersedap di Kuantan dan bangun seawal 5.30 pagi untuk menggorengnya di dapur rumah mertua kerana ternyata keropok lekor saya tu jadi kegemaran orang Kolumpo. Hehehe..

Majlis turut diserkan dengan persembahan dari anak-anak istimewa. MC pun seorang remaja Asperger. Kalau tengok sekali imbas, memang tak nampak kekurangan anak-anak ini kerana mereka semua tampil segak dan berbakat. Untung betul mak dan ayahnya.. Dalam hati berdoa semoga satu hari nanti Eusoff pun mampu tampil dengan penuh keyakinan bercakap dan membuat persembahan pentas seperti mereka. Amin..

Paling menarik, majlis juga turut mendapat liputan daripada krew MHI dari TV3 dan telah ditayangkan pada 18 September yang lalu. Sempat jugalah saya tengok 'live' kat TV sambil siapkan Eusoff ke sekolah kerana waktu siarannya agak awal lebih kurang pukul 7.20 pagi. Wahhh.. muka saya pun ada juga!! Dan tentunya yang lebih menarik ialah aksi Eusoff berlagak seperti sedang menyanyi sambil memegang 'mic stand' di pentas. (minit ke 00.45). Itulah anak autisme saya...kecil-kecil lagi dah 2 kali masuk TV..maknye dah tua bangka begini barulah dapat masuk TV sekali. Itu pun menumpang tuah si anak. Kalo idak, tak merase leee... :))



Di bawah adalah gambar-gambar sekitar kemeriahan Majlis Aidilfitri Autisme Malaysia.

My pinky family! 

Jenuh babah suap si kenit yang kuat makan ni..dari datang sampai balik mulut tak berhenti mengunyah.

Menjamu selera sambil bertukar cerita.

Tension kena pegang..Berlari je budak ni..

Kakak cari best pren dia yg belum sampai, si comel Fatehah.

Esuoff excited tengok pentas..lepas tu terus naik tanak turun-turun. :)

Ibu-ibu pilihan Allah; melahirkan, mendidik dan menyayangi anak-anak Jannah.

Majlis berakhir lebih kurang pukul 1 tengahari dan hadirin bersurai membawa seribu satu kenangan manis yang sukar digambarkan. Terima kasih bagi pihak penganjur dan urusetia yang bekerja keras memastikan kelancaran majlis serta pihak pengurusan Masjid Putra kerana membenarkan majlis ini diadakan di dewan masjid berkenaan. Semoga ikatan ukhwah dan kekeluargaan bagi semua ahli AM berkekalan dan Autisme Malaysia terus gah menjadi tunjang memperjuangkan hak dan kebajikan serta menjadi medium perkongsian dan penerangan terbaik bagi semua individu autistik di Malaysia khususnya dan seluruh masyarakat amnya. Amin ya Rabbal Alamin.