Wednesday, July 10, 2013

Vocal Tics Si Penderita Autism

Eusoff sering melakukan perbuatan mengeluarkan suara seperti berdengkur atau bunyinya seperti orang yg cuba clearkan tekak yang gatal. Kadang-kadang dia cuma mengeluarkan suara tetapi tidak bernada dan tiada perkataan jelas. Ini dipanggil 'vocal tics' dan adalah perkara yang sering terjadi kepada penyandang autisme serta Tourette's Syndrome. Bunyi ini kadang-kadang menggangu bila bunyinya terlalu kuat, atau tidak sesuai (inappropriate) dan menarik perhatian. 'Vocal tics' turut berkait rapat dengan Obsessive Compulsive Disorder (OCD) dan Epilepsi (sawan).

Banyak sebab Eusoff membuat 'vocal tics'. Antara sebabnya adalah kebimbangan, cemas, letih, bosan, terlalu gembira atau teruja. Sepanjang pemerhatian saya, selalunya 'vocal tics' Eusoff akan disertai perbuatan melompat, atau berlari, bertepuk tangan serta ketawa, atau menyusup ke bawah timbunan bantal dan lapisan cadar secara berulang. 'Tics' atau 'vocal tics' berkaitan dengan masalah 'motor' dan vestibular. Dengan melakukannya secara berulang, ia memberikan sensasi kelegaan kepada penderita 'tics'. Pewarna atau perasa tambahan dalam makanan, serta bahan ransangan (stimulator agent) boleh menyebabkan 'tics' menjadi lebih teruk.

Antara perkara yang boleh dilakukan untuk mengurangkan gejala 'vocal tics' adalah dengan segera mengalihkan perhatian penderita 'tics' kepada aktiviti yang menyeronokkan atau aktiviti yang memerlukan tumpuan. Selain daripada kaedah Terapi Tingkahlaku (Behavioral Therapy), terdapat juga ubat-ubatan yang boleh mengurangkan gejala 'tics' dan 'vocal tics' seperti haloperidol dan clonezepam (ubat penenang yang cuba saya elakkan dari memberinya kerana kesan jangka panjang yang buruk).

Ketika berada di tempat awam, perbuatan Eusoff mengeluarkan bunyi yang mengganggu ini agak menjengkelkan bagi sesetengah orang terutamanya ketika berada di dalam kawasan bertutup seperti restoran. Saya mahu membawa Eusoff melakukan aktiviti biasa yang dilakukan sama seperti orang lain, tetapi 'vocal tics' ini selalu membuat dia dilemparkan pandangan 'menjengkelkan' daripada orang yang tidak tahu apakah masalah budak ini. Percayalah, saya juga tidak merasa gembira apabila anak saya menggangu ketenangan orang lain yang berada di situ. Kadang-kadang saya struggle untuk memujuk Eusoff supaya memberhentikan tabiat  ini, tetapi tidak berjaya. Saya benci diri saya apabila saya terpaksa menjerkahnya atau menjegilkan mata saya padanya untuk membuatkan dia diam atau apabila saya gagal untuk memujuknya dari membuat bunyi yg tidak menyenangkan ini. Tak usah ceritalah berapa banyak label 'ibu yang tak pandai ajar anak' yang sudah saya terima melalui lirikan mata orang. :(

Namun, sejak saya mengetahui bahawa 'rocking' mampu membuat Eusoff berasa selesa dan nyaman, saya selalu 'rocking' bersamanya setiap kali dia mula membuat 'vocal tics'. Sesi rocking selama 5-10 minit semasa menunggu hidangan sampai di restoran mampu membuat dia senyum dan tenang serta menyelamatkan keadaan. 'Rocking' masih sesuai ketika dia berumur 5 tahun seperti sekarang, namun mungkin menjadi pelik sekiranya dia sudah beumur 15 atau 25 tahun dan bersaiz lelaki dewasa. Mungkin ketika itu, saya terpaksa memikirkan cara yang lain pula. ^_^

No comments:

Post a Comment