Showing posts with label Damia. Show all posts
Showing posts with label Damia. Show all posts

Thursday, July 25, 2013

Kenapa tak hantar naik bas je?


Assalamualaikum  dan Salam Ramadhan...



Baru-baru ni ada seseorang bertanya kepada saya, "Kenapa tak bagi anak ko yang sulung tu naik bas je? Senanglah sikit tak payah berhantar berjemput?"

Ok..inilah sebabnya. Sebab saya rindukan anak saya. Simple je jawapannya tapi kawan saya terus terdiam.

Memang saya rindukan anak-anak setiap hari di tempat kerja. Saya rela waktu dan duit minyak saya banyak terbuang semata-mata untuk hantar, ambil anak. Saya percaya anak-anak saya juga rindukan saya. Jelas sebenarnya terlihat dari mata mereka yang bersinar, setiap kali saya jemput di sekolah, lalu seterusnya saya hantar ke taska. Dapat jumpa sekejap pun jadilah, asalkan lepas rindu dendam. Dapat buat social story sekejap dalam kereta dengan si Eusoff pun jadilah, atau membantu Damia menjawab 1-2 soalan kerja rumah ketika dalam perjalanan sudah cukup memuaskan hati saya dapat berinteraksi dengan anak-anak.

Sampai di taska pula, sempat saya peluk dan cium Daniel yang kecil dan manja, dan melihat keadaan dia, sudah makan atau belum, seronok atau tidak. Kadangkala sempat saya titipkan sebungkus kecil biskut atau kudapan lainnya, sebab saya rindukan wajah comelnya yang tersenyum meleret bila tangannya mencapai bungkusan itu dari tangan saya.

Saya rela disoal-jawab pihak pengurusan, saya rela sekiranya mereka mahu memotong gaji saya kerana sering keluar pada waktu tengahari walaupun setakat ini mereka begitu memahami tanggungjawab saya pada anak-anak, terutamanya pada Eusoff. Saya percaya, anak-anak memerlukan ibu mereka 24/7. Lantaran kekangan kerja, saya terpaksa menghantar mereka untuk diasuh orang lain dalam keadaan hati separuh rela.

Saya percaya, anak-anak ini walaupun masih kecil, mereka mampu menilai kasih-sayang orang tuanya. Saya mahu mereka tahu saya tak akan meninggalkan mereka dengan orang lain seharian, tak dijenguk, tak ditanya sudah makan atau belum, sakitkah atau sihat, gembirakah atau tidaknya mereka. Saya mahu mereka tahu, mamanya ini tak akan lepaskan tanggungjawab sepenuhnya kepada orang ketika dia bekerja. Saya mahu anak-anak ingat yang saya juga punyai bahagian dalam setiap detik perjalanan kehidupan mereka. Saya percaya dengan kasih-sayang, saya mampu 'menyembuhkan' Eusoff serta menjadikan Damia dan Daniel anak yang soleh serta cemerlang, 

Sebab itu saya rasa bersalah bila dari jam 8 pagi hingga 6 petang saya

...meletakkan tanggungjawab menghantar anak ke sekolah di tangan pemandu bas
...meletakkan tanggungjawab mengasuh sepenuhnya kepada pengasuh
...meletakkan tanggungjawab mendidik kepada guru sekolah

sedangkan tanggungjawab itu semuanya adalah tanggungjawab saya sebagai ibu.

Semoga dipermudahkan...InsyaAllah.

Di bawah adalah link kepada satu ceramah Ustaz Don Daniyal mengenai cara mendidik anak mengikut sunnah. Komfem insaf lepas dengar...

https://www.youtube.com/watch?v=973drXYjJw8


Monday, May 20, 2013

Geng Gaduh


Assalamualaikum...

Petang semalam Kakak Damia beli kamus Bahasa Melayu - Bahasa Melayu - Bahasa Inggeris di kedai buku MBS dekat dengan pintu masuk Carrefour. Malam tadi dia baca kamus tu sampai lewat malam. Cuti sekolah sudah dekat, dia minta saya belikan lebih banyak buku cerita untuk buat Nilam. Buku Nilam dia dah nak habis, jadi saya cakap pada dia jangan lupa beritahu cikgu supaya dapat buku Nilam yang baru untuk buat masa cuti sekolah nanti. 

