Monday, December 16, 2013

Eusoff Membaca Flash Card



Asssalamualaikum..

Anakanda yang seorang ini memang boleh bikin mama gelak ketawa dan menangis dalam satu masa. Setiap hari ada surprise, ada cabaran, ada manis dan pahit maung yang kena dihadapi serentak. Dalam pening dengan kerenah dia, kadang-kadang saya bahagia dan bersyukur kerana Eusoff banyak mengajar saya erti tak putus asa dan tak mudah mengaku kalah.

Tengoklah dia..yang nak minta nasik pun bukan main susah, tapi membaca perkataan English boleh pulak. Dalam serba kepayahan menahan fidgeting dan vocal tics pulak menjadi-jadi la time nak belajar, Eusoff boleh sebut pun perkataan ni dengan sekali ajar je. Tak tau la kalau kat sekolah dah ajar, tapi yang ni saya ajar sendiri kat rumah guna Peter and Jane Key Words Flash Card. 

Dalam happy tu mata masuk habuklah jugak pasal jenuh dah ajar dan buat oral stimulation akhirnya reti gak baca anak saya ni. Mungkin bagi orang lain macam kecik je benda ni, bagi saya macam sebesar-besar kurnia dah. Alhamdulillah syukur pada ALlah, Tuhan Sekelian Alam. Saya pasti ibu bapa kepada anak-anak istimewa kat luar sana pun paham dan mengerti sangat perasaan ni kannn? ;)

Mama bangga dengan kamu Eusoff...jangan pernah lupa itu!

Tuesday, December 10, 2013

Banjir Kuantan 2013

Assalamualaikum...

Ketar jari-jemari nak menaip..berpeluh sejuk dan berdebar mengenang 4 Disember 2013. Pengalaman pertama yang amat berharga dalam usia saya selama 34 tahun menumpang di bumi Allah ini berhadapan dengan banjir besar yang menyaksikan bandar Kuantan lumpuh 80%. Tiada bekalan air bersih. Tiada elektrik. Tiada jalan darat yang boleh dilalui oleh kenderaan untuk menyelamatkan diri. Pilihan yang ada cuma satu..meredah arus banjir yang deras untuk menyelamatkan diri dan keluarga.

Katalah saya ni over ke, poyo atau apa...hari ini, hampir seminggu kejadian itu berlalu, air mata pasti bergenang mengenang peristiwa saya meredah banjir separas pinggang sambil mendukung anak kerana bot penyelamat yang diharapkan lalu untuk menyelamatkan diri tak nampak bayang pun. -

Dalam keadaan terdesak bila dapur dan porch mula dinaiki air, saya dan suami mengambil langkah mengemaskan barang-barang penting, jek kereta dan tinggikan dengan batu bata serta membungkus ekzos kereta dengan plastik. Ikhtiar terakhir untuk menyelamatkan kereta yg 3 biji tu. Telefon mak dan mula nangis sebab panic attack. Angkat barang-2 ke atas siling dan katil double decker serta rak barangan di bilik belakang. Waktu tu tandas mula dimasuki air.


Tak disangka seorang kawan cikgu misai datang untuk membantu di saat genting begitu. Jauh dia berjalan kaki hampir 4km sebab laluan kuantan-by-pass dah dilimpahi air dari Sungai Pandan dan Sungai Kuantan melalui perkampungan Bukit Rangin. Cikgu Mat namanya. Katanya, dia kenangkan kami ni ada 3 anak, seorang pulak autistik yang tak kenal erti bahaya, sorang masih kecil, sapa nak pegang seorang anak lagi kalau terpaksa meredah arus banjir yang dalam dan deras tu. Cikgu Mat offer kami tinggal sementara kat rumah dia di Pandan Damai 2 sehingga banjir surut. Dalam kelam-kabut tu, tiba-tiba Allah hantarkan orang untuk bantu kami...padahal beliau cuma kenalan biasa yang tidaklah rapat mana, cuma berkenalan kat kursus je kata cikgu misai. Alhamdulillah...syukur sangat-sangat. Allah mengerakkan hati beliau untuk bantu kami...pertolongan yang amat besar maknanya dair orang yang tak disangka-sangka.. :'(

