Showing posts with label Me. Show all posts
Showing posts with label Me. Show all posts

Tuesday, February 25, 2014

Tahap Penerimaan Ibu Bapa

Assalamualaikum...

Memang betul anak istimewa untuk ibu bapa istimewa . 

Saya biasa dengar orang yang tak punya anak istimewa macam saya kata "that must be hard for you"..actually it's not. Jaga anak-anak istimewa ni memang la banyak kerja..mimpi pun pasal therapy and whatnot. Tapi anak-anak ni kalau kita dah faham dia..senang je nak jaga. Pertuturan bahasa german si Eusoff pun saya boleh faham..kadang-kadang lirikan matanya saya boleh sudah boleh jangka apa yang sedang bermain di fikiran si Eusoff.

Kuasa Ilahi...ibu boleh memahami bahasa yang orang lain tidak faham, ibu kanak-kanak bisu dan pekak boleh memahami bahasa yang anaknya tidak pernah tuturkan. Hebat kan? Tapi..nak sampai tahap macam ni bukan senang tau? Dah puas menangis dulu... 

Ok hari ni saya nak kongsi satu perkara yang paling penting tapi ramai orang rasa tak perlu diambil tahu...iaitu tahap penerimaan atau mencapai redha dengan takdir yang Allah tentukan buat kita. Paling sedih sekali ialah bukan semua hospital atau organisasi berkaitan menyediakan khidmat kaunseling kepada ibu bapa atas masalah mereka (sedih, pilu,bimbang dengan masa depan anak dll). Yang disediakan ialah kaunseling untuk membantu pembangunan anak yang terbabit sahaja. Padahal masa ini hati seorang ibu atau ayah sangat sedih, tertekan dan perlukan sokongan mental dan emosi.

Tempoh Bersedih

Ibu bapa bukanlah superman atau super woman yang ok saja bila diberi diagnosis bahawa anak mengalami autism. Selain dari ibu bapa ni, ada juga pihak lain seperti guru-guru dan golongan profesional lain yang akan terlibat secara langsung dengan kanak-kanak autistik ni tadi. Yang paling teruk terjejas mestilah IBU BAPA. jadi golongan profesional yang terlibat sama juga perlu disediakan untuk membantu ibu bapa  melalui peringkat biasa pelarasan ke arah penerimaan munasabah keadaan anak mereka dan nasib mereka.

Tenaga penuh ibu bapa umumnya tidak boleh diarahkan ke arah memahami ketidakupayaan kanak-kanak, tahap pembangunan , kesediaan untuk arahan, atau penyertaan di dalam proses ini, sehinggalah ibu bapa yang menghadapi kesukaran menerima kecacatan anak mereka dapat menampung kesakitan mereka sendiri dan kekecewaan itu dengan menguruskannya secara baik.

Peringkat-peringkat pelarasan

Titik pertama yang paling penting ialah  menyediakan sokongan untuk ibu bapa perlu dalam tempoh diagnosis yang tidak menentu, sebab masa inilah banyak kekeliruan atau kebingungan . Kadang-kadang ada poercanggahan seperti autisme atau penentuan yang kurang muktamad seperti  Pervasive Developmental Disorder (PDD). 

Peringkat Satu

Ketika menerima diagnosis dari golongan profesional yang merawat atau menangani kes, ada ibu bapa yang mungkin terkejut , menangis atau kecewa . Kadang-kadang ibu bapa boleh meluahkan perasaan mereka melalui ledakan fizikal atau , kadang-kadang , ketawa yang tidak sesuai (disbelief laughter).                                

Peringkat Kedua



Ini adalah lanjutan daripada peringkat satu. Pada masa ini , ada sesetengah ibu bapa yang menafikan kecacatan anak mereka atau cuba untuk mengelakkan realiti dalam beberapa cara lain. Sesetengah ibu bapa akan mencari atau cuba untuk mencadangkan pelbagai tindakan dalam usaha untuk mengubah realiti. Mungkin ada yang " membeli penawar " atau cuba untuk tawar-menawar untuk realiti yang berbeza. Ketika ini, apa saja ubat atau makanan tambahan yang dikatakan mampu meningkatkan fungsi otak, akan dibeli oleh ibu bapa terbabit, semata-mata nakkan anak mereka jadi seperti kanak-kanak normal atau tipikal.


Peringkat Tiga

Pada peringkat ini , ibu bapa mungkin berasa marah . Mereka mungkin menunjukkan kemarahan mereka secara zahir , dalam bentuk kemarahan , atau menjadi pasif dari perasaan bersalah. Mereka mungkin secara lisan menyerang sesiapa sahaja yang mungkin dipersalahkan untuk keadaan  mereka, termasuk  kepada diagnostik asal atau mana-mana profesional sokongan. Ini adalah perkara biasa. Jika ibu bapa berasa marah, bersalah, atau kedua-duanya , profesional perlu memahami peringkat ini adalah sesuatu yang amat positif untuk mencapai tahap penerimaan dan tidak menjadi defensif jika diserang.

Peringkat Empat

Ibu bapa boleh menerima hakikat bahawa anak mereka mempunyai kecacatan. Dalam sesetengah situasi, satu atau lebih daripada ahli keluarga mungkin berhadapan masalah kemurungan. Perasaan malu , rasa bersalah, putus asa, dan kebimbangan yang berpunca daripada bebanan serta tanggungjawab boleh menjadi amat intense. Bagi sesetengah ibu bapa, berundur , disertai dengan usaha untuk menyembunyikan kanak-kanak, terutamanya daripada rakan-rakan dan orang lain dalam  rutin pertemuan sosial (contoh kenduri-kendara dan hari perayaan) mungkin tanda pertama bahawa mereka sudah mula menerima hakikat anak mereka mempunyai kecacatan. Walau bagaimanapun , mana-mana kecenderungan ke arah atau demonstrasi tingkah laku yang mengakibatkan pengasingan abnormal dari mana-mana ahli keluarga perlu dicegah oleh ahli keluarga yang lain.

Peringkat Lima

Ini adalah peringkat penerimaan , bermakna ibu bapa telah mencapai tahap positif tanpa syarat untuk anak-anak. Pakar berpendapat bahawa ini adalah peringkat awal tahap penerimaan keadaan anak mereka , dan sangat penting bagi ibu bapa bukan apabila mereka bukan sahaja mula memahami dan menghargai anak-anak mereka tetapi mengukuhkan kemahiran mereka dalam menghadapi kehidupan dan juga dapat membantu anak-anak mereka , diri mereka sendiri, dan lain-lain . Pada peringkat ini sekolah boleh menjemput ibu bapa untuk menjadi ahli pasukan dalam program dengan profesional yang prihatin serta direka untuk memenuhi semua keperluan kanak-kanak terbabit.

Peringkat Enam



Ibu bapa dapat menikmati hidup bersama-sama, membayangkan masa depan , dan bercakap tentang anak-anak mereka dalam keadaan bebas daripada emosi yang tidak wajar. Mereka boleh berbincang dan mengambil bahagian dalam mereka bentuk atau menyediakan arahan secara objektif.





