Tuesday, February 5, 2013

Bahagia

Assalamualaikum..

Berapa orang berani mengaku bahawa hidupnya tak bahagia? Dan apa sebenarnya konteks 'bahagia' itu sendiri? Ada orang bahagia bila cukup makan, pakai dan mampu memberikan pendidikan terbaik untuk anak-anak. Ada orang bahagia bila dapat bermewah-mewah, boleh membeli apa saja yang diinginkan dan bercuti ke luar negara dengan tak perlu tunggu syarikat penerbagan tambang murah buat offer atau tak perlu tunggu dapat duit bonus. Bila-bila masa pun boleh pergi luar negara. Sebut saja semua dapat.

Tapi ada juga orang yang bahagia cuma tinggal di kampung yang jauh di pedalaman..dalam rumah pusaka yang daif bersama keluarga dan anak-anak, hanya makan ala kadar tapi tak punya masalah hutang bank, tak perlu bayar cukai, berhadapan  masalah pejabat dan lain-lain hiruk-pikuk kota. Konteks bahagia bagi pasangan bercinta pula mungkin apabila dapat mendirikan rumahtangga bersama kekasih yang dicintai, menghabiskan masa berdua tanpa ada lagi yang menghalangi.

Bagi saya bahagia itu ada, tinggal lagi perlu dicari. 
Bahagia itu walaupun sedikit harus diraikan. 
Bahagia itu kalau mensyukuri nikmat, bukan hanya bersifat kebendaan.

Sebenarnya saya pernah keliru dengan definisi bahagia. Saya katakan saya bahagia ketika itu, tetapi sebenarnya saat itu saya sedang sangat menderita. Saya berpura-pura bahagia kerana cuba menafikan hakikat kerana bagi saya, saya tak mungkin menjadi orang yang tidak bahagia. Saya ada keluarga, ada suami dan anak-anak. Ada kerjaya yang stabil. Boleh memiliki kereta dan kami punyai rumah sendiri. Saya sandarkan kebahagiaan pada kebendaan. 

Di situlah sebenarnya kesilapan saya.

Kebendaan itu tidak kekal.
Keluarga tidak kekal.
Anak-anak tidak kekal.
Kebahagiaan rumah-tangga itu tidak kekal selamanya.
Kerana semuanya bukan hak kita..
Semuanya hak Allah.
Dan hanya Allah yang kekal.

Hidayah yang saya mohon diketemukan akhirnya tiba melalui Eusoff.
Kerana dia saya belajar erti REDHA.
Kerana dia saya menghargai KEBAHAGIAAN walaupun hanya sebesar satu titik disebuah hamparan yang luas.

Saya tahu Eusoff punya cinta yang besar buat saya; Mamanya. Tetapi cinta itu tak terzahirkan. Dia tidak petah berkata sayang, tidak pandai bermanja, tidak pandai membuai perasaan..tetapi saya merasakan cinta Eusoff terhadap saya melaui bahasa tubuhnya, melalui sentuhannya dan dari apa yang terpancar di matanya.

Banyak konsep tauhid yang berjaya saya fahamkan bila saya kaitkannya kepada Eusoff. Walaupun dia tidak petah bertutur, bibirnya sentiasa basah dengan kalimah Allah. Dalam ejaannya dia mengakui Tuhan itu ada..Tuhan itu Satu. TIdak pernah belajar bahasa Arab dan huruf hijaiyah, dia tahu membaca ayat Al-Quran harus dari kanan ke kiri. Siapa yang mengajari dia? Siapa???

Saya jadi insaf. Saya jadi malu. Dia tahu siapa Allah.. tetapi saya ibunya hanya pentingkan DUNIA. Sejak itu, saya belajar mencintai Allah dan Rasul (SAW). Kerana dia secara tidak langsung, saya belajar menjadi rindu kepada Al-Quran. Entah dari mana ketabahan datang sehingga saya terasa saya siap diuji..saya siap merasa kehilangan kerana saya yakin janji Allah itu pasti. Tiba-tiba saya terasa mahu ke Jannah..benar-benar mahu dalam erti kata sebenarnya.

Saya lebih bahagia mencari keredhaan Allah kerana nikmatnya tak tergambarkan dengan kata-kata. 


Semua kesusahan saya terasa ringan kerana saya yakin Allah Itu Ada. 
Dia Maha Mendengar, Maha Penyayang dan Maha Pengasihani.














No comments:

Post a Comment