Dengan bantuan beliau yang mengetuai jalan, kami berserah pada Allah meninggalkan harta benda, rumah dan kereta demi menyelamatkan diri. Di tepi-tepi jalan kawasan rumah yg macam pulau, ramai jiran-jiran sekampung berdiri-diri di tepi jalan menunggu bot penyelamat, tapi nan hado kisahnye. Mereka bgtau kami jangan redah banjir tu...air dia laju. Tapi melihatkan air makin naik, kami ambik keputusan redah juga. Lagi lama kami tunggu air makin dalam..macamana nak dukung anak2 bawak keluar dari kawasan tu kalau air makin dalam. It's now or never...

Kami masuk dalam air, Eusoff dan Daniel meronta nak turun mandi air tu. Ingatkan swimming pool ke hape...?? Puas saya dan cikgu misai pujuk dan tenangkan, lepas diorang duk diam-diam atas dukung baru kami gerak berjalan harung banjir paras pinggang. Ada bahagian air hampir paras dada sebab saya pendek. Lajunya air tu menghentam tubuh kami, sedikit-demi sedikit kami terheret ke tepi. Bila letih kami berhenti dalam air. Saya baca ayatul Kursi tak putus-putus sambil pegang cikgu misai yang dah tak larat dukung Eusoff. Kami berjalan perlahan-lahan sambil mengingati kat mana jalan tu yang ada lubang, lopak dan berbatu untuk berjaga-jaga takut terpelecok atau kaki cramp. Alhamdulillah sampai jugak kat tepi jalan kuantan by-pass...400m yang paling 'jauh' dan sukar dalam hidup. Alhamdulillah..



Sampai kat tepi jalan tu, air membuak-buak melintasi 4 lorong highway kuantan bypass. Kami berdiri kat tepi jalan tu rasa nak tumbang menahan air deras tu. Walaupun hanya sedalam buku lalu, tapi lajunya macam air kat jeram. Cikgu mat tahan hilux, bomba tak berhenti..TNB tak berhenti..akhirnya sekumpulan 3 lelaki cina berhenti lalu menumpangkan kami ke Pandan Damai 2. Suasana di kiri kanan jalan, terhidang pemandangan yang mengerikan dan sedih sekali. Seakan saya dah tak kenal itu jalan yang saya lalu pergi dan balik kerja hari-hari. Kemusnahan yang tak dapat saya bayangkan. Allahu Akbar..kami kebingungan dalam perjalanan itu.

Kawasan rumah putus bekalan air dan elektrik sepenuhnya. Bekalan air mula ada semua pada hari ke-3 bencana banjir dan elektrik 5 hari kemudian. Talian telefon dan internet juga mengalami gangguan. Boleh dikatakan macam filem Titanic dah keadaan kami. Gelap, dikelilingi air, dan terputus hubungan dengan dunia luar. 

Masa kami menumpang kat rumah Cikgu Mat, turut bersama tumpang berlindung satu keluarga cikgu dengan 3 anak dan isteri yang sarat mengandung. Sama kes...redah banjir sebab bot penyelamat tak datang. Ahli kelab wargakerja IKIP dan presiden turun padang menghantar sumbangan makanan, dan support group Ahli2 Autisme Malaysia, lain-lain NGO serta orang-orang persendirian pun ramai yang bantu memberi sumbangan makanan dan kewangan. 

Selepas 3 hari kami balik tengok keadaan rumah. Rumah kami cuma terjejas bahagian dapur dan porch. Kereta kami alhamdulillah selamat sebab kami dah tinggikan..part ni memang LEGA sangat. Barang-barang bisnes bakery yang baru restock habis rosak, termasuk yang disimpan dalam fridge segala mak nenek cheese, creamcheese, whipping cream, filling, cooking chocolate...Sedih sangat, tapi bila kenangkan orang yang tinggal sehelai sepinggang, tak sempat nak selamatkan apa-apa, saya rasa insaf sangat..betapa kecilnya ujian saya ni nak banding dengan diorang.


