Wednesday, December 26, 2012

2012 Review

Tahun 2012 sudah hampir sampai ke penghujungnya.

Tahun yang penuh suka duka.
Tahun paling banyak air mata.
Pun tahun paling banyak gelak..
Tahun paling banyak kejayaan
Juga tahun paling banyak kegagalan.

Tahun muhasabah diri.
Tahun paling emosi.
Tahun paling stress.
Juga tahun paling happy.
Tahun paling banyak membaca bahan ilmiah.
Tahun paling banyak argument dengan doktor. ;)
Tahun paling tak lawan cakap bos.
Tahun paling banyak cuba resepi baru.
Tahun paling rajin masak.
Tahun paling ambil kisah.

Tahun merasa paling dekat dengan Allah s.w.t
Saya berasa begitu bergantung dengan Allah
teramat-amat sangat.
Saya tak sanggup memikirkan sekiranya Dia jauh dari saya
Saya amat perlukan DIA.
Sebanyak-banyaknya dalam semua tindakan saya.

Rahsia Allah takkan terjangkaukan fikiran manusia..
Sungguh banyak dan takkan mampu terungkaikan
Sekalipun cuba ditebak apakah hikmah yang terselindung
Atau apakah ia natijah perbuatan sendiri?
Cukup kuatkah kita menelan kepahitannya
Kebinasaan yang kita lakukan terhadap diri ?

Tahun ini saya bersyukur bila ditimpa musibah
Setelah 33 tahun hidup
Selain daripada cuma berkata kepada orang lain:-
"Sabar..tentu ada hikmah disebalik semua ini".
sambil sendirian merasa ragu-ragu
"Mampukah saya praktikkan apa yang saya ucap kepada si polan itu?"

Sesungguhnya REDHA itu lebih dari sekadar ungkapan
Yang menjadi syahdu dalam filem cinta dan drama hujung minggu
Redha kepada takdir Allah dan berserah kepadaNya bagaimana mahu disusun dan dicorak hidup ini
Dalam usaha mencari REDHA AL-Khalik kepada hambaNya
yang sangat kerdil sekerdil-kerdilnya

Sedangkan mulut yg kecil ini pun tak mampu saya jagai
Dari melakukan dosa
Apatah lagi amanah yang lainnya?
Kecilnya aku Tuhan..
Kecil dan hina!









Monday, December 10, 2012

Tanpa Tajuk


Saya selalu ingatkan diri saya supaya tidak terlalu 'ambitious'. Walaupun dalam hati saya mahu anak istimewa saya mampu urus diri sendiri seawal mungkin, mampu diajar melakukan benda-benda asas, atau mampu bersekolah di aliran perdana.. Tetapi cita-cita ibu mungkin tidak sama dengan kemampuan dan kehendak 'tersembunyi' si anak. Kadang-kadang saya dah tak tahu pada tahap mana seharusnya cita-cita dan harapan saya gantungkan.. Bimbang di letak terlalu tinggi nantinya jatuh berderai menghancuri hati saya sendiri. Atau akibat yang lebih teruk membuatkan anak saya sedih dan merasa rendah diri.

Ambil contoh yang mudah :- 'toilet training'. Eusoff menangis setiap kali di bawa masuk ke bilik air. Belum saja berbuat apa-apa.. dia sudah takut, sudah tidak selesa, sudah gelisah dan mahu segera keluar dari situ. Untuk membuat anak saya faham bahawa di sana tempat untuknya membuang air kecil atau besar saja hampir tidak berjaya..bagaimana harus saya letakkan harapan yang tinggi-tinggi? Saya pujuk hati dengan berkata.. 'ISTIQAMAH'...perlahan-lahan dan berterusan, pasti ada hasilnya. Tetapi konsistensi saya tidak sama dengan bapanya yang mudah merasa lelah dan putus-asa. Saya ingin sama-sama mencuba, sama-sama kecewa, sama-sama stress, sama-sama sama-sama berkongsi kejayaan dan outcome treatment atau terapi yang kami lakukan tetapi naluri seorang lelaki adalah sesuatu yang amat complex..*sigh* Saya tidak akan dapat memahaminya sampai bila-bila..

