Anak saya seorang anak autisme yang biasa. Tiada yang luar
biasa dengannya. Dia bukanlah seorang savant yang boleh mengetahui hari yang
tepat dengan sesuatu tarikh tertentu, dalam masa 5 saat. Bukan juga genius matematik
yang boleh mendapatkan jawapan kepada soalan matematik yang sukar tanpa perlu
mengira seperti orang lain. Dia tidak menghafal Al-Quran melainkan beberapa doa
dan surah pendek yang sering saya ajarkan padanya. Itu pun dibaca dengan
sebutannya yang kurang jelas, sepertimana pertuturannya juga yang masih dalam
tahap berkembang, tetapi dalam kadar yang amat perlahan.
Anak saya juga tidak sembuh dari autismenya, walaupun saya
telah dan masih berusaha dengan segala macam jenis rawatan yang saya mampu dari
segi fizikal, mental serta yang paling penting kewangan. Segala bentuk terapi atau
intervensi yang saya fikir perlu, sekiranya tidak berkecukupan dari segi
kewangan, sayalah yang akan melatihnya sendiri. Tidak mempedulikan kebahagiaan
sendiri, semuanya saya korbankan untuk Eusoff. Anak saya tetap tidak juga sembuh
seperti cerita-cerita yang biasa disuapkan kepada ibu bapa kepada anak-anak autistik.
Eusoff tak sembuh. Dan saya akhirnya
percaya inilah takdir saya, bahawa anak saya akan tetap autistik sampai
bila-bila.
Saya faham derita ibu bapa yang sama senasib. Terlebih faham
barangkali. Harapan yang sering bermain di fikiran dan kehampaan yang bakal
dirasakan apabila segala usaha akhirnya menemui jalan buntu. Saya juga pernah
mengakui yang keadaan anak saya sedang berkembang dengan baik apabila ada sesiapa bertanya, walaupun saya sendiri tidak pasti. Saya
biarkan pengharapan saya mengaburi realiti yang sedang terjadi. Saya pernah
berada dalam situasi itu – mahu anak pulih! Walau pun saya sebenarnya faham,
bahawa autism ialah sejenis gangguan neurologi yang tak mungkin akan sembuh.
Autisme adalah sejenis kecacatan. Autism adalah sejenis kecederaan otak secara
semulajadi yang telah terjadi sejak Eusoff di dalam kandungan lagi. Dia adalah
anak istimewa yang diciptakan Tuhan.
Saya juga biasa disogokkan dengan kata-kata semangat yang
keterlaluan dari orang-orang yang bersimpati. Bahawa anak autisme mampu
mencipta kejayaan luar biasa dalam bidang teknolgi dan menjadi seorang jutawan
perisian computer seperti Bill Gates. Bahawa anak saya mungkin jadi seorang
manusia yang terkenal, dan menjadi benchmark kepada sesuatu bentuk teori fizik
seperti mana Albert Einstein.
Tahukah kamu, senyuman dan anggukan saya selalunya lebih
bersifat ‘menjaga hati’ kerana saya sebenarnya telah lama redha dan menerima bahawa
anak saya akan kekal dengan seperti mana
dia sekarang buat selama-lamanya. Saya pasti kamu berkomentar seperti itu pun, untuk menjaga hati saya. Saya walau bagaimana pun selalu berterima
kasih dan mengaminkan kata-kata seperti itu, walaupun apa sebenarnya yang sedang
bermain di fikiran saya adalah sejauh mana anak saya nanti mampu menguruskan
dirinya apabila saya dan suami telah tiada lagi untuk mengatur hidupnya.
Saya seorang ibu yang biasa. Seorang manusia biasa. Ada
masanya saya kuat bertahan dengan dugaan demi dugaan yang datang. Adakalanya
saya juga lemah dan tewas dengan perasaan sendiri. Jadi, berhentilah menganggap
saya seorang yang super kuat dan super tabah. Tidak ada seorang ibu pun di
dunia ini yang mahu anaknya cacat. Dan tidak ada seorang ibu pun yang mampu
positif setiap masa apabila anak kesayangan direnung, dijadikan bahan umpatan
dan disisihkan orang. Apa yang orang selalu lihat ialah diri saya dalam keadaan telah bertenang. Orang tidak lihat bagaimana saya meraung
seorang diri di dalam kamar mandi. Orang juga tidak melihat bagaimana saya
mengamuk dan naik angin bila kerenah anak menjolok mata serta mencabar kesabaran. Saya seorang manusia biasa. Kadangkala
khilaf. Kadangkala menangis dengan perkara remeh. Kadangkala mengadu masalah
kepada suami seperti anak kecil yang dimarahi ibu – membentak-bentak,
memaksa-maksa, merajuk kerana ingin mendapatkan sesuatu.
Kita semua sama saja. Dugaan kita mungkin berlainan. Tetapi cara
mengatasi masalah itulah yang membezakan
siapakah kita. Saya tahu tiada pilihan melainkan terpaksa menjadi kuat apabila berdepan masalah, kerana anak itu anak saya. Tidak seperti barang yang bila kita sudah jemu dan muak dengannya, boleh disimpan atau diberikan kepada orang lain. Saya terpaksa menghadapi apa jua kemelut yang bakal terjadi seiring perkembangan mental dan fizikalnya. Saya tau saya bakal berhadapan tenungan orang walaupun ke mana saya pergi. Semoga setiap kesabaran saya itu Allah memberi balasan syurga yang indah lagi abadi...kerana saya tau saya takkan melepaskan anak saya kepada sesiapa pun, kecuali kepada Dia yang berhak.
Selamat berhujung minggu.
Selamat berhujung minggu.