Showing posts with label Anak-anak. Show all posts
Showing posts with label Anak-anak. Show all posts

Thursday, July 25, 2013

Kenapa tak hantar naik bas je?


Assalamualaikum  dan Salam Ramadhan...



Baru-baru ni ada seseorang bertanya kepada saya, "Kenapa tak bagi anak ko yang sulung tu naik bas je? Senanglah sikit tak payah berhantar berjemput?"

Ok..inilah sebabnya. Sebab saya rindukan anak saya. Simple je jawapannya tapi kawan saya terus terdiam.

Memang saya rindukan anak-anak setiap hari di tempat kerja. Saya rela waktu dan duit minyak saya banyak terbuang semata-mata untuk hantar, ambil anak. Saya percaya anak-anak saya juga rindukan saya. Jelas sebenarnya terlihat dari mata mereka yang bersinar, setiap kali saya jemput di sekolah, lalu seterusnya saya hantar ke taska. Dapat jumpa sekejap pun jadilah, asalkan lepas rindu dendam. Dapat buat social story sekejap dalam kereta dengan si Eusoff pun jadilah, atau membantu Damia menjawab 1-2 soalan kerja rumah ketika dalam perjalanan sudah cukup memuaskan hati saya dapat berinteraksi dengan anak-anak.

Sampai di taska pula, sempat saya peluk dan cium Daniel yang kecil dan manja, dan melihat keadaan dia, sudah makan atau belum, seronok atau tidak. Kadangkala sempat saya titipkan sebungkus kecil biskut atau kudapan lainnya, sebab saya rindukan wajah comelnya yang tersenyum meleret bila tangannya mencapai bungkusan itu dari tangan saya.

Saya rela disoal-jawab pihak pengurusan, saya rela sekiranya mereka mahu memotong gaji saya kerana sering keluar pada waktu tengahari walaupun setakat ini mereka begitu memahami tanggungjawab saya pada anak-anak, terutamanya pada Eusoff. Saya percaya, anak-anak memerlukan ibu mereka 24/7. Lantaran kekangan kerja, saya terpaksa menghantar mereka untuk diasuh orang lain dalam keadaan hati separuh rela.

Saya percaya, anak-anak ini walaupun masih kecil, mereka mampu menilai kasih-sayang orang tuanya. Saya mahu mereka tahu saya tak akan meninggalkan mereka dengan orang lain seharian, tak dijenguk, tak ditanya sudah makan atau belum, sakitkah atau sihat, gembirakah atau tidaknya mereka. Saya mahu mereka tahu, mamanya ini tak akan lepaskan tanggungjawab sepenuhnya kepada orang ketika dia bekerja. Saya mahu anak-anak ingat yang saya juga punyai bahagian dalam setiap detik perjalanan kehidupan mereka. Saya percaya dengan kasih-sayang, saya mampu 'menyembuhkan' Eusoff serta menjadikan Damia dan Daniel anak yang soleh serta cemerlang, 

Sebab itu saya rasa bersalah bila dari jam 8 pagi hingga 6 petang saya

...meletakkan tanggungjawab menghantar anak ke sekolah di tangan pemandu bas
...meletakkan tanggungjawab mengasuh sepenuhnya kepada pengasuh
...meletakkan tanggungjawab mendidik kepada guru sekolah

sedangkan tanggungjawab itu semuanya adalah tanggungjawab saya sebagai ibu.

Semoga dipermudahkan...InsyaAllah.

Di bawah adalah link kepada satu ceramah Ustaz Don Daniyal mengenai cara mendidik anak mengikut sunnah. Komfem insaf lepas dengar...

https://www.youtube.com/watch?v=973drXYjJw8


Monday, May 20, 2013

Geng Gaduh


Assalamualaikum...

Petang semalam Kakak Damia beli kamus Bahasa Melayu - Bahasa Melayu - Bahasa Inggeris di kedai buku MBS dekat dengan pintu masuk Carrefour. Malam tadi dia baca kamus tu sampai lewat malam. Cuti sekolah sudah dekat, dia minta saya belikan lebih banyak buku cerita untuk buat Nilam. Buku Nilam dia dah nak habis, jadi saya cakap pada dia jangan lupa beritahu cikgu supaya dapat buku Nilam yang baru untuk buat masa cuti sekolah nanti. 

