Wednesday, May 22, 2013

Positive Parenting Mak & Abah Saya

Assalamualaikum...


Nak cerita sikit pasal positive parenting mak dan abah masa kecik-kecik dulu. Mak dan abah memang sempoi walaupun garang. Sempoi tapi garang..ape bende ni? Hehe... Sebenarnya..mak dan  abah dulu garang tapi diorang ni jenis yang tak memaksa. Garang tu pulak bermakna ada time buat nakal, memang kena marah la, atau kena rotan jugak (huhuuu) sekadar nak mengajar, takde le sampai mendera. Macamana tak garang, anak 3 lelaki umur rapat-rapat pastu lasak buleh tahan...Pastu ada sorang pompuan pun (saya la tu), macam jantan gak perangai. Macamana mak abah tak pening?? Mujur Amir adik saya tu lahir setelah saya berumur 8 tahun, masa tu mak dan abah dah berumur dan dah slow la sikittt..untung la Amir..tak kena sebat cam kitorang. ^__^

Kami adik beradik dulu duduk kat area kuarters kerajaan dalam compound Jabatan Pertanian dekat Bukit Kerajaan, Kuala Kangsar. Rumah sangat dekat dengan area ladang jagung, ladang mempelam, ladang pokok bunga..macam-macam spesis pokok banyak yang diorang buat kacuk untuk hasilkan benih-benih pokok baru. Memang sempoi tau area tu... Segar dan wangi dengan bau pokok dan buah-buahan. Bila dah banyak pokok banyaklah burung suka datang. Abang-abang pergi menggetah burung ciak, saya ikut. Main tempak-tembak Koboi VS Red Indian, saya join (walaupun main ta ya pa wau-TIPU). Polis sentri saya ikut, main konda-kondi saya ikut jugak walau takde sapa nak team up dengan saya. Kencing berdiri kat pagar pun saya join, tapi saya takleh 'tembak' cam depa sebab saya takde 'fire hose'.. meleleh habis kena baju seluar, balik semua kena PIAP! dengan mak. Saya kena PIAP sebab kencing berdiri macam budak laki, abang-abang pulak kena sebab depa ajar saya kencing berdiri macam budak laki walaupun depa tau adik depa ni pompuan...Hihi..sian depa. Banyak kali jugak kena marah sebab saya..

Mak dan abah dulu time kami nak exam, diorang tak pernah paksa pun study bagai nak rak. Dia cuma remind...haaa..peksa dah dekat, jangan asyik main/tengok TV. Takdelah nak paksa ngadap buku, kuarantin ke, tak bagi tengok TV langsung ke? Buat keje sekolah depan TV boleh kata tiap-tiap hari, main basikal atau pegi lepak rumah makcik sebelah main dengan anak dia tiap-tiap hari jugak. Tapi adik-beradik saya takde le dapat result corot..rata-rata tu hujung tahun muka mak abah memang wajib dapat jemputan le masa hari penyampaian hadiah. 

Bukan nak kata kami ni pandai-pandai belaka tapi mak dan abah memang rilek giler dan tak le over sangat letak harapan tinggi nak nengok anak dapat A berderet-deret dalam report card. Report card kalau ada merah pun mak dengan abah bebel lebih kurang je, dan tak le beria benor torture anak-anak tu sampai lunyai dan patah hati budak-budak tu. Ni la positive parenting bagi saya.. Dengan anak-anak kena main tarik tali macam main layang-layang...lepasssss lepas tu tarik sikit-sikit-sikit. Dan lepas tu lepas balik... 

Mak ajar ngaji...suruh hafal sifir, lepas tu bagi dia main dengan kawan-kawan, kejar ayam, panjat pokok. Saya masa sekolah dulu tak stress langsung bila nak exam... dan rasa pelik bila kawan-kawan cerita "huu..aku dah satu minggu tak tengok TV sebab nak peksa".. Serius, saya selalu tengok filem seram Indonesia hari Khamis malam Jumaat dan tido jam 11 malam dengan arwah abah, dan abah tak kisah pun walaupun esoknya ada ujian Matematik sebab dia tau anak dia ni study, walaupun kuat tengok TV. :)


Monday, May 20, 2013

Geng Gaduh


Assalamualaikum...

