Assalamualaikum..
Saya kerap mimpi buruk dan mimpi yang berulang. Mimpi yang sama setiap kali. Dalam seminggu mungkin 2-3 kali saya mimpi subjek yang sama.
1. Buaya-buaya besar dalam air cetek. Dekat sangat dengan bibir perahu atau dekat dengan tempat saya berpijak dalam air, tetapi dia tidak menyerang. Saya sangat takut masa itu sampai kalau terjaga susah nak tidur balik.
2. Kelas-kelas kosong dengan pintu yang banyak di sebuah sekolah yang besar tapi tak berpenghuni.
3. Berada di sebuah negara asing. Tempat seperti sebuah universiti, lengkap dengan perpustakaan. Penuh orang lalu-lalang tetapi tiada siapa mempedulikan saya. Keadaan seperti seakan benar. Saya boleh menghidu bau daun-daun yg berguguran, boleh merasa dinginnya udara dan mendengar percakapan orang yang berada di sekitarnya. Saya berteman di tempat itu, tetapi bukan dari orang yang saya kenali.
Dalam ketiga-tiga mimpi tu, mimpi no. 1 yang paling kerap. Sampai saya tak tengok dah channel discovery yang ada gambar haiwan liar. Saya takut. Tapi mimpi tu tetap datang. Sampai saya terbayang buaya kalau saya pergi laut, sungai atau swimming pool. Seram..
Akhirnya saya minta pandangan seorang kaunselor yang saya hubungi melalui email. Kaunselor ni ialah kaunselor Jabatan Pembangunan Wanita dan memang bertugas memberikan khidmat kaunseling percuma kepada orang awam. Beliau ini boleh ditemui, dan juga boleh dihubungi melalui telefon dan email. Saya pernah hantar email kepada beliau beberapa kali, sejak tahun 2008 dan feedback memang cepat. Kali ini saya juga cuba mohon nasihat dan pandangan dari beliau.
Kaunselor itu mencadangakan bahawa saya mempunyai trauma. Saya mempunyai isu yang belum selesai. Saya mungkin pernah mengalami tragedi yang amat menyedihkan atau saya barangkali mempunyai dendam yang tak dapat saya hilangkan dari perasaan, atau rahsia besar yang saya simpan hingga memudaratkan emosi. Setelah bercerita dengannya secara telus, dia mencadangkan bahawa saya sebenarnya belum sepenuhnya menerima apa yang telah berlaku kepada Eusoff. Saya masih marah, masih kecewa, masih merasa bersalah. Sebahagian dari perasaan saya masih dalam fasa 'denial'. Saya begitu sibuk mencari penawar untuk mengubati Eusoff sehingga saya lupa, saya juga mengalami trauma, bukan secara fizikal tetapi emosi. Apabila sesuatu teagedi berlaku kepada seseorang, penderitaannya bukan sekadar ditanggung si pesakit/mangsa, tetapi juga semua orang di dalam keluarga itu.
Saya sibuk merawati Eusoff, tetapi lupa bahawa saya juga perlukan rawatan. Ramai orang yang mampu menayangkan muka gembira kepada semua orang, tetapi di sebalik apa yang kita lihat, hatinya sedang hancur berderai sedikit demi sedikit. Ramai orang berkata "saya bersyukur dikurniakan anak istimewa", tetapi ianya sekadar pujukan hati kepada diri sendiri kerana kita tau kita tidak dapat berbuat apa-apa lagi. Semua orang mampu berkata aku redha dan bersabar, tetapi sekadar mengiyakan kata-kata nasihat dari orang lain yang memandang, sedangkan beratnya dugaan itu hanya bahu kita yang memikul, hanya kita yang mengerti betapa sebenarnya kita sedang menderita. Kita boleh menipu orang lain, tetapi tidak diri kita sendiri. Membaca email dari beliau membuatkan saya insaf sehingga saya menangis bersungguh-sungguh.
Saya akui saya tidak berjaya menghilangkan rasa bersalah itu dari hati. Saya merasa bersalah tidak menjaga diri lebih baik ketika mengandungkan Eusoff. Saya merasa bersalah memberi kebenaran kepada Eusoff mengambil suntikan MMR kerana kejahilan saya mengenai isu itu. Kerana saya membutakan mata melihat simptom-simptom alergi anak saya, tetapi meneruskan juga untuk mengambil imunisasi itu.( hingga akhirnya Eusoff mengalami apa yang saya percayai adalah adverse effect MMR - 5 hari bertarung nyawa di PICU kerana accute pneumonia dan diarrhoeal high-fever, seminggu selepas mengambil imunisasi). Saya mengakui jauh di sudut hati, saya kepingin melihat Eusoff sembuh, walaupun saya tahu autism adalah life long disabity. Eusoff akan mempunyai autism sampai bila-bila. Akhirnya persoalan terjawab mengapa saya kerap menangis, walaupun untuk perkara yang kecil-kecil.
Saya sebenarnya terkejut dan tidak mahu percaya, tetapi akhirnya mengakui cadangan kaunselor itu. Saya belum sepenuhnya redha. Selama bertahun-tahun ini, saya belum menerima 100% apa yang telah Allah takdirkan buat saya. Berkata kepada orang bahawa kita redha apabila ditimpa musibah adalah mudah, tetapi redha dengan sebenar-benarnya redha, tidaklah semudah mengucapkannya. Redha adalah apabila kita berserah 100% kepada Allah, mahu dicorakkan bagaimana nasib kita, tanpa kesal, tanpa bimbang dan ragu-ragu. Maka bebanan perasaan dan fikiran kita akan menjadi tenang kerana kita telah menyerahkan segalanya kepada Allah kerana yakin Allah memberikan yang terbaik buat hambaNya di samping berdoa untuk yang terbaik. Mungkin penerimaan orang lain terhadap kenyataan seperti ini adalah mudah dan cepat, tidak seperti saya.
Dengan rendah diri, saya mengakui yang saya masih belum mencapai tahap itu.
Untuk memulihkan trauma saya, saya mengikut saranan kaunselor untuk mengakui rasa bersalah itu, mengakui kesedihan saya, mengakui saya merasa kecewa anak yang saya lahirkan sempurna akhirnya didiagnos menghidapi autism. Saya tidak boleh berpura-pura lagi kerana perasaan sedih itu akhirnya memakan diri. Saya harus mengakui bahawa saya tidak ok dengan semua ini, melalui apa cara sekalipun. Termasuk dengan menulisnya di sini. Terima kasih kerana anda sudi membacanya.. Doakan kehidupan saya tenang dan dikuatkan semangat. Semoga REDHA yang saya bakal tulis di blog ini nantinya adalah REDHA sebenar-benar REDHA.
Saya ingin memeluk Eusoff dengan bahagianya..tanpa linangan air mata lagi. Terima kasih Allah.
P/S: Sekiranya anda perlukan khidmat kaunseling, boleh klik di
sini.