Wednesday, December 26, 2012

2012 Review

Tahun 2012 sudah hampir sampai ke penghujungnya.

Tahun yang penuh suka duka.
Tahun paling banyak air mata.
Pun tahun paling banyak gelak..
Tahun paling banyak kejayaan
Juga tahun paling banyak kegagalan.

Tahun muhasabah diri.
Tahun paling emosi.
Tahun paling stress.
Juga tahun paling happy.
Tahun paling banyak membaca bahan ilmiah.
Tahun paling banyak argument dengan doktor. ;)
Tahun paling tak lawan cakap bos.
Tahun paling banyak cuba resepi baru.
Tahun paling rajin masak.
Tahun paling ambil kisah.

Tahun merasa paling dekat dengan Allah s.w.t
Saya berasa begitu bergantung dengan Allah
teramat-amat sangat.
Saya tak sanggup memikirkan sekiranya Dia jauh dari saya
Saya amat perlukan DIA.
Sebanyak-banyaknya dalam semua tindakan saya.

Rahsia Allah takkan terjangkaukan fikiran manusia..
Sungguh banyak dan takkan mampu terungkaikan
Sekalipun cuba ditebak apakah hikmah yang terselindung
Atau apakah ia natijah perbuatan sendiri?
Cukup kuatkah kita menelan kepahitannya
Kebinasaan yang kita lakukan terhadap diri ?

Tahun ini saya bersyukur bila ditimpa musibah
Setelah 33 tahun hidup
Selain daripada cuma berkata kepada orang lain:-
"Sabar..tentu ada hikmah disebalik semua ini".
sambil sendirian merasa ragu-ragu
"Mampukah saya praktikkan apa yang saya ucap kepada si polan itu?"

Sesungguhnya REDHA itu lebih dari sekadar ungkapan
Yang menjadi syahdu dalam filem cinta dan drama hujung minggu
Redha kepada takdir Allah dan berserah kepadaNya bagaimana mahu disusun dan dicorak hidup ini
Dalam usaha mencari REDHA AL-Khalik kepada hambaNya
yang sangat kerdil sekerdil-kerdilnya

Sedangkan mulut yg kecil ini pun tak mampu saya jagai
Dari melakukan dosa
Apatah lagi amanah yang lainnya?
Kecilnya aku Tuhan..
Kecil dan hina!









Monday, December 10, 2012

Tanpa Tajuk


Saya selalu ingatkan diri saya supaya tidak terlalu 'ambitious'. Walaupun dalam hati saya mahu anak istimewa saya mampu urus diri sendiri seawal mungkin, mampu diajar melakukan benda-benda asas, atau mampu bersekolah di aliran perdana.. Tetapi cita-cita ibu mungkin tidak sama dengan kemampuan dan kehendak 'tersembunyi' si anak. Kadang-kadang saya dah tak tahu pada tahap mana seharusnya cita-cita dan harapan saya gantungkan.. Bimbang di letak terlalu tinggi nantinya jatuh berderai menghancuri hati saya sendiri. Atau akibat yang lebih teruk membuatkan anak saya sedih dan merasa rendah diri.

Ambil contoh yang mudah :- 'toilet training'. Eusoff menangis setiap kali di bawa masuk ke bilik air. Belum saja berbuat apa-apa.. dia sudah takut, sudah tidak selesa, sudah gelisah dan mahu segera keluar dari situ. Untuk membuat anak saya faham bahawa di sana tempat untuknya membuang air kecil atau besar saja hampir tidak berjaya..bagaimana harus saya letakkan harapan yang tinggi-tinggi? Saya pujuk hati dengan berkata.. 'ISTIQAMAH'...perlahan-lahan dan berterusan, pasti ada hasilnya. Tetapi konsistensi saya tidak sama dengan bapanya yang mudah merasa lelah dan putus-asa. Saya ingin sama-sama mencuba, sama-sama kecewa, sama-sama stress, sama-sama sama-sama berkongsi kejayaan dan outcome treatment atau terapi yang kami lakukan tetapi naluri seorang lelaki adalah sesuatu yang amat complex..*sigh* Saya tidak akan dapat memahaminya sampai bila-bila..

Berbalik kepada soal harapan dan cita-cita, kadang-kadang saya hilang arah..saya kecewa. Kadang-kadang hingga saya stress dan marah-marah. Sejujurnya..saya bukan seorang yang berhati halus, bukan orang yang sabar saja setiap masa.. Saya tiada waktu untuk diri saya lagi..kerana anak-anak sudah mengambil semua waktu yang saya ada di rumah. Suami saya hanya diam..diam..dan diam. Saya tidak tahu lagi diamnya dia kerana selesa, bahagia, marah atau sedih. Saya rasa seakan hilang dan tidak wujud  akhirnya..  saya merasa berseorangan menempuh semuanya. Yang tinggal cuma ada ALLAH Rabbul Jalil.. Cuma Dia.

Kerana saya dihidupkan hanya untuk mengabdikan diri kepadaNya, maka keyakinan itu masih ada walaupun adakalanya nipis dan goyah. Hanya padaNya saya sandarkan harapan dan doa setiap saat.

Ya Allah..jangan tinggalkan aku. Tolong aku wahai Tuhanku..jangan lepaskan peganganMu. ~







Wednesday, November 28, 2012

Eusoff dah 4 tahun!

Assalamualaikum..

Banyaknya sawang ni.. Hehe..maklumlah dah lama tak masuk blog ni dan dah lama tak update. Sibuk..macam kata Kakak Damia, "Bilanya yang mama tu tak sibuk?".. Hehe.. sabar jelah. :)

Ni entry yang dah dipostpone berkurun. Duduk dalam draft sampai bersawang2..hehe.. 3 November hari tu birthday Eusoff. Sangat besar dah anak saya ni. Dah 4 tahun.. Kami raikan dia dengan lunch di Secret Recipe. Beli 1 chocolate lava saja utk dia dan cucuk lilin kecik atas tu.. Wallaaa! Dah siap pun birthday cakenye..hehe..


Banyak rasanya yang saya nak tulis tentang dia. Skip the word 'autism'. Eusoff bagi saya anak yang sangat manis dan baik serta banyak juga kualiti yang bagus.


  • Wajah Eusoff lebih banyak ikut wajah babah dia a.k.a Cikgu Misai.
  • Eusoff chubby sangat masa bayi.
  • Eusoff suka makan mee, spaghetti dan ayam goreng tepung resepi saya sendiri. Dia paling suka bahagian drumstick.
  • Eusoff suka dipeluk dan suka peluk saya, tetapi dia tak suka dicium ataupun cium saya...apatah lagi orang lain. 
  • Eusoff baru pandai bersalaman masa umurnya 3 tahun ++. Raya baru2 ni dia dah salam dengan semua orang. :)
  • Eusoff suka main bola, suka basikal, suka scooter, suka mandi dalam kolam plastik yang saya beli kat Giant.
  • Di dalam kereta dia sentiasa memegang tangan saya ketika duduk di kerusi penumpang bahagian hadapan. Kalau dia duduk kat belakang dia selalu letakkan tangannya kat bahu saya dan landing2 kepala kat bahu saya.. Manja kan? :) 
  • Eusoff suka sangat lagu tema kartun (jepun) Monster Kid, watak Dragon dalam siri Pororo, Upin Ipin dan DVD cerita 8 Jam.
  • Eusoff pandai makan ikan.. dia takkan tercekik atau termakan walau 1 tulang kecik pun.
  • Kalau Eusoff sedih, hujung mata dan bibirnya akan menghala ke bawah. Muka ni kalau letak depan saya memang cair terus tak jadi marah..
  • Eusoff tak suka adik dia Daniel sebab Daniel suka kacau ejaan dan toys line up dia. 
  • Eusoff takut rama-rama.