2 Disember 2013 - Hari ketiga hujan lebat tak putus-putus.




 3 Disember 2013

8 pagi - Jalan masuk ke kampus
Air dah naik kat kedai.


Bekalan elektrik mula terputus sekitar jam 12 tengh hari.








Kawasan rumah saya jadi tempat melarikan kereta jiran-jiran penduduk kampung.





Malam 4 Disember 2013
 4 Disember 2013 - Hari kejadian

Pukul 4 pagi toilet start bubbling dan melimpah.

8 pagi air mula naik kat porch. Bebudak ni kemain suka main air..



Gambar terakhir saya sempat ambik sebelum bungkus telefon. Sekitar jam 10 pagi. 

Tumpang hilux lelaki cina. Selipar tah ke mana. Berkaki ayam je kami anak-beranak masa ni.



Kereta tenggelam dan dihanyutkan arus.


Ada orang menjala???



Tak tahu bagaimana saya nak akhiri entri ini...yang mampu saya katakan, bagi orang yang tak terjejas dengan bencana yang berlaku bukan kat kawasan anda, kalau tak mampu bagi sumbangan apa-apa, cukuplah sekadar mendoakan kesejahteraan orang yang ditimpa kesusahan tu dan jadilah seorang yang bermaruah, sensitif dan dengan bersifat empati. Janganlah upload gambar kat FB makanan yang sedap-sedap dengan caption 'lauk banjir'... 


Tahukah kamu ada keluarga yang tersangkut dalam rumah di tingkat 2, di atas loteng dan di atas bumbung ... yang terputus hubungan dengan dunia luar, dalam kegelapan tiada bekalan air bersih dikelilingi arus deras. 

Tak ada orang tolong..
Tak ada makanan. 

Bayangkan anak-anak kecil dan warga emas yang sakit, di pusat-pusat pemindahan yang tak ada pakaian bersih untuk dipakai,kelaparan dan  kesejukan mengerekot tidur di atas tikar-tikar nipis dilantai simen yang sejuk hingga ke tulang.

Tanya diri, agak-agak nampak comel ker nak post gambar dengan caption begitu di saat saudara-saudara kamu sedang berhadapan musibah? Tepuk dada, tanya hati..sekian.


Ternampak dalam newsfeed FB - update status seorang kawan FB yang duduk dekat kawasan perumahan elit di Kuantan serta  tak terjejas oleh banjir. *geleng laju2*










Thursday, November 28, 2013

Nak cerita ke tak cerita?


Assalamualaikum..

Tajuk pelik..cerita ni pun pelik. Jenuh pikir nak cerita ke tak. Bukan apa...takut disalahertikan pulak. Kang niat kita nak educate orang ditafsir sebagai merungut atau lagi teruk boleh buatkan orang geli dengan kanak-kanak yang senasib dengan Eusoff.

Eusoff... dah 5 tahun umur budak ni. Dalam usia 5 tahun, banyak juga yang dia dah faham cakap orang. Dan boleh bertutur tapi minima je. Yang banyaknya 'scripting' (menggunakan dialog TV untuk bertutur) dan 'echolalia' (mengajuk apa yang kita cakap).

Dalam banyak-banyak cabaran membesarkan anak autistik ni, yang paling atas dalam senarai menguji kesabaran saya ialah 'main tahi'  atau mat saleh kabor 'poop smearing'. Dengar je pun dah geli ye dak? Saya yang nak ngadap benda ni on daily basis lagilah tak terkata perasaan tu... Anak autistik berkecenderungan melakukan ini. Rata-rata sahabat saya yg senasib pernah atau sedang melalui episod ini dalam kehidupan mereka. Mereka yang hypo-sensitive terhadap sentuhan dan punyai masalah tactile je yang cenderung melakukan perkara ni. Yang hypersensitive tak buat, sebab mereka amatlah penggeli orangnya. (Selamat kiranya mak bapak diorang kat situ...tapi mereka ada masalah lain pulak yang berkaitan gelaja hyper-sensistiviti tu-nanti cerita ok?)