*gambar ihsan pakcik Google





Tuuuuu diaaa...bukan senang tau nak sampai tahap 6. Saya ambil masa dekat 3 tahun. Akhir sekali, saya harap ada pihak yang tampil untuk membantu ibu-bapa yang baru mendapat diagnosis ni..kerana masa ni ramai yang sangat tertekan tapi tak tau nak cakap dengan siapa. Sedih kann? kalau yang kuat iman tak apalah, kalau ada yang tak kuat iman sehingga sampai terlanjur mempersoal qada dan qadar Allah..itu dah kes berat. Saya bertuah sebab saya dikelilingi oleh orang-orang yang positif dan terjumpa kumpulan sokongan yang best. Bagi orang lain mungkin situasi berbeza. So kalau boleh, rujuklah juga parents ni kepada kaunselor bertauliah yang boleh mendengar isi hati dan memberi khidmat nasihat... Sekian dulu ye? Ada silibus nak kena repair ni..nak submit hari ni pulak! Bubbye! XOXO

*sumber

Thursday, April 18, 2013

Toilet Train

Assalamualaikum...

Minggu yang bahagia buat saya. Paling bahagia saya rasa.

My romantic hero.. Selalu romntik dalam kereta tawww? Auuww.. ;D

Eusoff dah pandai buang air di tandas. Di rumah.. dan sekarang di sekolah pun beri kerjasama penuh.. Walaupun ramai orang yang beritahu supaya jangan pakaikan diaper terus bila nak toilet train anak,
tapi saya terus beri pakai sambil tu saya atur ke tandas. Saya tak mau dia terkucil di sana sini, kerana rumah kami yang kecil dan kadang-kadang keadaan memaksa, saya dan suami terpaksa solat di ruang tamu. Dan saya tak mau susahkan cikgunya yang sama-sama banyak membantu..

Sebagai ibu, hanya kita yang memahami anak kita sepenuhnya. Dan saya tahu bila dia bersedia. Anak autism seperti Eusoff perlukan ruang dan jangkamasa yang tertentu, bukan seperti kanak-kanak tipikal seusianya. Memarahinya tak mendatangkan manfaat apa-apa, tidak lebih dari sekadar menyakiti hati dia dan saya juga. Kadangkala saya terusik bila ramai yang cuba mengajari saya bagaimana mahu mengajar anak supaya buang air di tandas mengikut cara masing-masing. ..kadangakala hingga membuatkan saya keliru, rendah diri dan merasa diri saya seorang ibu yang teruk kerana tak mampu melakukan perkara yang sama.

Orang yang tidak punya anak seperti Eusoff selalu memandang jijik anak yang dah besar seperti dia masih memakai lampin pakai buang. Pandangan jijik itu sebenarnya lebih dirasai ibunya, iaitu saya. Kadangkala dengan ibu bapa senasib juga ada yang saling saing-menyaingi, menceritakan kehebatan anak masing-masing lantas membuahkan kecewa di hati ibu bapa yang anaknya tidak punyai kemampuan sama. Kadangkala saya lebih gemar diam, dan melihat dari jauh. Saya faham kadang-kadang ibu bapa seperti saya, mudah teruja dengan kebolehan anak-anak istimewa, walaupun dengan perkembangan yang sedikit dan kecil. Rasanya pengalaman telah mematangkan saya. Saya tak mahu menimbulkan perasaan yang sama kepada rakan-rakan yang lain..Jadi..

Saya kongsi di sini. Kerana blog ini mutlak dan khusus untuk saya mencoretkan apa saja. Dan hanya dilihat  dan dibaca sesiapa yang berminat. Saya berharap sangat tiada kawan-kawan yang membaca merasai apa yang saya pernah rasa itu..dan saya harap apa jua perkongsian di sini mendatangkan manfaat. Sekurang-kurangnya sedikit harapan dan inspirasi.

Ya..anak saya dah buang air di tandas. Walaupun masih dalam lesen 'L', perkembangan yang satu ini nyata amat membahagiakan saya. Gembiranya hanya Allah yang tahu... kerana saya berjaya menunjukkan bahawa ibu bekerja seperti saya juga mampu toilet train anak autisme saya. Terima kasih jua buat Lao Shi Eusoff yang bekerjasama dan susah payah atur Eusoff ke toilet semasa di sekolah. Sebak pulak dah...siap bagi ucapan macam menang award. Heheh...tapi memang benar...ini award atas kegigihan. Terima kasih Allah..

Alhamdulillah...

Wednesday, December 26, 2012

2012 Review

Tahun 2012 sudah hampir sampai ke penghujungnya.

Tahun yang penuh suka duka.
Tahun paling banyak air mata.
Pun tahun paling banyak gelak..
Tahun paling banyak kejayaan
Juga tahun paling banyak kegagalan.

Tahun muhasabah diri.
Tahun paling emosi.
Tahun paling stress.
Juga tahun paling happy.
Tahun paling banyak membaca bahan ilmiah.
Tahun paling banyak argument dengan doktor. ;)
Tahun paling tak lawan cakap bos.
Tahun paling banyak cuba resepi baru.
Tahun paling rajin masak.
Tahun paling ambil kisah.

Tahun merasa paling dekat dengan Allah s.w.t
Saya berasa begitu bergantung dengan Allah
teramat-amat sangat.
Saya tak sanggup memikirkan sekiranya Dia jauh dari saya
Saya amat perlukan DIA.
Sebanyak-banyaknya dalam semua tindakan saya.

Rahsia Allah takkan terjangkaukan fikiran manusia..
Sungguh banyak dan takkan mampu terungkaikan
Sekalipun cuba ditebak apakah hikmah yang terselindung
Atau apakah ia natijah perbuatan sendiri?
Cukup kuatkah kita menelan kepahitannya
Kebinasaan yang kita lakukan terhadap diri ?

Tahun ini saya bersyukur bila ditimpa musibah
Setelah 33 tahun hidup
Selain daripada cuma berkata kepada orang lain:-
"Sabar..tentu ada hikmah disebalik semua ini".
sambil sendirian merasa ragu-ragu
"Mampukah saya praktikkan apa yang saya ucap kepada si polan itu?"

Sesungguhnya REDHA itu lebih dari sekadar ungkapan
Yang menjadi syahdu dalam filem cinta dan drama hujung minggu
Redha kepada takdir Allah dan berserah kepadaNya bagaimana mahu disusun dan dicorak hidup ini
Dalam usaha mencari REDHA AL-Khalik kepada hambaNya
yang sangat kerdil sekerdil-kerdilnya

Sedangkan mulut yg kecil ini pun tak mampu saya jagai
Dari melakukan dosa
Apatah lagi amanah yang lainnya?
Kecilnya aku Tuhan..
Kecil dan hina!









Monday, December 10, 2012

Tanpa Tajuk


Saya selalu ingatkan diri saya supaya tidak terlalu 'ambitious'. Walaupun dalam hati saya mahu anak istimewa saya mampu urus diri sendiri seawal mungkin, mampu diajar melakukan benda-benda asas, atau mampu bersekolah di aliran perdana.. Tetapi cita-cita ibu mungkin tidak sama dengan kemampuan dan kehendak 'tersembunyi' si anak. Kadang-kadang saya dah tak tahu pada tahap mana seharusnya cita-cita dan harapan saya gantungkan.. Bimbang di letak terlalu tinggi nantinya jatuh berderai menghancuri hati saya sendiri. Atau akibat yang lebih teruk membuatkan anak saya sedih dan merasa rendah diri.