Berbalik kepada soal harapan dan cita-cita, kadang-kadang saya hilang arah..saya kecewa. Kadang-kadang hingga saya stress dan marah-marah. Sejujurnya..saya bukan seorang yang berhati halus, bukan orang yang sabar saja setiap masa.. Saya tiada waktu untuk diri saya lagi..kerana anak-anak sudah mengambil semua waktu yang saya ada di rumah. Suami saya hanya diam..diam..dan diam. Saya tidak tahu lagi diamnya dia kerana selesa, bahagia, marah atau sedih. Saya rasa seakan hilang dan tidak wujud  akhirnya..  saya merasa berseorangan menempuh semuanya. Yang tinggal cuma ada ALLAH Rabbul Jalil.. Cuma Dia.

Kerana saya dihidupkan hanya untuk mengabdikan diri kepadaNya, maka keyakinan itu masih ada walaupun adakalanya nipis dan goyah. Hanya padaNya saya sandarkan harapan dan doa setiap saat.

Ya Allah..jangan tinggalkan aku. Tolong aku wahai Tuhanku..jangan lepaskan peganganMu. ~







Wednesday, November 28, 2012

Eusoff dah 4 tahun!

Assalamualaikum..

Banyaknya sawang ni.. Hehe..maklumlah dah lama tak masuk blog ni dan dah lama tak update. Sibuk..macam kata Kakak Damia, "Bilanya yang mama tu tak sibuk?".. Hehe.. sabar jelah. :)

Ni entry yang dah dipostpone berkurun. Duduk dalam draft sampai bersawang2..hehe.. 3 November hari tu birthday Eusoff. Sangat besar dah anak saya ni. Dah 4 tahun.. Kami raikan dia dengan lunch di Secret Recipe. Beli 1 chocolate lava saja utk dia dan cucuk lilin kecik atas tu.. Wallaaa! Dah siap pun birthday cakenye..hehe..


Banyak rasanya yang saya nak tulis tentang dia. Skip the word 'autism'. Eusoff bagi saya anak yang sangat manis dan baik serta banyak juga kualiti yang bagus.


  • Wajah Eusoff lebih banyak ikut wajah babah dia a.k.a Cikgu Misai.
  • Eusoff chubby sangat masa bayi.
  • Eusoff suka makan mee, spaghetti dan ayam goreng tepung resepi saya sendiri. Dia paling suka bahagian drumstick.
  • Eusoff suka dipeluk dan suka peluk saya, tetapi dia tak suka dicium ataupun cium saya...apatah lagi orang lain. 
  • Eusoff baru pandai bersalaman masa umurnya 3 tahun ++. Raya baru2 ni dia dah salam dengan semua orang. :)
  • Eusoff suka main bola, suka basikal, suka scooter, suka mandi dalam kolam plastik yang saya beli kat Giant.
  • Di dalam kereta dia sentiasa memegang tangan saya ketika duduk di kerusi penumpang bahagian hadapan. Kalau dia duduk kat belakang dia selalu letakkan tangannya kat bahu saya dan landing2 kepala kat bahu saya.. Manja kan? :) 
  • Eusoff suka sangat lagu tema kartun (jepun) Monster Kid, watak Dragon dalam siri Pororo, Upin Ipin dan DVD cerita 8 Jam.
  • Eusoff pandai makan ikan.. dia takkan tercekik atau termakan walau 1 tulang kecik pun.
  • Kalau Eusoff sedih, hujung mata dan bibirnya akan menghala ke bawah. Muka ni kalau letak depan saya memang cair terus tak jadi marah..
  • Eusoff tak suka adik dia Daniel sebab Daniel suka kacau ejaan dan toys line up dia. 
  • Eusoff takut rama-rama.


Banyak lagi yang menarik tentang Eusoff.. dia cinta hati saya. Saya tak boleh nak tinggalkan dia walau pun sehari.. sayang dan rindu sangat dekat dia. Semoga Eusoff membesar jadi anak yang sihat dan soleh serta mampu berdikari lepas Mama dan Babah dah takde nanti. Amin..

Wednesday, October 31, 2012

7 Tahun

Assalamualaikum w.b.t

Naily Damia dilahirkan pada 30 Oktober 2005 ketika berusia 34 minggu di dalam kandungan. Dia lahir tidak cukup bulan dengan kaedah pembedahan caesarean section kerana masalah 'fetal distress'. Tekanan darah saya naik tiba-tiba kerana berpuasa agaknya (masa tu bulan Ramadhan). Beratnya waktu lahir hanya lebih sedikit 2 kg dan sangat kecil. Baju-baju bayi saiz baru lahir nampak gedoboh bila saya pakaikan padanya.

