Monday, July 9, 2012

Pak Cu Amir

Assalamualaikum..

Kalau suatu hari nanti apabila saya dah tak ada lagi di muka bumi ini..saya mengharapkan anak-anak saya dapat membaca coretan saya mengenai mereka di dalam blog ini. Supaya ingatan saya berkekalan buat mereka dan mereka boleh tunjukkan pula kepada anak cucu masing-masing.

Anak-anak Mama..Damia, Eusoff dan Daniel.

Mama membesar sebagai anak yatim yang kematian ayah. Ayah mama pergi menyahut seruan Ilahi ketika usia mama 12 tahun. Mama ada 3 abang. Merekalah Pak Long, Pak Ngah dan Pak Lang kamu semua. Dan adik mama yang manja dan bongsu Pak Cu kamu itulah..sampai dah besar macam itu pun masih manja dengan Opah dan Mama macam masa kecik-kecik dulu juga. Walaupun Mama mulanya mengharapkan untuk mendapat adik perempuan supaya boleh jadi teman bermain pondok-pondok dan anak patung, tapi kelahiran adik lelaki mama yang satu-satunya ini tetap menggembirakan hati Mama. 

Pak Cu; gambar masa datang rumah sewa kita dulu kat Indera Mahkota 2.

Mama sayangkan Pak Cu kamu  dan sanggup berkorban apa saja untuk dia walaupun terpaksa bekerja dalam usia muda...semata-mata mahu belikan dia KFC. Masa tu KFC boleh dikira makanan mewah bagi Mama..kerana kehidupan yang susah waktu itu. Apa-apa saja kerja yang boleh datangkan duit Mama buat. Tolong orang meniaga di pasar petang, jual buku terpakai, timbang gula dan bawang di kedai runcit, buat kerja pasang barang-barang dari kilang dan macam-macam lagi. Bila Mama dah masuk 16 tahun, Mama rasa gembira sangat sebab Mama dah boleh mintak kerja secara sah di mana-mana syarikat kerana Mama dah layak dari segi umur. Masa itu bermulalah episod Mama bekerja di kilang setiap kali cuti sekolah.

Walaupun kehidupan kami susah, kami tak pernah buat kerja yang tak baik atau mencuri apa yang bukan hak kami. Pernah juga kena fitnah orang yang pandang serong kerana Mama selalu balik sekolah, sampai rumah waktu senja sedangkan orang lain dah balik. Diorang tak tau yang Mama bekerja cari duit. Dan sudah pastilah orang yang mengata itu anak-anak diorang semuanya naik motor atau bas ke sekolah sedangkan Mama terpaksa kayuh basikal sejauh 12 km setiap hari pergi dan balik. Nama pun hidup susah..manalah mampu nak bermewah-mewah macam orang lain.

Kadang-kadang Opah kamu termakan juga hasutan orang, dan selalunya Mama kena marah dan kena grounded sebab itu. Tak apalah...kerana Mama serahkan semuanya kepada Allah..kerana Allah yang lebih mengetahui. Dia yang memelihara keselamatan Mama walaupun Mama selalu balik lambat, alhamdulillah tak pernah berlaku apa-apa sampailah Mama dewasa. 

Cerita pasal makan pulak, Opah kamu semua setiap hari masak satu lauk dan satu hidangan sayur. Kalau ada ayam..opah akan masak 2-3 ketul untuk Pak Cu kamu saja. Mama dan Pak Lang redha (masa itu Pak Long dan Pak Ngah kamu di universiti), kerana kasihankan Pak Cu yang tak merasa makanan mewah, kehidupan yang senang semasa dia membesar, tak macam kami masa arwah Atuk kamu ada dulu, makanan penuh di meja... Jadinya kami semua makan lauk ikan gulai atau ikan goreng dan cicah dengan kicap dan cili potong. Bagi Mama lauk macam tu pun dah cukup sedap hingga menjilat jari. :) 

Kalau Mama ada duit masa itu, Mama akan belanja Pak Cu kamu tengok wayang di panggung Capitol atau Rex. Dah tak ada pun panggung tu sekarang kat Kuala Kangsar. Panggung Capitol masih ada, tapi dah jadi pusat snooker kot. Masa tu tiket wayang cuma RM3. Masa tu, apa yang dia nak makan atau minum Mama akan belikan. Selalunya Mama akan bawa dia naik basikal sampai panggung wayang, sementara nak masuk panggung tu belikan dia keropok Twisties besar dan air tin Coke/Fanta. Masa tu makanan macam ni pun bukan selalu dapat makan. Sedih kan?

Lepas tengok wayang Mama bawak Pak Cu makan ice cream di BB Ice Cream dekat Pasar Kuala Kangsar..atau pun belanja dia makan cendol dan laksa di bawah lembah. Bila tengok dia makan dengan selera Mama rasa happy sangat. Masa itu kawan-kawan Mama dah mula berkepit dengan boyfriend, tapi Mama selalu berkepit dengan Pak Cu kamu. Ke mana-mana mesti bawa dia... sampailah sekarang. Ke mana-mana pergi pun  mesti bawa dia naik kereta Mama bila balik Kuala Kangsar...walaupun Pak Cu kamu dah ada kereta sendiri.

Jalan-jalan kat Bukit Chandan pun Pak Cu mesti ikut.. Tourist guide le kanon-kononnye.

Kat Mydin Mall Jelapang. Sekarang Pak Cu dah mula 'manja'dengan Babah kamu pulak.  Hehehehe...

Gambar Pak Cu dan Opah kat Masjid Ubudiah. Raya tahun 2009..masa tu Eusoff baru 1 tahun.

Pegi Cameron Highland tahun 2010.

Walaupun ada le pernah gaduh dengan Pak Cu kamu..tetapi Mama memang sayangkan dia..adik Mama satu-satunya. Mama harap dia dapat jodoh yang baik dan terus berbakti kepada Opah kamu sampai akhir hayat. Semoga hubungan kami adik-beradik kekal rapat sampai bila-bila. Amin....



No comments:

Post a Comment