Kakak Damia belajar di Kelas ke-2 dari 5 buah kelas Darjah 2. Dia tidak pernah dapat anugerah kecemerlangan tetapi selalu dapat hadiah Terbaik Nilam dan baru-baru ini dapat hadiah Peraduan Membuat Kamus Kecil. Dia pun suka membaca macam saya, jadi kami memang selalu tag team pergi serbu book sale bawak beg sandang sorang satu.

Walaupun malas kemas bilik dan tak suka sikat rambut selain selalu jadi mangsa fesyen :) , dia anak yang baik dan menghiburkan. Biarlah anak saya tidak cemerlang dengan A yang berderet-deret dalam kad laporan tapi hatinya baik, bertanggungjawab terhadap adik-adik dan cintakan ilmu. Yang paling penting dia dah mula solat sendiri dan baca Surah Yaasin walaupun belum lancar. Alhamdulillah... Saya rasa saya dulu masa kecil-kecil nakal tau? Tetapi anak saya ni baik dan patuh walaupun ada le jugak memberontak kekadang tu... Tak taulah genetik siapa yang dia mengikut jadi baik ni....hehehe...






Thursday, April 18, 2013

Toilet Train

Assalamualaikum...

Minggu yang bahagia buat saya. Paling bahagia saya rasa.

My romantic hero.. Selalu romntik dalam kereta tawww? Auuww.. ;D

Eusoff dah pandai buang air di tandas. Di rumah.. dan sekarang di sekolah pun beri kerjasama penuh.. Walaupun ramai orang yang beritahu supaya jangan pakaikan diaper terus bila nak toilet train anak,
tapi saya terus beri pakai sambil tu saya atur ke tandas. Saya tak mau dia terkucil di sana sini, kerana rumah kami yang kecil dan kadang-kadang keadaan memaksa, saya dan suami terpaksa solat di ruang tamu. Dan saya tak mau susahkan cikgunya yang sama-sama banyak membantu..

Sebagai ibu, hanya kita yang memahami anak kita sepenuhnya. Dan saya tahu bila dia bersedia. Anak autism seperti Eusoff perlukan ruang dan jangkamasa yang tertentu, bukan seperti kanak-kanak tipikal seusianya. Memarahinya tak mendatangkan manfaat apa-apa, tidak lebih dari sekadar menyakiti hati dia dan saya juga. Kadangkala saya terusik bila ramai yang cuba mengajari saya bagaimana mahu mengajar anak supaya buang air di tandas mengikut cara masing-masing. ..kadangakala hingga membuatkan saya keliru, rendah diri dan merasa diri saya seorang ibu yang teruk kerana tak mampu melakukan perkara yang sama.

Orang yang tidak punya anak seperti Eusoff selalu memandang jijik anak yang dah besar seperti dia masih memakai lampin pakai buang. Pandangan jijik itu sebenarnya lebih dirasai ibunya, iaitu saya. Kadangkala dengan ibu bapa senasib juga ada yang saling saing-menyaingi, menceritakan kehebatan anak masing-masing lantas membuahkan kecewa di hati ibu bapa yang anaknya tidak punyai kemampuan sama. Kadangkala saya lebih gemar diam, dan melihat dari jauh. Saya faham kadang-kadang ibu bapa seperti saya, mudah teruja dengan kebolehan anak-anak istimewa, walaupun dengan perkembangan yang sedikit dan kecil. Rasanya pengalaman telah mematangkan saya. Saya tak mahu menimbulkan perasaan yang sama kepada rakan-rakan yang lain..Jadi..

Saya kongsi di sini. Kerana blog ini mutlak dan khusus untuk saya mencoretkan apa saja. Dan hanya dilihat  dan dibaca sesiapa yang berminat. Saya berharap sangat tiada kawan-kawan yang membaca merasai apa yang saya pernah rasa itu..dan saya harap apa jua perkongsian di sini mendatangkan manfaat. Sekurang-kurangnya sedikit harapan dan inspirasi.