Banyak lagi yang menarik tentang Eusoff.. dia cinta hati saya. Saya tak boleh nak tinggalkan dia walau pun sehari.. sayang dan rindu sangat dekat dia. Semoga Eusoff membesar jadi anak yang sihat dan soleh serta mampu berdikari lepas Mama dan Babah dah takde nanti. Amin..

Wednesday, October 31, 2012

7 Tahun

Assalamualaikum w.b.t

Naily Damia dilahirkan pada 30 Oktober 2005 ketika berusia 34 minggu di dalam kandungan. Dia lahir tidak cukup bulan dengan kaedah pembedahan caesarean section kerana masalah 'fetal distress'. Tekanan darah saya naik tiba-tiba kerana berpuasa agaknya (masa tu bulan Ramadhan). Beratnya waktu lahir hanya lebih sedikit 2 kg dan sangat kecil. Baju-baju bayi saiz baru lahir nampak gedoboh bila saya pakaikan padanya.

Walaupun lahir tidak cukup bulan, dia anak yang kuat. Dia tak perlu dimasukkan ke incubator dan  tak perlukan oksigen untuk membantunya bernafas kerana dia mampu bernafas sendiri walaupun paru-parunya masih belum matang. Kerana lahir pra-matang, Damia mengalami prolong jaundice sehingga umurnya sebulan. Beberapa kali masuk wad dan diambil darah. Tak sanggup nak kenang..memang sampai bengkak tangan kecilnya. Walau bagaimana pun. dia membesar dengan sihat. Cepat bercakap dan petah sekali. kadang-kadang 'sentap' juga dengar apa yang dikatakannya kepada saya, komen-komen dan pendapatnya..walaupun pedih di telinga, saya sedar itu ialah kata-katanya yang paling jujur.

Semalam genap umurnya 7 tahun. Seusianya dia memikul tanggungjawab yang besar sebagai anak sulung. Dialah yang sering membantu menguruskan adik-adik. Disuapkan mereka makan, diajak bermain semasa saya sedang sibuk di dapur. Dia jugalah yang selalu meleraikan adik-adik bergaduh serta mengawasi mereka. Dia juga banyak beralah dengan Eusoff adiknya yang istimewa walaupun kadangkala memberontak dan menangis tatkala terpaksa menyerahkan buku kegemaran yang sedang dibaca semata-mata kerana Eusoff sudah bergolek di lantai kerana mahukan buku yang sama. Dia jugalah yang puas bersabar bila disepak terajang si Eusoff di tempat duduk belakang ketika Eusoff tantrum di dalam kereta.

Walaupun bertubuh kecil berbanding rakan seusia, saya tahu anak saya ini berjiwa besar, sabar dan penyayang. Yang sudah pasti pahalanya banyak kerana sanggup menjadi teman sepermainan, guru, juruterapi pertuturan dan cara kerja si adik yang kelainan upaya. 


Semoga kamu dilimpahi rahmat Allah anakku.. Selamat Hari Jadi yang ke-7. Mama sayang kakak..selamanya!


Monday, October 29, 2012

Tantrum / Meltdown / Mengamuk

Assalamualaikum w.b.t.

Cuti Hari Raya Aidil Adha baru saja berlalu. Hari ni ada masjlis qurban di pejabat. Dalam kesibukan hari ini, rutin harian menghantar dan menjemput anak-anak dari sekolah tetap diteruskan. Malam tadi Eusoff tidur lewat. Mula-mulanya dia bermain sendirian, sehingga akhirnya menjelang pukul 3 pagi, dia mula tantrum/ meltdown (mengamuk) kerana mahu kami semua bangun dan bermain dengannya.

Tantrum, meltdown atau mengamuk ni adalah perkara biasa dalam dunia autisme. Eusoff ada masalah behaviour yang agak teruk. Termasuk tantrumnya. Malam tadi kerana saya tidak mahu melayan kerenah Eusoff dan kasihankan adiknya yang sedang nyenyak tidur nampaknya sudah mula terganggu, saya memilih untuk membawa adik Daniel masuk ke dalam bilik dan meninggalkan Eusoff dengan babahnya. Walaupun saya sudah keluar dari zon mengamuk Eusoff dan membuat tindakan 'extinct the behaviour'..saya tetap tak dapat tidur sehingga saya dengar tangisannya berhenti dan keadaan di luar bilik kembali senyap.

Pagi ini saya bangun dan melihat dia tidur di ruang tamu dengan perasaan yang sayu... Saya rasa bersalah meninggalkannya semalam, tetapi saya terpaksa memilih menyelamatkan adiknya dan mengelakkan si kecik tu tercedera terkena libasan kaki dan tangan Eusoff. Kalaulah saya boleh membahagikan diri menjadi dua.. :'(

Hari ini Eusoff behave. Manis dan manja. Saya sedar apa yang dilakukan ketika dia sedang mengalami meltdown, adalah di luar kemampuannya mengawal diri. Saya sering memerhatikan dia menangis dan menjerit, kemudian membuat isyarat senyap dengan meletakkan jari telunjuk ke mulut sambil berkata "Syhhh.". Kemudian dia menangis lagi dan kembali menyuruh dirinya sendiri diam. Perlakuan ini berulang beberapa kali setiap kali dia mengalami meltdown. Saya membuat sedikit kajian di internet dan mendapat tahu bahawa perlakuan ini disebabkan individu autistik terbabit jelas mengetahui bahawa tindakannya mengamuk dan menangis adalah perbuatan yang teruk, tetapi dia tidak mampu untuk mengawal perlakuannya sendiri kerana pelbagai masalah. Antaranya:

1. overloaded sensory (bayangkan anda berada mendengar bunyi enjin jet yang kuat di kedua-dua buah telinga anda, anda pasti berasa bingit dan tak selesa. Ini adalah apa yang anak saya rasakan ketika saya berkemas menggunakan vacuum cleaner. Individu autisme mempunya masalah memproses maklumat berkaitan deria sama ada bunyi, sentuhan, rasa atau penglihatan. Apa yang biasa saja bagi anda, mungkin menyakitkan bagi mereka (hyper sensitive).)

2. Letih atau lapar. (Eusoff mempunyai masalah pertuturan dan komunikasi. Bayangkan anda berseorangan di sebuah tempat di mana semua orang tidak memahami bahasa anda. Anda sedang  letih dan lapar tetapi tidak dapat menyuarakan keperluan anda. Anda sangat haus, tetapi seseorang menghulurkan kipas. Anda menjerit dengan bahasa anda sendiri meminta air, tetapi tetap juga anda diberikan kain, sudu atau bola.  Apakah anda tidak kecewa dan marah-marah?)

3. Bertukar rutin ( kebanyakan individu autisme terikat dengan rutin. Mereka tidak suka dan selesa sekiranya rutin itu bertukar. Contoh: Setiap hari saya akan menghantar Eusoff ke sekolah dari pejabat. Sekiranya hari itu saya mengambil cuti dan menghantar Eusoff melalui jalan lain yang lebih dekat kerana tak perlu singgah di pejabat. Ketika saya turunkan Eusoff di sekolah dia akan menangis kerana pada fikirannya hari ini adalah hari cuti kerana saya tidak ke pejabat. Belajar dari pengalaman: sekiranya saya mengambil cuti tahunan pada hari itu, saya tetap singgah di pejabat, berhenti sekejap..masuk ke dalam mengambil surat-surat saya sekiranya ada, dan terus memandu ke sekolahnya. Saya boleh memulakan hari saya dan Eusoff juga dalam keadaan gembira tanpa perlu menghadapi meltdownnya di dalam kereta. Mudah aje kalau dah faham.. :)).

