Tuesday, April 5, 2011

Kontraksi Braxton Hicks dan HbA1c

Sedar tak sedar dah nak masuk 27 minggu...Akhir-akhir ni aku dah mula rasa kontraksi Braxton Hicks. Bagi siapa yang tak tau apa bendanya kontraksi Braxton Hicks tu, boleh klik kat sini.

Jangkamasa kontraksi tu tak lama, tapi bila perut mengeras je, boleh terdiam jugak kalau aku tengah bagi kuliah masa tu. Tak selesa sangat. Awal jugak aku rasa kontraksi Braxton Hicks kali ni. Selalunya bila dah masuk 7 bulan lebih baru aku mengalaminya.

Esok aku temujanji doktor dan ujian darah HbA1c. Bagi mereka yang mengalami diabetes tentu tahu apa itu ujian darah HbA1c. Tapi bagi yang tak tau, ujian darah HbA1c tu ialah ujian darah bagi menentukan tahap purata jumlah glukosa dalam darah dalam jangkamasa 2-3 bulan sebelum tu. Kalau nak keterangan lebih lanjut, boleh klik sini untuk mendapatkan info mengenainya.

Berdebar jugak perasaan aku. Harap-harap hasil ujian itu berada pada tahap normal. Sebab kalau tidak, mesti doktor akan naikkan dos insulin yang perlu aku ambil setiap hari. Dan yang paling penting, aku mahu baby aku sihat dan berada pada tahap paling bagus.

Dalam pada sibuk-sibuk dengan kerja dan penyakit aku ni, bahagia rasanya bila baby aku ni bergerak aktif. Itu tandanya dia sihat. Aku dan babahnya masih mencari nama yang sesuai buat si kecil ni. Banyaknya pilihan... semua nama tu cantik dan bagus-bagus pula maksudnya. Rambang mata!!


Dan rasanya bulan depan dah mula kena cari barang kelengkapan bayi.. :)

Thursday, March 24, 2011

Rajin memasak..

Selalunya orang mengandung cepat rasa penat, lesu dan rasa malas je nak buat kerja rumah. Kat pejabat pun rasa nak tertido je 24 jam. Kalau buleh masa-masa macam ni rasa macam nak suruh laki gajikan bibik aje untuk tolong uruskan rumah tangga dan anak-anak. Tapi itu bagi yang mampu le, kalau tak mampu, suami atau mak-abah la yang jadi mangsa tolong uruskan semua tu.Tapi lain pulak dengan aku. Masa mabuk teruk awal-awal mengandung dulu, tengok kuali pun rasa nak muntah, jangan kata nak masak. Tapi bila alahan dah berakhir genap aje 3 bulan usia kandungan aku ni, aku dah terlebih cergas dari biasa pulak.

Aku sangggup bangun jam 5.30 pagi tiap-tiap hari nak masak breakfast untuk suami. Dia cikgu sekolah dan sekolahnya agak jauh, jadi setiap hari dia terpaksa keluar awal dan tak sempat bersarapan kat rumah. Kalau dah bangun tu macam2 yang aku masakkan. Dari nasi goreng kampung, nasi goreng belacan, bihun goreng tomyam, mee goreng mamak, mee kari, mee sup, burger, sandwich, cucur udang dan macam-macam lagi la. Semua aku bungkuskan panas2 supaya 'cikgu kesayangan' saya tu tak lapar masa mengajar kat sekolah nanti. Lagi best, siap tapaukan bekal untuk lunch lagi tuuu...Kat pejabat pulak, aku suka berjalan. Kalau kelas tak berapa jauh, aku akan berjalan kaki aje. Atau pegi koperasi, atau tapau lunch. Sume aku jalan kaki je. Laju pulak tu...sampai ramai kawan-kawan kat opis aku tegur suruh aku jalan perlahan-lahan sebab aku tengah mengandung. Risau agaknya diorang tengok aku berjalan macam lipas kudung... Haha!

