Wednesday, October 17, 2012

Wanita (Isteri & Ibu) Berkerjaya atau Suri Rumah?

Assalamualaikum w.b.t.

Sejak kebelakangan ini saya sering terbaca status kawan-kawan di Facebook yang berada di dalam dilema iaitu sama ada untuk terus bekerja atau menjadi suri rumah sepenuh masa. Terutama sekali bagi yang memiliki anak istimewa yang semestinya menuntut lebih perhatian, dilema ini seakan tiada berkesudahan daripada terus-menerus menghantui fikiran si ibu.

Perkara ini juga ada terlintas di fikiran saya. Saya pernah bekerja di sektor perindustrian, berhenti kerja untuk menumpukan perhatian kepada keluarga dan akhirnya kembali bekerja di sektor pendidikan tinggi. Berdasarkan pengalaman saya, karier saya sekarang adalah di mana saya merasa paling bahagia. Kepuasan hidup berada di tahap optimum, sementelah anak-anak dan suami gembira. 

Tuntutan kehidupan sekarang menuntut kaum wanita, sekaligus isteri dan ibu untuk keluar mencari nafkah untuk keluarga. Seperti juga saya. Kehidupan saya semasa bekerja di sektor industri menuntut masa yang panjang, komitmen terhadap kerja yang mengikut permintaan pelanggan dan tidak tentu masa membuatkan saya merasa jauh  dari keluarga. Sedangkan masa makan, minum dan rehat sendiri pun tidak menentu, bagaimana pula harus saya bahagikan masa buat keluarga? Tidak dinafikan pekerjaan saya dulu adalah yang paling memuaskan hati kerana saya dapat menyerlahkan potensi dan kreativiti saya secara maksimum serta gaji yang lebih besar, tetapi apalah ertinya sekiranya kita ketinggalan detik-detik pertama anak mula merangkak, berjalan atau bercakap?



Saya berhenti kerja lalu menjadi suri rumah. Saya merasa lebih tenang. Tiada lagi adrenaline rush menerima tempahan mengejut dari pelanggan, tiada detik berdebar sewaktu dipanggil majikan untuk diberikan appraisal dan tiada lagi kekusutan saat brainstorming. Saya bahagia tetapi lama-kelamaan merasakan kehilangan. Saya merasa terputus hubungan dengan dunia luar. Tiada kawan dan tiada ruang untuk bersosial (bukan bersosial kat kelab malam ye..tapi bertukar-tukar cerita dan buah fikiran dengan teman-teman).

Suami menjadi satu-satunya teman bercerita, tapi saya cuma mampu menjadi pendengar apabila suami bercerita tentang kerjaya, cita-cita dan harapan. Saya tiada cerita mahu dikongsikan melainkan cerita anak buat nakal itu dan ini, periuk belanga selain harga barang yang naik atau hari ini tiada bahan mentah yang diperlukan untuk memasak kerana penjaja ikan tidak datang berjualan! Sebelum saya menyudahkan cerita, saya sedari suami saya sudah pun terlena. Suami pula banyak berhutang untuk menampung keperluan hidup. Rumah sewa hanya sebuah rumah kos rendah dengan sewa murah. Makan dan pakai ala kadar bagi saya tidak mengapa, tetapi jauh di sudut hati saya merasa terkilan tidak dapat memberikan yang terbaik untuk anak-anak. Suami terpaksa membawa bekalan makanan ke tempat kerja untuk berjimat. Langganan internet serta siaran televisyen berbayar adalah  sesuatu yang tidak mampu diperolehi.  Kami jarang makan di luar serta kurang masa beriadah bersama keluarga kerana terpaksa mengurangkan kos di mana yang boleh.


Akhirnya setelah menimbang baik dan buruknya, saya kembali bekerja tapi kini di bidang pendidikan tinggi dengan profesion pensyarah. Waktu kelas yang fleksibel membantu saya menyempurnakan tugas hakiki seorang ibu seperti menyediakan makanan untuk keluarga, menghantar dan menjemput anak dari sekolah dan menghantar anak istimewa saya ke sesi-sesi terapi dan temujanji doktor. Saya juga kembali mempunyai teman-teman, mempunyai wang untuk membeli kereta saya sendiri untuk kemudahan keluarga dan ke tempat kerja. Saya kini mampu mendapatkan guru dan terapi yang terbaik untuk anak istimewa saya serta  membayar kos untuk makanan dan supplement spesifik untuk memastikan dia dapat hidup normal suatu hari nanti.

Suami saya pula kini telah mampu membeli sebuah rumah sederhana besar untuk kami dan kami sudah mampu membayar insurans untuk keluarga, memanjakan anak-anak sekali-sekala dengan makan yang sedap-sedap di luar, beriadah di taman tema atau melancong sekali-sekala di dalam negara serta memberikan sedikit wang dari gaji bulanan untuk emak di kampung. Dengan wang gaji saya juga, saya mencari ilmu mengenai autisme, mendapatkan kidmat nasihat profesional, ke luar daerah menghadiri kelas dan kursus berkaitan penjagaan anak istimewa serta membuat serba sedikit amal jariah (seperti ibadah qurban) sebagai bekalan di akhirat nanti.