Walaupun lahir tidak cukup bulan, dia anak yang kuat. Dia tak perlu dimasukkan ke incubator dan  tak perlukan oksigen untuk membantunya bernafas kerana dia mampu bernafas sendiri walaupun paru-parunya masih belum matang. Kerana lahir pra-matang, Damia mengalami prolong jaundice sehingga umurnya sebulan. Beberapa kali masuk wad dan diambil darah. Tak sanggup nak kenang..memang sampai bengkak tangan kecilnya. Walau bagaimana pun. dia membesar dengan sihat. Cepat bercakap dan petah sekali. kadang-kadang 'sentap' juga dengar apa yang dikatakannya kepada saya, komen-komen dan pendapatnya..walaupun pedih di telinga, saya sedar itu ialah kata-katanya yang paling jujur.

Semalam genap umurnya 7 tahun. Seusianya dia memikul tanggungjawab yang besar sebagai anak sulung. Dialah yang sering membantu menguruskan adik-adik. Disuapkan mereka makan, diajak bermain semasa saya sedang sibuk di dapur. Dia jugalah yang selalu meleraikan adik-adik bergaduh serta mengawasi mereka. Dia juga banyak beralah dengan Eusoff adiknya yang istimewa walaupun kadangkala memberontak dan menangis tatkala terpaksa menyerahkan buku kegemaran yang sedang dibaca semata-mata kerana Eusoff sudah bergolek di lantai kerana mahukan buku yang sama. Dia jugalah yang puas bersabar bila disepak terajang si Eusoff di tempat duduk belakang ketika Eusoff tantrum di dalam kereta.

Walaupun bertubuh kecil berbanding rakan seusia, saya tahu anak saya ini berjiwa besar, sabar dan penyayang. Yang sudah pasti pahalanya banyak kerana sanggup menjadi teman sepermainan, guru, juruterapi pertuturan dan cara kerja si adik yang kelainan upaya. 


Semoga kamu dilimpahi rahmat Allah anakku.. Selamat Hari Jadi yang ke-7. Mama sayang kakak..selamanya!


Monday, October 29, 2012

Tantrum / Meltdown / Mengamuk

Assalamualaikum w.b.t.

Cuti Hari Raya Aidil Adha baru saja berlalu. Hari ni ada masjlis qurban di pejabat. Dalam kesibukan hari ini, rutin harian menghantar dan menjemput anak-anak dari sekolah tetap diteruskan. Malam tadi Eusoff tidur lewat. Mula-mulanya dia bermain sendirian, sehingga akhirnya menjelang pukul 3 pagi, dia mula tantrum/ meltdown (mengamuk) kerana mahu kami semua bangun dan bermain dengannya.

Tantrum, meltdown atau mengamuk ni adalah perkara biasa dalam dunia autisme. Eusoff ada masalah behaviour yang agak teruk. Termasuk tantrumnya. Malam tadi kerana saya tidak mahu melayan kerenah Eusoff dan kasihankan adiknya yang sedang nyenyak tidur nampaknya sudah mula terganggu, saya memilih untuk membawa adik Daniel masuk ke dalam bilik dan meninggalkan Eusoff dengan babahnya. Walaupun saya sudah keluar dari zon mengamuk Eusoff dan membuat tindakan 'extinct the behaviour'..saya tetap tak dapat tidur sehingga saya dengar tangisannya berhenti dan keadaan di luar bilik kembali senyap.

Pagi ini saya bangun dan melihat dia tidur di ruang tamu dengan perasaan yang sayu... Saya rasa bersalah meninggalkannya semalam, tetapi saya terpaksa memilih menyelamatkan adiknya dan mengelakkan si kecik tu tercedera terkena libasan kaki dan tangan Eusoff. Kalaulah saya boleh membahagikan diri menjadi dua.. :'(

