Thursday, November 20, 2014

Surat untuk Eusoff

Assalamualaikum..

Suatu hari nanti mungkin Mama terpaksa pergi tinggalkan kamu, Eusoff. Bila janji Mama dengan Allah sudah sampai masa dan ketikanya untuk kembali kepada Dia, Mama akan terpaksa tinggalkan kamu dengan berat hati. Jadi apa yang Mama tulis di blog ini akan kekal selamanya sebagai ingatan Mama untuk kamu. Dan kamu boleh baca bila-bila saja kamu rasa kamu perlukan Mama.
Kamu Allah jadikan berbeza dari adik-beradik kamu, Kakak dan Daniel kerana Allah tahu apa yang terbaik buat kamu. Tidak ada salahnya menjadi berbeza. Ramai orang yang berbeza dari semua orang yang sama di dunia ini. Sekiranya kita tengok betul-betul dan lihat dengan mata hati, barulah kita dapat lihat mereka-mereka ini di kalangan orang-orang yang tipikal. Dulu Mama pun tak perhatikan, dan tak pedulikan sangat orang-orang yang berbeza ini kerana kejahilan Mama. Melalui kamu, Mama sudah dapat melihat banyak benda yang mama tak pernah sedari dulu. 

Ya..memang susah menjadi berbeza. Setiap apa yang kita buat pasti tak sama dengan orang lain, dan nak dapatkan sesuatu pun kita terpaksa buat dengan susah-payah. Bukan dengan mudah macam orang lain. Tapi Eusoff, bila kita buat atau dapat sesuatu dengan cara yang susah, kita akan lebih menghargainya. Mama percaya kamu seorang pejuang yang kuat. Kamu takkan berhenti berjuang untuk kelangsungan hidup kan? Mama tau kamu boleh buat dengan baik sebab kamu dah biasa berjuang sejak kecil lagi.

Melalui kamu, Mama kembali sedar kedudukan Mama di dunia ini hanya sebagai hamba Allah. Hamba yang selayaknya diuji dan Mama mesti redha dan menerima ujian dariNya. Melalui kamu, Mama belajar bahawa tiada yang mustahil dengan kuasa Allah. Mama juga belajar bahawa usaha yang tanpa kenal erti jemu dan penat-lelah pasti akan membuahkan hasil. Mama melihatnya setiap hari melalui kamu. Mama lihat bagaimana kamu berkembang dari tidak boleh bertutur walaupun satu perkataan bermakna, sekarang kamu sudah boleh ajak Mama pergi ke Giant, atau makan Burger King, malah kamu dah boleh menyanyi! Doktor beri diagnosis bahawa Eusoff autism peringkat pertengahan ke peringkat berat. IQ kamu rendah dan mungkin tidak boleh bertutur sehingga bila-bila berserta masalah tingkah laku yang membimbangkan. Eusoff dah buktikan Eusoff dah boleh bertutur walaupun tak sepetah orang lain. Eusoff dah boleh membaca, mengira dan menyanyi. Eusoff dah boleh ikut Mama baca Al-Fatihah dan dah boleh urus diri. Kalau Eusoff boleh buat ini semua sebelum usia 6 tahun, banyak lagi yang Eusoff boleh buat bila Eusoff dah dewasa.

Kalau ada masa-masa dalam hidup ni Eusoff akan rasa sedih, ingatlah yang Allah ada. Allah selalu dengar apa yang kita doa dan minta kepada Dia. Mungkin bantuan dariNya tidak sampai dengan cepat, tetapi Allah akan bantu kita dengan caraNya tersendiri yang kita tak sangka. Yang penting Eusoff jangan putus asa. Usaha, doa dan tawakkal. Seperti apa yang Mama buat ketika Mama melatih Eusoff sekarang. Mama usaha, Mama doa dan serahkan segalanya kepada Allah.

Ingat Eusoff...dalam hidup ini, jangan lupa Allah. Hanya Allah yang kekal dan sayangkan kita sampai bila-bila. Mama doakan Eusoff akan selalu dalam lindunganNya dan nantinya akan bertemu dengan hamba-hamba Allah yang soleh dan baik hati yang akan selalu melindungi dan membantu sepanjang perjalanan hidupmu. Mama minta maaf sekiranya apa yang Mama paksa kamu buat sekarang menyusahkan dan membuat Eusoff letih dan jemu. Tapi percayalah semua yang Mama ajar dan latih itu, kadangkala dengan ketegasan Mama yang mungkin berlebihan hingga menyakiti hati Eusoff, tidak lain dan tidak bukan kerana Mama mahu Eusoff berjaya. Biar kita bersusah dahulu Eusoff, dan bersenang-senang di kemudian hari. Mama tak pernah menyesal kamu dihadiahkan  kepada Mama oleh Allah dalam keadaan berbeza. Mama selalu sayangkan kamu...sama ada kamu mengetahuinya atau tidak.

Salam cinta,

MAMA.







No comments:

Post a Comment