Ambil contoh yang mudah :- 'toilet training'. Eusoff menangis setiap kali di bawa masuk ke bilik air. Belum saja berbuat apa-apa.. dia sudah takut, sudah tidak selesa, sudah gelisah dan mahu segera keluar dari situ. Untuk membuat anak saya faham bahawa di sana tempat untuknya membuang air kecil atau besar saja hampir tidak berjaya..bagaimana harus saya letakkan harapan yang tinggi-tinggi? Saya pujuk hati dengan berkata.. 'ISTIQAMAH'...perlahan-lahan dan berterusan, pasti ada hasilnya. Tetapi konsistensi saya tidak sama dengan bapanya yang mudah merasa lelah dan putus-asa. Saya ingin sama-sama mencuba, sama-sama kecewa, sama-sama stress, sama-sama sama-sama berkongsi kejayaan dan outcome treatment atau terapi yang kami lakukan tetapi naluri seorang lelaki adalah sesuatu yang amat complex..*sigh* Saya tidak akan dapat memahaminya sampai bila-bila..

Berbalik kepada soal harapan dan cita-cita, kadang-kadang saya hilang arah..saya kecewa. Kadang-kadang hingga saya stress dan marah-marah. Sejujurnya..saya bukan seorang yang berhati halus, bukan orang yang sabar saja setiap masa.. Saya tiada waktu untuk diri saya lagi..kerana anak-anak sudah mengambil semua waktu yang saya ada di rumah. Suami saya hanya diam..diam..dan diam. Saya tidak tahu lagi diamnya dia kerana selesa, bahagia, marah atau sedih. Saya rasa seakan hilang dan tidak wujud  akhirnya..  saya merasa berseorangan menempuh semuanya. Yang tinggal cuma ada ALLAH Rabbul Jalil.. Cuma Dia.

Kerana saya dihidupkan hanya untuk mengabdikan diri kepadaNya, maka keyakinan itu masih ada walaupun adakalanya nipis dan goyah. Hanya padaNya saya sandarkan harapan dan doa setiap saat.

Ya Allah..jangan tinggalkan aku. Tolong aku wahai Tuhanku..jangan lepaskan peganganMu. ~







Wednesday, October 17, 2012

Wanita (Isteri & Ibu) Berkerjaya atau Suri Rumah?

Assalamualaikum w.b.t.

Sejak kebelakangan ini saya sering terbaca status kawan-kawan di Facebook yang berada di dalam dilema iaitu sama ada untuk terus bekerja atau menjadi suri rumah sepenuh masa. Terutama sekali bagi yang memiliki anak istimewa yang semestinya menuntut lebih perhatian, dilema ini seakan tiada berkesudahan daripada terus-menerus menghantui fikiran si ibu.

Perkara ini juga ada terlintas di fikiran saya. Saya pernah bekerja di sektor perindustrian, berhenti kerja untuk menumpukan perhatian kepada keluarga dan akhirnya kembali bekerja di sektor pendidikan tinggi. Berdasarkan pengalaman saya, karier saya sekarang adalah di mana saya merasa paling bahagia. Kepuasan hidup berada di tahap optimum, sementelah anak-anak dan suami gembira. 

Tuntutan kehidupan sekarang menuntut kaum wanita, sekaligus isteri dan ibu untuk keluar mencari nafkah untuk keluarga. Seperti juga saya. Kehidupan saya semasa bekerja di sektor industri menuntut masa yang panjang, komitmen terhadap kerja yang mengikut permintaan pelanggan dan tidak tentu masa membuatkan saya merasa jauh  dari keluarga. Sedangkan masa makan, minum dan rehat sendiri pun tidak menentu, bagaimana pula harus saya bahagikan masa buat keluarga? Tidak dinafikan pekerjaan saya dulu adalah yang paling memuaskan hati kerana saya dapat menyerlahkan potensi dan kreativiti saya secara maksimum serta gaji yang lebih besar, tetapi apalah ertinya sekiranya kita ketinggalan detik-detik pertama anak mula merangkak, berjalan atau bercakap?



Saya berhenti kerja lalu menjadi suri rumah. Saya merasa lebih tenang. Tiada lagi adrenaline rush menerima tempahan mengejut dari pelanggan, tiada detik berdebar sewaktu dipanggil majikan untuk diberikan appraisal dan tiada lagi kekusutan saat brainstorming. Saya bahagia tetapi lama-kelamaan merasakan kehilangan. Saya merasa terputus hubungan dengan dunia luar. Tiada kawan dan tiada ruang untuk bersosial (bukan bersosial kat kelab malam ye..tapi bertukar-tukar cerita dan buah fikiran dengan teman-teman).

Suami menjadi satu-satunya teman bercerita, tapi saya cuma mampu menjadi pendengar apabila suami bercerita tentang kerjaya, cita-cita dan harapan. Saya tiada cerita mahu dikongsikan melainkan cerita anak buat nakal itu dan ini, periuk belanga selain harga barang yang naik atau hari ini tiada bahan mentah yang diperlukan untuk memasak kerana penjaja ikan tidak datang berjualan! Sebelum saya menyudahkan cerita, saya sedari suami saya sudah pun terlena. Suami pula banyak berhutang untuk menampung keperluan hidup. Rumah sewa hanya sebuah rumah kos rendah dengan sewa murah. Makan dan pakai ala kadar bagi saya tidak mengapa, tetapi jauh di sudut hati saya merasa terkilan tidak dapat memberikan yang terbaik untuk anak-anak. Suami terpaksa membawa bekalan makanan ke tempat kerja untuk berjimat. Langganan internet serta siaran televisyen berbayar adalah  sesuatu yang tidak mampu diperolehi.  Kami jarang makan di luar serta kurang masa beriadah bersama keluarga kerana terpaksa mengurangkan kos di mana yang boleh.


Akhirnya setelah menimbang baik dan buruknya, saya kembali bekerja tapi kini di bidang pendidikan tinggi dengan profesion pensyarah. Waktu kelas yang fleksibel membantu saya menyempurnakan tugas hakiki seorang ibu seperti menyediakan makanan untuk keluarga, menghantar dan menjemput anak dari sekolah dan menghantar anak istimewa saya ke sesi-sesi terapi dan temujanji doktor. Saya juga kembali mempunyai teman-teman, mempunyai wang untuk membeli kereta saya sendiri untuk kemudahan keluarga dan ke tempat kerja. Saya kini mampu mendapatkan guru dan terapi yang terbaik untuk anak istimewa saya serta  membayar kos untuk makanan dan supplement spesifik untuk memastikan dia dapat hidup normal suatu hari nanti.

Suami saya pula kini telah mampu membeli sebuah rumah sederhana besar untuk kami dan kami sudah mampu membayar insurans untuk keluarga, memanjakan anak-anak sekali-sekala dengan makan yang sedap-sedap di luar, beriadah di taman tema atau melancong sekali-sekala di dalam negara serta memberikan sedikit wang dari gaji bulanan untuk emak di kampung. Dengan wang gaji saya juga, saya mencari ilmu mengenai autisme, mendapatkan kidmat nasihat profesional, ke luar daerah menghadiri kelas dan kursus berkaitan penjagaan anak istimewa serta membuat serba sedikit amal jariah (seperti ibadah qurban) sebagai bekalan di akhirat nanti.

Walaupun sudah 5 tahun bekerja di sini, saya tidak pernah membeli walau seurat emas pun untuk diri saya. Tidak pernah membeli beg tangan, kosmetik atau pakaian berjenama. Tidak pernah membeli karpet berbulu tebal, perhiasan buatan luar negeri, perabot mewah, baju sutera, melancong ke luar negara atau segala bentuk barangan mahal yang tidak berkeperluan mendesak mengikut kehendak saya. Segala wang gaji, kenaikan tahunan, bonus atau imbuhan..kerana Allah saya belanjakan untuk keluarga. Kerana berbalik kepada niat yang asal saya bekerja hanya demi membantu suami menampung perbelanjaan dan memberikan yang terbaik untuk anak-anak maka saya tidak pernah bernafsu membeli barang-barang itu hanya untuk kepuasan diri saya seorang.