Petang semalam Kakak Damia beli kamus Bahasa Melayu - Bahasa Melayu - Bahasa Inggeris di kedai buku MBS dekat dengan pintu masuk Carrefour. Malam tadi dia baca kamus tu sampai lewat malam. Cuti sekolah sudah dekat, dia minta saya belikan lebih banyak buku cerita untuk buat Nilam. Buku Nilam dia dah nak habis, jadi saya cakap pada dia jangan lupa beritahu cikgu supaya dapat buku Nilam yang baru untuk buat masa cuti sekolah nanti. 

Kakak Damia belajar di Kelas ke-2 dari 5 buah kelas Darjah 2. Dia tidak pernah dapat anugerah kecemerlangan tetapi selalu dapat hadiah Terbaik Nilam dan baru-baru ini dapat hadiah Peraduan Membuat Kamus Kecil. Dia pun suka membaca macam saya, jadi kami memang selalu tag team pergi serbu book sale bawak beg sandang sorang satu.

Walaupun malas kemas bilik dan tak suka sikat rambut selain selalu jadi mangsa fesyen :) , dia anak yang baik dan menghiburkan. Biarlah anak saya tidak cemerlang dengan A yang berderet-deret dalam kad laporan tapi hatinya baik, bertanggungjawab terhadap adik-adik dan cintakan ilmu. Yang paling penting dia dah mula solat sendiri dan baca Surah Yaasin walaupun belum lancar. Alhamdulillah... Saya rasa saya dulu masa kecil-kecil nakal tau? Tetapi anak saya ni baik dan patuh walaupun ada le jugak memberontak kekadang tu... Tak taulah genetik siapa yang dia mengikut jadi baik ni....hehehe...






Thursday, May 16, 2013

Selamat Hari Guru

Assalamualaikum... 

Hari ini Hari Guru. Hari ini hari mengenang jasa seorang yang bergelar pendidik... tidak kiralah cikgu sekolah rendah atau menengah, cikgu besar atau cikgu kecil, sama ada dipanggil Cikgu, Lao Shi, Encik atau Puan, Dr., Prof Madya atau Prof (di Institut Pengajian Tinggi).. Ucapan itu kalau lahirnya dari hati, sama ada dari anak didik yang masih di bawah didikan guru-guru atau yang telah tamat belajar atau bergraduat..seringkali menyentuh hati sanubari. 

Sejak dari sekolah rendah sehingga sekolah menengah, saya belajar di sekolah 'all girls'..(peeewittt!). Ketika di sekolah rendah, saya tergolong dalam pelajar yang rapat dengan guru-guru, budak baik, tak pernah langgar disiplin sekolah, jadi pengawas, aktif dalam kelab kebudayaan, jadi ahli pancaragam sekolah dan berada dalam kelas pandai serta tersenarai dalam calon straight A's.

Bila masuk alam remaja di sekolah menengah, hidup agak tak teratur kerana kematian ayah, atau mungkin juga hormon-hormon remaja mencelarukan sistem badan serta emosi yang tertekan (betul ke ni..atau sekadar alasan?hehe..), saya bertukar corak menjadi pelajar yang agak nakal serta defensif. Namun dari segi akademik saya masih maintain dan tidak begitu menurun..masih berada di kelas paling atas sehingga tingkatan 2, dan akhirnya semasa di tingkatan 3, saya turun 1 anak tangga, jatuh ke kelas no.2 tapi alhamdulillah cikgu kelas saya masa tu seorang biker bernama cikgu Mohamad adalah cikgu yg 'super sporting' dan 'super best' memberi motivasi kepada pelajar-pelajar sehingga keputusan PMR kembali melonjakkan saya ke kelas 'atas' di kelas 4 Sains (walaupun hati meronta-ronta nak masuk kelas seni). Ketika inilah saya telah membina hubungan akrab dengan kawan-kawan 'berhaluan kiri' - geng yang dipaksa masuk kelas sains.

Bersama 6 sahabat saya ini, kami mula 'membina populariti', kerana selalu melawan cakap cikgu, nakal dan  ada sesuatu 'aura' sehingga secara tak rasmi mempunyai satu meja khas di kantin sekolah (orang lain tak pernah duduk di meja ini kecuali kami). Kami jugak pernah buat pasal dengan makcik kantin (sebab jual makanan luar kat budak-budak lain), ponteng kelas tambahan, lari dari kelas ikut pagar belakang dan macam-macam hal lagilah yang kami buat. Sampai pernah kena mengadap Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (GPK HEM) dan pernah diugut untuk dibawa berjumpa Pengetua (kami berjaya pengaruhi Pengetua sebelum cikgu tu buat aduan..sampai begitu sekali. Kerajinan jadi buruh kasar tanpa gaji kat di sekolah sedikit-sebanyak membantu dalam hal ini.. :))