Saya telah melalui beratus kali pengalaman mengharungi siri 'meltdown' ini dengan Eusoff, sesetengahnya berlaku di kawasan awam dan ditonton oleh puluhan pasang mata. Anak autisme yang tidak mempunyai perbezaan fizikal dengan anak-anak tipikal sering dilabelkan kanak-kanak berperangai buruk, kurang ajar, tidak tahu adab dan lepas laku ketika mereka mengalami meltdown. Sebagai ibu bapa, rasanya sudah tebal muka saya dilabel sebagai ibu yang tidak pandai mendidik anak. Kesan meltdown ini bukan hanya ditanggung oleh kanak-kanak autisme itu sahaja, tetapi seluruh keluarga termasuk ibu bapa dan adik-beradiknya yang lain tidak lepas dari dihakimi dan dipandang serong oleh masyarakat.

Tengok wajah Eusoff ni..tak ada bezanya dengan anak-anak tipikal lain sebayanya. 

Sekiranya anda ke pasaraya, lalu terjumpa dengan seorang kanak-kanak yang mengamuk, berguling di lantai, menghentak kaki dan menghempas badan sambil menjerit dan menangis sekuat-kuatnya, tolong jangan hakimi dia.. atau ibu bapanya. Jangan labelkan dia sebagai budak yang tidak pandai menjaga tingkah laku, budak yang tak makan dek ajar ..Atau ibu bapanya tak pandai mendisiplinkan anak, terlalu memanjakan anak sehingga anak naik lemak, tak pandai mengajar anak behave di tempat awam atau kata caci-maki yang sewaktu dengannya. Budak itu mungkin sahaja seorang kanak-kanak autisme yang mengalami masalah sensory overload apabila mengalami pelbagai ransangan sensory berlebihan dari pelbagai bunyi, hiruk-pikuk orang ramai, cahaya yang terlalu terang atau suram serta pelbagai bau dan warna-warni disekelilingnya yang terdapat di pasaraya itu. Sekiranya anda tidak tahu bagaimana untuk membantu, silakan anda angkat kaki dan berlalu pergi.. kerana pandangan jelik, tunjuk-menunjuk antara anda dan teman-teman anda serta komen-komen yang 'bias' berdasarkan pemerhatian sendiri sesungguhnya tidak membantu. 

Situasi meltdown mungkin berlaku di premis makanan seperti ini..


Selamat Hari Raya Aidil Adha..semoga ibadah qurban anda semua diterima Allah s.w.t.. 

Wednesday, October 17, 2012

Wanita (Isteri & Ibu) Berkerjaya atau Suri Rumah?

Assalamualaikum w.b.t.

Sejak kebelakangan ini saya sering terbaca status kawan-kawan di Facebook yang berada di dalam dilema iaitu sama ada untuk terus bekerja atau menjadi suri rumah sepenuh masa. Terutama sekali bagi yang memiliki anak istimewa yang semestinya menuntut lebih perhatian, dilema ini seakan tiada berkesudahan daripada terus-menerus menghantui fikiran si ibu.

Perkara ini juga ada terlintas di fikiran saya. Saya pernah bekerja di sektor perindustrian, berhenti kerja untuk menumpukan perhatian kepada keluarga dan akhirnya kembali bekerja di sektor pendidikan tinggi. Berdasarkan pengalaman saya, karier saya sekarang adalah di mana saya merasa paling bahagia. Kepuasan hidup berada di tahap optimum, sementelah anak-anak dan suami gembira. 

Tuntutan kehidupan sekarang menuntut kaum wanita, sekaligus isteri dan ibu untuk keluar mencari nafkah untuk keluarga. Seperti juga saya. Kehidupan saya semasa bekerja di sektor industri menuntut masa yang panjang, komitmen terhadap kerja yang mengikut permintaan pelanggan dan tidak tentu masa membuatkan saya merasa jauh  dari keluarga. Sedangkan masa makan, minum dan rehat sendiri pun tidak menentu, bagaimana pula harus saya bahagikan masa buat keluarga? Tidak dinafikan pekerjaan saya dulu adalah yang paling memuaskan hati kerana saya dapat menyerlahkan potensi dan kreativiti saya secara maksimum serta gaji yang lebih besar, tetapi apalah ertinya sekiranya kita ketinggalan detik-detik pertama anak mula merangkak, berjalan atau bercakap?



Saya berhenti kerja lalu menjadi suri rumah. Saya merasa lebih tenang. Tiada lagi adrenaline rush menerima tempahan mengejut dari pelanggan, tiada detik berdebar sewaktu dipanggil majikan untuk diberikan appraisal dan tiada lagi kekusutan saat brainstorming. Saya bahagia tetapi lama-kelamaan merasakan kehilangan. Saya merasa terputus hubungan dengan dunia luar. Tiada kawan dan tiada ruang untuk bersosial (bukan bersosial kat kelab malam ye..tapi bertukar-tukar cerita dan buah fikiran dengan teman-teman).

Suami menjadi satu-satunya teman bercerita, tapi saya cuma mampu menjadi pendengar apabila suami bercerita tentang kerjaya, cita-cita dan harapan. Saya tiada cerita mahu dikongsikan melainkan cerita anak buat nakal itu dan ini, periuk belanga selain harga barang yang naik atau hari ini tiada bahan mentah yang diperlukan untuk memasak kerana penjaja ikan tidak datang berjualan! Sebelum saya menyudahkan cerita, saya sedari suami saya sudah pun terlena. Suami pula banyak berhutang untuk menampung keperluan hidup. Rumah sewa hanya sebuah rumah kos rendah dengan sewa murah. Makan dan pakai ala kadar bagi saya tidak mengapa, tetapi jauh di sudut hati saya merasa terkilan tidak dapat memberikan yang terbaik untuk anak-anak. Suami terpaksa membawa bekalan makanan ke tempat kerja untuk berjimat. Langganan internet serta siaran televisyen berbayar adalah  sesuatu yang tidak mampu diperolehi.  Kami jarang makan di luar serta kurang masa beriadah bersama keluarga kerana terpaksa mengurangkan kos di mana yang boleh.


Akhirnya setelah menimbang baik dan buruknya, saya kembali bekerja tapi kini di bidang pendidikan tinggi dengan profesion pensyarah. Waktu kelas yang fleksibel membantu saya menyempurnakan tugas hakiki seorang ibu seperti menyediakan makanan untuk keluarga, menghantar dan menjemput anak dari sekolah dan menghantar anak istimewa saya ke sesi-sesi terapi dan temujanji doktor. Saya juga kembali mempunyai teman-teman, mempunyai wang untuk membeli kereta saya sendiri untuk kemudahan keluarga dan ke tempat kerja. Saya kini mampu mendapatkan guru dan terapi yang terbaik untuk anak istimewa saya serta  membayar kos untuk makanan dan supplement spesifik untuk memastikan dia dapat hidup normal suatu hari nanti.

Suami saya pula kini telah mampu membeli sebuah rumah sederhana besar untuk kami dan kami sudah mampu membayar insurans untuk keluarga, memanjakan anak-anak sekali-sekala dengan makan yang sedap-sedap di luar, beriadah di taman tema atau melancong sekali-sekala di dalam negara serta memberikan sedikit wang dari gaji bulanan untuk emak di kampung. Dengan wang gaji saya juga, saya mencari ilmu mengenai autisme, mendapatkan kidmat nasihat profesional, ke luar daerah menghadiri kelas dan kursus berkaitan penjagaan anak istimewa serta membuat serba sedikit amal jariah (seperti ibadah qurban) sebagai bekalan di akhirat nanti.

Walaupun sudah 5 tahun bekerja di sini, saya tidak pernah membeli walau seurat emas pun untuk diri saya. Tidak pernah membeli beg tangan, kosmetik atau pakaian berjenama. Tidak pernah membeli karpet berbulu tebal, perhiasan buatan luar negeri, perabot mewah, baju sutera, melancong ke luar negara atau segala bentuk barangan mahal yang tidak berkeperluan mendesak mengikut kehendak saya. Segala wang gaji, kenaikan tahunan, bonus atau imbuhan..kerana Allah saya belanjakan untuk keluarga. Kerana berbalik kepada niat yang asal saya bekerja hanya demi membantu suami menampung perbelanjaan dan memberikan yang terbaik untuk anak-anak maka saya tidak pernah bernafsu membeli barang-barang itu hanya untuk kepuasan diri saya seorang.