Hari ini Eusoff behave. Manis dan manja. Saya sedar apa yang dilakukan ketika dia sedang mengalami meltdown, adalah di luar kemampuannya mengawal diri. Saya sering memerhatikan dia menangis dan menjerit, kemudian membuat isyarat senyap dengan meletakkan jari telunjuk ke mulut sambil berkata "Syhhh.". Kemudian dia menangis lagi dan kembali menyuruh dirinya sendiri diam. Perlakuan ini berulang beberapa kali setiap kali dia mengalami meltdown. Saya membuat sedikit kajian di internet dan mendapat tahu bahawa perlakuan ini disebabkan individu autistik terbabit jelas mengetahui bahawa tindakannya mengamuk dan menangis adalah perbuatan yang teruk, tetapi dia tidak mampu untuk mengawal perlakuannya sendiri kerana pelbagai masalah. Antaranya:

1. overloaded sensory (bayangkan anda berada mendengar bunyi enjin jet yang kuat di kedua-dua buah telinga anda, anda pasti berasa bingit dan tak selesa. Ini adalah apa yang anak saya rasakan ketika saya berkemas menggunakan vacuum cleaner. Individu autisme mempunya masalah memproses maklumat berkaitan deria sama ada bunyi, sentuhan, rasa atau penglihatan. Apa yang biasa saja bagi anda, mungkin menyakitkan bagi mereka (hyper sensitive).)

2. Letih atau lapar. (Eusoff mempunyai masalah pertuturan dan komunikasi. Bayangkan anda berseorangan di sebuah tempat di mana semua orang tidak memahami bahasa anda. Anda sedang  letih dan lapar tetapi tidak dapat menyuarakan keperluan anda. Anda sangat haus, tetapi seseorang menghulurkan kipas. Anda menjerit dengan bahasa anda sendiri meminta air, tetapi tetap juga anda diberikan kain, sudu atau bola.  Apakah anda tidak kecewa dan marah-marah?)

3. Bertukar rutin ( kebanyakan individu autisme terikat dengan rutin. Mereka tidak suka dan selesa sekiranya rutin itu bertukar. Contoh: Setiap hari saya akan menghantar Eusoff ke sekolah dari pejabat. Sekiranya hari itu saya mengambil cuti dan menghantar Eusoff melalui jalan lain yang lebih dekat kerana tak perlu singgah di pejabat. Ketika saya turunkan Eusoff di sekolah dia akan menangis kerana pada fikirannya hari ini adalah hari cuti kerana saya tidak ke pejabat. Belajar dari pengalaman: sekiranya saya mengambil cuti tahunan pada hari itu, saya tetap singgah di pejabat, berhenti sekejap..masuk ke dalam mengambil surat-surat saya sekiranya ada, dan terus memandu ke sekolahnya. Saya boleh memulakan hari saya dan Eusoff juga dalam keadaan gembira tanpa perlu menghadapi meltdownnya di dalam kereta. Mudah aje kalau dah faham.. :)).

Saya telah melalui beratus kali pengalaman mengharungi siri 'meltdown' ini dengan Eusoff, sesetengahnya berlaku di kawasan awam dan ditonton oleh puluhan pasang mata. Anak autisme yang tidak mempunyai perbezaan fizikal dengan anak-anak tipikal sering dilabelkan kanak-kanak berperangai buruk, kurang ajar, tidak tahu adab dan lepas laku ketika mereka mengalami meltdown. Sebagai ibu bapa, rasanya sudah tebal muka saya dilabel sebagai ibu yang tidak pandai mendidik anak. Kesan meltdown ini bukan hanya ditanggung oleh kanak-kanak autisme itu sahaja, tetapi seluruh keluarga termasuk ibu bapa dan adik-beradiknya yang lain tidak lepas dari dihakimi dan dipandang serong oleh masyarakat.

Tengok wajah Eusoff ni..tak ada bezanya dengan anak-anak tipikal lain sebayanya. 

Sekiranya anda ke pasaraya, lalu terjumpa dengan seorang kanak-kanak yang mengamuk, berguling di lantai, menghentak kaki dan menghempas badan sambil menjerit dan menangis sekuat-kuatnya, tolong jangan hakimi dia.. atau ibu bapanya. Jangan labelkan dia sebagai budak yang tidak pandai menjaga tingkah laku, budak yang tak makan dek ajar ..Atau ibu bapanya tak pandai mendisiplinkan anak, terlalu memanjakan anak sehingga anak naik lemak, tak pandai mengajar anak behave di tempat awam atau kata caci-maki yang sewaktu dengannya. Budak itu mungkin sahaja seorang kanak-kanak autisme yang mengalami masalah sensory overload apabila mengalami pelbagai ransangan sensory berlebihan dari pelbagai bunyi, hiruk-pikuk orang ramai, cahaya yang terlalu terang atau suram serta pelbagai bau dan warna-warni disekelilingnya yang terdapat di pasaraya itu. Sekiranya anda tidak tahu bagaimana untuk membantu, silakan anda angkat kaki dan berlalu pergi.. kerana pandangan jelik, tunjuk-menunjuk antara anda dan teman-teman anda serta komen-komen yang 'bias' berdasarkan pemerhatian sendiri sesungguhnya tidak membantu. 