Walaupun kami begitu, kami ni all-rounder...suka volunteer buat kerja-kerja buruh kasar untuk tolong cikgu (yang baik dengan kamilah), kami meriah dengan surat junior untuk nak jadikan kakak angkat dan kami jugalah jaguh-jaguh silat dalam pertandingan silat olahraga, aktif dalam sukan, tolong cikgu renovate taman sains, buat mural dan signage di kawasan sekolah. Kami jugalah yang rajin pegi cheer dan support team sekolah dalam apa-apa pertandingan atau perlawanan sukan. Walaupun kami nakal, semuanya alhamdulillah masih berjaya mendapatkan result yang melayakkan kami masuk ke universiti ketika SPM dan ada yang berjaya masuk fakulti perubatan. 

Kini apabila saya berada dalam kerjaya pendidik, saya rasa saya lebih memahami kenapa pelajar-pelajar saya nakal dan kadang-kadang ada masalah dalam pembelajaran mereka, kerana saya pernah berada di tempat mereka suatu waktu dulu. Pengalaman menjadi budak nakal memberikan kelebihan bila mana saya tau segala 'trick' dan boleh mengenalpasti yang mana satu sebab dan yang mana satu alasan bila diorang tak siapkan tugasan yang diberikan. Pendek katanya, kebanyakan helah pelajar -pelajar ni, orang kata 'dalam kocek' ajelah. Selain dari itu, saya juga  menjadi lebih empati dan prihatin kepada well-being para pelajar bila mereka ada masalah peribadi atau masalah keluarga. Tambahan pula kebanyakan pelajar saya tinggal di asrama dan jauh dari kampung halaman, maka kami para pensyarahlah yang menjadi ibu bapa sementara bagi mereka selama belajar di sini.

Sempena Hari Guru ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan buat para guru saya dari tadika hinggalah ke universiti. Kerana anda semualah sekarang saya merasa jadi pensyarah dan dah kena buli balik dengan pelajar-pelajar saya.. Pernah dengar tak peribahasa 'buat baik dibalas baik, buat jahat jangan sekali'..peribahasa tu memang kena setepek kat muka saya sekarang ni...hahahaha...

Di bawah adalah teacher's day project dengan cikgu misai sebagai penghargaan kepada cikgu-cikgi anak-anak saya. Carrot cupcakes with creamcheese frosting tuuu... Selamat menjamu mata.. ;)

SELAMAT HARI GURU!







Tuesday, May 14, 2013

Sensori Ohhh..Sensori!!

Assalamualaikum...





Muka cuak sambil pegang dada dan cakap pada diri dia "..sabar..sabar.." Hehehe..


Cuba-cuba letakkan tangan kat cermin.
Selalunya dia sembunyikan tangan sebab takut sangat kat  brush besar ni.
Mungkin bagi budak macam Eusoff, dia tak boleh bezakan apa yang dia lihat di sebalik cermin tu,  benda yang boleh disentuh atau tidak.


Bila dia dah tau, brush tu kat luar dan tangan dia tak kena dengan brush yang berpusing tu , baru dia cool.
Yayyy!!


Apabila pancutan air yang berkelajuan tinggi menghentam dinding luar kereta, ianya menghasilkan bunyi yang kuat. Tambah membuatkan Eusoff kecut perut, bila cermin hadapan, kiri, kanan dan belakang dipenuhi sabun atau air hingga membataskan pandangan. Dan bila mesin mula menyental dan mencuci badan kereta, ianya membuatkan badan kereta bergoyang, menghasilkan bunyi yang kuat serta seolah-olah sesuatu sedang menimbus kereta itu dengan Eusoff dan saya terperangkap didalamnya!

Ini mungkin saja apa yang Eusoff rasakan saat kami pergi mencuci kereta di auto car wash! :)

Eusoff mempunyai masalah Sensory Processing Disorder (SPD) pada tahap ringan (mild). Bunyi yang tidak mengganggu deria telinga bagi seseorang yang tipikal, mungkin memberikan sensasi berlebihan kepada individu yang menghidap SPD. Ramai individu autisme mempunyai kesukaran menguruskan input deria mereka. Mereka mungkin lebih atau kurang bertindak balas terhadap input visual, sentuhan, dan bunyi - kadang-kadang sehingga ke tahap di mana mereka tidak dapat mengambil bahagian dalam aktiviti kehidupan biasa. Malah individu  dengan Sindrom Asperger (salah satu cabang autisme), yang bijak serta  mempunyai daya intelektual yang tinggi, masih tidak dapat pergi menonton wayang atau menonton konsert serta mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti sosial kerana bunyi, lampu atau sensasi yang mereka alami di tempat-tempat begitu adalah terlalu besar dan tidak mampu ditangani dengan baik.