Apa yang boleh saya simpulkan di sini, kerjaya yang tepat mampu memberikan kepuasan maksimum membina kerjaya di bidang profesional dan menjadi  isteri serta ibu yang sejati. Selain menambahbaik kualiti serta taraf hidup keluarga, kita juga mampu membahagiakan diri sendiri, pasangan dan anak-anak. Walau bagaimanapun seorang wanita haruslah menentukan keutamaannya sendiri berdasarkan situasi kehidupan sekarang.

Sudah pasti wanita yang terikat dengan komitment 100%  terhadap ahli keluarga yang sakit atau uzur atau mempunyai anak istimewa yang memerlukan penjagaan rapi tiada pilihan melainkan berhenti kerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa. Begitu juga sekiranya wanita tersebut mempunyai suami dari latar belakang kerjaya dengan pendapatan yang kukuh. Sudah pasti tidak akan berdepan dengan krisis ekonomi keluarga sekiranya wanita tersebut meninggalkan kerjayanya. Pokok pangkalnya adalah keperluan dan situasi masing-masing. 

Pisau dan mentimun ada di tangan, jadi buatlah keputusan yang tepat!




Monday, October 15, 2012

Feeling Remaja Bersama Cikgu Misai

Assalamualaikum w.b.t

Hari tu Cikgu Misai dan saya teringin sangat-sangat nak makan ayam Nando's. Masa pegi KLCC dengan kekanak IKIP ni sibuk benor jaga diorang, tak sempat saya nak pergi beli kat outletnya. So..masa pergi Jamuan Hari Raya kat Putrajaya hari tu, Google la kejap dalam kereta cari kat manalah ada Nando's kat KL tu. Sekali tengok dekat Alpha Angle Wangsa Maju ada. Wahhhh...ALPHA ANGLE!! Tu tempat dating zaman muda-muda dulu tu... Suka suka sukaaaa! So Cikgu Misai pun dengan pantas drift dari IKEA ke Alpha Angle.

Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pulak tempat dating... :)
Dulu rumah sewa saya kat Seksyen 3 Wangsa Maju tu..kat belakang Alpha Angle ni je.. Jadi memang haruslah paling kerap melepak kat sini. Dulu jalan-jalan berdua time kurus kerempeng.. Sekarang dah macam Shrek laki bini bawak anak-anak pegi jalan-jalan. Masuk lif orang lain dah takbleh masuk dah..hahaha..

Tuuuu diaaa.... Pucuk dicita ayam golek yang datang! Hahaha..
Serius..ehhh.. duarius best dapat makan kat Nando's ni. Kalau la ada outlet dia kat Kuantan ni, haruslah pegi makan tiap-tiap bulan. Mahal tapi berbaloi dengan kesedapannya..wallaaahhh!

Tuuu diaaaa yang buat tak tido malam tu. Sedap weiii... Yummeh!!
Selepas melantak dengan jayanya..Kami pun pergi jalan-jalan dalam Alpha Angle tu sambil mengenang kembali kisah zaman-zaman bercinta dulu. Chewaaaahh! Itu jam kami naik motor sahaja. Cikgu Misai belum pun jadi cikgu. Masa baru-baru grad katakan. Jalan punya jalan boleh terserempak pulak dengan bekas housemate. Pun dah anak 3!! Laa haaaii...bleh pulak jumpa kat tempat ni padahal member dah kerja kat Putrajaya pun. Memang ada rezeki kami hari tu, memang tak dirancang tapi bertemu kat tempat kami main cak-cak ni dulu. Tak sempat pulak ambik gambar berdua..Excited sangat dapat jumpa balik lepas bertahun-tahun. Rugi pulak rasanya tak sempat ambik gambar zaman dah jadi emak-emak pulak kann?

Askar-askar yang konfius kenapa mak bapak diorang cam suka sangat je pegi sini..

Lepas dah settle semua, anak-anak pun dah kenyang, kami pun bergerak balik ke Pahang. Bukan nak cakap saya ni romantik ke hape.. tapi sebenarnya acara macam ni patutlah diadakan sekali-sekala untuk mengeratkan kasih sayang antara suami isteri. Kadangkala kita sebagai mak ni terlalu sibuk dengan kerjaya, dengan anak, dengan kerja rumah..sampai tak lagi prihatin seperti dulu kepada suami. Orang lelaki ni walau macho macamana pun, dalam hati ada taman. (HEHEHE) Depan orang memang la nampak rilek dan COOL seperti kumpulan KOOL..tapi sebenarnya apa yang diperlihatkan tu adalah egonya sahaja. Di sebalik ego dan kemaskulinnannye (wahh...gituu.. Ada ke perkataan ni??), mereka ni sebenarnya MANJA dan ROMANTIK jugak walaupun cover baekkkk punya. 

Kalau ada duit lebih, bawalah suami ke tempat-tempat yang banyak kenangan zaman bercinta, atau tempat honeymoon masa baru-baru kahwin dulu. Ajaklah dia makan makanan di restoran kegemarannya waktu itu.. Kalau ada rezeki lebih, belikan hadiah yang sama macam kita beri zaman bercinta dulu. Ini semua boleh mengembalikan kenangan indah dan menyemarakkan kembali kasih sayang antara suami isteri. (Aiyooo..Feeling Kak Sri Siantan la pulak khennn? :D)

Saya selalu ingat pesan mak saya.. suami ni umpama anak sulung. Walaupun dah ramai anak lepas bertahun-tahun mendirikan rumah-tangga, jangan lupakan tempatnya selaku orang yang paling rapat dan manja dengan kamu. Kalau kamu pegang ini, insyaAllah bahagialah kamu sampai akhir hayat. Hidup kalau terlalu rutin pasti akan bosan..jadi sekali-sekali cantik jugak kalau ada KEJUTAN buat sang suami. Yang GEMBIRA pastinya bukan dia aje, pasti kita sebagai ISTERI juga kan? Jadiii...marilah kita sama-sama membuat kejutan CINTA buat cik abang kat rumah tu.. (Ini khas kepada yang dah kawen aje tau? Budak-budak masih sekolah jangan nak ngada-ngada!!)

L.O.V.E.



Turn Kakak Damia pulak masuk TV.

Assalamualaikum w.b.t.

Hari ni riang gembira la anak saya yang sorang tu. Sebab apa tau? Sebab muka dia masuk TV. Hehe.. Bukan kena interview, tapi sebab mak yang rajin lagi baik hati ni (keh keh) telah menghantar email birthday wish ke Astro Ceria. Walaweiii...rupanye terpilih dan masuk TV la pulak. Hehehehe.. 

Ok..saya tau.. Korang sume cakap dalam hati.."eh eh..macam mak dia je yang happy sangat ni?".. Memang pun saya happy!! Sebab..kalau gambar makcik tu tak kuar TV, matilah saya kena menjawab dengan dia selama berminggu-minggu dengan soalan "kenapa gambar kakak tak keluar?"

"Mama salah hantar kat alamat email tu eaa?"
"Mama lupa hantar sebenarnya kannnn?"
"Mama pilih gambar kakak yang tak comel kan? Sebab tu orang Astro tak pilih."
"Mama hantar lepas tarikh tutup ni..betul tak?"..

dan macam-macam soalan yang menyakitkan jiwa dan telinga akan diajukan kepada saya...

Di sebalik semua ini, saya sebenarnya cuba untuk menjadi ADIL kepada semua anak-anak saya. Eusoff dah 2 kali masuk TV dalam liputan event Persatuan Autisme Muslim Malaysia. Walaupun dia turut berada di sana, muka Kakak jurukamera tak fokus, sebab selalunya dia cuma fokus pada anak istimewa yang pakai special tag sahaja. Ini menyebabkan Kakak menjadi Tiga Abdul dan berkata "Ini tidak adil!!"