Selalunya anak saya akan smear najis dia kat badan dia, rambut, pipi dan lantai..ada pernah jadi jugak kat buku kamus yang selamat saya buang sudahnya..dah jugak tikar buluh - pun saya buang jugak sebab tak sanggup nak cuci. Kat trampoline pernah, dinding, cermin...you name it.

:(

.......

Kadang-kadang bila saya sendiri dalam keadaan tertekan, dan sibuk atau penat, saya snap. Saya mengamuk. Saya pukul dia.. Saya pukul dia sampai tangan saya sakit. Lepas itu bila dah sedar dari marah saya menangis sepuasnya.. menangis macam sewaktu saya menaip entri ini. 

..........

Saya tidak bangga melakukan perkara yang kejam itu terhadap anak saya, yang mana dia sendiri tidak tahu pun apa yang dia buat itu salah. Dia tidak mumayyiz...yang entah sampai bila. Di saat yang mencabar itu kadang-kadang saya terlepas bertanya kepada Allah...

"kenapa anak aku begini?"
"kenapa Kau timpakan ujian ini buat aku?"
"kenapa Kau benarkan ini terjadi dalam keluarga aku?"
"kenapa? kenapa? kenapa?"

Sesungguhnya saat itu saya biarkan syaitan menguasai diri saya. 
Membuatkan saya jadi pemarah.
Membuatkan saya lupa segala yang saya persoalkan itu adalah takdir dari Allah...

Saya lupa yang tempat saya sebagai hamba di dunia ini memang hanyalah untuk diuji.
Saya lupa anak saya itu...jambatan saya ke syurga.
Saya lupa anak saya itu anugerah.
Saya lupa...bila saya biarkan amarah menguasai diri.

Dan Eusoff akan menangis melolong sehinggalah saya sendiri datang memujuknya.

............

Anak saya yang begitu cinta kepada saya... 
dengan pantas memeluk saya dan berhenti menangis bila saya mendekatinya.
Dan dengan sekejapan dia senyum kembali dengan kulitnya yang masih merah berbekas tangan hasil pukulan saya yang lupa diri.
:'(

Ibu-ibu...
Jangan jadi seperti saya.
Jangan pukul anak anda...
kasihan mereka ...
Seminggu selepas apa yang saya buat itu...saya masih lagi menangis bila terkenangkannya.
Dan sejak itu setiap hari saya mohon maaf dari Eusoff...
Dan berharap kejadian itu tidak lekat dalam dalam ingatannya.
Semoga Allah mengampunkan saya...Amin.








Monday, November 18, 2013

Dari suka-suka...

Assalamualaikum...lama tak lepak sini kannn? Rindu kat blog ni...kekadang rasa nak tulis entri tapi kang balik-balik citer sama meluats puleks korang nak baca khennn? Aiyooo...teruknya hejaan..kahkah...

Sebenarnya saya sekarang sibuk...sibuk ambik order dan buat kek/roti. Tak sangka sebenarnya dari suka-suka baking demi memastikan anak-anak tak makan makanan yang syubhah serta mengandungi bahan pengawet (preservatives), udah bertukar menjadi bisnes sampingan pulak.

Alhamdulillah...banyak jugak tempahan. Terharu sangat sebenarnya...tak sangka pulak boleh buat perniagaan kecil-kecilan. Terima kasih la banyak-banyak kepada pelanggan yg terdiri dari kengkawan opis dan kengkawan pesbuk. Paling best kengkawan ni pulak la tolong promote kek dan roti aku melalui testimoni diorang pada kawan-kawan dan family depa.

Kalau ku kenang kisah dedulu buat cheese cake tak jadi dan ku paksa Cikgu Misai ngabiskan (ni zaman baru kawen dulu...kek tak sedap pun laki makan sambil senyum lagi), tak kusangka ku reti gak baking sebenornya. Kui kui...












Kamera tak canggih...ambik gambo pakai henpon je. Hikhik..

Terima kasih jugak nak sampaikan pada cikgu2 saya iaitu blogger2 masakan sebab sudi bagi tips dan tunjuk ajar kepada saya dari tak reti satu benda pun sampailah boleh jual produk dah. Salah satunya Ros Jintan Manis ..semoga Allah murahkan rezeki kalian. Amin..