Sejak kecil, Eusoff takut kepada bunyi penyedut hampagas. Setiap kali nak vacuum karpet, dia akan berlari sekuat hati lalu menyorok ke dalam bilik. Sekiranya hujan turun lalu menimpa bumbung zink seperti yang biasa berlaku di rumah atuk dan nenek di kampung, Eusoff akan segera menutup kedua belah telinga dan mengecilkan mata. Jikalau sensasi itu agak berlebihan serta tak mampu dijauhi, Eusoff akan menjerit dan menangis dan  lebih teruk lagi sekiranya 'sensory overload' berakhir dengan 'meltdown'.


Ada individu autisme yang mempunyai daya sensitiviti tinggi terhadap sentuhan, menyebabkan mereka sentiasa mengelakkan diri dari sebarang bentuk sentuhan...mahupun dari ibunya sendiri. Ada juga yang mengalami daya sensitiviti yang amat rendah terhadap deria sentuh, tampak atau dengar, mengakibatkan mereka mempunyai daya tahan yang tinggi sama ada kepada kesakitan, bunyi, bau, cahaya yang berlebihan atau terlalu kuat kerana saraf-saraf yang menghantar signal ke otak gagal memberikan input yang bersesuaian. Ada juga individu autisme yang sentiasa menginginkan input sensori (sensory craving) untuk memuaskan keinginan memproses input yang dicetuskan oleh otak dengan melakukan  perlakuan berulang seperti menepuk-nepuk tangan, melompat, berjalan mundar-mandir, berlari berulang-alik atau dengan cara menjerit-jerit, memukul diri sendiri dan sebagainya.

Pendedahan yang kerap terhadap deria sentuh, tampak dan bunyi serta Terapi Cara Kerja (Occupational Therapy) yang melibatkan Audio dan Penglihatan di Snoezelen Room juga mampu memperbaiki kebolehan otak memproses data sensori input dengan lebih baik.

Bagi Eusoff, pendedahan begini adalah perlu., walaupun saya memang kasihan membiarkan dia ketakutan dan resah sepanjang proses cuci kereta ini. Kali ini Eusoff melakukannya dengan agak baik. Dia tidak menangis walaupun mukanya jelas ketakutan..dan lebih baik lagi, tidak mengalami meltdown seperti sebelum-sebelum ini. Selepas dah siap semua dan kami bergerak keluar dari kawasan cuci kereta barulah dia cakap "Yayyy!"

Bagus Eusoff! Tahniah!! Kamu telah membuktikan bahawa ketakutan adalah bukan faktor bagi kamu! Yeeehaa!!


..............................................

Sekali macam Fear Factor daaa... hikhik!


Thursday, May 9, 2013

ORANG BAIK dan ORANG JAHAT


Assalamulaikum..




Hari ini saya ke farmasi itu lagi. Tempat di mana saya sering membeli vitamin dan supplement untuk Eusoff. Rata-rata pekerja farmasi itu baik yang melayu, india atau cina mengenali saya kerana saya memang sering ke situ. Aunty berbangsa cina itu menegur saya dulu dengan ramah.. "Cari pro-biotic lagi ka? Sini..sini.. yang ini ada offer!" katanya sambil menunjukkan rak vitamin berdekatan. "Untuk you punya anak..itu..apa..Autisem kan?" katanya sambil memegang beberapa jenis pro-biotic. Saya hanya senyum dan angguk. "Yalah..saya ingat you datang sini mesti cari itu punya. Kalau tak pun fish oil kan?"  katanya sambil senyum. Selepas berbual lebih kurang saya memilih satu jenis pro-biotic yang ada tawaran harga murah. Sebelum saya ke sempat sampai ke kaunter, aunty cina itu menarik lengan saya dan menghulurkan sehelai sapu tangan yang dah berikat cantik seperti lolly pop. "Kasi you punya anak ok?" Saya dan dia berbalas ucapan terima kasih sebelum saya menyelesaikan urusan pembayaran dan berlalu pergi.