Balik rumah pulak, mesti nak masak. Hidangan lengkap dan seimbang, meriah dengan segala mak nenek ulam-ulaman dicicah sambal belacan tomato/sambal tempoyak masak/ budu untuk makan malam. Tapi dalam banyak-banyak benda, aku ni tak berapa gemor masak ayam..

Sekarang ni dah jarang bebenor la makan kat kedai...kecuali pada hari-hari yang aku tak sihat atau balik keje lambat. Jadinya memang tak sempat nak masak sebab timing sudah lari. Pelik jugak...memandangkan aku ni kena gestational diabetes, aku mana la bleh makan banyak-banyak. Kadang-kadang sampai berlebih makanan tu semua..sebab serius la memang seronok memasak tapi takde sapa nak habiskan. Ramai orang cakap yang aku mungkin mengandung anak perempuan, sebab 'super'-rajin memasak, tapi bila scan, rupanya 'hero' jugak... Hmm..agaknya anak aku ni besar nanti jadi Chef agaknya...bagus jugak ek, ada la teman aku nanti memasak kat dapur... I like.... :)

Kat bawah ni beberapa gambar masakan aku ketika kerajinan melanda diri. Sila usha dan telan air liur oke... :)


* ketam balck pepper, ikan goreng & sayur campur

* sambal tumis lala petai

* talapia 3 rasa


* sambal tumis ikan bilis tempoyak (Lipis style)


* grilled chicken with parsley potato & mini sausages

*udang galah masak lemak cili api

*sambal udang petai, kailan ikan masin & sambal tumis ikan bilis

*kari ikan kembung


Mmm...balik karang aku nak masak apa pulak eaa??


Monday, March 21, 2011

Eusoff Oh Eusoff..

Eusoff lahir sebagai anak yang manja, tak banyak kerenah dan sangat mudah dijaga semasa bayi. Dia tak pernah menyusahkan aku. Selalu senyum, tak pernah moody walaupun waktu aku bawak dia berjalan-jalan sehari-suntuk masa kami sekeluarga pergi melancong ke mana-mana. Dia tak cerewet makan dan tak kisah minum air kosong. Susu jenis mahal atau murah, kualiti sederhana atau bagus pun tak pernah beri kesan padanya. Dia tetap sihat dan tetap ceria.


Bila aku balik kerja dia menyambutku di pintu bersama senyuman manis dengan lesung pipit terukir di pipi. Bila aku duduk disampingnya dia beri aku ciuman sayang. Bila kami makan malam di meja makan, dia pegang erat jari-jemariku. Waktu dia kusyuk menonton rancangan kartun kegemaran dan aku tarik tangannya untuk waktu mandi atau makan, dia menurut saja. Waktu dia aku bawa ke pusat beli-belah, dia tak pernah minta aku belikan apa-apa untuknya. Tidak pernah membentak atau menghentak kaki ketika apa yang dimahukannya tidak diperolehi.

Apa lagi yang seorang ibu mahukan dari seorang anak, melainkan seorang anak yang baik, patuh dan mudah dijaga? Aku bersyukur punya anak seperti Eusoff. Dia sungguh menawan hati...


Tapi...
Sejak mula aku mengandung anak ketiga, dia mula berubah perangai. Dia tak mahu makan, tak mahu minum susu. Tak mahu mandi, tak mahu gosok gigi. Tak mahu aku bercakap dengan orang lain kecuali diri dia saja. Tak mahu tidur, tak mahu turun kereta bila aku hantar ke taska. Kalau aku tegur sedikit saja pun sudah cukup buat dia mengamuk membantingkan badan ke lantai. Menghantuk kepala hingga lebam dan benjol, malahan hingga pecah bibir dan berdarah hidung...
Ramai orang kata, dia cemburu kerana tak lama lagi akan punya adik yang akan 'merampas' aku mamanya dari dia.. Benarkah seorang budak berusia dua tahun boleh berasa begitu cemburu dan tertekan kerana mamanya akan mempunyai seorang lagi 'buah hati' baru?

