Monday, January 17, 2011

Masih sedih...

Sudah lebih sebulan kebelakangan ini, aku masih rasa sedih. Adakah ini mood swing orang mengandung ke, atau memang nasib dan keadaan tak menyebelahi aku, aku sendiri pun tak tahu. Perasaan aku selalu rasa sayu dan sedih aje. Pulak tu tak ada tempat nak aku berkongsi cerita. Lebih tepat aku sendiri tak mahu berkongsi apa-apa pun dengan sesiapa. Memang sebelum ini, aku jenis yang suka meluahkan perasaan, sekurang-kurangnya pada beberapa orang teman baik, tapi kali ni aku lebih suka menyendiri. Nasib baiklah ada blog ini. Teman yang tak punya suara...

Cuma Tuhan yang tahu semua yang tersirat di dalam hati kecilku. Dan hanya Dia yang selalu mendengar keluh-kesah dan semua rahsia hatiku dalam setiap doaku padaNya. Kadang-kadang aku rasa berdosa. Aku hambaNya yang tidak bersyukur dan tidak sedar diri. Aku hanya dekat denganNya waktu aku susah. Namun sering pula alpa bila aku senang. Ampunkan aku Tuhanku...Aku memang seorang manusia yang penuh dosa.

Akhirnya aku tahu, walau sebanyak mana kasih pun kita pada sesuatu atau seseorang di dunia ini, tidak ada satupun yang mampu menenangkan hati kecuali Allah. Suami, anak-anak, rumah yang cantik bagai mahligai, duit yang berkepuk-kepuk dalam bank atau intan berlian dan emas permata...semuanya tak mampu menenangkan hati seindah perasaan waktu aku sujud dan berdoa di kesunyian malam. Semoga aku tak akan lupa hakikat ini. Walau di masa senangku akan datang...Mungkin ini hikmah yang tersurat di sebalik semua ini. Ya Allah, janganlah engkau biarkan aku tersesat dari jalanMu.

No comments:

Post a Comment