Jadi..untuk menggembirakan hati kekanak yang sangat teringin nak masuk TV ni, saya telah menghantar email beserta gambarnya untuk birthday wish di Astro Ceria. 

Alhamdulillah..gambar Kakak terpilih. Rezeki dialah tu... Terima kasih Allah... :)) 

Gambar inilah yang keluar TV tu..

Nasib baiklah Daniel masih kecil dan tak tau apa-apa lagi. Kalau tak kan tak pasal-pasal saya kena fikirkan macamana nak bagi dia pulak masuk TV.

;))




Saturday, October 13, 2012

Tidak Cepat dan Lambat Sesaat

Assalamualaikum..

Ketika ini saya barulah dapat menarik nafas lega dan selesa...buat sementara waktu. Kerana fasa kesibukan saya telah berakhir buat masa ini. Sudah sebulan rasanya makan dan rehat tak menentu. Hari minggu bekerja.  Anak-anak pula lebih sering makan lauk-pauk yang dibeli berbanding air tangan mamanya ini. . Daniel pun sudah agak besar sedikit, manakala Eusoff telah banyak perubahan positif, jadi saya menyahut apa saja cabaran dan tanggungjawab yang diberi pihak jabatan dan pengurusan untuk menjadi ahli jawatan kuasa aktiviti di peringkat jabatan mahu pun kolej. Sebenarnya saya serik untuk diberi markah appraisal yang rendah lagi!


Stress level saya turun naik. Badan sakit-sakit. Tapi mujurlah kadar gula dan tekanan darah saya normal. Sekiranya saya stress memang saya biasakan berjumpa doktor untuk buat pemeriksaan kerana ramai betul di kalangan kawan-kawan saya yang terkena tekanan darah tinggi di usia muda sehingga ada yang kena serangan angin ahmar. Jadi lebih baik saya mengambil langkah berhati-hati.. Tanggungjawab saya bukan setakat kerja, tapi keluarga dan 3 anak saya yang masih kecil. 

Hari ini saya dikejutkan berita seorang kenalan Facebook, iaitu ahli Persatuan Autisme Muslim Malaysia yang meninggal 2 hari lalu kerana kemalangan. Orangnya masih muda. Baru berusia 28 tahun. Sedih benar rasanya sehingga bergenang air mata bila saya membaca apa yang ditulis isteri arwah di Facebook. Arwah mempunyai anak autisme dan seorang anak tipikal yang baru berusia 4 dan 2 tahun sedangkan pula isteri arwah tidak bekerja. Ya Allah...sungguh hebat ujian yang mereka sedang tempuhi. Saya doakan ketabahan dan kekuatan buat isteri arwah dan semoga Allah mempermudahkan urusan mereka sekeluarga. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Apa yang pasti kita semua akan kembali kepada Al-Khalik tidak cepat sesaat dan juga tidak lambat sesaat.


Berita ini membuatkan saya terfikir, apa akan terjadi sekiranya umur saya tidak panjang. Walaupun saya tahu semuanya adalah qada' dan qadar dan semuanya sudah tertulis, saya berdoa setiap hari kepada Allah supaya saya dan suami dipanjangkan umur sehingga anak-anak kami semuanya dewasa dan boleh menguruskan diri sendiri. Terutamanya Eusoff anak autisme saya yang selalu saya fikirkan siang dan malam. Saya juga berdoa agar Allah terus menyuburkan rasa kasih dan sayang dalam hati Kakak Damia dan Adik Daniel kepada Eusoff supaya mereka boleh menjadi pembela dan menggantikan tempat saya apabila saya dan suami kembali kepada Allah. Siapa lagi yang boleh saya harapkan melainkan mereka berdua, harta saya dunia dan akhirat.









Wednesday, October 3, 2012

Stress!!

Assalamualaikum...

Just read..don't comment.

Stress level saya sangat tinggi ketika ini..
Saya rasa saya nak lari seketika dari kehidupan saya, kerja saya, keluarga saya.
Rasa mau pack baju, masukkan dlm boot keta, start enjin and drive away.

Lari jauh-jauh..ke pulau atau ke mana-mana.

I just want to be alone.

:'((

*been crying for 2 days.. Am I losing my mind?

Wednesday, September 26, 2012

Eusoff dan Tauhid

Assalamualaikum..

Sebak. 

Itu ialah apa yang saya rasa bila menemukan apa yang Eusoff eja di biliknya. Anak saya yang tidak fasih bertutur dan selalu senyum saja bila diajak berbual telah menyatakan kalimah tauhidnya dengan cara yang luar biasa. Saya akui..kerana kealpaan saya, serta menganggap dia tak mungkin mengerti dan kerana autismenya, saya tidak pernah mengajarkan tentang siapa Allah kepada Eusoff.

Saya menangis hingga basah wajah saya tatkala melihat ini yang sesungguhnya di luar dugaan saya. Saya rasa sungguh malu kepada Allah.. kerana sering meringankan suruhanNya, sering cuai dan tidak konsisten dalam amal ibadah saya. Saya lupa mengajarkan pada anak-anak saya perkara yang paling penting..iaitu kita semua hidup kerana siapa? Untuk siapa? Dan kelak berakhir dan kembali kepada siapa...

Saya bingung memikirkan dari mana dan siapa yang mengajar Eusoff erti tauhid. Kerana saya sendiri dengan ilmu yang cetek ini tidak tahu harus bermula dari mana. Bagaimana pula saya harus menetapkan keyakinan dalam jiwa anak-anak saya mengenai Pencipta mereka?

Subhanallah. Sungguh benarlah anak saya ini kiriman dari syurga. Dia hadiah yang sempurna buat saya sebagai tanda kasih-sayang Ar-Rahim. Lihat saja hatinya...bersih dan tulus mencintai Allah. Lihat saja kesedarannya mengakui kedudukannya sebagai hamba yang harus mengingati Allah tiap waktu dan ketika.

Lalu persoalannya..kita yang dilahirkan sempurna akal dan fikiran, di mana kita letakkan Allah dalam kehidupan ini? 

Astaghfirullah hal azim...

Tuesday, September 25, 2012

Resemblance

Assalamualaikum..

Eusoff adalah umpama jelmaan saya waktu kecil. Dia seakan saya..sungguh!! Apa yang membezakan saya dan Eusoff hanyalah dia mengalami masalah pertuturan sedangkan saya tidak. Soalan dari seorang sahabat mengenai masa kecil saya sesungguhnya telah membuka sebuah dimensi baru tentang bagaimana seharusnya saya memahami Eusoff...anak autisme saya.

Saya juga seorang hyperlexic..boleh membaca sendiri tanpa masuk kelas secara formal. Duduk bersama abang-abang yang membuat kerja sekolah atau minta emak membacakan cerita bersiri di akhbar mingguan sudah cukup bisa membuatkan saya tahu membaca. Seingat saya..sedari berumur 5 tahun saya sudah boleh membaca buku cerita. Sewaktu berumur 7 tahun, saya sudah mula membaca novel cinta, novel seram, thriller dan penyiasatan malah juga buku kesusasteraan kepunyaan abang-abang atau buku-buku yang mereka pinjam dari perpustakaan sekolah. Seringkali juga saya ditinggalkan bas sekolah kerana asyik membaca buku dan tak sedar bas yang di depan mata sedang bergerak pergi. 


Saya sering disuruh diam kerana kebanyakan orang tak larat melayan pertanyaan demi pertanyaan dari saya. Dan sekiranya saya mahukan apa2..saya akan menangis dan merajuk berhari-hari hingga mendapat apa saja yang dihajati. Baru-baru ini ketika bercuti hari raya di rumah emak saya, emak saya telah membuat pengakuan ini "Kamu memang susah sikit nak dijaga masa kecil, maklumlah kamu perempuan seorang. Memang lain dari yang lain".. Maksud emak saya tak jelas sangat, tapi mungkinkah apa yang cuba disampaikan adalah kerana saya mempunyai autism traits?