Apa yang boleh saya simpulkan di sini, kerjaya yang tepat mampu memberikan kepuasan maksimum membina kerjaya di bidang profesional dan menjadi  isteri serta ibu yang sejati. Selain menambahbaik kualiti serta taraf hidup keluarga, kita juga mampu membahagiakan diri sendiri, pasangan dan anak-anak. Walau bagaimanapun seorang wanita haruslah menentukan keutamaannya sendiri berdasarkan situasi kehidupan sekarang.

Sudah pasti wanita yang terikat dengan komitment 100%  terhadap ahli keluarga yang sakit atau uzur atau mempunyai anak istimewa yang memerlukan penjagaan rapi tiada pilihan melainkan berhenti kerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa. Begitu juga sekiranya wanita tersebut mempunyai suami dari latar belakang kerjaya dengan pendapatan yang kukuh. Sudah pasti tidak akan berdepan dengan krisis ekonomi keluarga sekiranya wanita tersebut meninggalkan kerjayanya. Pokok pangkalnya adalah keperluan dan situasi masing-masing. 

Pisau dan mentimun ada di tangan, jadi buatlah keputusan yang tepat!




Monday, October 15, 2012

Feeling Remaja Bersama Cikgu Misai

Assalamualaikum w.b.t

Hari tu Cikgu Misai dan saya teringin sangat-sangat nak makan ayam Nando's. Masa pegi KLCC dengan kekanak IKIP ni sibuk benor jaga diorang, tak sempat saya nak pergi beli kat outletnya. So..masa pergi Jamuan Hari Raya kat Putrajaya hari tu, Google la kejap dalam kereta cari kat manalah ada Nando's kat KL tu. Sekali tengok dekat Alpha Angle Wangsa Maju ada. Wahhhh...ALPHA ANGLE!! Tu tempat dating zaman muda-muda dulu tu... Suka suka sukaaaa! So Cikgu Misai pun dengan pantas drift dari IKEA ke Alpha Angle.

Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pulak tempat dating... :)
Dulu rumah sewa saya kat Seksyen 3 Wangsa Maju tu..kat belakang Alpha Angle ni je.. Jadi memang haruslah paling kerap melepak kat sini. Dulu jalan-jalan berdua time kurus kerempeng.. Sekarang dah macam Shrek laki bini bawak anak-anak pegi jalan-jalan. Masuk lif orang lain dah takbleh masuk dah..hahaha..

Tuuuu diaaa.... Pucuk dicita ayam golek yang datang! Hahaha..
Serius..ehhh.. duarius best dapat makan kat Nando's ni. Kalau la ada outlet dia kat Kuantan ni, haruslah pegi makan tiap-tiap bulan. Mahal tapi berbaloi dengan kesedapannya..wallaaahhh!

Tuuu diaaaa yang buat tak tido malam tu. Sedap weiii... Yummeh!!
Selepas melantak dengan jayanya..Kami pun pergi jalan-jalan dalam Alpha Angle tu sambil mengenang kembali kisah zaman-zaman bercinta dulu. Chewaaaahh! Itu jam kami naik motor sahaja. Cikgu Misai belum pun jadi cikgu. Masa baru-baru grad katakan. Jalan punya jalan boleh terserempak pulak dengan bekas housemate. Pun dah anak 3!! Laa haaaii...bleh pulak jumpa kat tempat ni padahal member dah kerja kat Putrajaya pun. Memang ada rezeki kami hari tu, memang tak dirancang tapi bertemu kat tempat kami main cak-cak ni dulu. Tak sempat pulak ambik gambar berdua..Excited sangat dapat jumpa balik lepas bertahun-tahun. Rugi pulak rasanya tak sempat ambik gambar zaman dah jadi emak-emak pulak kann?

Askar-askar yang konfius kenapa mak bapak diorang cam suka sangat je pegi sini..

Lepas dah settle semua, anak-anak pun dah kenyang, kami pun bergerak balik ke Pahang. Bukan nak cakap saya ni romantik ke hape.. tapi sebenarnya acara macam ni patutlah diadakan sekali-sekala untuk mengeratkan kasih sayang antara suami isteri. Kadangkala kita sebagai mak ni terlalu sibuk dengan kerjaya, dengan anak, dengan kerja rumah..sampai tak lagi prihatin seperti dulu kepada suami. Orang lelaki ni walau macho macamana pun, dalam hati ada taman. (HEHEHE) Depan orang memang la nampak rilek dan COOL seperti kumpulan KOOL..tapi sebenarnya apa yang diperlihatkan tu adalah egonya sahaja. Di sebalik ego dan kemaskulinnannye (wahh...gituu.. Ada ke perkataan ni??), mereka ni sebenarnya MANJA dan ROMANTIK jugak walaupun cover baekkkk punya. 

Kalau ada duit lebih, bawalah suami ke tempat-tempat yang banyak kenangan zaman bercinta, atau tempat honeymoon masa baru-baru kahwin dulu. Ajaklah dia makan makanan di restoran kegemarannya waktu itu.. Kalau ada rezeki lebih, belikan hadiah yang sama macam kita beri zaman bercinta dulu. Ini semua boleh mengembalikan kenangan indah dan menyemarakkan kembali kasih sayang antara suami isteri. (Aiyooo..Feeling Kak Sri Siantan la pulak khennn? :D)

Saya selalu ingat pesan mak saya.. suami ni umpama anak sulung. Walaupun dah ramai anak lepas bertahun-tahun mendirikan rumah-tangga, jangan lupakan tempatnya selaku orang yang paling rapat dan manja dengan kamu. Kalau kamu pegang ini, insyaAllah bahagialah kamu sampai akhir hayat. Hidup kalau terlalu rutin pasti akan bosan..jadi sekali-sekali cantik jugak kalau ada KEJUTAN buat sang suami. Yang GEMBIRA pastinya bukan dia aje, pasti kita sebagai ISTERI juga kan? Jadiii...marilah kita sama-sama membuat kejutan CINTA buat cik abang kat rumah tu.. (Ini khas kepada yang dah kawen aje tau? Budak-budak masih sekolah jangan nak ngada-ngada!!)

L.O.V.E.



Saturday, October 13, 2012

Tidak Cepat dan Lambat Sesaat

Assalamualaikum..

Ketika ini saya barulah dapat menarik nafas lega dan selesa...buat sementara waktu. Kerana fasa kesibukan saya telah berakhir buat masa ini. Sudah sebulan rasanya makan dan rehat tak menentu. Hari minggu bekerja.  Anak-anak pula lebih sering makan lauk-pauk yang dibeli berbanding air tangan mamanya ini. . Daniel pun sudah agak besar sedikit, manakala Eusoff telah banyak perubahan positif, jadi saya menyahut apa saja cabaran dan tanggungjawab yang diberi pihak jabatan dan pengurusan untuk menjadi ahli jawatan kuasa aktiviti di peringkat jabatan mahu pun kolej. Sebenarnya saya serik untuk diberi markah appraisal yang rendah lagi!


Stress level saya turun naik. Badan sakit-sakit. Tapi mujurlah kadar gula dan tekanan darah saya normal. Sekiranya saya stress memang saya biasakan berjumpa doktor untuk buat pemeriksaan kerana ramai betul di kalangan kawan-kawan saya yang terkena tekanan darah tinggi di usia muda sehingga ada yang kena serangan angin ahmar. Jadi lebih baik saya mengambil langkah berhati-hati.. Tanggungjawab saya bukan setakat kerja, tapi keluarga dan 3 anak saya yang masih kecil. 