Ya..anak saya dah buang air di tandas. Walaupun masih dalam lesen 'L', perkembangan yang satu ini nyata amat membahagiakan saya. Gembiranya hanya Allah yang tahu... kerana saya berjaya menunjukkan bahawa ibu bekerja seperti saya juga mampu toilet train anak autisme saya. Terima kasih jua buat Lao Shi Eusoff yang bekerjasama dan susah payah atur Eusoff ke toilet semasa di sekolah. Sebak pulak dah...siap bagi ucapan macam menang award. Heheh...tapi memang benar...ini award atas kegigihan. Terima kasih Allah..

Alhamdulillah...

Wednesday, January 2, 2013

2 Januari 2013


Assalamualaikum. Hari ni sesi persekolahan bagi tahun 2013 bermula. Lemak lemau pun hilang sebab dah start kena bergegas hantar ambik anak dari sekolah. Makan nasi pun start balik kul 3 ptg.. huhu.. tapi tak kurus jugak. Takpelah saya redha.. ;p


Kakak dah Darjah 2.. Eusoff pulak dah nak masuk 5 tahun dah. Hari ni dia start sekolah kat bangunan baru. Tak jauh dari sekolah lama..cuma part nak balik tu kena lipat kat satu area apartment untuk berpatah balik sbb jalan tu one way sahaja. Hari Jumaat time nak ambik kakak akan ada problem nanti..kenalah gerak awal ambik mamat tu. Kalau tak nanti kakak kena tunggu sampai lebam kat sekolah, mak tak sampai-sampai lagi. Kuantan ni Jumaat biasanya jalan jem gile dari pagi membawak ke malam. Maka kena standby GPS dalam otak mak mana jalan short-cut yg tercantik sekali untuk cepat sampai kat sekolah kakak.


Bangunan sekolah baru... waaahhh! Besar kan? Luas dan cantik  kat dalamnya.

Eusoff dan kawan2..kawan2 Eusoff semuanya chinese.


Ini buku dan flash card Eusoff untuk sesi ST dan reading dalam kereta.
Ini aktiviti harian kami sementara tunggu kakak keluar dari kelas.
En. Moo tu  pulak untuk Eusoff peluk2 waktu saya sedang memandu.. :)

Tetiba teringat kat umur yang dah nak meningkat 34 tahun. Amalan masih kurang *sigh*. Risau takut-takut bertemu Allah dalam keadaan diri yg macam ni.  Jadi saya nak pertingkatkan amalan..nak didik anak-anak sebaik mungkin dan cari rezeki lebih kalau ada kesempatan dan peluang. Nak perbaiki diri jadi isteri, ibu dan anak yg lebih baik. Semoga Allah makbulkan doa-doa saya untuk dikurangi beban tuntutan hidup dan semoga anak-anak saya termasuk yang istimewa tu jadi anak-anak yang soleh, berhati baik dan membesar menjadi orang yang berjaya dan bagus budi pekertinya.

Ini bukanlah azam tahun baru..saya tak hanya berazam pada tahun baru. Saya berazam tiap-tiap hari.. Sebab setiap hari ada saja kedapatan ilmu yg baru baru, masalah baru, perangai baru diri sendiri dan anak-anak dan seribu satu perkara lagi. Jadi kena selalu 'refresh' azam dan tekad.. Betul tak? ;)



Selamat Tahun Baru 2013 semua. Semoga bertambah murah rezeki dan bahagia selalu. :)

Sunday, December 25, 2011

Verbal vs Non-Verbal

Eusoff menjerit2 marah bila aku tukar channel Astro.

Aku : Sapa yang bayor Astro ni? Mama kan? Abang tu tengok jelah apa
channel mama nak tengok, jgn nak komplen..

Eusoff (Spell): FREE AFRO (maybe meant for Astro) SDN BHD.

Aku : Sapa cakap free? Mama bayar tiap2 bulan tau?

Eusoff (spell): DUMB

Aku : Grrr... Anak bertuah...!

Verbal or non-verbal.., budak2 ni kalau bab menjawab sama je.. Hahahahadoi!!

