Wednesday, October 31, 2012

7 Tahun

Assalamualaikum w.b.t

Naily Damia dilahirkan pada 30 Oktober 2005 ketika berusia 34 minggu di dalam kandungan. Dia lahir tidak cukup bulan dengan kaedah pembedahan caesarean section kerana masalah 'fetal distress'. Tekanan darah saya naik tiba-tiba kerana berpuasa agaknya (masa tu bulan Ramadhan). Beratnya waktu lahir hanya lebih sedikit 2 kg dan sangat kecil. Baju-baju bayi saiz baru lahir nampak gedoboh bila saya pakaikan padanya.

Walaupun lahir tidak cukup bulan, dia anak yang kuat. Dia tak perlu dimasukkan ke incubator dan  tak perlukan oksigen untuk membantunya bernafas kerana dia mampu bernafas sendiri walaupun paru-parunya masih belum matang. Kerana lahir pra-matang, Damia mengalami prolong jaundice sehingga umurnya sebulan. Beberapa kali masuk wad dan diambil darah. Tak sanggup nak kenang..memang sampai bengkak tangan kecilnya. Walau bagaimana pun. dia membesar dengan sihat. Cepat bercakap dan petah sekali. kadang-kadang 'sentap' juga dengar apa yang dikatakannya kepada saya, komen-komen dan pendapatnya..walaupun pedih di telinga, saya sedar itu ialah kata-katanya yang paling jujur.

Semalam genap umurnya 7 tahun. Seusianya dia memikul tanggungjawab yang besar sebagai anak sulung. Dialah yang sering membantu menguruskan adik-adik. Disuapkan mereka makan, diajak bermain semasa saya sedang sibuk di dapur. Dia jugalah yang selalu meleraikan adik-adik bergaduh serta mengawasi mereka. Dia juga banyak beralah dengan Eusoff adiknya yang istimewa walaupun kadangkala memberontak dan menangis tatkala terpaksa menyerahkan buku kegemaran yang sedang dibaca semata-mata kerana Eusoff sudah bergolek di lantai kerana mahukan buku yang sama. Dia jugalah yang puas bersabar bila disepak terajang si Eusoff di tempat duduk belakang ketika Eusoff tantrum di dalam kereta.

Walaupun bertubuh kecil berbanding rakan seusia, saya tahu anak saya ini berjiwa besar, sabar dan penyayang. Yang sudah pasti pahalanya banyak kerana sanggup menjadi teman sepermainan, guru, juruterapi pertuturan dan cara kerja si adik yang kelainan upaya. 


Semoga kamu dilimpahi rahmat Allah anakku.. Selamat Hari Jadi yang ke-7. Mama sayang kakak..selamanya!


No comments:

Post a Comment