Walaupun sudah 5 tahun bekerja di sini, saya tidak pernah membeli walau seurat emas pun untuk diri saya. Tidak pernah membeli beg tangan, kosmetik atau pakaian berjenama. Tidak pernah membeli karpet berbulu tebal, perhiasan buatan luar negeri, perabot mewah, baju sutera, melancong ke luar negara atau segala bentuk barangan mahal yang tidak berkeperluan mendesak mengikut kehendak saya. Segala wang gaji, kenaikan tahunan, bonus atau imbuhan..kerana Allah saya belanjakan untuk keluarga. Kerana berbalik kepada niat yang asal saya bekerja hanya demi membantu suami menampung perbelanjaan dan memberikan yang terbaik untuk anak-anak maka saya tidak pernah bernafsu membeli barang-barang itu hanya untuk kepuasan diri saya seorang.

Apa yang boleh saya simpulkan di sini, kerjaya yang tepat mampu memberikan kepuasan maksimum membina kerjaya di bidang profesional dan menjadi  isteri serta ibu yang sejati. Selain menambahbaik kualiti serta taraf hidup keluarga, kita juga mampu membahagiakan diri sendiri, pasangan dan anak-anak. Walau bagaimanapun seorang wanita haruslah menentukan keutamaannya sendiri berdasarkan situasi kehidupan sekarang.

Sudah pasti wanita yang terikat dengan komitment 100%  terhadap ahli keluarga yang sakit atau uzur atau mempunyai anak istimewa yang memerlukan penjagaan rapi tiada pilihan melainkan berhenti kerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa. Begitu juga sekiranya wanita tersebut mempunyai suami dari latar belakang kerjaya dengan pendapatan yang kukuh. Sudah pasti tidak akan berdepan dengan krisis ekonomi keluarga sekiranya wanita tersebut meninggalkan kerjayanya. Pokok pangkalnya adalah keperluan dan situasi masing-masing. 

Pisau dan mentimun ada di tangan, jadi buatlah keputusan yang tepat!




4 comments:

  1. Lepas grad saya xpernah kerja. Dapat tau Ihsan ASD lagilah xkerja. Rasanya being SAHM ni dh sebati dengan darah. Kalau nak kerja semula rasanya harus stress sebab nak membiasakan diri dengan rutin baru. But yes... dalam situasi cost of living sekarang makin meningkat... financial memang tertekan. Makanya I think being WAHM is better for me. Masih duduk rumah. Tapi masih boleh dapat income. Tapi kdg2 bila stress dgn Ihsan... rasa nak kerja pun ada hihi. At least ada waktu 'rehat' drpd fikir hal rumah tangga.

    ReplyDelete
  2. Apa apapun wanita perlu pandai berdikari..x kira la suri rumah ataupun wanita bekerjaya. Jangan terlalu bergantung 100% kepada suami atau orang lain. Nanti apa apa yang berlaku kita jugak yang susah kerana satu benda pun tak reti.. Even ada yang ada lesen kita tapi tak bawak kete. Pastu mula la gelabah. Hehe.. Apa pun kita ada cara tersendiri untuk hidup bahagia tak kira suri rumah sepenuh masa atau wanita bekerjaya. Jalan mana yang dipilih? Terpulang. Ikut keperluan masing2 kan..

    Saya pulak dah 3 tahun berjauhan dengan suami, akhirnya terpaksa akur setelah melahirkan puteri kami pada nov 2013 , memutuskan untuk berhenti kerja dan mengikut suami ke bintulu. Alhamdulillah setelah 3 bulan bergelar suri rumah, dah dapat keserasian di situ.. Almaklumlah kalu dulu pas subuh dah keluar rumah pastu maghrib baru bali. Tak nak redah jem la katakan ..kerja di kl memang macam tuh..huhu...tapi best jugak sebab sekarang bukan setakan jadi suri umah, dah kerja dai rumah jer. Work at home mother (WAHM).
    Nanti kalau free2 jomla layari blog saya... Banyak info yang boleh dikongsi di situ. Jom klikhttp://mypreciouslittleladybug.blogspot.com

    ReplyDelete
  3. "Artikel yang sangat bermanfaat. Saya percaya ramai ibu yang nak amalkan tips ni tapi tak ada masa! Jom, pergi ke website pasal pengurusan masa ibu bekerja yg super sibuk dan nak jadi supermommy. Alhamdulillah, dah beribu-ribu ibu bekerja yang transform dan boleh amalkan parenting dan didik anak2 setiap hari. https://www.facebook.com/efficient2me?ref=aymt_homepage_panel
    "

    ReplyDelete
  4. Pengisian yang menarik. Banyak info i dpt dri post you ni. Mohon admin post lgi topis2 mcm ni. Jemput dtg blog i, tips and info untuk kekal slim.

    >>>Kurus sihat Semula Jadi! <<<

    ReplyDelete