Kakak Damia belajar di Kelas ke-2 dari 5 buah kelas Darjah 2. Dia tidak pernah dapat anugerah kecemerlangan tetapi selalu dapat hadiah Terbaik Nilam dan baru-baru ini dapat hadiah Peraduan Membuat Kamus Kecil. Dia pun suka membaca macam saya, jadi kami memang selalu tag team pergi serbu book sale bawak beg sandang sorang satu.

Walaupun malas kemas bilik dan tak suka sikat rambut selain selalu jadi mangsa fesyen :) , dia anak yang baik dan menghiburkan. Biarlah anak saya tidak cemerlang dengan A yang berderet-deret dalam kad laporan tapi hatinya baik, bertanggungjawab terhadap adik-adik dan cintakan ilmu. Yang paling penting dia dah mula solat sendiri dan baca Surah Yaasin walaupun belum lancar. Alhamdulillah... Saya rasa saya dulu masa kecil-kecil nakal tau? Tetapi anak saya ni baik dan patuh walaupun ada le jugak memberontak kekadang tu... Tak taulah genetik siapa yang dia mengikut jadi baik ni....hehehe...






Wednesday, October 31, 2012

7 Tahun

Assalamualaikum w.b.t

Naily Damia dilahirkan pada 30 Oktober 2005 ketika berusia 34 minggu di dalam kandungan. Dia lahir tidak cukup bulan dengan kaedah pembedahan caesarean section kerana masalah 'fetal distress'. Tekanan darah saya naik tiba-tiba kerana berpuasa agaknya (masa tu bulan Ramadhan). Beratnya waktu lahir hanya lebih sedikit 2 kg dan sangat kecil. Baju-baju bayi saiz baru lahir nampak gedoboh bila saya pakaikan padanya.

Walaupun lahir tidak cukup bulan, dia anak yang kuat. Dia tak perlu dimasukkan ke incubator dan  tak perlukan oksigen untuk membantunya bernafas kerana dia mampu bernafas sendiri walaupun paru-parunya masih belum matang. Kerana lahir pra-matang, Damia mengalami prolong jaundice sehingga umurnya sebulan. Beberapa kali masuk wad dan diambil darah. Tak sanggup nak kenang..memang sampai bengkak tangan kecilnya. Walau bagaimana pun. dia membesar dengan sihat. Cepat bercakap dan petah sekali. kadang-kadang 'sentap' juga dengar apa yang dikatakannya kepada saya, komen-komen dan pendapatnya..walaupun pedih di telinga, saya sedar itu ialah kata-katanya yang paling jujur.

Semalam genap umurnya 7 tahun. Seusianya dia memikul tanggungjawab yang besar sebagai anak sulung. Dialah yang sering membantu menguruskan adik-adik. Disuapkan mereka makan, diajak bermain semasa saya sedang sibuk di dapur. Dia jugalah yang selalu meleraikan adik-adik bergaduh serta mengawasi mereka. Dia juga banyak beralah dengan Eusoff adiknya yang istimewa walaupun kadangkala memberontak dan menangis tatkala terpaksa menyerahkan buku kegemaran yang sedang dibaca semata-mata kerana Eusoff sudah bergolek di lantai kerana mahukan buku yang sama. Dia jugalah yang puas bersabar bila disepak terajang si Eusoff di tempat duduk belakang ketika Eusoff tantrum di dalam kereta.

Walaupun bertubuh kecil berbanding rakan seusia, saya tahu anak saya ini berjiwa besar, sabar dan penyayang. Yang sudah pasti pahalanya banyak kerana sanggup menjadi teman sepermainan, guru, juruterapi pertuturan dan cara kerja si adik yang kelainan upaya. 


Semoga kamu dilimpahi rahmat Allah anakku.. Selamat Hari Jadi yang ke-7. Mama sayang kakak..selamanya!


Monday, October 15, 2012

Turn Kakak Damia pulak masuk TV.

Assalamualaikum w.b.t.

Hari ni riang gembira la anak saya yang sorang tu. Sebab apa tau? Sebab muka dia masuk TV. Hehe.. Bukan kena interview, tapi sebab mak yang rajin lagi baik hati ni (keh keh) telah menghantar email birthday wish ke Astro Ceria. Walaweiii...rupanye terpilih dan masuk TV la pulak. Hehehehe.. 