Monday, September 30, 2013

Refresh Cinta


Assalamualaikum..

Akhirnya selepas hampir 9 tahun kahwin..barulah rasa rindu-rindu balik.

Haha..*sila muntah


Sebenarnya saya telah memikirkan ini banyak kali.. Kenapa saya rasa hidup macam mesin yang diprogramkan? Kenapa rasa statik je? Kalau ada emosi pon rasa nak marah, atau sedih, atau happy. Rasa cinta tak ada..cinta yang membuatkan kita selalu terkenang pada si dia tu..dah nan hado!! 



Lumrah hidup pasangan berkahwin bukannya kita ni tak sayang pasangan kita, tapi tuntutan kehidupan berkeluarga dan beranak-pinak membuatkan kita kadang-kadang lupa kepada insan kesayangan kita sebab sibuk nak uruskan macam-macam perkara.

Isteri lupa bahawa ada suami yang perlu dilayan sebagai suami..
Suami lupa ada isteri yang perlu dilayan sebagai isteri..
Panggilan manja buat isteri dah bertukor menjadi "mama", "ummi", "maknye" dll.."
Isteri pulak panggil suami dengan panggilan"babah", "papa" or..worse "bapaknye wehh.."" :)


Sejujurnya saya rindu dengan rasa cinta dan rindu itu. 
Saya kerap berfikir bagaimana mahu menyemarakkannya kembali..

Lalu saya mengambil pendekatan: BERILAH UNTUK MENERIMA.

Saya akui saya agak susah nak romatik. Saya bukan jenis orang yang romantik pun. Tapi saya pandai memanjakan dan menghiburkan...baik anak-anak, suami ataupun teman-teman.

Guna apa saja kekuatan yang kita ada.

Jadi saya manjakan suami saya, saya hiburkan hatinya dan saya masakkan makanan yang dia suka makan. Kadangakala saya hantar SMS yang nakal-nakal, saya telefon dan cakap saya rindukan dia. Saya tunjukkan kepada dia yang saya tergila-gilakan dia.

Mula-mula memang dia ingat saya gila..atau buang tebiat?? Hahahaha!!
Pernah juga dia tanya saya "Nak anak lagi ke?"
Memang sukar nak lakukan perubahan, dan nampak macam saya ni je terhegeh-hegeh..tapi saya istiqamah dan tak putus asa.

Lama jugak sebenarnya buat kerja ni..hahaha! 4-5 bulan jugak..Phew!!

Lama-kelamaan saya perasan dia sudah mula rajin masuk bilik bila saya ada kat dalam tu...Jap. jangan fikir yang bukan-bukan dulu.. Maksud saya, dia mencari peluang berduaan dengan saya, berbual-bual dan bermanja. Dari tidur dengan anak-anak, kami kembali tidur berdua.

Bukan senang nak jinakkan lelaki pertengahan 30an yang dah terbiasa dengar isteri macam tarzan terjerit pekik mengawal anak-anak yang tengah naik belaka tu...Dia pun dah lupa agaknya siapa sebenarnya isteri dia yang dulu. Dia pun dah lupa nak romantik..Nak duduk sebelah-menyebelah masa tengok TV pun dah susah. Masing-masing cari tempat yang selesa, yang tak mau diganggu..yang senang nak berlingkar, tak ada rasa nak berdekatan dan berkepit-kepit macam baru-baru nikah dulu.

Sebenarnya...cinta dalam perkahwinan perlu butang REFRESH.

Inilah yang saya lakukan. Faedahnya banyak.. Jiwa tenang, hati gembira, stress menurun. 
Cuba ingat-ingat balik bagaimana perasaan korang masa bercinta dulu? 

Hati senang sebab tahu ada yang sayang. Wajah berseri dan mood sentiasa baik kan? 
Saya sekarang sedang menikmatinya semula...Alhamdulillah.

Bagi pasangan yang dah berkahwin dan lupa bagaimana rasa manisnya cinta seperti pengantin baru...
buatlah sesuatu. 