Hari ini saya dikejutkan berita seorang kenalan Facebook, iaitu ahli Persatuan Autisme Muslim Malaysia yang meninggal 2 hari lalu kerana kemalangan. Orangnya masih muda. Baru berusia 28 tahun. Sedih benar rasanya sehingga bergenang air mata bila saya membaca apa yang ditulis isteri arwah di Facebook. Arwah mempunyai anak autisme dan seorang anak tipikal yang baru berusia 4 dan 2 tahun sedangkan pula isteri arwah tidak bekerja. Ya Allah...sungguh hebat ujian yang mereka sedang tempuhi. Saya doakan ketabahan dan kekuatan buat isteri arwah dan semoga Allah mempermudahkan urusan mereka sekeluarga. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Apa yang pasti kita semua akan kembali kepada Al-Khalik tidak cepat sesaat dan juga tidak lambat sesaat.


Berita ini membuatkan saya terfikir, apa akan terjadi sekiranya umur saya tidak panjang. Walaupun saya tahu semuanya adalah qada' dan qadar dan semuanya sudah tertulis, saya berdoa setiap hari kepada Allah supaya saya dan suami dipanjangkan umur sehingga anak-anak kami semuanya dewasa dan boleh menguruskan diri sendiri. Terutamanya Eusoff anak autisme saya yang selalu saya fikirkan siang dan malam. Saya juga berdoa agar Allah terus menyuburkan rasa kasih dan sayang dalam hati Kakak Damia dan Adik Daniel kepada Eusoff supaya mereka boleh menjadi pembela dan menggantikan tempat saya apabila saya dan suami kembali kepada Allah. Siapa lagi yang boleh saya harapkan melainkan mereka berdua, harta saya dunia dan akhirat.









Wednesday, October 3, 2012

Stress!!

Assalamualaikum...

Just read..don't comment.

Stress level saya sangat tinggi ketika ini..
Saya rasa saya nak lari seketika dari kehidupan saya, kerja saya, keluarga saya.
Rasa mau pack baju, masukkan dlm boot keta, start enjin and drive away.

Lari jauh-jauh..ke pulau atau ke mana-mana.

I just want to be alone.

:'((

*been crying for 2 days.. Am I losing my mind?

Tuesday, September 25, 2012

Resemblance

Assalamualaikum..

Eusoff adalah umpama jelmaan saya waktu kecil. Dia seakan saya..sungguh!! Apa yang membezakan saya dan Eusoff hanyalah dia mengalami masalah pertuturan sedangkan saya tidak. Soalan dari seorang sahabat mengenai masa kecil saya sesungguhnya telah membuka sebuah dimensi baru tentang bagaimana seharusnya saya memahami Eusoff...anak autisme saya.

Saya juga seorang hyperlexic..boleh membaca sendiri tanpa masuk kelas secara formal. Duduk bersama abang-abang yang membuat kerja sekolah atau minta emak membacakan cerita bersiri di akhbar mingguan sudah cukup bisa membuatkan saya tahu membaca. Seingat saya..sedari berumur 5 tahun saya sudah boleh membaca buku cerita. Sewaktu berumur 7 tahun, saya sudah mula membaca novel cinta, novel seram, thriller dan penyiasatan malah juga buku kesusasteraan kepunyaan abang-abang atau buku-buku yang mereka pinjam dari perpustakaan sekolah. Seringkali juga saya ditinggalkan bas sekolah kerana asyik membaca buku dan tak sedar bas yang di depan mata sedang bergerak pergi. 


Saya sering disuruh diam kerana kebanyakan orang tak larat melayan pertanyaan demi pertanyaan dari saya. Dan sekiranya saya mahukan apa2..saya akan menangis dan merajuk berhari-hari hingga mendapat apa saja yang dihajati. Baru-baru ini ketika bercuti hari raya di rumah emak saya, emak saya telah membuat pengakuan ini "Kamu memang susah sikit nak dijaga masa kecil, maklumlah kamu perempuan seorang. Memang lain dari yang lain".. Maksud emak saya tak jelas sangat, tapi mungkinkah apa yang cuba disampaikan adalah kerana saya mempunyai autism traits?

Kerana saya ini kategori yang pandai di sekolah..memang selalu menerima hadiah dan anugerah cemerlang setiap tahun. Seingat saya, cuma 2 kali saya tak dapat anugerah tiga terbaik di kelas sepanjang darjah 1 hingga 6, tapi saya masih menerima anugerah cemerlang matapelajaran. Sedangkan kerja saya di rumah hanya menonton TV dan bermain. Ini membuatkan saya sering menerima keistimewaan di rumah..dibelikan makanan yang sedap-sedap dan diberikan hadiah yang abang-abang saya tidak boleh mendapatkan. Jadi saya sering ditinggalkan ketika mereka pergi bermain..atau jadi mangsa usikan dan dipukul di belakang emak dan abah.


Saya juga mempunyai masalah kerap bermimpi buruk. Sangat banyak mimpi buruk. Dalam ertikata lain..saya kerap mengigau. Sungguh banyak mimpi buruk yang masih segar dalam ingatan saya hingga saat ini.. Seiring dengan usia meningkat dewasa, mimpi buruk saya akhirnya hilang sehingga kini saya terasa agak sukar saya mahu bermimpi ketika tidur.

Dan masalah sensory mulut yang sehingga sekarang menyebabkan saya mengalami kerosakan gigi yang agak teruk dari kecil sampai dewasa kerana saya benci memberus gigi. Sewaktu mengandung saya bertambah benci dengan berus gigi..berkali-kali saya membuangnya dan membeli berus gigi yang baru. Tapi kebencian itu tetap tidak dapat saya hilangkan.. Akhirnya saya mengerti, sebenarnya saya mengalami masalah 'sensory' mulut yang teruk.



Mengimbas kembali kisah saya masa kecil membuat saya merenung kembali apa yang Eusoff alami. Dia cuma seperti saya..tidak ada apa yang teruk sangat mengenai autisme. Ini menguatkan keyakinan pada apa yang saya doakan setiap hari.. Eusoff akan sembuh suatu hari nanti, sepertimana saya juga yang kini telah pun mempunyai keluarga dan kehidupan sendiri.  

Tuesday, July 24, 2012

Berkorban Apa Saja

Assalamualaikum..

Sebelum saya mula menulis, saya nak bagitau yang apa yg saya nak tulis ni bukan nak menujukkan yang saya ni baik sangat, nak bangga diri atau menunjuk yang saya ni aje yg sanggup buat apa saja untuk keluarga dan anak-anak. Saya yakin semua ibu dan isteri kat luar sana tu berperasaan seperti saya.. Sanggup berkorban apa saja untuk keluarga.

Semenjak berkahwin banyak yang saya korbankan. Cita-cita nak sambung belajar, minat saya melancong dan travel ke sana-sini, kerjaya sebagai designer dalam industri fine metal, negeri kelahiran yang terpaksa saya tinggalkan, minat dalam bidang fotografi, menjahit baju, melukis dan membuat catan. Bila suami bertanya..saya cuma katakan "Malas." kerana saya tak mahu dia merasa bersalah atau merasa saya terpaksa meninggalkan apa yang menjadi kesukaan saya kerana dia dan anak-anak.