Eusoff...mama sayangkan kamu. Sayang sekali pada kamu... Walau ada 10 orang lagi anak pun, kamu tetap teman terbaik mama. Kamu anak mama yang istimewa, yang pandai mengambil hati, yang paling comel dan yang paling manja. Walaupun kamu kelak akan dewasa, kamu akan sentiasa menjadi 'baby' mama... Kehadiran kakak dan adikmu takkan merubah cinta mama pada kamu. Setiap seorang anak mama punya tempat yang khusus di dalam hati mama ini. Tidak terkecuali kamu Eusoff... Tolonglah jangan begini lagi. Tolong jangan cederakan dirimu lagi. Ia buat mama sedih dan bimbang... Mama sangat sayangkan kamu Eusoff. Percayalah cinta mama buat kamu ini adalah abadi dan buat selama-lamanya...


Wednesday, March 16, 2011

Anak Teruna Lagi..

Hari ni ada dua berita yang menggembirakan hati aku. Satu ialah berat badan aku dah mula naik. (Orang gile je yang happy bila berat badan naik rasanya...sebab selalunya semua orang nak slim..seselim Slim River!) Naik tak banyak pun...0.5 kg je. Tapi aku dah happy sangat sebab sepanjang 24 minggu mengandung ni, inilah kali pertama berat badan aku naik. Selalunya mesti turun..Bayangkan ajelah, dari mula buat check-up sampai sekarang dah turun berat badan sebanyak 7kg. Patutnya time ngandung berat naik, tapi aku ni kes dia terbalik pulak. Haha...macamana berat nak naik, makan ikut diet plan dietitian. Kalau tak gula darah aku naik pulak...jadinya sambil ngandung, sambil menguruskan badan. (korang yang mengandung jangan gatal nak diet macam aku ni pulak tau? aku ni special case, takpe laa...)

Perkara yang happy no.2 ialah tadi pegi scan 4D...perghhhh!! Nampak dengan jelasnya wajah baby dalam perut aku ni. Sebijik macam abangnya Eusoff. Dan doktor telah menunjukkan dan memastikan bahawa 100% confirm baby ni LELAKI!! Alhamdulillah...memang happy sangat sebab jauh di sudut hati, memang aku teringin baby lelaki. Memang Allah Maha Pemurah dan Maha Mengasihani. Dia tahu bahawa aku ni cuma boleh bersalin 3 kali (sebab semua anak aku lahir melalui kaedah pembedahan Caesarean), maka dia mengabulkan permintaan aku untuk mendapatkan seorang lagi anak lelaki buat kali terakhir ini.

Yang lebih penting dari segalanya, doktor cakap baby aku ni normal dan sihat. Heartbeat dia pun bagus. Perkembangan otak, vital organs, tulang belakang, kaki dan tangan semuanya normal. Aku ni mmg risau sebenarnya memandangkan aku ni ada masalah diabetes. Maka result detail scan tu lah yang paling aku nanti-nantikan untuk memastikan yang baby aku ni normal dan sihat. Alhamdulillah..Alhamdulillah...Alhamdulillah.. Maha Suci Allah!

Dalam pada sibuk-sibuk tu, ada kejadian kelakar sikit berlaku tadi. Masa pergi scan itu, aku pergi dengan husband dan anak sulung aku, Damia. Sekarang kan cuti sekolah, so aku bercadang nak luangkan masa cuti sekolah ni dengan membawak si Damia ni nengok wayang cerita animasi Rango. Kami singgah sekejap kat klinik untuk scan dan nak tunjukkan dia wajah adik barunya.

Bila doktor tanya dia, "Kakak nak baby boy ke girl?" Dia dengan confident la cakap "Nak girl!!"..Sekali bila tengok baby tu boy aje, muka dah macam tak puas hati. Untuk pujuk dia, doktor tu siap upah vitamin lagi. Walaupun senyum rupanya dalam hati, Damia ni tetap la rasa tak best sebab tak dapat adik pompuan yang diidam-idamkannya tu.