Saya senang hidup di Malaysia kerana kita berkongsi rasa dan kasih-sayang dengan bangsa dan keturunan yang berlainan. Saya sayangkan rasa persaudaraan itu, walaupun kita berbeza agama dan budaya. Kita saling memerlukan, walaupun bila ego menguasai diri, ramai yang bercakap tanpa berfikir perasaan orang lain dengan memberi gelaran 'pendatang' atau berkata 'pergi balik negeri kamu!'. Kita lupa kita memerlukan mereka bila kita sakit, bila kereta kita rosak, bila kita nak ubah suai rumah, bila kita nak belajar. Memang ada pakar-pakar dari bangsa kita sendiri, tapi fikir balik kenapa workshop cina itu selalu penuh dengan orang melayu? Kenapa kedai mamak penuh dengan orang melayu? Kenapa kedai sensei atau farmasi penuh dengan orang melayu? Kenapa hospital pakar yang signboardnya penuh dengan tulisan cina penuh dengan orang melayu? Kenapa pasaraya borong TONG FATT penuh dengan orang melayu? Kenapa kedai gunting RAJU penuh dengan orang melayu?

Pernah fikir tidak?

Meh saya bagi jawapannya..sebab kita dah terbiasa dengan keberadaan mereka disekeliling kita. Kita punya  lebih pilihan untuk mendapatkan perkhidmatan/barangan terbaik. Mungkin barang dapur kita beli di pasaraya  Tong Fatt, bila lapar kita singgah makan roti canai di Restoran Nasi Kandar, lepas dah kenyang kita sambung membeli-belah pakaian di Butik Mazlinda. Apa masalahnya kat situ? Tak ada apa-apa kan?

Eusoff pernah ditendang keluar dari sebuah tadika yang dimiliki oleh orang melayu. Sebuah lagi pusat pendidikan autisme yang ditadbir oleh orang melayu juga pernah memberi berbagai alasan yang penuh syarat dan birokrasi ketika saya cuba mendaftarkan Eusoff kerana dia tidak toilet train, tidak boleh bertutur, kuat mengamuk dan kerana dalam report dari psychologist, tertulis perkatan MODERATE TO SEVERE AUTISM SPECTRUM DISORDER (ASD).

Sedangkan cikgu Eusoff sekarang yang saya cuma berbual dengannya di telefon, yang tidak pernah tengok muka saya, serta tidak pernah tengok anak saya, walaupun sudah diberitahu anak saya MODERATE TO SEVERE AUTISM SPECTRUM DISORDER (ASD), katanya "Tak apalah kak...nanti kita boleh train dia slowly. Kakak hantar saja dia." 

Berapa kali dia kena cuci dinding kerana Eusoff conteng dinding kelasnya. Berapa kali dia kena cuci lantai dan kerusi kerana Eusoff terkencing dalam kelas. Berapa kali dia lebam kerana Eusoff mengamuk. Berapa kali Eusoff sepak terajang dia. Mukanya sentiasa begini waktu saya ambil Eusoff selepas habis sekolah.


Orang yang tidak matang dan lupa diri sahaja tidak dapat menilai kebaikan orang dan memanggil orang dengan nama gelaran yang buruk. Di dalam dunia ini, ORANG BAIK dan ORANG JAHAT memang ada..tak kira apa bangsa sekalipun..

#Tolak sentimen perkauman #Pasca PRU 13

Stimming

Assalamualaikum..

Semalam sebelum tidur Eusoff stimming (stimulatory behaviour). Sebenarnya dia dah jarang buat tapi tetiba ada pulak.. Dalam gelap tu, dia gelak2 dan ketawa beriya2 sambil menulis sesuatu kat buku tulis berteman cahaya dari lampu akuarium. 


Mula-mula rasa jengkel jugak sebab ketawanya mengganggu tidur saya. Maklumlah dah tengah malam. Saya pula tak sihat, baru sampai dari kampung. Penat duduk bergoncang hampir 7 jam dalam kereta pun tak habis lagi, tiba-tiba nak layan pulak kerenah dia tengah2 malam ni.

Tapi dalam mamai2 tu saya tarik nafas panjang2, lapangkan hati dan layan dia gelak sambil buat-buat faham bila dia bertutur bahasa yang tak difahami. Saya gosok kepalanya, urut2 belikat, tulang belakang dan sekitar bahunya sambil2 tu saya cakap "Eusoff lepas ni pergi tidur tau? Esok nak sekolah..." 15 minit kemudian dia tertidur sendiri di hujung kaki saya sambil tangannya masih memegang pen.

Penawar stimming ialah PERHATIAN dan KASIH SAYANG. Spanking or shouting won't cure his autism, but LOVE will..InsyaAllah.