Assalamualaikum...
Semasa Eusoff kecil, dan saya tidak mengerti kenapakah dia berkelakuan tidak seperti anak-anak yang sebayanya, saya berada dalam keadaan yang keliru dan tertanya-tanya. Bila akhirnya dia didiagnos sebagai mempunyai autism, segala persoalan terjawab. Walaupun sedih dan rasa terpukul, saya masih mampu bangun dan mencari rawatan terbaik untuknya.
Dari speech therapy (ST), Occupational Therapy (OT) dan Early Intervention Program (EIP)...sedikit demi sedikit, keadaan Eusoff mula ,berubaah menjadi lebih baik, walaupun pertuturannya masih belum jelas dan ada masalah obsesi dan tingkah laku, namun secara akademik dia adalah setara dan barangkali adalah lebih baik di sesetengah bidang berbanding rakan sebaya. Eusoff juga sudah boleh menguruskan dirinya sendiri, makan minum, mandi, buang air di tandas dan berpakaian..semua mampu dilakukan sendiri. Saya sangka, segala mimpi ngeri yang aku alami selama ini akan berakhir. Kehidupan dan emosi saya kembali stabil dan setelah beberapa tahun akhirnya saya kembali gembira dengan kehidupan seharian
Apabila dia mula melangkah ke alam persekolahan, dia ditempatkan di arus Pendidikan Khas Intergrasi Bermasalah Pembelajaran (PPKI). Dari detik inilah, perlahan-lahan kebahagiaan yang baru dikecapi berkecai secara perlahan-lahan.
Eusoff sukar menyesuaikan diri.
Situasi baru..teman-teman dan guru-guru baru. Cara belajar yang baru.
Sekarang dah pertengahan September. Sejak akhir-akhir ini, saya terima aduan dari cikgu boleh dikatakan hampir setiap hari. Dia kadangkala ok..kadangkala hanya menjerit menangis sepanjang masa di sekolah. Dia tidak suka bergaul dan mahu dibiarkan saja sendirian. Sepertimana dia di rumah yang lebih suka buat hal sendiri-sendiri, tetapi sampai bila dia nak berkelakuan seperti itu? Lambat laun dia terpaksa bergaul juga dan belajar menerima apa yang dia tidak suka berlaku di sekelilingnya. Dan rakan sekelas yang juga semuanya pelajar istimewa, manakan mungkin memahami bahasa tubuhnya si Eusoff yang hanya mahu bersendirian tanpa dapat menyuarakan hasratnya secara verbal?
Eusoff juga mudah bosan bila disuruh melakukan perkara yang dia dah tahu buat. Oleh kerana dia juga hyperlexic, sukatan pelajaran yang mudah ada yang sudah dia tahu sepertimana dia pandai membaca secara automatik ketika dia masih bayi. Terikat dengan sukatan pelajaran, dan terpaksa belajar benda-benda asas yang dia dah tahu, dia mula memberontak hanya mahu melukis dan tak mahu buat tugasan yg diberi oleh cikgu.
Makin memburukkan keadaan, kelasnya dalam proses ubah suai. 4 kelas yang terlibat, salah satunya kelas Eusoff. Maka 8 buah kelas PPKI sekarang ditempatkan secara berhimpit-himpit dalam 4 buah kelas. Aku faham Eusoff mudah sensory overload duduk ramai-ramai begitu, tapi apalah daya saya. Sekiranya aku ada keluarga terdekat berdekatan, mungkin saya berhentikan sekolahnya sementara menunggu bangunan kelasnya siap diubahsuai, barulah saya hantar Eusoff ke sekolah. Saya terpaksa bekerja dan Eusoff tiada siapa yang mampu menjaganya. hendak tak hendak, dia terpaksa saya hantar ke sekolah juga. Setiap kali saya berjalan dengannya dari kereta ke kelas, jiwa saya berperang antara kasihan dan terpaksa, dan tambah sayu bila dia mula merengek-rengek mohon simpati agar saya tak hantar dia ke kelas. Menambah luka yang sedia ada, hanya dia seorang saja dengan perangai macam ini..tak ada murid lain. Masa ni otak saya akan fikir kenapa Eusoff yg Allah jadikan moderate - severe autism? Kenapa anak orang lain mild? Kenapa anak saya yang suka buat kacau dalam dunia ni? Kenapa anak orang lain elok je walaupun mak dia takde la sampai kurus berlari macam orang gila sebab nak terapikan anak?
Akhir-akhir ini, emosi saya terganggu sangat-sangat. Berlari pun saya tak bersemangat. Setiap kali saya ambil Eusoff dan tengok dia sedang menangis saya rasa nak mati. Saya penat membawa dia terapi sana sini, bawak dia berlari, bawak dia berkuda..korbankan waktu kerja dan peluang utk expand kerjaya. Masa saya. Waktu rehat saya. Tiba-tiba saya rasa semuanya sia-sia kerana Eusoff kembali ke square one. Macam mula-mula masuk sekolah dulu balik. asyik tantrum dan menangis.
I feel like punching somebody in the face, tapi saya tak tau kepada siapa harus saya salurkan kemarahan tu. Saya selalu menangis macam orang gila waktu bawak kereta macam dulu-dulu balik dan rasa saya ibu yang teruk dan gagal serta tak berguna satu sen pun setiap kali dapat aduan dari cikgu-cikgu. As if I am doing nothing at all. Walhal segalanya saya dah buat...tinggal nyawa lagi je yang saya belum bagi kepada Eusoff...
Kasihan anak-anak, selalu bertanya macam-macam tapi saya biarkan tak berjawab kerana saya lebih memilih untuk diam dan melayan perasaan mencari di mana silap saya. Susah saya nak berlakon gembira sedangkan jiwa tak tenang. Sekiranya saya ada duit, dan tak perlu bekerja untuk kelangsungan hidup, saya lebih rela homeschool si Eusoff dari menyeksa dia setiap hari hantar ke sekolah dalam keadaan begini...