Balik dari klinik kami pun terus la menuju ke pangggung GSC kat East Coast Mall. Sampai aje kat sana, bila aku toleh seat belakang kereta, aku tengok air mata dah berjurai-jurai macam pelakon cite Air Mata Ibu. Ya Allah...ingatkan pasal apalah menangis beria sangat, rupanya dia sedih sangat tak dapat adik pompuan. Lawak oiii... Aku dengan bapak dia punyalah excited berborak dalam keta sebab nak dapat anak lelaki, dia pulak boleh menangis sebab tak dapat adik pompuan. Lepas tu terpaksalah kami pujuk dia dengan belikan macam-macam benda supaya dia berenti nangis. Kalau tak, takut dibantainya 'mengobok' pulak dalam panggung karang, abislah kena halau keluar panggung pulak nanti...Macam-macam hal anak-anak ni..Saboooo je le!!


* Gambar scan 4D baby aku berusia 24 minggu. Pengalaman yang menakjubkan sebenarnya bagi aku sebab dapat tengok 'si dia' yang selalu membuat 'martial art' kat dalam perut jam 3 pagi. Hehe...


Monday, March 14, 2011

Doa Semasa Mengandung




"Ya Allah, peliharalah anakku ini selama ia berada di dalam perutku, dan sihatkanlah dia, Engkau yang menyembuhkan, tidak ada penyembuhan selain penyembuhanMu, Penyembuhan yang tidak meninggalkan penyakit."

"Ya Allah, rupakanlah atau bentukkanlah dia yang ada diperutku dengan rupa yang baik dan tetapkanlah di dalam hatinya iman kepada Engkau dan kepada RasulMu. Ya Allah, keluarkanlah dia dari perutku dengan mudah dan selamat."

"Ya Allah jadikanlah dia sihat yang sempurna berakal dan pandai, alim dan beramal. Ya Allah, panjangkanlah umurnya, sihatkanlah badannya, baikkanlah akhlaknya, fasihkanlah lisannya, baguskanlah suaranya untuk membaca Al-Quran dan hadis dengan berkat Nabi Muhammad S.A.W, dan segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam."

Friday, March 11, 2011

Belasungkawa Buat Si Kecil..

Akhirnya penderitaan si kecil itu berakhir.. Walaupun ibunya tidak pernah putus harapan untuk melihat bayinya sihat dan normal seperti bayi lain, Allah ternyata lebih sayangkan hambaNya yang satu itu. Dia sudah lama berjuang untuk hidup. Sudah lebih 7 bulan bertarung nyawa dengan disambungkan segala macam tiub dan saluran agar dia terus bernafas. Barangkali dia sudah lelah menanggung semua kesakitan itu, dan hampa hanya dapat menatap wajah ibu dan ayah yang dikasihi dari sebalik kotak kaca yang menjadi ruang kehidupannya sepanjang tempoh itu.

Aku tidak pernah lihat dia sebelum ini. Tapi saat dia dilahirkan, aku menemani ibunya hingga ke Dewan Bedah. Sementelah dia lahir saat baru berusia 27 minggu di dalam kandungan, lantas sebaik dia lahir, doktor terus memasukkan dia ke Unit Rawatan Rapi Neo-natal. Masa berlalu dan aku hanya mendengar khabar dan perkembangannya melalui ibunya setiap hari. Sayu hatiku bila ibunya memberitahu tidak pernah dapat merasa menggendong dan memeluknya, cuma dapat mengusap tubuhnya dan berbicara setiap kali datang melawat dia di hospital kerana dia mudah terdedah pada jangkitan kuman, satu perkara biasa bagi bayi dilahirkan pramatang.

Selalu juga kami menangis bersama bila diberitakan si kecil itu mengalami komplikasi. Dan air mataku sering saja bergenang bila menatap gambarnya yang ditunjukkan dalam telefon bimbit ibunya. Sungguh sayu melihat tubuh kecil itu ditusuk pelbagai jarum, apatah lagi bernafas menggunakan alat bantuan pernafasan. Sering pula aku teringat anak-anak di rumah lantas bersyukur kerana Allah mengurniakan kesihatan yang baik kepada mereka.