Sebenarnya itu adalah lumrah.

Lumrah wanita yang telah memilih jalan untuk membina keluarga...ada yang terpaksa dikorbankan. Allah menguji saya dari saat kanak-kanak hingga dewasa. Saya pernah menangis tetapi saya akan tarik nafas dalam-dalam dan berkata kepada diri saya bahawa saya mampu menempuh ujianNya ini..kerana saya diciptakan untuk menjadi hambaNya. Sewajarnya Allah berhak menentukan apa yang terbaik untuk saya... 

Lalu apabila dia kurniakan saya anak2, walaupun berbagai komplikasi muncul seawal saat kehamilan seperti PIH atau darah tinggi, pre-eclampsia. GDM atau kencing manis sehingga terpaksa mengambil 4 dos suntikan insulin sehari, saya redha dan bersyukur. Kelahiran ketiga-tiga anak saya juga melalui kaedah pembedahan caesarean kerana pelbagai sebab. Naily Damia, pembedahan kecemasan kerana darah tinggi dan saya hampir sawan, Eusoff kerana dia terlalu besar dengan berat 4.1kg, manakala Daniel pula kerana dia berada dalam keadaan songsang ketika dia berada di dalam rahim saya.

Bila Eusoff disahkan autisme, seluruh hidup saya rasanya sudah berputar 360 darjah. Air mata menjadi teman saya... Tetapi saya tahu, Allah telah mengurniakan dia buat saya.. Dia adalah anak lelaki yang saya dambakan sejak dari mula saya menyimpan hasrat untuk memiliki cahaya mata. Bukankah Allah memberi ujian kepada kita melalui apa yang kita paling sayang? Seperti mana Nabi Ibrahim diminta mengorbankan Nabi Ismail, satu-satunya anakanda tercinta yang ditunggu-tunggu sejak sekian lama? Sebesar mana ujian Allah pada saya, lebih hebat dugaan yang diberikan kepada para Nabi dan Rasul.. Lalu siapakah saya di sisi Allah untuk mempertikaikan takdirNya??

Kadangkala bila berkesempatan untuk berseorangan, saya keluarkan kamera DLSR saya lalu membidik ke arah sudut-sudut tertentu di dalam bilik. 2-3 shots sudah memadai bagi melepaskan gian. Kadangkala saya baiki baju atau seluar anak-anak atau sesekali menjahit baju raya, itu sudah memadai bagi saya. Sesekali bila membawa pelajar membuat lakaran di luar kelas,saya akan mengeluarkan cat dan peralatan lukisan saya yang sudah berbungkus di dalam almari dan saya akan menyertai mereka..mungkin 1-2 kali setahun. Atau melancong sambil bekerja bila diarahkan syarikat untuk bekerja ke luar daerah. Mungkin juga suatu hari nanti Allah memberikan saya rezeki dan kesempatan untuk menyambung cita-cita melanjutkan pengajian. Apa yang ada sekarang sudah cukup buat saya... kerana hidup saya di dunia ini bukan berkisar mengenai apa yang saya suka sahaja, tetapi untuk berkhidmat dan memberi makna kepada orang lain di sekitar saya.

Antara beberapa hasil kerja fotografi, editing, catan dan lukisan saya ketika berkesempatan..:-
















Aku redha Ya Allah... dan aku bersyukur. Aku terima semua dugaan dan ujian yang Engkau takdirkan buatku. Semoga dengan pengorbananku ini mampu menebus suatu tempat yang kecil buatku di syurgaMu disamping insan-insan yang aku kasihi. Amin Amin Ya Rabbal Alamin..

Friday, July 6, 2012

Emosi Terlampau Sudah..

Assalamualaikum...

Sebenarnya saya menaip ni dalam dewan kursus Bengkel OBE (Outcome Base Education). Gile betoi..nampak dek bos karang tak pasal2 kena tepuk bahu. 

Tapi hati tak keruan..jadi saya terpaksa lepaskan jua. Kalau tak bertambahlah distracted sampai tak bleh buat apa pun kat bengkel ni dan apa yg diajar tak masuk kat kepala saya yg toing ini.

Dah 2 hari saya cuti kerana Daniel lelah teruk. 3x sehari pergi ke klinik untuk bawak si kecik tu ambil nebuliser. Hati hancur melihat dia sakit..tambah lagi tidur dan makan tak menentu. Tau ajelah..menjaga anak kecil yang sakit, mak pun sama tak terurus. Dalam cuti tu, therapy Eusoff perlu diteruskan. Appointment OT mesti kena bawak dia pergi ..walaupun tenaga cuma berbaki dalam 20% macam tu.

Malam tadi agaknya kerana letih dan serabut kepala otak...saya snapped! Eusoff mengamuk tak mahu tidur. Masih nak mengeja walaupun jam dah pukul 10.30 malam. Berterusan menangis, mengamuk dan menjerit sehingga adiknya yang punya susah saya nak bagi lena tu terjaga. Saya cuba bersabar tapi darah dah naik kat kepala.. Penat saya pujuk, dia tetap tak mahu bertenang. Saya turut rasa kecewa kerana babah dia cuma memujuk ala kadar. 

Akhirnya saya pukul dia.. bila terasa pedih tapak tangan baru saya tersedar. Astaghfirullah hal azim. Eusoff menangis teresak2 dan akhirnya lena dalam pelukan saya. Ya Allah...berdosanya saya memukul anak yang suci dari dosa ini. Maafkan Mama Eusoff... :'(

Pagi tadi waktu saya kejutkan dia untuk pergi ke kelas EIPnya...dia bangun sambil senyum. Waktu saya bukakan pakaiannya di depan pintu bilik mandi saya minta maaf dari dia kerana keterlanjuran saya memukulnya malam tadi. Dia senyum sambil memegang pipi saya. Waktu itu saya tak dapat menahan air mata saya lagi. Melihat saya menangis senyuman dari bibir Eusoff mula pudar diganti wajah yang penuh tanda tanya. Dengan pantas dia membuat isyarat jari dengan jari telunjuknya sambil menyebut "Syyyyhhh..." seakan menyuruh saya diam. 

Pagi ini saya memandikan Eusoff dengan seribu satu macam perasaan yang bercampur baur sementara Eusoff sibuk bermain dengan air seperti mana biasanya. Dalam hati saya bermohon pada Allah supaya melipat-gandakan kesabaran saya supaya saya tidak mengulangi perbuatan saya yang bodoh itu lagi. :'(



Tuesday, June 12, 2012

Hidup ini sebuah putaran..

Assalamualaikum...

Ini adalah entri yang dah berbulan saya fikirkan untuk menulisnya, tetapi Allahu Akbar...amat berat sebenarnya saya untuk memulakan.. 

Saya tidak meminta untuk dikasihani. Saya tidak minta semua orang bersimpati pada saya dan anak istimewa saya.. Walaupun saya mengharapkan orang lain di sekeliling untuk memahami, sejujurnya..itu cuma  sebuah HARAPAN. Sekiranya anda tidak faham, saya tidak marah..dan tidak berkecil hati. Kerana bagi seseorang yang tidak berada di tempat saya, agak sukar sebenarnya untuk memahami dilema dan permasalahan seorang ibu yang mempunyai seorang anak kelainan upaya. 

Cukup sekadar biarkan saja saya menangani masalah saya dengan cara saya  sendiri. 
Let me deal with my problems in my own way. 
Let me be...

Sekiranya saya perlukan pandangan atau nasihat, saya sudah pun mempunyai saluran yang tepat dari golongan profesional. Saya tak akan meminta nasihat dari orang yang saya tahu tidak mampu memberikan nasihat yang saya perlukan.