Kerana saya ini kategori yang pandai di sekolah..memang selalu menerima hadiah dan anugerah cemerlang setiap tahun. Seingat saya, cuma 2 kali saya tak dapat anugerah tiga terbaik di kelas sepanjang darjah 1 hingga 6, tapi saya masih menerima anugerah cemerlang matapelajaran. Sedangkan kerja saya di rumah hanya menonton TV dan bermain. Ini membuatkan saya sering menerima keistimewaan di rumah..dibelikan makanan yang sedap-sedap dan diberikan hadiah yang abang-abang saya tidak boleh mendapatkan. Jadi saya sering ditinggalkan ketika mereka pergi bermain..atau jadi mangsa usikan dan dipukul di belakang emak dan abah.


Saya juga mempunyai masalah kerap bermimpi buruk. Sangat banyak mimpi buruk. Dalam ertikata lain..saya kerap mengigau. Sungguh banyak mimpi buruk yang masih segar dalam ingatan saya hingga saat ini.. Seiring dengan usia meningkat dewasa, mimpi buruk saya akhirnya hilang sehingga kini saya terasa agak sukar saya mahu bermimpi ketika tidur.

Dan masalah sensory mulut yang sehingga sekarang menyebabkan saya mengalami kerosakan gigi yang agak teruk dari kecil sampai dewasa kerana saya benci memberus gigi. Sewaktu mengandung saya bertambah benci dengan berus gigi..berkali-kali saya membuangnya dan membeli berus gigi yang baru. Tapi kebencian itu tetap tidak dapat saya hilangkan.. Akhirnya saya mengerti, sebenarnya saya mengalami masalah 'sensory' mulut yang teruk.



Mengimbas kembali kisah saya masa kecil membuat saya merenung kembali apa yang Eusoff alami. Dia cuma seperti saya..tidak ada apa yang teruk sangat mengenai autisme. Ini menguatkan keyakinan pada apa yang saya doakan setiap hari.. Eusoff akan sembuh suatu hari nanti, sepertimana saya juga yang kini telah pun mempunyai keluarga dan kehidupan sendiri.  

Wednesday, September 19, 2012

Majlis Aidilfitri Autisme Malaysia

Assalamualaikum..

Minggu ni mood saya happy. Walaupun saya baru dapat memo kena berkursus hujung minggu ni selama dua hari (there goes my weekend.. sigh) sebab saya masih terbawa2 mood happy menghadiri Majlis Aidilfitri Autisme Malaysia(AM) di Dewan Masjid Putra, Putrajaya pada hari Ahad, 16 September 2012 yang lalu bersamaan dengan Hari Malaysia yang kebetulan jatuh pada hari yang sama.

Memang meriah sambutannya. Jemputan seramai lebih kurang 300 orang terdiri dari ibu bapa, anak-anak autisme dan tipikal, ahli keluarga, guru-guru pendidikan khas dan doktor yang terlibat secara langsung mendidik anak-anak syurga ini. Kami sekeluarga mengenakan pakaian raya berwarna merah jambu dan bertolak ke Putrajaya dari Bentong lebih kurang jam 8.30 pagi. 

Sampai je dah agak lewat dari jam 10 pagi kerana trafik yang agak perlahan berikutan terdapat 3-4 kemalangan jalanraya sepanjang perjalanan kami. Pagi itu hujan renyai jadi keadaan jalanraya agak licin. Ditambah pulak Cikgu Misai yang kerap salah simpang ketika mencari jalan ke Masjid Putra. :)

Kedatangan kami disambut rakan AM yang bertugas menjaga pendaftaran dan Eusoff diberikan tag nama untuk dipakai. Kemudian kami sempat diajak bergambar keluarga sebelum masuk ke dewan. Masuk je dalam dewan, suasana meriah hari raya mula terasa dek lagu-lagu raya yang berkumandang, rakan-rakan AM yang segak dan cantik berpakaian raya dan anak-anak yang sibuk berlari sambil bermain belon AM. Juadah yang disediakan juga semuanya sedap..sampai rambang mata tak tau nak makan yang mana dulu.

Kami sekeluarga membawa keropok lekor dan sosnya sekali sebagai juadah pot luck. Tak sangka..letak je 5 minit terus licin. Berbaloi rasanya mencari keropok yang tersedap di Kuantan dan bangun seawal 5.30 pagi untuk menggorengnya di dapur rumah mertua kerana ternyata keropok lekor saya tu jadi kegemaran orang Kolumpo. Hehehe..

Majlis turut diserkan dengan persembahan dari anak-anak istimewa. MC pun seorang remaja Asperger. Kalau tengok sekali imbas, memang tak nampak kekurangan anak-anak ini kerana mereka semua tampil segak dan berbakat. Untung betul mak dan ayahnya.. Dalam hati berdoa semoga satu hari nanti Eusoff pun mampu tampil dengan penuh keyakinan bercakap dan membuat persembahan pentas seperti mereka. Amin..

Paling menarik, majlis juga turut mendapat liputan daripada krew MHI dari TV3 dan telah ditayangkan pada 18 September yang lalu. Sempat jugalah saya tengok 'live' kat TV sambil siapkan Eusoff ke sekolah kerana waktu siarannya agak awal lebih kurang pukul 7.20 pagi. Wahhh.. muka saya pun ada juga!! Dan tentunya yang lebih menarik ialah aksi Eusoff berlagak seperti sedang menyanyi sambil memegang 'mic stand' di pentas. (minit ke 00.45). Itulah anak autisme saya...kecil-kecil lagi dah 2 kali masuk TV..maknye dah tua bangka begini barulah dapat masuk TV sekali. Itu pun menumpang tuah si anak. Kalo idak, tak merase leee... :))



Di bawah adalah gambar-gambar sekitar kemeriahan Majlis Aidilfitri Autisme Malaysia.

My pinky family! 

Jenuh babah suap si kenit yang kuat makan ni..dari datang sampai balik mulut tak berhenti mengunyah.

Menjamu selera sambil bertukar cerita.

Tension kena pegang..Berlari je budak ni..

Kakak cari best pren dia yg belum sampai, si comel Fatehah.

Esuoff excited tengok pentas..lepas tu terus naik tanak turun-turun. :)

Ibu-ibu pilihan Allah; melahirkan, mendidik dan menyayangi anak-anak Jannah.

Majlis berakhir lebih kurang pukul 1 tengahari dan hadirin bersurai membawa seribu satu kenangan manis yang sukar digambarkan. Terima kasih bagi pihak penganjur dan urusetia yang bekerja keras memastikan kelancaran majlis serta pihak pengurusan Masjid Putra kerana membenarkan majlis ini diadakan di dewan masjid berkenaan. Semoga ikatan ukhwah dan kekeluargaan bagi semua ahli AM berkekalan dan Autisme Malaysia terus gah menjadi tunjang memperjuangkan hak dan kebajikan serta menjadi medium perkongsian dan penerangan terbaik bagi semua individu autistik di Malaysia khususnya dan seluruh masyarakat amnya. Amin ya Rabbal Alamin.

Thursday, August 30, 2012

Koleksi Cerita Pendek

Assalamualaikum.. Kali ni nak buat entri Koleksi Cerita-cerita Pendek.. Haha...boleh gitu?

Cerita 1: EUSOFF PANDAI BERSOSIAL

Balik kampung raya hari tu Eusoff nampak sangat seronok main dengan cousin2 dia. Especially kat rumah Opah kat Kuale Kangsor sebab cousin kat sana ramai yg besor2 dah dan pandai beralah dengan yang kecik2. Sampai tido pun nak menyelit dalam ramai2 yg bergelimpang tido depan TV tu.. Siap tanak tido dengan saya lagi.. Hehehe..

