Saturday, October 13, 2012

Tidak Cepat dan Lambat Sesaat

Assalamualaikum..

Ketika ini saya barulah dapat menarik nafas lega dan selesa...buat sementara waktu. Kerana fasa kesibukan saya telah berakhir buat masa ini. Sudah sebulan rasanya makan dan rehat tak menentu. Hari minggu bekerja.  Anak-anak pula lebih sering makan lauk-pauk yang dibeli berbanding air tangan mamanya ini. . Daniel pun sudah agak besar sedikit, manakala Eusoff telah banyak perubahan positif, jadi saya menyahut apa saja cabaran dan tanggungjawab yang diberi pihak jabatan dan pengurusan untuk menjadi ahli jawatan kuasa aktiviti di peringkat jabatan mahu pun kolej. Sebenarnya saya serik untuk diberi markah appraisal yang rendah lagi!


Stress level saya turun naik. Badan sakit-sakit. Tapi mujurlah kadar gula dan tekanan darah saya normal. Sekiranya saya stress memang saya biasakan berjumpa doktor untuk buat pemeriksaan kerana ramai betul di kalangan kawan-kawan saya yang terkena tekanan darah tinggi di usia muda sehingga ada yang kena serangan angin ahmar. Jadi lebih baik saya mengambil langkah berhati-hati.. Tanggungjawab saya bukan setakat kerja, tapi keluarga dan 3 anak saya yang masih kecil. 

Hari ini saya dikejutkan berita seorang kenalan Facebook, iaitu ahli Persatuan Autisme Muslim Malaysia yang meninggal 2 hari lalu kerana kemalangan. Orangnya masih muda. Baru berusia 28 tahun. Sedih benar rasanya sehingga bergenang air mata bila saya membaca apa yang ditulis isteri arwah di Facebook. Arwah mempunyai anak autisme dan seorang anak tipikal yang baru berusia 4 dan 2 tahun sedangkan pula isteri arwah tidak bekerja. Ya Allah...sungguh hebat ujian yang mereka sedang tempuhi. Saya doakan ketabahan dan kekuatan buat isteri arwah dan semoga Allah mempermudahkan urusan mereka sekeluarga. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Apa yang pasti kita semua akan kembali kepada Al-Khalik tidak cepat sesaat dan juga tidak lambat sesaat.


Berita ini membuatkan saya terfikir, apa akan terjadi sekiranya umur saya tidak panjang. Walaupun saya tahu semuanya adalah qada' dan qadar dan semuanya sudah tertulis, saya berdoa setiap hari kepada Allah supaya saya dan suami dipanjangkan umur sehingga anak-anak kami semuanya dewasa dan boleh menguruskan diri sendiri. Terutamanya Eusoff anak autisme saya yang selalu saya fikirkan siang dan malam. Saya juga berdoa agar Allah terus menyuburkan rasa kasih dan sayang dalam hati Kakak Damia dan Adik Daniel kepada Eusoff supaya mereka boleh menjadi pembela dan menggantikan tempat saya apabila saya dan suami kembali kepada Allah. Siapa lagi yang boleh saya harapkan melainkan mereka berdua, harta saya dunia dan akhirat.









No comments:

Post a Comment