Saya sedih memikirkan kenapa ada sebilangan orang suka menjaja cerita saya, dengan ditambah rencah dan perisa (agar lebih sedap barangkali..). Dilelongkan cerita saya kepada superior dan rakan sekerja. Diputar-belitkan untuk menampakkan kebagusan diri sendiri. Saya dijadikan kambing hitam bila berlaku masalah. Saya dikatakan tidak jujur dan mengambil kesempatan dengan menggunakan anak saya sebagai alasan. (Tuduhan ini yang paling menghiris hati saya). Sedangkan saya percayakan dia...kerana itu saya pernah menangis di depannya suatu ketika dulu apabila emosi saya sudah berada di kemuncak. Saya pernah terpesona dengan kelembutan dan air mukanya yang kelihatan jujur. Terpedaya dengan kenaifannya dan lagaknya yang suci. Sedangkan pengkhianatan yang dilakukannya amat amat amat keji.

Adakah orang ini seorang MANUSIA?? 
Layakkah dia digelar MANUSIA??
Sedangkan isi hatinya yang jahat dan busuk tak ubah seperti SYAITAN.


Saya sudah berusaha menangani emosi saya bersendirian. Saya cuba elakkan daripada bercerita kepada orang lain mengenai anak istimewa saya. Saya cuma bercerita dengan rakan-rakan senasib kerana hanya mereka yang memahami. Saya berusaha untuk senyum di hadapan orang lain sekalipun hati saya sarat dengan kepedihan dan air mata. Saya menjadi pendiam dan tidak menonjolkan diri di hadapan rakan sekerja kerana saya bukanlah orang yang suka mencari perhatian. Sebolehnya saya tidak mahu berhadapan dengan konflik di pejabat... Kerana saya sudah cukup dibebani seribu satu masalah yang lain..

Apa lagi salah saya sehingga saya tetap juga dijadikan sasaran?

Saya tahu Allah itu Maha Adil dan Dia Maha Mengetahui. Saya juga yakin dunia ini ibarat roda dan kita semua hidup di dunia ini di dalam sebuah putaran. Hari ini dia menganiaya saya, mungkin suatu hari nanti perkara yang sama berlaku terhadapnya.. 

Ya Allah, kau tunjukkanlah kebenaran..
Kau sabarkan dan tabahkanlah hatiku ini Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim...
:'(

Pedih betul hati saya menaip entri ini..

Saya begitu sedih kerana saya orang yang terakhir mengetahui warna sebenar 'sahabat' saya ini.. Sedangkan satu dunia sudah melihat dan mengetahui tembelangnya. 

Walaupun saya mahu memaafkan orang ini kerana dia pernah menjadi seorang sahabat.. sejujurnya hati saya begitu pedih untuk sebuah kemaafan.







Tuesday, April 17, 2012

Appraisal

Assalamualaikum...

Hari ini saya di 'evaluate' oleh Bos saya. Markah penilaian saya cukup rendah. Macam pensyarah junior yang baru mengajar di semester pertama. 70% je?? Alasan bos, KPI banyak yang tak capai.. Ulang suara "KPI BANYAK YANG TAK CAPAI". 

Betul ke?

Mari kita selusuri job scope saya. Tugas saya di bidang akademik sebagai ACADEMICIAN. Pensyarah seni halus. Saya mesti mengajar, menyampaikan ilmu pengetahuan berdasarkan silibus, memastikan pelajar menguasai teknik, lulus penialaian akhir atau peperiksaan. Saya perlu memastikan Course Outcome saya tercapai. Proses penghasilan produk yang betul dan produk yang dihasilkan boleh dipasarkan.

Pelajar tahun akhir saya LULUS dan BERGRADUAT. Cuma sebilangan kecil yang tidak..itu pun bukan disebabkan mereka GAGAL SUBJEK SAYA!!

Pelajar-pelajar lain..subjek liberal dan studio.. LULUS 100% all my 5 classes.
My teaching portfolio and my course files are the ones to be chosen to be presented to the auditors from various agencies for accreditation and surveillance...di mana setiap kali itu jugalah file Ketua Jabatan didapati 'HILANG" (??)

So... Which KPI yang tak capai sebenarnya ni??

"Program you dah lama tak buat.. Tak lead.". 

Mungkin saya dah lama tak mengetuai apa-apa program, takde apa-apa kertas kerja utk buat seminar ke whatsoever..tapi saya tak pernah meng'ghaib'kan diri ketika department saya buat apa-apa event. Tugas saya sebagai jawatankuasa TIDAK PERNAH GAGAL. Saya tidak pernah tolak kerja. Tak menolak pergi kursus. Tidak negotiate dan cakap banyak bila kena jaga exam on weekends like so many other staff.  Setiap kali ada pameran staff atau kolaborasi, saya participate..saya tidak pernah gagal hantar artwork saya. OK..berilah saya markah corot untuk LEADERSHIP..tapi adilkah beri markah saya total up cuma 70% di atas usaha keras saya memastikan zero failures di dalam kelas saya? Selebih dari itu sejujurnya saya tak mampu.. Apatah lagi sampai nak jemput menteri datang merasmi seperti mana yg dipinta..berilah peluang kepada pensyarah lain yg lebih punya waktu untuk bergelak ketawa sambil bermain gitar. Saya akan memberikan kerjasama sepenuhnya menjayakan program..seperti selalu. 

Kadang-kadang rasa terharu sangat bila staff dan bos di jabatan lain mengiktiraf 'kewujudan' saya..sedangkan bos saya sendiri tidak.

Saya akui saya sering hilang di waktu lunch sebab saya terpaksa ambil anak2 dari sekolah. Anak istimewa saya tak mungkin boleh diharap untuk menaiki bas sekolah sendiri. Saya habiskan banyak masa membawanya ke therapy, ke hospital, ke sekolah, ke sana ke sini...selain anak2 tipikal yang bukan ROBOT ATAU MESIN yang tak mungkin akan sakit atau bermasalah walaupun kehujanan selama 3 hari 3 malam. 

Saya diminta sama ada mahu komen  apa-apa atau tidak. Saya hanya berkata tidak. UNTUK APA? Sekiranya saya menerangkan segalanya saya cuma akan dituduh MEMBELA DIRI atau MENEGAKKAN BENANG YANG BASAH. Secara totalnya, sekiranya dia tidak berada ditempat saya..dia tidak mungkin akan FAHAM. Mungkin dia jengkel kerana saya selalu memberi alasan sama setiap kali memohon pelepasan atau cuti tahunan (yang mana hak saya sebagai pekerja) kerana "mahu bawa anak berjumpa pakar itu dan pakar ini, therapy itu dan therapy ini".

Oh ya.. kesan dari markah appraisal saya yang 'sebanyak' itu..mungkin saya dikecualikan dari menikmati BONUS TAHUNAN. ~ Bayangkan berapa banyak therapy dan supplement Eusoff yg boleh saya dapati dengan wang dari bonus tahunan tersebut.

Terima kasih Bos..kerana menyekat pintu rezeki saya dan anak-anak. Kerana dunia ini bulat saya percaya suatu hari nanti dia akan berada di bawah dan akan merasa betapa peritnya diadili oleh emosi dan bukan dari pemikiran rasional. 

Sekian.






Thursday, April 12, 2012

Letih

Assalamualaikum..

