Wednesday, May 2, 2012

Eusoff Syurgaku

Assalamulaikum...

Agak lama jugak tak update blog. Saya sibuk dan penat. Jadi bila dapat bercuti selama 4 hari..saya bercuti dengan sepuasnya. Tak mahu tengok benda-benda lain selain keluarga saya. Kebetulan mak dan adik bongsu saya datang bercuti ke rumah saya, memang seronok berkumpul dan bertukar-tukar cerita. Tak terkecuali bawa mereka berjalan-jalan sekitar Kuantan ni... Hari ini adalah hari pertama saya masuk kerja semula selepas bercuti  di rumah selama 4 hari. :))

Okay,  entri kali ini saya nak kongsikan jawapan kepada soalan dan 'ayat penyata' yang biasa saya dengar dari mulut kawan-kawan, keluarga dan orang-orang yang rapat dengan saya.

"Kau ni dah lain sekarang.."


"Apsal aku rasa ko dah berubah?"

"Aku tengok ko rilek je sekarang..dah tak macam dulu. Baguslah.." (cuba teka apa maksud di sebalik ayat ni.. hehe)


...dan seribu satu ayat serta soalan yang menyampaikan maksud yang sama.

Jawapannya ialah kerana Allah telah menggerakkan hati saya berubah menjadi orang yang lebih baik. Allah telah mendengar doa saya selama ini dan memberikan hidayahNya melalui anakanda syurga saya Muhammad Eusoff Danish.

Eusoff anak saya yang dilahirkan dengan autisme mempunyai begitu banyak kuliti yang bagus. Kadang-kadang saya rasa malu dengan diri saya sebagai ibu kalau hendak dibandingkan dengan dia. Eusoff sangat positif, sangat berusaha, sangat lembut hati dan pemaaf, sangat sopan dan baik hati. Dan seribu satu macam kualiti yang baik lagi..selayaknya ada pada setiap manusia di muka bumi ini. Jika difikirkan, saya tak dapat lari dari mengkagumi ciptaan Allah, dan akhirnya dapat memahami mengapakah Allah menciptakan berbagai jenis makhluk dengan pelbagai ciri mereka tersendiri. Eusoff adalah 'living proof' yang dapat menguatkan keimanan saya terhadap Allah. Dia mengajar saya menerima qadha' dan qadar.. dia mengajar saya menjadi sabar. Dia mengajar saya erti tawakkal dan istiqamah. Dia membuat saya berlapang dada menerima segala ujian Allah.. 

Eusoff membuatkan saya faham betapa berdiam itu lebih baik dari bercakap perkara yang tidak-tidak. Dia seperti kitab yang mengandungi berbagai ilmu, hanya menanti masa untuk saya merungkai misteri dan mempelajari sesuatu darinya. 

Eusoff adalah rezeki/ nikmat/ anugerah dan harta saya yang paling bernilai. 

Melalui Eusoff, saya belajar menjadi dewasa dan kanak-kanak dalam masa yang sama. 
Saya menjadi guru, sekaligus menjadi murid. 
Memahami erti menjadi ibu sekaligus anak. 
Menjadi bisu sekaligus bercakap. 
Menjadi buta sekaligus melihat.  
Menjadi  miskin sekaligus kaya. 

Eusoff memberikan saya satu pengalaman hidup yang sungguh menakjubkan. 

Tidak dinafikan... adakalanya dia memberikan cabaran. Menggugat kesabaran saya... Biar saya tanya soalan ini. Berapa ramai ibu yang mampu berada pada tahap kemarahan dalam skala 'zero' apabila mendapati anak anda bermain dengan najis dan memalitkannya ke seluruh kawasan ruang tamu sebaik sahaja anda sampai ke rumah selepas seharian berada di pejabat? Saya juga pernah naik hantu..percayalah! 

Saya tak akan berbohong dan berpura-pura suci dengan mengatakan saya tak pernah naik darah. Tetapi itu dulu.. semasa saya keliru mengenai kelakuan Eusoff, sebelum saya tahu Eusoff seorang autistik. Mengenali Eusoff dan memahami keperluannya secara mental dan biologis telah menjadikan saya seorang ibu yang lebih peka. Semuanya bertitik-tolak dari saat saya mula memahami mekanisma terbaik untuk mengelakkan konflik. Selepas itu, ternyata Eusoff dan saya merasa lebih bahagia. Dan perkembangan Eusoff ketara berubah kepada lebih positif sehingga akhirnya dia mula menyebut beberapa perkataan dan mula mengikut arahan. Ternyata ganjaran kesabaran itu amat manis rasanya.

Eusoff adalah perkara terbaik pernah berlaku dalam hidup saya. Terima kasih Allah...kerana menganugerahkan dia kepadaku. 

Alhamdulillah...





2 comments:

  1. Ganjaran kesabaran itu memang sangat manissss...Alhamdulillah :)

    ReplyDelete