Setelah 3 kali dibedah kerana masalah usus, nyata tubuh kecil itu sudah tidak mampu bertahan lagi. Perlahan-lahan dia lemah dan akhirnya dijemput Tuhan, dalam dakapan hangat ibunya yang buat pertama kali dirasakan semenjak dia dilahirkan ke dunia. Saat menatap wajahnya yang diselimuti kain putih sewaktu jenazahnya dibawa pulang ke rumah, hatiku terasa luluh. Semua tetamu yang datang menziarahi juga sepertiku..masing-masing tidak dapat menahan sebak menatap wajah bersih yang suci tanpa dosa itu. Dia sungguh comel dan kecil, tak terbayangkan kesakitan dan kesengsaraannya menjalani 3 pembedahan major selama hayatnya. Lebih menyayat hati, luka bekas pembedahan terakhir pada sehari sebelumnya masih menitiskan darah, hingga menembusi kain kafan yang menjadi pakaian pertamanya di dunia ini, yang juga pakaian terakhir yang dipakainya untuk mengadap Ilahi.

Ku peluk ibunya dan ku bisikkan padanya agar dia tabah...sambil air mata kami sama-sama menuruni pipi dengan lajunya. Walaupun dia cuma anak sahabatku, walaupun aku tak pernah melihatnya dengan mataku sendiri kerana tidak dibenarkan melawat atas sebab terbatas prosedur hospital, terasa aku benar-benar mengenalinya, melalui cerita-cerita ibunya. Terasa seperti dia sungguh dekat di hatiku, walaupun tidak pernah bersua muka.

Saat pusara kecil itu kami tinggalkan dengan hati yang pilu, aku sempat menghadiahkan Al-Fatihah buatnya. Semoga rohnya ditempatkan di kalangan hamba-hamba yang dikasihi Allah s.w.t. Selamat tinggal sayang, semoga engkau damai di sisi Penciptamu...

Monday, February 14, 2011

Yey..!!! Sudah 19 minggu!!!

Lama aku tak tulis dalam blog ni...sibuk dengan keje. Kalau tak pun aku sibuk buat design aje nak bagi lawa blog aku ni sampai tak sempat nak tulis apa-apa pun. Disebabkan aku ni tengah mengandung jadi banyaklah hormon itu dan ini yang sedang melanda badan ku lantas menyebabkan aku ni agak motherly sikit.. Tapi...bila sampai bab menjerit marah anak kat rumah tu tak dengar langsung suara motherly pun...Hahaha...biasalah tu eaa??
Kandungan aku dah 19 minggu dan Ahad ni akan jadi genap 20 minggu bersamaan 5 bulan. Horeyyy! Tinggal 20 minggu lagilah aku kena usung perut aku ni. Kiranya Separuh Masa Pertama aku dah selesai.. Si kecik kat dalam ni pun bukan main aktif lagi sekarang sampai sesekali bleh tersedak jugak kena flying kick, side kick atau apa2 jenis kick lagilah...Last week aku pegi scan baby ni dan masa doktor tengah scan itu pun dia boleh tergedik-gedik jugak sehingga mengundang senyuman dari bibir si doktor yang agak Muslimah tersebut. Aku ni selaku mamanye lagilah tersengih lebar, bahagia dan geram tengok budak kecik yang comel dan ala-ala ngengade tersebut. :)
Untuk menambah ilmu pengetahuan dalam subjek Sains korang, di sini aku kepilkan sekali ilustrasi dan sedikit penerangan mengenai bayi berusia 19 minggu semasa di dalam kandungan...


Minggu ke-19 :
Tubuh bayi diselimuti vernix caseosa, semacam lapisan lilin yang melindungi kulit dari luka. Otak bayi telah mencapai jutaan saraf motorik dan kerana itu ia mampu membuat gerakan sedar seperti menghisap jari. Beratnya 226 gram dengan panjang hampir 16 cm.


Comel kan?? Hehehe...