 

Cerita 2: OBSESI PADA FILEM

Obsesi Eusoff pada filem bertambah-tambah. Haish.. segala tajuk movie time raya tu diejanya. Mana yang panjang2 tu, tak cukup huruf la pulak nak eja..sampai marah2 dia. Ada jugak tajuk movie yang direkanya sendiri. Agaknye anak saya ni nak jadi Steven Spielberg atau Dato' Yusof Haslam kot..









Nama pelakon pun ada jugak diejanya...

Ejaan nama Bront Palarae ni salah sikit..tapi nama pelakon ni memang susah nak ngejanya..


Cerita 3: BEHAVE YANG AMAT DI HARI RAYA

Eusoff sangat behave di hari raya yang lalu sepanjang berada di rumah Nenek dan Atok dan juga Opah. Memang takde sleeping disorder atau episod tantrum..walaupun consume makanan dan minuman manis yang amat banyak.. Maklumlah Pak Ngah dia pegi beli 3 carton bicarbonate drinks. Paham-paham jelah ye..favorite dia tu. ;p



Lepas raya..

Cerita 4: PERCUBAAN MENULIS NAMA SENDIRI

Ni dia...dia cuba tulis nama dia Muhammad Eusoff Danish.. ni 1st attempt nih!




Cerita 5: TANTRUM DI McDONALD'S

Eusoff bad mood waktu pick-up dia dari kelas EIP. Nangis2 lagi tu.. Saya nak pujuk..saya suh dia tulis dia nak apa.. Dia tulis MD..saya ingat ohh..dia nak McD. Kebetulan ada masa 1 jam sebelum ambik Kakak Damia, saya nak dine-in ajelah dengan dia. Selalunya dia memang suka pun.. sebab bleh ngada2, manja2 berdua je dengan saya. Hari ni dibantainye ngamuk pulak kat dalam McD tu.. 

Ok..walaupun dia jerit2 kat dalam McD tu..ramai plak customer dalam McD tu yg tolong saya kutip barang2 yg jatuh dilempor dek anak bertuah tu. Tolong saya ambilkan paper bag untuk packing makanan tu sume dan tolong bukakan pintu untuk saya. Wahhh..suasana yg sungguh ajaib la pulak. Selalunya orang buat tak tau je sambil pandang2 sinis..kali ni ramai pulak yang prihatin. Alhamdulillah dah ada awareness dalam masyarakat kita... Syukur Ya Allah..

Cerita 6: TANTRUM KERANA ABC

Semalam..Eusoff tantrum kat kelas EIP kerana puzzle ABC. Cikgu nak suruh dia belajar tulis, dia sibuk nak main puzzle ABC. Lepas tu cikgu ambik puzzle dia start ngamuk.. Lepas dia tgk budak2 lain pulak main puzzle tu dia bertambah2 ngamuk sampai gigit2 tangan dan jari sampai lebam dan luka-luka. Rambut pun dia tarik sampai tercabut.. Cikgu dia cakap dia gigit tu tak nak lepas sampai cikgu picit hidung..dia takleh bernafas barulah dia lepas gigitan tu. Lepas tu cikgu dia bagi dia main air sampai dia cool down dalam bilik air..dah ok baru cikgu mandikan dan tukarkan baju.

Eusoff memang ada tantrum..tapi tak pernah saya tengok dia tantrum sampai gigit2 begini. Mesti semalam tu dia bad mood atau terlalu marah. Yang saya tahu anak saya ni memang obses dengan ABC.. ABC tu macam nyawa dia. Kalau rampas benda lain dia tak kisah sangat, tapi janganlah ABC.. memang buruk akibatnya. Pernah jugak balik kampung 3 hari terlupa nak bawa ABC dia..Selama 3 hari tu dia restless dan asyik marah2.



Calar tepi hidung bekas dia cakar.
Lebam-lebam bekas gigitan...dan luka jugak.
Jari telunjuk ni terkopek kulit... Iskkk... mesti sakit sgt kan? Sian Eusoff.. :(

Hari ni saya hantar dia pegi kelas, dia nampak OK je. Keluar kereta terus masuk sendiri ke dalam. Saya sempat bagitau cikgunya supaya guna foreshadowing technique untuk bagi masa kepada Eusoff untuk alert bahawa dia perlu beralih dari  melakukan satu perkara ke satu perkara lain. Teknik ni dah lama saya buat...especially bila nak suruh Eusoff bangun tido setiap pagi untuk pegi sekolah. Tak tau pulak namanya foreshadowing technique. Ini pun kawan saya dalam support group Autisme Malaysia yang bagitau. Thanks Farrah Fadil.. :) Harap2 Eusoff tak ngamuk macam ni lagi di masa akan datang.

Thursday, August 16, 2012

Duit Raya Yang Paling Bermakna

Assalamualaikum..

Entry kali ini saya taip dengan juraian air mata.. Bukannya sedih sebab ada perkara buruk berlaku, tapi sebab terharu yang amat sangat ketika sesi memberi duit raya sebentar tadi.

Hari ini last day Eusoff pegi EIP class sebab esok dah nak balik kampung. Sambil tu saya sempat berikan duit raya pada semua kawan-kawan istimewa Eusoff. Ada yang autistic, ada yang leukimia, ada yang lain-lain disabilities. Masa masukkan duit dalam sampul kat rumah tadi bukan main happy lagi. Sekali bila time nak bagi tu saya tiba-tiba rasa sebak sangat. Menatap mata bening anak-anak itu hati saya tersentuh dengan dalamnya.. Sucinya wajah mereka.. Bersih. Tiada dosa. Tak banyak ucapan terima kasih atau 'thank you' yang saya terima kerana ramai antara mereka yang masih belum mampu bertutur dengan baik seperti anak-anak tipikal. Tapi  hati saya merasa lebih ikhlas dan puas kerana dapat berkongsi rezeki yang saya dapat dengan anak-anak yang istimewa ini.

Walaupun diorang semua Chinese dan tak sambut raya, tapi inilah momen yang paling best sesi memberi duit raya sepanjang hidup saya. Semua rasa bercampur..insaf, terharu, sedih dan gembira bergaul menjadi satu. Puas saya tahan air mata saya dari tumpah... sebaik saja sampai dalam kereta untuk memandu semula ke pejabat, saya menangis semahunya. Sampai kabur pandangan saya..memaksa saya berhenti di tepi jalan dekat sebuah stesen petrol. Ada orang yang lalu-lalang memandang dengan hairan..tapi saya terlalu sibuk bermain dengan perasaan sendiri dari memikirkan tentang mereka. Sampai di pejabat, dan saya mula menulis entri ini...air mata saya kembali membasahi wajah. Allahu akbar.. Eusoff telah membuka mata saya tentang banyak perkara. Saya seolah-olah diberikan Allah satu panca indera yang lain untuk melihat semua keadaan ini...di mana saya tak pernah sedar dan ambil tahu pun selama ini. 

Bersyukurlah kita dikurniakan kesempurnaan akal dan fizikal serta kesihatan yang baik. Semua tu kena dijaga dan dipelihara dengan sebaiknya kerana itu semua pinjaman dari Allah. Ada insan-insan lain di luar sana tu yang berjuang dalam seribu kepayahan untuk hidup sempurna macam orang lain...sementelah ada sebilangan orang yang tak menghargai kehidupan dan kesempurnaan yang Allah berikan.

Pengalaman ini sesuatu yang manis dan berbeza dari raya tahun-tahun sebelumnya. Walaupun masih ada kebimbangan bersarang dalam hati saya berkaitan behaviour Eusoff sepanjang raya di rumah atok, nenek dan opahnya di kampung kelak (maklumlah..banyak makanan dan minuman manis yang boleh menyebabkan dia hyper nanti).. saya sudah memulakannya hari ini dengan sesuatu yang indah dan bermakna.

