Tuesday, May 14, 2013

Sensori Ohhh..Sensori!!

Assalamualaikum...





Muka cuak sambil pegang dada dan cakap pada diri dia "..sabar..sabar.." Hehehe..


Cuba-cuba letakkan tangan kat cermin.
Selalunya dia sembunyikan tangan sebab takut sangat kat  brush besar ni.
Mungkin bagi budak macam Eusoff, dia tak boleh bezakan apa yang dia lihat di sebalik cermin tu,  benda yang boleh disentuh atau tidak.


Bila dia dah tau, brush tu kat luar dan tangan dia tak kena dengan brush yang berpusing tu , baru dia cool.
Yayyy!!


Apabila pancutan air yang berkelajuan tinggi menghentam dinding luar kereta, ianya menghasilkan bunyi yang kuat. Tambah membuatkan Eusoff kecut perut, bila cermin hadapan, kiri, kanan dan belakang dipenuhi sabun atau air hingga membataskan pandangan. Dan bila mesin mula menyental dan mencuci badan kereta, ianya membuatkan badan kereta bergoyang, menghasilkan bunyi yang kuat serta seolah-olah sesuatu sedang menimbus kereta itu dengan Eusoff dan saya terperangkap didalamnya!

Ini mungkin saja apa yang Eusoff rasakan saat kami pergi mencuci kereta di auto car wash! :)

Eusoff mempunyai masalah Sensory Processing Disorder (SPD) pada tahap ringan (mild). Bunyi yang tidak mengganggu deria telinga bagi seseorang yang tipikal, mungkin memberikan sensasi berlebihan kepada individu yang menghidap SPD. Ramai individu autisme mempunyai kesukaran menguruskan input deria mereka. Mereka mungkin lebih atau kurang bertindak balas terhadap input visual, sentuhan, dan bunyi - kadang-kadang sehingga ke tahap di mana mereka tidak dapat mengambil bahagian dalam aktiviti kehidupan biasa. Malah individu  dengan Sindrom Asperger (salah satu cabang autisme), yang bijak serta  mempunyai daya intelektual yang tinggi, masih tidak dapat pergi menonton wayang atau menonton konsert serta mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti sosial kerana bunyi, lampu atau sensasi yang mereka alami di tempat-tempat begitu adalah terlalu besar dan tidak mampu ditangani dengan baik.


Sejak kecil, Eusoff takut kepada bunyi penyedut hampagas. Setiap kali nak vacuum karpet, dia akan berlari sekuat hati lalu menyorok ke dalam bilik. Sekiranya hujan turun lalu menimpa bumbung zink seperti yang biasa berlaku di rumah atuk dan nenek di kampung, Eusoff akan segera menutup kedua belah telinga dan mengecilkan mata. Jikalau sensasi itu agak berlebihan serta tak mampu dijauhi, Eusoff akan menjerit dan menangis dan  lebih teruk lagi sekiranya 'sensory overload' berakhir dengan 'meltdown'.


Ada individu autisme yang mempunyai daya sensitiviti tinggi terhadap sentuhan, menyebabkan mereka sentiasa mengelakkan diri dari sebarang bentuk sentuhan...mahupun dari ibunya sendiri. Ada juga yang mengalami daya sensitiviti yang amat rendah terhadap deria sentuh, tampak atau dengar, mengakibatkan mereka mempunyai daya tahan yang tinggi sama ada kepada kesakitan, bunyi, bau, cahaya yang berlebihan atau terlalu kuat kerana saraf-saraf yang menghantar signal ke otak gagal memberikan input yang bersesuaian. Ada juga individu autisme yang sentiasa menginginkan input sensori (sensory craving) untuk memuaskan keinginan memproses input yang dicetuskan oleh otak dengan melakukan  perlakuan berulang seperti menepuk-nepuk tangan, melompat, berjalan mundar-mandir, berlari berulang-alik atau dengan cara menjerit-jerit, memukul diri sendiri dan sebagainya.

Pendedahan yang kerap terhadap deria sentuh, tampak dan bunyi serta Terapi Cara Kerja (Occupational Therapy) yang melibatkan Audio dan Penglihatan di Snoezelen Room juga mampu memperbaiki kebolehan otak memproses data sensori input dengan lebih baik.

Bagi Eusoff, pendedahan begini adalah perlu., walaupun saya memang kasihan membiarkan dia ketakutan dan resah sepanjang proses cuci kereta ini. Kali ini Eusoff melakukannya dengan agak baik. Dia tidak menangis walaupun mukanya jelas ketakutan..dan lebih baik lagi, tidak mengalami meltdown seperti sebelum-sebelum ini. Selepas dah siap semua dan kami bergerak keluar dari kawasan cuci kereta barulah dia cakap "Yayyy!"

Bagus Eusoff! Tahniah!! Kamu telah membuktikan bahawa ketakutan adalah bukan faktor bagi kamu! Yeeehaa!!


..............................................

Sekali macam Fear Factor daaa... hikhik!


No comments:

Post a Comment