Carilah butang REFRESH anda dan pasangan.
Berilah lebih banyak untuk menerima.
Bagi para isteri, jangan banyak berharap bahawa suami akan memberikan layanan seperti tuan puteri kepada kita kalau kita sendiri pun terlalu sibuk dengan anak-anak dan kerja rumah sampai lupa nak beri perhatian khusus kepada suami.

Ketepikan rasa malu atau ego untuk memulakan dulu. Cuba pakai cantik-cantik, wangi-wangi, berhias untuk suami..dapat pahala lagi tuh! Kalau kita usaha mesti ada hasil..
Kalau kita sabar dan istiqamah, burung merpati pun boleh makan di tangan.

Selamat berkasih-sayang ya?? Walaupun ini bukan edisi Valentine..
Valentine is so outdated. Make a special day just for both of you!!

All the best!! ^_^










Wednesday, September 4, 2013

Eusoff dan Huruf (lagi)

Assalamualaikum...

Lama tak update blog ni. Banyaknya sawang.. hehe..

Sebenarnya ada banyak sangat cerita tapi tak tau nak cerita yang mana dulu. Di samping kesibukan dan kemenyampahan nak menaip sebab internet kat rumah tu slow sangat, dan kat opis plak sibuk jadinya asyik bertangguh je nak buat entri.

Eusoff masih dengan obsesinya, HURUF dan FILEM. Asyik menulis dan mengeja tak lain tak bukan pasal filem. Tapi kalau disuruh, dia boleh juga tulis perkataan yang biasa digunakan dalam aktiviti harian macam makan, minum atau sikat rambut. Kat bawah ni ialah klip video pendek masa dia pergi speech therapy kat UIAM dengan ST dia iaitu Cik Syikin yang gorgeous. Hasil dari aktiviti mamarazzi  yg boring tak tau nak buat apa kat luar bilik tu. Muehehehe.. ;)


Lepas itu nak share yang ni plak. Dial lukis ni dalam kereta masa nak pergi sekolah. Kalau dah obses huruf tu, lukisan pun huruf jugakkkk... Unik kan? :)



Wednesday, August 14, 2013

Hiperaktif dan kaitannya dengan sensory overload


Eusoff hyper ketika pergi beraya ke sesetengah rumah yang ramai orang dan bising dengan suara orang berbual. 


Bila dengar bunyi mercun berdentam-dentum pun dia hyper.

Dia tak tutup telinga mcm dulu2...bila sensory overloaded. 
Cuma seseakali terdengar dia berkata "lari..lari.." atau "balik..balik" atau "diam...diam" atau dia keluarkan suara grunting untuk block unpleasant sound.


Semalam masa technician datang untuk pasang bracket TV dan kitchen hood pun dia hyper lari lompat sana sini bila dengar bunyi dinding kena drill. Tapi kali ni dia tak cakap apa-apa pulak melainkan menyanyi lagu bercampur-campur dengan azan.

Saya selalu fikir dia hyper kerana makanan manis ataupun sensory craving, sebenarnya ada banyak lagi sebab kenapa dia hyper. Salah satunya adalah kerana sensory overload. Banyak yang saya perlu decode untuk mengetahui kenapa Eusoff buat sesuatu.. 

Help me learn, Eusoff.. for me to help you. 


Thursday, July 25, 2013

Kenapa tak hantar naik bas je?


Assalamualaikum  dan Salam Ramadhan...



Baru-baru ni ada seseorang bertanya kepada saya, "Kenapa tak bagi anak ko yang sulung tu naik bas je? Senanglah sikit tak payah berhantar berjemput?"

Ok..inilah sebabnya. Sebab saya rindukan anak saya. Simple je jawapannya tapi kawan saya terus terdiam.