Selamat Hari Raya semua.. Maaf Zahir dan Batin. 


Thursday, August 2, 2012

Dugaan Ramadhan

Assalamualaikum.. 

This will be a quick entry sebab lepas ni nak rush ambik Eusoff kat school dan bawak dia pegi Occupational Therapy (OT). 

Sume dah tepu dalam kepala. I have to let it out. Kalau tidak stress saya akan berpanjangan. Here's the story..

Bulan Ramadhan ni memang banyak chobaan dan dugaan. Kebanyakan orang mengalami dugaan lapar dan dahaga. Bukan nak kata saya terer berpuasa, tapi memang itu bukanlah masalah besar bagi saya. Nafsu makan tu bukanlah susah sangat nak kawal. Yang tersangat susah adalah menahan nafsu MARAH. Astaghfirullah halazim... sudah beratus ribu kali saya beristighfar untuk memperkukuhkan benteng kesabaran saya. Kadangkala saya tewas...sesungguhnya saya manusia yang lemah.

Entah kenapa bulan puasa ni Eusoff kerap bebenor buat perangai. Lepas satu-satu benda yang menaikkan temperature dibuatnya. Hari tu dia bermain dengan najisnya..disapukan ke kepala tanpa rasa bersalah atau jijik langsung. Babahnya ambil inisiatif membersihkan dan mencuci 'olah' yang dibuatnya sebab masa tu mungkin muka saya dah bertukar kaler hijau kot. Sabar...hati kata 'sabar'.

Malam-malam kebelakangan ini, Eusoff suka sangat mengganggu kami sekeluarga tidur. Tak ada siapa pun terkecuali diganggu termasuk adik Daniel. Orang sedang lena, dia tarik tangan suruh ambilkan apa benda pun tak taulah.. Bila kita tidur berbantal, ditariknya bantal kepala kita..Habis satu rumah tidur tak berbantal. Bila tak dilayan kehendaknya dia mengamuk, menjerit, menendang sampai ada yang terjaga. Si kecik tu kalau terjaga mulalah menangis. Sedangkan saya mengejar masa untuk tidur sepuasnya sebab setiap pagi bangun awal untuk menyediakan juadah sahur. Astaghfirullah halazim.. Sabar ajelah..hati kata 'sabar' lagi..

Tak cukup itu, setiap hari tak nak pegi taska selepas habis sekolah. Tergolek-golek depan pintu taska padahal duduk kat taska tu kejap je pun dlm 2-3 jam sebelum dijemput Babah. Sebelum ni tak ada pulak buat perangai begitu.. Kata pengasuh taska,  bila adiknya tidur dikejutkan diajak main . Padahal dia bukan suka sangat kat adiknya tu..sebab adik Daniel suka kacau permainan dia. Fuhh..sabar ajelah banyak-banyak dengan anakanda syurga saya ni..

Adalah lagi beberapa pe'el tak bagus dia keluar time bulan puasa ni. Tak sempat saya nak cerita panjang lebar dalam kesuntukan masa ni.


HambaMu redha Ya Allah..andai ini harga yang perlu kubayar untuk syurgaMu. 
HambaMu redha Ya Allah..andai ini harganya untuk keredhaanMu..
Kuatkanlah iman dan takwaku padaMu Ya Rabb..
Hanya Engkau Yang Maha Pengasih lagi Maha Mengasihani.


Tuesday, July 24, 2012

Berkorban Apa Saja

Assalamualaikum..

Sebelum saya mula menulis, saya nak bagitau yang apa yg saya nak tulis ni bukan nak menujukkan yang saya ni baik sangat, nak bangga diri atau menunjuk yang saya ni aje yg sanggup buat apa saja untuk keluarga dan anak-anak. Saya yakin semua ibu dan isteri kat luar sana tu berperasaan seperti saya.. Sanggup berkorban apa saja untuk keluarga.

Semenjak berkahwin banyak yang saya korbankan. Cita-cita nak sambung belajar, minat saya melancong dan travel ke sana-sini, kerjaya sebagai designer dalam industri fine metal, negeri kelahiran yang terpaksa saya tinggalkan, minat dalam bidang fotografi, menjahit baju, melukis dan membuat catan. Bila suami bertanya..saya cuma katakan "Malas." kerana saya tak mahu dia merasa bersalah atau merasa saya terpaksa meninggalkan apa yang menjadi kesukaan saya kerana dia dan anak-anak.

Sebenarnya itu adalah lumrah.

Lumrah wanita yang telah memilih jalan untuk membina keluarga...ada yang terpaksa dikorbankan. Allah menguji saya dari saat kanak-kanak hingga dewasa. Saya pernah menangis tetapi saya akan tarik nafas dalam-dalam dan berkata kepada diri saya bahawa saya mampu menempuh ujianNya ini..kerana saya diciptakan untuk menjadi hambaNya. Sewajarnya Allah berhak menentukan apa yang terbaik untuk saya... 

Lalu apabila dia kurniakan saya anak2, walaupun berbagai komplikasi muncul seawal saat kehamilan seperti PIH atau darah tinggi, pre-eclampsia. GDM atau kencing manis sehingga terpaksa mengambil 4 dos suntikan insulin sehari, saya redha dan bersyukur. Kelahiran ketiga-tiga anak saya juga melalui kaedah pembedahan caesarean kerana pelbagai sebab. Naily Damia, pembedahan kecemasan kerana darah tinggi dan saya hampir sawan, Eusoff kerana dia terlalu besar dengan berat 4.1kg, manakala Daniel pula kerana dia berada dalam keadaan songsang ketika dia berada di dalam rahim saya.

Bila Eusoff disahkan autisme, seluruh hidup saya rasanya sudah berputar 360 darjah. Air mata menjadi teman saya... Tetapi saya tahu, Allah telah mengurniakan dia buat saya.. Dia adalah anak lelaki yang saya dambakan sejak dari mula saya menyimpan hasrat untuk memiliki cahaya mata. Bukankah Allah memberi ujian kepada kita melalui apa yang kita paling sayang? Seperti mana Nabi Ibrahim diminta mengorbankan Nabi Ismail, satu-satunya anakanda tercinta yang ditunggu-tunggu sejak sekian lama? Sebesar mana ujian Allah pada saya, lebih hebat dugaan yang diberikan kepada para Nabi dan Rasul.. Lalu siapakah saya di sisi Allah untuk mempertikaikan takdirNya??

Kadangkala bila berkesempatan untuk berseorangan, saya keluarkan kamera DLSR saya lalu membidik ke arah sudut-sudut tertentu di dalam bilik. 2-3 shots sudah memadai bagi melepaskan gian. Kadangkala saya baiki baju atau seluar anak-anak atau sesekali menjahit baju raya, itu sudah memadai bagi saya. Sesekali bila membawa pelajar membuat lakaran di luar kelas,saya akan mengeluarkan cat dan peralatan lukisan saya yang sudah berbungkus di dalam almari dan saya akan menyertai mereka..mungkin 1-2 kali setahun. Atau melancong sambil bekerja bila diarahkan syarikat untuk bekerja ke luar daerah. Mungkin juga suatu hari nanti Allah memberikan saya rezeki dan kesempatan untuk menyambung cita-cita melanjutkan pengajian. Apa yang ada sekarang sudah cukup buat saya... kerana hidup saya di dunia ini bukan berkisar mengenai apa yang saya suka sahaja, tetapi untuk berkhidmat dan memberi makna kepada orang lain di sekitar saya.

Antara beberapa hasil kerja fotografi, editing, catan dan lukisan saya ketika berkesempatan..:-
















Aku redha Ya Allah... dan aku bersyukur. Aku terima semua dugaan dan ujian yang Engkau takdirkan buatku. Semoga dengan pengorbananku ini mampu menebus suatu tempat yang kecil buatku di syurgaMu disamping insan-insan yang aku kasihi. Amin Amin Ya Rabbal Alamin..