Situasi meltdown mungkin berlaku di premis makanan seperti ini..


Selamat Hari Raya Aidil Adha..semoga ibadah qurban anda semua diterima Allah s.w.t.. 

Wednesday, October 17, 2012

Wanita (Isteri & Ibu) Berkerjaya atau Suri Rumah?

Assalamualaikum w.b.t.

Sejak kebelakangan ini saya sering terbaca status kawan-kawan di Facebook yang berada di dalam dilema iaitu sama ada untuk terus bekerja atau menjadi suri rumah sepenuh masa. Terutama sekali bagi yang memiliki anak istimewa yang semestinya menuntut lebih perhatian, dilema ini seakan tiada berkesudahan daripada terus-menerus menghantui fikiran si ibu.

Perkara ini juga ada terlintas di fikiran saya. Saya pernah bekerja di sektor perindustrian, berhenti kerja untuk menumpukan perhatian kepada keluarga dan akhirnya kembali bekerja di sektor pendidikan tinggi. Berdasarkan pengalaman saya, karier saya sekarang adalah di mana saya merasa paling bahagia. Kepuasan hidup berada di tahap optimum, sementelah anak-anak dan suami gembira. 

Tuntutan kehidupan sekarang menuntut kaum wanita, sekaligus isteri dan ibu untuk keluar mencari nafkah untuk keluarga. Seperti juga saya. Kehidupan saya semasa bekerja di sektor industri menuntut masa yang panjang, komitmen terhadap kerja yang mengikut permintaan pelanggan dan tidak tentu masa membuatkan saya merasa jauh  dari keluarga. Sedangkan masa makan, minum dan rehat sendiri pun tidak menentu, bagaimana pula harus saya bahagikan masa buat keluarga? Tidak dinafikan pekerjaan saya dulu adalah yang paling memuaskan hati kerana saya dapat menyerlahkan potensi dan kreativiti saya secara maksimum serta gaji yang lebih besar, tetapi apalah ertinya sekiranya kita ketinggalan detik-detik pertama anak mula merangkak, berjalan atau bercakap?



Saya berhenti kerja lalu menjadi suri rumah. Saya merasa lebih tenang. Tiada lagi adrenaline rush menerima tempahan mengejut dari pelanggan, tiada detik berdebar sewaktu dipanggil majikan untuk diberikan appraisal dan tiada lagi kekusutan saat brainstorming. Saya bahagia tetapi lama-kelamaan merasakan kehilangan. Saya merasa terputus hubungan dengan dunia luar. Tiada kawan dan tiada ruang untuk bersosial (bukan bersosial kat kelab malam ye..tapi bertukar-tukar cerita dan buah fikiran dengan teman-teman).

Suami menjadi satu-satunya teman bercerita, tapi saya cuma mampu menjadi pendengar apabila suami bercerita tentang kerjaya, cita-cita dan harapan. Saya tiada cerita mahu dikongsikan melainkan cerita anak buat nakal itu dan ini, periuk belanga selain harga barang yang naik atau hari ini tiada bahan mentah yang diperlukan untuk memasak kerana penjaja ikan tidak datang berjualan! Sebelum saya menyudahkan cerita, saya sedari suami saya sudah pun terlena. Suami pula banyak berhutang untuk menampung keperluan hidup. Rumah sewa hanya sebuah rumah kos rendah dengan sewa murah. Makan dan pakai ala kadar bagi saya tidak mengapa, tetapi jauh di sudut hati saya merasa terkilan tidak dapat memberikan yang terbaik untuk anak-anak. Suami terpaksa membawa bekalan makanan ke tempat kerja untuk berjimat. Langganan internet serta siaran televisyen berbayar adalah  sesuatu yang tidak mampu diperolehi.  Kami jarang makan di luar serta kurang masa beriadah bersama keluarga kerana terpaksa mengurangkan kos di mana yang boleh.