Memang saya rindukan anak-anak setiap hari di tempat kerja. Saya rela waktu dan duit minyak saya banyak terbuang semata-mata untuk hantar, ambil anak. Saya percaya anak-anak saya juga rindukan saya. Jelas sebenarnya terlihat dari mata mereka yang bersinar, setiap kali saya jemput di sekolah, lalu seterusnya saya hantar ke taska. Dapat jumpa sekejap pun jadilah, asalkan lepas rindu dendam. Dapat buat social story sekejap dalam kereta dengan si Eusoff pun jadilah, atau membantu Damia menjawab 1-2 soalan kerja rumah ketika dalam perjalanan sudah cukup memuaskan hati saya dapat berinteraksi dengan anak-anak.

Sampai di taska pula, sempat saya peluk dan cium Daniel yang kecil dan manja, dan melihat keadaan dia, sudah makan atau belum, seronok atau tidak. Kadangkala sempat saya titipkan sebungkus kecil biskut atau kudapan lainnya, sebab saya rindukan wajah comelnya yang tersenyum meleret bila tangannya mencapai bungkusan itu dari tangan saya.

Saya rela disoal-jawab pihak pengurusan, saya rela sekiranya mereka mahu memotong gaji saya kerana sering keluar pada waktu tengahari walaupun setakat ini mereka begitu memahami tanggungjawab saya pada anak-anak, terutamanya pada Eusoff. Saya percaya, anak-anak memerlukan ibu mereka 24/7. Lantaran kekangan kerja, saya terpaksa menghantar mereka untuk diasuh orang lain dalam keadaan hati separuh rela.

Saya percaya, anak-anak ini walaupun masih kecil, mereka mampu menilai kasih-sayang orang tuanya. Saya mahu mereka tahu saya tak akan meninggalkan mereka dengan orang lain seharian, tak dijenguk, tak ditanya sudah makan atau belum, sakitkah atau sihat, gembirakah atau tidaknya mereka. Saya mahu mereka tahu, mamanya ini tak akan lepaskan tanggungjawab sepenuhnya kepada orang ketika dia bekerja. Saya mahu anak-anak ingat yang saya juga punyai bahagian dalam setiap detik perjalanan kehidupan mereka. Saya percaya dengan kasih-sayang, saya mampu 'menyembuhkan' Eusoff serta menjadikan Damia dan Daniel anak yang soleh serta cemerlang, 

Sebab itu saya rasa bersalah bila dari jam 8 pagi hingga 6 petang saya

...meletakkan tanggungjawab menghantar anak ke sekolah di tangan pemandu bas
...meletakkan tanggungjawab mengasuh sepenuhnya kepada pengasuh
...meletakkan tanggungjawab mendidik kepada guru sekolah

sedangkan tanggungjawab itu semuanya adalah tanggungjawab saya sebagai ibu.

Semoga dipermudahkan...InsyaAllah.

Di bawah adalah link kepada satu ceramah Ustaz Don Daniyal mengenai cara mendidik anak mengikut sunnah. Komfem insaf lepas dengar...

https://www.youtube.com/watch?v=973drXYjJw8


Wednesday, July 10, 2013

Vocal Tics Si Penderita Autism

Eusoff sering melakukan perbuatan mengeluarkan suara seperti berdengkur atau bunyinya seperti orang yg cuba clearkan tekak yang gatal. Kadang-kadang dia cuma mengeluarkan suara tetapi tidak bernada dan tiada perkataan jelas. Ini dipanggil 'vocal tics' dan adalah perkara yang sering terjadi kepada penyandang autisme serta Tourette's Syndrome. Bunyi ini kadang-kadang menggangu bila bunyinya terlalu kuat, atau tidak sesuai (inappropriate) dan menarik perhatian. 'Vocal tics' turut berkait rapat dengan Obsessive Compulsive Disorder (OCD) dan Epilepsi (sawan).

Banyak sebab Eusoff membuat 'vocal tics'. Antara sebabnya adalah kebimbangan, cemas, letih, bosan, terlalu gembira atau teruja. Sepanjang pemerhatian saya, selalunya 'vocal tics' Eusoff akan disertai perbuatan melompat, atau berlari, bertepuk tangan serta ketawa, atau menyusup ke bawah timbunan bantal dan lapisan cadar secara berulang. 'Tics' atau 'vocal tics' berkaitan dengan masalah 'motor' dan vestibular. Dengan melakukannya secara berulang, ia memberikan sensasi kelegaan kepada penderita 'tics'. Pewarna atau perasa tambahan dalam makanan, serta bahan ransangan (stimulator agent) boleh menyebabkan 'tics' menjadi lebih teruk.