Kadang-kadang saya soal diri saya. Cukupkah apa yang saya buat untuk keluarga? Untuk anak-anak..terutamanya untuk Eusoff. Kadang-kadang kerana keletihan, saya hilang kesabaran bila anak-anak buat perangai. Saya hilang fokus..Saya terlupa kepada perkara-perkara penting. Kadang-kadang bila saya baru duduk untuk lepaskan kepenatan seharian di pejabat..tak sampai pun 10 minit, anak dah terjerit-jerit saya rasa ....
....
Sejujurnya saya rasa nak marah. 

Saya juga perlukan rehat. Perlu sangat-sangat-sangat...

Kalau sajalah saya punya pembantu yang boleh meringankan beban saya. Mungkin untuk membantu menguruskan anak-anak bagi membolehkan saya berehat sekurang-kurangnya 1 jam selepas balik dari kerja. Atau punya pemandu untuk mengambil Damia pulang dari sekolah ketika saya kesibukan di pejabat . Setiap kalinya saya merasakan saya dah terlalu letih sebenarnya. Cuma semangat saya yang menggerakkan anggota saya. Kerana otak dan hati saya cuma berkata "Tidurlah..."

Kadang-kadang bila saya ada perkara yang saya runsingkan, saya berbual dengan rakan-rakan senasib yang  berada di situasi sama.. yang sama-sama punyai anak istimewa. Ianya membantu.. selalunya. Cuma kadang-kadang ada perkara yang tidak dapat saya kongsikan. Ada perkara yang terlalu berat bagi saya sehinggakan tak terluah kepada sesiapa pun... Itulah saatnya di mana saya merasakan seolah-olah dunia jatuh lalu menghempas kepala saya. 

Pernahkah anda rasa begitu?

..................

Ya Rabb... Adakah Kau mendengar tangisanku? 
Adakah Kau menjawab pertanyaanku? 
Sekiranya semua yang ku minta selama ini adalah tidak layak bagiku menerimanya.. 
sekurang-kurangnya.. 
Kau kurniakanlah aku kesabaran Ya Allah. 
Kurniakanlah aku kekuatan..
Teguhkan IMANku Ya Allah.

Jangan lupakan aku Ya Allah.. jangan biarkan aku.
Aku rindukan rahmatMu.. Aku nantikan keajaibanMu..

Sesungguh Kau Tuhanku Yang Maha Mendengar.. 

Amin Amin Ya Rabbal Alamin.



Thursday, February 16, 2012

Aku & Eusoff SAMA??

Bila direnung-renungka balik..saya dan Eusoff tak banyak bezanya. Saya pun ada kebolehan mengasingkan diri dan shut off auditory saya daripada bunyik bising. Masa kecik arwah abah saya banyak kali bwk jumpa pakar telinga sebab mak selalu risau takut kalau-kalau saya telinga saya pekak. Saya masih ingat lagi abang-abang saya selalu mengusik saya dengan panggilan 'Nor pekak'.. Sangat kejam oke.. :))

Kalau tgk wayang dgn saya, boipren akan menjadik super boring sbb saya takkan respond dah pada percakapan org lain bila saya menonton atau kusyuk pada sesuatu. Tengok TV pun sama jugak... just ask my husband what it's like talking to me while I'm watching TV.. (Ampunnn suamiku..) Kat opis pun sama jugak.. bila ada latihan fire drill, saya selalu hangus. :)) Sebab saya selalu tenggelam dalam dunia saya sendiri terutama bila saya surfing internet atau membaca buku..which is my obsession from my childhood days until now.

And yes, saya pun hyperlexia.. boleh baca sendiri tanpa diajar. Saya boleh membaca pada usia 5 tahun, kerana selalu tengok arwah abah ajar abang-abang buat kerja sekolah. Saya sempat ke tadika 3 bulan saja, sebab kira, baca...semuanya saya dah tau.. So, arwah abah cakap, "tak perlu pergi tadika lama-lama..nanti kamu boring." Ketika menunggu bas pagi utk ke sekolah pada usia 7 tahun (darjah 1), saya pernah ditinggalkan bas sbb bas berhenti tapi saya tak naik sebab asyik membaca novel seram Siri Bercakap Dengan Jin.. To that extreme oke? :))

Tinggal lagi saya tak flapping hands aje...tapi suka goyang kaki. Kalau anxious saya akan kopek apa2 parut yg ada kat badan sampai luka balik.. Muka memang banyak parut..tak payah cakap, tengok je dah tau... Sebab kalau saya gementar, automatik jari-jemari akan mencari parut jerawat di kulit muka.. perangai tak cantik ni masih lagi ada sampai sekarang. Just like Eusoff..my mom called it bad habit, or actually it's a stimulatory behaviour?

Tantrum?? YES!! Hari aku nak nikah pun masih tantrum lagi bila adik aku rosakkan motorsikal kesayangan aku. Dan aku pernah bertindak ganas, akibatnya yang aku sangat menyesal.. My husband witnessed it all. *Thank you hubby for loving me for who I am.. :') Sob..Sob..

Bezanya saya dan Eusoff... saya terlebih bercakap or my brothers used to call me 'Mulut Pot Pet'.. and Eusoff in the other hand is non-verbal.

Bila tgk Eusoff saya teringat diri saya sendiri. Kalau dulu saya sebenarnya menghidapi autism, tapi mungkin sangat-sangat mild.. maknanya AUTSIM BOLEH SEMBUH la kan? I NEVER GIVE UP in praying for a miracle to happen to Eusoff.. Maha Suci ALLAH..tiada yang mustahil bagiMu..

Friday, June 3, 2011

Masa untuk aku...

Sapa yang ada suami dan anak2 mesti pernah rasa macam aku. Tak ada masa untuk diri sendiri. Aku pulak bekerja. Kat ofis sibuk dengan kerja : Mengajar, konsultasi, study, layan kerenah pelajar-pelajar aku yang kadang-kadang buat aku pening kepala jugak... management punya kerja pun kena buat jugak. Hadoii...Walaupun ada masa senggang selepas kelas berakhir, tapi banyak benda yang tak boleh buat. Takkan nak tido berlengkor kat ofis nih..atau shopping time keje, atau tengok TV cite P.Ramlee..

Kalau kat rumah...jangan cakaplah. Malas pun aku nak tulis.. sama je tiap-tiap hari. Urusan rumah tangga yang takkan pernah habis.

Kadang-kadang bila anak2 dan suami dah masuk tidur..dalam pukul 12 a.m mcm tu..time mata mula layu nak tido, atau selesai saja aku solat isya' yang tak sempat aku tunaikan masa anak-anak aku sibuk bergayut kat kiri kanan aku...

....aku akan buat secawan air kegemaran aku, pastu duduk sorang2 kat sofa sambil tengok cite lewat malam kat TV. Dapat duduk dalam setengah jam atau sejam pun dah cukup. Itulah masanya untuk diri aku...untuk relaks dan tak perlu fikir apa-apa pun. Memang aku akan end-up tidur lewat...tapi berbaloi dengan kepuasan dan ketenangan fikiran yang aku dapat dalam 1/2 - 1 jam itu.

Itulah cara-cara aku menikmati hidupku dalam sebulan ini, sebelum kedatangan 'ahli baru' yang akan menambah kesibukan dan menuntut tanggungjawab yang lebih besar dari aku. Dalam kesepian jam 1 pagi tu, aku tiba-tiba rasa nak salute kat mak aku yang berjaya besarkan 5 anak dengan status sebagai ibu tunggal. Perghhh...dia memang hebatlah! Patut dapat medal...