Ok..saya tau.. Korang sume cakap dalam hati.."eh eh..macam mak dia je yang happy sangat ni?".. Memang pun saya happy!! Sebab..kalau gambar makcik tu tak kuar TV, matilah saya kena menjawab dengan dia selama berminggu-minggu dengan soalan "kenapa gambar kakak tak keluar?"

"Mama salah hantar kat alamat email tu eaa?"
"Mama lupa hantar sebenarnya kannnn?"
"Mama pilih gambar kakak yang tak comel kan? Sebab tu orang Astro tak pilih."
"Mama hantar lepas tarikh tutup ni..betul tak?"..

dan macam-macam soalan yang menyakitkan jiwa dan telinga akan diajukan kepada saya...

Di sebalik semua ini, saya sebenarnya cuba untuk menjadi ADIL kepada semua anak-anak saya. Eusoff dah 2 kali masuk TV dalam liputan event Persatuan Autisme Muslim Malaysia. Walaupun dia turut berada di sana, muka Kakak jurukamera tak fokus, sebab selalunya dia cuma fokus pada anak istimewa yang pakai special tag sahaja. Ini menyebabkan Kakak menjadi Tiga Abdul dan berkata "Ini tidak adil!!"

Jadi..untuk menggembirakan hati kekanak yang sangat teringin nak masuk TV ni, saya telah menghantar email beserta gambarnya untuk birthday wish di Astro Ceria. 

Alhamdulillah..gambar Kakak terpilih. Rezeki dialah tu... Terima kasih Allah... :)) 

Gambar inilah yang keluar TV tu..

Nasib baiklah Daniel masih kecil dan tak tau apa-apa lagi. Kalau tak kan tak pasal-pasal saya kena fikirkan macamana nak bagi dia pulak masuk TV.

;))




Wednesday, January 25, 2012

Damia pulak nak tantrum..


"Eusoff pandai buat spelling English.. kakak tak pandai"..

"Daniel ni lagi putih dari kakak.. kenapa kakak tak putih macam Daniel??"

"Kenapa Daniel ni suka mama je? Tak suka kakak?"

"Mama tu suka marah kakak.." Tuduhan yang satu inilah yang paling menghiris hati. :((

Kadang-kadang bila tahap degilnya sudah melebihi batas, mahu atau tidak aku terpaksa menggunakan kaedah ugutan, untuk memaksanya mandi, makan atau kemas barang-barang dia yang bersepah di seluruh rumah. Semenjak akhir-akhir ini perangainya memang ketara nakal dan degil, seakan-akan cuba memancing emosi marahku.

Aku sudah cuba membuat dia merasa disayangi.. Setiap hari ketika menghantarnya ke sekolah, aku akan berjalan dengannya sampai ke pintu bilik darjah walaupun jarak dari pintu pagar ke bilik darjah dengan berjalan kaki tak sampai pun 5 minit perjalanan...Setiap kali dia aku hantar dan ambil dari sekolah, aku cium dan peluk dia. Cakap padanya yang aku sayangkan dia. Setiap hari aku tanya bagaimana harinya di sekolah, apa aktivitinya.. Kalau ada pencapaian kecil yang ditunjukkan aku puji dan ucap tahniah padanya. Setiap masa yang aku habiskan bersamanya hanya aku penuhi dengan semua yang berkenaan dirinya saja.

Keadaan tak begitu teruk kalau hari itu hari bekerja..tapi kalau aku cuti, aku harus bersiap sedia menghadapi perangainya satu demi satu. Otak aku letih sebenarnya.. Dengan anak istimewa yang harus diberi perhatian, baby yang asyik melekap dan masih menyusu badan.. ditambah pula dengan perangai si kakak yang suka menguji kesabaran.

Sedangkan perkara sekecil ini..:- "Kakak pegilah makan dekat meja makan...jangan makan depan TV ni. Nanti berterabur nasi. Semut datang nanti kakak juga yang kena gigit". Nada suaraku aku lembutkan sehabis lembut dah..supaya dia dapat menerimanya dengan terbuka.