Antara perkara yang boleh dilakukan untuk mengurangkan gejala 'vocal tics' adalah dengan segera mengalihkan perhatian penderita 'tics' kepada aktiviti yang menyeronokkan atau aktiviti yang memerlukan tumpuan. Selain daripada kaedah Terapi Tingkahlaku (Behavioral Therapy), terdapat juga ubat-ubatan yang boleh mengurangkan gejala 'tics' dan 'vocal tics' seperti haloperidol dan clonezepam (ubat penenang yang cuba saya elakkan dari memberinya kerana kesan jangka panjang yang buruk).

Ketika berada di tempat awam, perbuatan Eusoff mengeluarkan bunyi yang mengganggu ini agak menjengkelkan bagi sesetengah orang terutamanya ketika berada di dalam kawasan bertutup seperti restoran. Saya mahu membawa Eusoff melakukan aktiviti biasa yang dilakukan sama seperti orang lain, tetapi 'vocal tics' ini selalu membuat dia dilemparkan pandangan 'menjengkelkan' daripada orang yang tidak tahu apakah masalah budak ini. Percayalah, saya juga tidak merasa gembira apabila anak saya menggangu ketenangan orang lain yang berada di situ. Kadang-kadang saya struggle untuk memujuk Eusoff supaya memberhentikan tabiat  ini, tetapi tidak berjaya. Saya benci diri saya apabila saya terpaksa menjerkahnya atau menjegilkan mata saya padanya untuk membuatkan dia diam atau apabila saya gagal untuk memujuknya dari membuat bunyi yg tidak menyenangkan ini. Tak usah ceritalah berapa banyak label 'ibu yang tak pandai ajar anak' yang sudah saya terima melalui lirikan mata orang. :(

Namun, sejak saya mengetahui bahawa 'rocking' mampu membuat Eusoff berasa selesa dan nyaman, saya selalu 'rocking' bersamanya setiap kali dia mula membuat 'vocal tics'. Sesi rocking selama 5-10 minit semasa menunggu hidangan sampai di restoran mampu membuat dia senyum dan tenang serta menyelamatkan keadaan. 'Rocking' masih sesuai ketika dia berumur 5 tahun seperti sekarang, namun mungkin menjadi pelik sekiranya dia sudah beumur 15 atau 25 tahun dan bersaiz lelaki dewasa. Mungkin ketika itu, saya terpaksa memikirkan cara yang lain pula. ^_^

Monday, July 1, 2013

Selamat Hari Jadi Daniel!


Assalamualaikum..

Uhuk uhuk... banyak sawang dan habuk kan? haha..dah lama sangat tak buka blog dan buat entri. Beginilah kalau dah mula semester baru..banyak benda yang nak kena tengok. Kelas, student, paperwork... nak makan pun timing dah tak menentu. 

28hb Jun yang lepas, hari jadi Daniel. Dah besar pun anak manja saya ni... Makin besar makin manja. Saya berjaya jugak buat Rainbow Cake untuk dia...dengan cream cheese frosting dan dekorasi fondant icing hasil kreativiti kakak Damia dan Abang Eusoff khas untuk adik. Chewaahhh...so, these are the pics. Enjoy!




Pitam nak buat kek ni...leceh kojenye.

Santek tak?

Amat heaven sekali bila dah masuk dalam mulut...

Budak ni dah 2 tahun!

Oitt...ape ni celet cream cheese kat idung orang?
^_^

Keratan rentas.. colourful kannn?

Eusoff tu eksen je. Dia sebenarnya tak makan pun kek ni...dia makan fondant icing tu aje..

Birthday boy dan babah tgh potong kek.

"Adik nak cocok kek"...katanyeeee

Makan kek dengan mee goreng.

My assisstant. Berangan nak jadi Cake Boss..hihi