Friday, February 1, 2013

Hyperactive : Ambil tindakan, elakkan tragedi.

Gambar ihsan pakcik Google.


Assalamualaikum...

Berita yang saya baca pagi Jumaat ini di surat khabar membuatkan hati saya bergetar. Kisah kanak-kanak 3 tahun yang sering dirotan ibunya yang berusia 25 tahun akhirnya meninggal dunia. Kanak-kanak itu dikatakan 'bersikap' hiperaktif dan enggan berhenti menangis. Dia sering dirotan dan dipukul ibunya kerana menurut berita yang saya dengar di radio tadi, katanya terdapat berbagai kesan kecederaan baru dan lama di seluruh badan dan kepala mangsa yang merupakan anak sulung dari 3 adik beradik itu. Manakala dalam laporan dari akhbar lain pula, anak itu dikatakan meninggal dunia selepas terjatuh ketika bermain dengan abangnya. (Tadi anak sulung, sekarang ada abang pulak dah?)

Gambar ihsan pakcik Google jugak.

Pertamanya saya 'familiar' dengan situasi ibu dan anak itu. 'Hiperaktif dan enggan berhenti menangis'. Dalam telahan saya anak itu mengalami hiperaktif dan kerap 'tantrum'. Tak jauh bezanya dengan Eusoff sewaktu dia berusia 3 tahun. 

Kedua, saya rasa perkataan 'bersikap' hiperaktif dalam laporan akhbar itu tidak kena. Ketahuilah bahawa hiperaktif itu bukan masalah 'sikap'. Hiperaktif adalah sejenis 'disorder' atau ketidak seimbangan dalam tubuh sama ada ianya sejenis sindrom yang ada sejak lahir atau pun akibat pengambilan gula yang berlebihan dalam diet seharian. Kalau masalah 'sikap', masih banyak yang boleh dilakukan untuk membentuk dan mengawal mereka.  Sama ada ibu bapa mahu bertegas atau memujuk, bagi seorang anak berusia 3 tahun yang punyai masalah sikap, pasti ada banyak cara untuk menyelesaikan masalah ini.  Tinggal lagi hanya perlu memikirkan pendekatan terbaik untuk memastikan anak mempunyai sikap yang terkawal. Tetapi kalau 'disorder', tiada penyelesaian lain kecuali pendekatan terapi, pengaturan diet yang seimbang atau ubat-ubatan. 

Gambar ihsan pakcik Google lagi.

Saya sedih kerana anak itu didera hingga mati. Kalau dia tidak mati akibat didera pun, alangkah kasihannya dia sering dirotan ibunya kerana melakukan perkara yang dia sendiri tidak dapat mengawalnya dari berlaku. Kanak-kanak hiperaktif melakukan perkara yang pelik dan bahaya kerana dia tidak punyai kawalan terhadap tubuh badannya. Mereka terlalu aktif, tidak fokus, tidak boleh duduk diam, sukar mengasingkan maklumat serta gemar bertindak spontan tanpa memikirkan akibat atau bahaya sesuatu tindakan yang diambil.

Menjadi ibu bapa, perlukan KESABARAN yang tinggi. Jangan cepat sangat ringan tangan. Jangan cepat melabel anak dengan gelaran nakal, degil dan sebagainya kerana apa yang lahir dari mulut kita adalah DOA. Jangan abaikan sekiranya anak menunjukkan kenakalan luar biasa dan menganggap ia perkara yang normal sehingga anda sendiri akhirnya hilang sabar dan bertindak kejam terhadap darah daging sendiri.

Saya tidak menghakimi ibu itu. Kehilangan anaknya itu sudah pasti meberikan kesan mendalam terhadap dirinya dan keluarga, tambahan pula kes itu telah menjadi kes polis dan ibu itu sudah pasti berhadapan siasatan pihak berkuasa. Saya yakin sekiranya ibu itu memberi perhatian terhadap gelaja hiperaktif anaknya dan segera membawanya mendapatkan pemeriksaan doktor, tragedi ini boleh dielakkan. Kecederaan akibat tingkah-laku yang membahayakan diri juga boleh dijauhi. Cuma orang kita ini, selalu kurang kesedaran dan tidak prihatin terhadap perkembangan tumbesaran anak, defensive dan tidak menerima hakikat bahawa ada yang tidak kena dengan anak kesayangan yang kita lahirkan dan kita besarkan dengan didikan sempurna dan penuh kasih-sayang .

Sekiranya ada anak kita yang berkelakuan luar biasa dari sepatutnya, atau perkembangan mental fizikalnya tidak sama dengan rakan sebaya...TOLONGLAH ambillah tindakan. Buatlah sesuatu. Jangan sampai tragedi berulang...

~Al-Fatihah buat si kecil.. Syurgalah tempatmu nak..~




2 comments:

  1. Memang sangat sedih berita ni. sian budak tu, tak berdosa :'( Pengajaran untuk kita semua..

    ReplyDelete
  2. Memang sedih..Kesian sangat. Dengar dalam berita, laporan post mortem kata budak tu meninggal sebab kecederaan teruk kat kepala. :(

    ReplyDelete