Dia akan membalas dengan "Mama ni semua tak boleh. Suka marah kakak. Asyik dukung Daniel je.. Mama tak sayang kakak.".. Okay, realitinya anak sulungku cemburu. Cemburu dengan kepakaran si Eusoff mengeja dalam Bahasa Inggeris yang nyata dia agak lemah..dan cemburu dengan si baby Daniel yang comel dan selalu diberi lebih perhatian. Kadang2 aku terdengar juga Damia marahkan Daniel kerana asyik mengejar aku menggunakan walkernya. Bayi berumur 6 bulan pun tak terkecuali dari jadi mangsa bebelan Damia.

Babahnya yang selalu memanjakan dia juga sudah angkat tangan menangani perangai si Damia. Kata-kata yang keluar dari mulutnya memang menghiris hati. Apa yang harus aku buat??

Dibiarkan atau pun dilayan, seakan tidak ada perbezaan.. Aku cuma mampu bermohon pada ALLAH agar melembutkan hati anak sulungku ini, dan semoga aku dikurniakan tahap kesabaran yang tinggi dalam menangani gelora emosinya. Semoga Damia jadi anak yang soleh dan berbudi pekerti..Amin.

Monday, January 9, 2012

Damia di Hari Pertama Persekolahan



Assalamualaikum...

Baru minggu ini aku dapat update blog. Minggu lepas adalah sangat sibuk sebab anak dara aku tu dah masuk sekolah. Jadi asyik la pegi hantar dan ambik dia. Eusoff dan Daniel pulak terpaksa pegi school dgn babah.. Sebab aku terpaksa hantar Damia sampai la masuk bilik darjah, tunggu sekejap, pastikan dia selamat dan ok, lepas tu barulah aku pegi kerja. So, takleh nak hangkut tiga-tiga orang budak sekali. Babah have to take over keje sebagai supir Eusoff dan Daniel.

Damia bersekolah di Darjah 1, SK Permatang Badak, Kuantan. Sekolah cuma 10 minit dari rumah. Kelas 1 Afdhal. Walau bagaimana pun kelas ni bukan kelas permanent sebab semua pelajar Tahun 1 akan menduduki ujian untuk menempatkan mereka sama ada berada di kelas A,B, C, D atau E.

Di bawah adalah gambar-gambar Damia semasa hari pertama persekolahan. :)



Kelas Tahun 1 kena bukak kasut sbb lantai diorang guna 'tiles'. Jadi everytime nak masuk kelas kena bukak kasut dan nak kuar kena la pakai balik.

Saturday, December 24, 2011

Damia ke Darjah 1






Akhirnya, anak sulung aku yang becok dan bijak ini akan mula bersekolah di Darjah 1. Damia akan bersekolah di SRK Permatang Badak iaitu sekolah yang paling dekat dengan rumah aku ni. Excitednya dia asyik bertanya macam-macam mengenai sekolah barunya itu. Dan pastinya asyik bertanya bila aku dan babahnya akan belikan dia baju dan perlatan sekolah baru. Akhirnya..Isnin lepas, selepas bawa EUsoff ke Klinik Psikiatrik HTAA, kami pun terus je bawa Damia pegi shopping barang- barang sekolah.

Items yang dibeli ialah:-

- 2 pasang baju kurung uniform sekolah
- 2 helai tudung sekolah
- 2 helai anak tudung putih
- 2 pasang kasut sekolah
- 3 pasang stoking
- 3 botol kapur kasut (+ 2 botol kapur kasut free hadiah beli kasut tu)
- 1 beg sekolah (+ pencil case free hadiah beli beg)
- alat tulis terdiri dari pensel, getah pemadam, pembaris, pengasah pensel, gam dan pensel warna.

Fuh! Abis jugak la duit bonus babah dia dalam RM300. Tu baru sorang anak...kalau orang yang anak ramai, dah tu semua sekolah, tak dapat nak aku bayangkan.. Kena gadai barang kemas le nampaknye. Tak pun main kutu awal-awal.. :)

Sabtu depan 31hb Disember 2011 ada induksi kat sekolah Damia. Damia akan ambil placement test untuk tempatkan dia ke kelas A,B,C atau D. Anak dah masuk darjah 1, mama dia terasa cam tua le pulak..hehehehe...

My baby has grown up.. How time flies.. :)

Monday, May 30, 2011

Aku emo lalu terlempang...