Wednesday, July 29, 2009

Malaikat-malaikat Kecil




Penatnye melayan budak-budak yang active tu..hari ini Damia main air-cond, pasang sampai ke suhu yang paling sejuk pastu main selimut-selimut dgn adiknya...Danish yang baru berumur 7 bulan tu kalau dapat bermain dengan kakak dia tu, bukan main lagi gelak terkekek-kekek..Puas aku suruh diorang tidur sebab aku ada keje nak buat...Bos aku nak buat program kat Felda Purun esok, so aku kena siapkan sikit paper work utk diceramahkan kat org2 kat felda tu nanti..Hmm..dah padamkan lampu pon diorang still gelak2 lagi bergolek2 main atas tilam..Kalaulah babah budak-budak ni ada bersama, ada jugak orang tolong ringankan beban aku..

Bukanlah nak merungut tapi alangkah bagusnya kalau aku dapat tinggal serumah dengan husband aku balik mcm dulu-dulu..Letih melayan budak-budak ni, mana nak kejar waktu nak memasak, membasuh, nak sidai & lipat pakaian..hanya Tuhan aje yang tahu..Tak masuk lagi bab kerja yang kadang-kadang buat aku pressure...Walau bagaimana susah pun aku tetap berazam memberikan yang terbaik buat anak-anakku: permata yang paling berharga dalam hidup aku ni..Damia & Danish. Aku tetap akan bagi susu ibu kepada Danish walaupun leceh or what so ever dan akan tetap masakkan bubur untuk dia setiap hari (walaupun nak mudah boleh beli makanan bayi yang segera kat pasaraya). Aku akan tetap berusaha disiplinkan Damia walaupun memanglah teramatlah mencabar dengan keadaan aku yang most of the time terpaksa menjadi single parent nih..

Kadang-kadang bila terlalu letih aku jadi panas baran..Damia la yang selalu jadi mangsa kena marah walaupun aku tau tak adil untuk dia..Kadang-kadang salah dia tu kecik sangat tapi aku
marah dia macam la dia buat dosa besar sangat..Lepas tengok dia nangis tu rasa menyesal pulak. Kadang-kadang aku rasa aku gagal jadi ibu yang baik pada anak-anakku.

Kadang-kadang aku rasa aku patut berhenti berusaha jadi ibu yang sempurna..dan cuba loosen up sikit..Aku terlalu mencuba sehingga kadang-kadang aku rasa tertekan sebab apa yang aku plan tak jadi. Budak-budak..tahu ajelah.Kalaulah boleh, aku nak ambik anak-anak lambat dari nursery tanpa ada rasa bersalah..Aku nak bagi anak-anak aku makan makanan beli atau segera je supaya aku tak susah2 memasak..atau sumbat je baju-baju tak berlipat dalam almari.Tapi aku tak boleh la..oleh kerana aku nak kejar semuanya, aku jadi tertekan sendiri.Suami pulak weekend baru balik.Nak bercerita pun kena pendam seminggu baru boleh luahkan perasaan..Walau betapa seksanya aku terpaksa membesarkan anak-anak sendirian, dalam keperitan itu terselit juga kebahagiaan yang tiada tolok bandingnya di dunia ini..iaitu melihat wajah comel anak-anakku tersenyum padaku. Ia umpama penawar sakti yang mampu membasuh segala luka yang tercalar di hati ini. Merekalah malaikat-malaikat kecil yang boleh membuatkan aku lupa seketika segala kesusahan yang ada dalam hidup. Betullah kata orang, perkara yang paling membahagiakan bagi seorang wanita adalah dengan menjadi seorang ibu.

Tuhan..berikan aku segala kekuatan di dunia ini supaya aku tetap tabah menjalani hidupku yang berliku ini. Peliharalah dan lindungilah anak-anakku Ya Allah kerana aku lebih cintakan mereka dari nyawaku sendiri. Jadikanlah mereka anak-anak yang soleh dan solehah. Kurniakanlah mereka kehidupan yang bahagia kerana itu sudah cukup sebagai ganjaran padaku di hari tuaku kelak...Amin Ya Rabbal Alamin.