Sunday, November 2, 2014

My Virgin Race

Assalamualaikum...

10km mungkin jarak yang tidak membanggakan bagi seorang pelari. Tetapi bagi seorang pelari baru seperti saya, jarak 10km itu adalah jarak yang saya tidak yakin saya mampu untuk habiskan larian.

Petang Jumaat yang lalu saya mula bergerak ke Putrajaya untuk menyertai larian MAKNA Founders Putrajaya Night Run 2014 dengan menaiki bas ekspress. Suami dan anak-anak yang menghantar ke Terminal Kuantan. Saya tiba di Putrajaya malam itu dan bermalam di rumah seorang sahabat lama.

Keesokan paginya saya menghabiskan masa seharian bersama teman-teman dari Autisme Malaysia. Kengkonon nak bawa saya pergi carb loading la..tapi saya sepinggan mee pun hanya makan suku..kek hanya dua suap dan selebihnya saya lebih banyak minum jus buah-buahan.

Petang selepas sampai ke rumah sahabat saya dan saya bersiap-sedia untuk pegi race, saya mula rasa nervous yang amat. Sampai je kat tapak ekspo Makna, saya asyik berulang ke toilet sampai 3 kali. Saya lapar tapi tak mampu untuk makan. Risau tak bertenaga sewaktu berlari, saya cuma minum setin 100 Plus.

Hari mula beransur gelap dan debaran di dada saya kian kencang. Semakin hampir detik pelepasan peserta, saya giat melakukan warm up dan stretching. Saya rasa saya stretching je dekat setengah jam. Dalam hati tak putus berdoa agar saya mampu habiskan larian dan tak injured pada mana-mana bahagian kaki.

Flag-off peserta 15km akhirnya dilakukan. Saya menyaksikan dengan perasaan yang bercampur-baur. Dalam hati saya bisikkan kepada diri saya yang saya mampu melakukan ini. Saya dah training selama 4 bulan..walaupun training hanya 4km. Gulp!

Akhirnya detik penentu tiba jua. Pistol ditembak ke udara dan peserta kategori 10km mula membanjiri jalan raya Presint 5 Putrajaya. Saya berada di bahagian tengah ratusan manusia itu. Saya kawal pernafasan dan tarik nafas panjang-panjang dan cuba untuk mencari pace yang sesuai. Kiri dan kanan saya bukan lagi orang-orang gang sama semasa menunggu detik flag off tadi.

"Breathe and keep your comfortable pace. You can do this. You have been training for this. This is it. " Inilah yang saya ingati berulang kali dalam fikiran saya.

Endomondo Sports Tracker memberitahu bahawa saya sudah pun melepasi 1km yang pertama. Kaki saya masih berlari dengan selesa. 2km..dan saya masih kawal pernafasan saya. Saya melepasi water stops dan minum dari 1 cwn air sambil berlari perlahan. 3km...saya masih berlari non-stop! Saya mula berasa gembira kerana ini adalah pencapaian terbaik saya berlari non-stop..saya kemudiannya sampai ke kawasan agak berbukit dan mula berjalan... Pernafasan saya masih terkawal, tapi saya bimbang kaki saya terutamanya lutut kanan yang pernah injured dulu jadi sakit semula. Jadi saya ambil keputusan untuk berjalan laju untuk beri ruang kepada tubuh untuk recover.

Kilometer seterusnya saya mula memperlahankan pace untuk berlari lebih lama. Sambil berlari saya melambai kepada Wira-wira Kanser yang menyertai larian menggunakan kerusi roda yang ditolak oleh sukarelawan MAKNA. Pemandangan Putrajaya waktu malam yang indah juga saya nikmati dan tanpa sedar saya telah pun menghabiskan 5km pertama. Ini bermakna saya sudah pun berjaya separuh jalan. Tinggal 5km lagi.

Ramai peserta mula berjalan kaki. Saya juga berjalan untuk memberi ruang recovery kepada badan saya. Kata orang kalau kita dah pernah habiskan satu jarak tu, satu lagi jarak yang sama juga takkan menjadi masalah.

Banyak yang saya fikirkan semasa berlari itu. Saya terkenangkan suami dan anak-anak saya yang saya tinggalkan di daerah yang jauhnya beratus km dari tempat saya sedang berlari sekarang. Paling kerap saya terkenangkan Eusoff dan autismnya.
"This is for you Eusoff. I'm doing this for you". Saya bisikkan kata-kata ini kepada diri berulangkali sepanjang 5km terakhir itu. Dari jauh saya mula mendengar suara dan dan bunyi muzik. Saya melepasi papan tanda "1km To Go". Saya makin bersemangat. Saya melepasi seorang pelari yang memerlukan bantuan perubatan. Saya melepasi jalanraya yang terang dan dipenuhi kereta di kiri kanan jalan. Saya tau saya sudah semakin hampir ke finishing line. Sukarelawan di kiri kanan jalan bersorak memberikan semangat. Saya membelok ke tempat saya bermula dan akhirnya saya berjaya menghabiskan larian 10km dalam masa1 jam 21 minit 48 saat!

Di suatu sudut saya ternampak wajah yang saya kenali. JIE!! Dialah sahabat saya yang banyak memberikan sokongan dan dorongan serta menjadi sumber inspirasi saya untuk mula berlari dan kuruskan badan. Saya menjerit kegembiraan dan lantas berlari memeluknya. Seketika kemudian saya mengambil medal dan goodie bag dan kembali menemui Jie di tempat saya menemuinya tadi.

Tidak banyak yang sempat kami bualkan kerana Jie mengejar masa..tapi saya rasa cukup terharu kerana dia sanggup meluangkan masa dan datang ke Putrajaya dari KL semata-mata untuk mengucapkan tahniah kepada saya.

Malam itu saya sukar sekali hendak melelapkan mata. Kejayaan adalah sesuatu yang amat menyeronokkan. Tambahan pula saya melakukannya dari sebuah permulaan yang sukar. Tahniah kepada semua finisher MAKNA Founder's Putrajaya Night Run!

Saya mula memikirkan Ivory Run pada minggu hadapan di Kuantan dan terlena memikirkan strategi untuk menjadi Finisher yang seterusnya!

:)

No comments:

Post a Comment