Akhirnya setelah menimbang baik dan buruknya, saya kembali bekerja tapi kini di bidang pendidikan tinggi dengan profesion pensyarah. Waktu kelas yang fleksibel membantu saya menyempurnakan tugas hakiki seorang ibu seperti menyediakan makanan untuk keluarga, menghantar dan menjemput anak dari sekolah dan menghantar anak istimewa saya ke sesi-sesi terapi dan temujanji doktor. Saya juga kembali mempunyai teman-teman, mempunyai wang untuk membeli kereta saya sendiri untuk kemudahan keluarga dan ke tempat kerja. Saya kini mampu mendapatkan guru dan terapi yang terbaik untuk anak istimewa saya serta  membayar kos untuk makanan dan supplement spesifik untuk memastikan dia dapat hidup normal suatu hari nanti.

Suami saya pula kini telah mampu membeli sebuah rumah sederhana besar untuk kami dan kami sudah mampu membayar insurans untuk keluarga, memanjakan anak-anak sekali-sekala dengan makan yang sedap-sedap di luar, beriadah di taman tema atau melancong sekali-sekala di dalam negara serta memberikan sedikit wang dari gaji bulanan untuk emak di kampung. Dengan wang gaji saya juga, saya mencari ilmu mengenai autisme, mendapatkan kidmat nasihat profesional, ke luar daerah menghadiri kelas dan kursus berkaitan penjagaan anak istimewa serta membuat serba sedikit amal jariah (seperti ibadah qurban) sebagai bekalan di akhirat nanti.

Walaupun sudah 5 tahun bekerja di sini, saya tidak pernah membeli walau seurat emas pun untuk diri saya. Tidak pernah membeli beg tangan, kosmetik atau pakaian berjenama. Tidak pernah membeli karpet berbulu tebal, perhiasan buatan luar negeri, perabot mewah, baju sutera, melancong ke luar negara atau segala bentuk barangan mahal yang tidak berkeperluan mendesak mengikut kehendak saya. Segala wang gaji, kenaikan tahunan, bonus atau imbuhan..kerana Allah saya belanjakan untuk keluarga. Kerana berbalik kepada niat yang asal saya bekerja hanya demi membantu suami menampung perbelanjaan dan memberikan yang terbaik untuk anak-anak maka saya tidak pernah bernafsu membeli barang-barang itu hanya untuk kepuasan diri saya seorang.

Apa yang boleh saya simpulkan di sini, kerjaya yang tepat mampu memberikan kepuasan maksimum membina kerjaya di bidang profesional dan menjadi  isteri serta ibu yang sejati. Selain menambahbaik kualiti serta taraf hidup keluarga, kita juga mampu membahagiakan diri sendiri, pasangan dan anak-anak. Walau bagaimanapun seorang wanita haruslah menentukan keutamaannya sendiri berdasarkan situasi kehidupan sekarang.

Sudah pasti wanita yang terikat dengan komitment 100%  terhadap ahli keluarga yang sakit atau uzur atau mempunyai anak istimewa yang memerlukan penjagaan rapi tiada pilihan melainkan berhenti kerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa. Begitu juga sekiranya wanita tersebut mempunyai suami dari latar belakang kerjaya dengan pendapatan yang kukuh. Sudah pasti tidak akan berdepan dengan krisis ekonomi keluarga sekiranya wanita tersebut meninggalkan kerjayanya. Pokok pangkalnya adalah keperluan dan situasi masing-masing. 

Pisau dan mentimun ada di tangan, jadi buatlah keputusan yang tepat!




Monday, October 15, 2012

Feeling Remaja Bersama Cikgu Misai

Assalamualaikum w.b.t

Hari tu Cikgu Misai dan saya teringin sangat-sangat nak makan ayam Nando's. Masa pegi KLCC dengan kekanak IKIP ni sibuk benor jaga diorang, tak sempat saya nak pergi beli kat outletnya. So..masa pergi Jamuan Hari Raya kat Putrajaya hari tu, Google la kejap dalam kereta cari kat manalah ada Nando's kat KL tu. Sekali tengok dekat Alpha Angle Wangsa Maju ada. Wahhhh...ALPHA ANGLE!! Tu tempat dating zaman muda-muda dulu tu... Suka suka sukaaaa! So Cikgu Misai pun dengan pantas drift dari IKEA ke Alpha Angle.

Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pulak tempat dating... :)
Dulu rumah sewa saya kat Seksyen 3 Wangsa Maju tu..kat belakang Alpha Angle ni je.. Jadi memang haruslah paling kerap melepak kat sini. Dulu jalan-jalan berdua time kurus kerempeng.. Sekarang dah macam Shrek laki bini bawak anak-anak pegi jalan-jalan. Masuk lif orang lain dah takbleh masuk dah..hahaha..

Tuuuu diaaa.... Pucuk dicita ayam golek yang datang! Hahaha..
Serius..ehhh.. duarius best dapat makan kat Nando's ni. Kalau la ada outlet dia kat Kuantan ni, haruslah pegi makan tiap-tiap bulan. Mahal tapi berbaloi dengan kesedapannya..wallaaahhh!

Tuuu diaaaa yang buat tak tido malam tu. Sedap weiii... Yummeh!!
Selepas melantak dengan jayanya..Kami pun pergi jalan-jalan dalam Alpha Angle tu sambil mengenang kembali kisah zaman-zaman bercinta dulu. Chewaaaahh! Itu jam kami naik motor sahaja. Cikgu Misai belum pun jadi cikgu. Masa baru-baru grad katakan. Jalan punya jalan boleh terserempak pulak dengan bekas housemate. Pun dah anak 3!! Laa haaaii...bleh pulak jumpa kat tempat ni padahal member dah kerja kat Putrajaya pun. Memang ada rezeki kami hari tu, memang tak dirancang tapi bertemu kat tempat kami main cak-cak ni dulu. Tak sempat pulak ambik gambar berdua..Excited sangat dapat jumpa balik lepas bertahun-tahun. Rugi pulak rasanya tak sempat ambik gambar zaman dah jadi emak-emak pulak kann?

Askar-askar yang konfius kenapa mak bapak diorang cam suka sangat je pegi sini..

Lepas dah settle semua, anak-anak pun dah kenyang, kami pun bergerak balik ke Pahang. Bukan nak cakap saya ni romantik ke hape.. tapi sebenarnya acara macam ni patutlah diadakan sekali-sekala untuk mengeratkan kasih sayang antara suami isteri. Kadangkala kita sebagai mak ni terlalu sibuk dengan kerjaya, dengan anak, dengan kerja rumah..sampai tak lagi prihatin seperti dulu kepada suami. Orang lelaki ni walau macho macamana pun, dalam hati ada taman. (HEHEHE) Depan orang memang la nampak rilek dan COOL seperti kumpulan KOOL..tapi sebenarnya apa yang diperlihatkan tu adalah egonya sahaja. Di sebalik ego dan kemaskulinnannye (wahh...gituu.. Ada ke perkataan ni??), mereka ni sebenarnya MANJA dan ROMANTIK jugak walaupun cover baekkkk punya. 

Kalau ada duit lebih, bawalah suami ke tempat-tempat yang banyak kenangan zaman bercinta, atau tempat honeymoon masa baru-baru kahwin dulu. Ajaklah dia makan makanan di restoran kegemarannya waktu itu.. Kalau ada rezeki lebih, belikan hadiah yang sama macam kita beri zaman bercinta dulu. Ini semua boleh mengembalikan kenangan indah dan menyemarakkan kembali kasih sayang antara suami isteri. (Aiyooo..Feeling Kak Sri Siantan la pulak khennn? :D)

Saya selalu ingat pesan mak saya.. suami ni umpama anak sulung. Walaupun dah ramai anak lepas bertahun-tahun mendirikan rumah-tangga, jangan lupakan tempatnya selaku orang yang paling rapat dan manja dengan kamu. Kalau kamu pegang ini, insyaAllah bahagialah kamu sampai akhir hayat. Hidup kalau terlalu rutin pasti akan bosan..jadi sekali-sekali cantik jugak kalau ada KEJUTAN buat sang suami. Yang GEMBIRA pastinya bukan dia aje, pasti kita sebagai ISTERI juga kan? Jadiii...marilah kita sama-sama membuat kejutan CINTA buat cik abang kat rumah tu.. (Ini khas kepada yang dah kawen aje tau? Budak-budak masih sekolah jangan nak ngada-ngada!!)

L.O.V.E.