Semalam hari Ahad. Maknanya hari cuti la kan? Hari cuti bermakna penat la aku dengan segala mak nenek keje umah, masak dan kena buli dengan budak berdua tu. Penat berjalan pun ye jugak..sebab baru gaji dan barang dapur dah kosong kat lemari tu, jadi kuar la beli stok barang-barang dapur tu semua. Masa beli barang, si Damia ni macam-macam nak belilah....sampai kadang-kadang lari budget dibuatnya. Eusoff sibuk main santan peket. Yang sorang ni pulak memang tak pandai mintak apa2 kalau pegi shopping. Selamatttt....

Yaaa...perut aku dah nak masuk 9 bulan. Sangat-sangat boyot dan berat sampai jalan pun dah tak stabil. Jalan sikit cepat letih, cuaca panas je tak tahan sbb hormon kot. Air-cond asyik pasang je kat rumah. Matilah aku nak bayar bil elektrik bulan depan. Disebabkan cuaca panas, dan aku pun memang asyik panas badan...maka hati pun cepat panas. Dan anak-anak aku tu suka sangat menduga kesabaran aku lepas satu benda, satu benda lagi yang diorang buat nak bagi naik darah aku ni..

Semalam Damia malas buat kerja sekolah. Aku tengok hari-hari dia kepit buku sekolah tu, tapi tak siap-siap jugak. Ok...hati aku kata, "Sabar. Beri dia masa." Lepas tu, bila buat keje sekolah mesti nak main-main...Lepas tu tengok TV. Bila suruh solat pun bagi alasan nak buat keje sekolah, tapi keje sekolah masih tak siap-siap jugak. Hati aku pun mula dah nak panas...Bila temperature sudah naik, dan suara aku pun sudah tinggi... babahnya dengan sukarela cepat-cepat pegi tolong Damia buat keje sekolah tu. Tolong buat pulak tu... nak selamatkan anak punya pasal. Tak suka betul aku.

Malam tu, Damia suruh aku masak. Dengan pelvic pain dan termengah-mengah, aku gagahkan jugak la nak masak. Sebab anak dah request kan?? Bila nak makan, mesti nak depan TV. Makan depan TV bertatang pinggan. Nasik tumpah sana sini. Dah la aku ni letih, tak larat, hati panas, badan panas...bila dah masak, makannya 2,3 suap aje. Padahal kalau meng'order' macam nak makan 2,3 pinggan. Kacau punya kacau nasik sampai kotorkan baju singlet putih mahal yang aku beli tu..Pergh! Itu jam aku sudah snap..lalu PANG!! Aku emo lalu terlempang Damia... Bukan kat muka la, tapi kat badan. Dia pulak nak lari dari tangan aku pegi pijak plastik sepeket Fisherman's Friend yang Eusoff bawak kuar dari dalam handbag aku. Apa lagi...gedebuk jatuh!! Cepat-cepat dia bangun dan nangis dekat pintu.

Bila tangan dah melayang, pastu tengok dia jatuh dan nangis...rasa menyesal pulak. Kesian dan rasa nak pegi pujuk dia. Tapi...sakit hati aku lebih dari perasaan kesian itu semua. Rasanya masa tu aku jadi kejam sangat...tak taulah kenapa. Dia nangis sekejap aje...lepas tu perlahan-lahan datang dekat aku. Bila aku berborak dengan babah dia tentang cerita yang kami tengah tonton kat TV, dia pun sampuk sama, tanya itu dan ini. Lama-lama dia datang dekat aku dan duduk sebelah aku kat sofa. Dia cakap, "Sori ye Mama. Kakak dah siap keje sekolah, dah letak baju dalam beg tadika. Kakak dah siap pegi bilik air dan gosok gigi. Kakak pakai seluar dalam bilik air, tapi seluar kakak tak basah pun" (kami tengah ajar dia pasal malu, so tak bagi dia berbogel-bogel atau tak tutup private parts dia depan org lain, even family members).

Di sebalik rasa kesal aku sebab memukul dia kerana hilang kawalan pada kemarahan aku, dia rupanya lebih kesal kerana menyusahkan mamanya ini...

Mulia kan hati budak-budak? Dalam kes ini..hati anak perempuan aku Damia yang baru 6 tahun. Walaupun macamana aku pukul dia, boikot dia, bagi silent treatment ke hape ke untuk hukum dia...dia tak pernah tak maafkan aku. Rasa bersalah kadang-kadang...kerana dia pemaaf sedangkan aku tak..(kadang-kadang). Dia rela mengetepikan ego dan perasaan malunya untuk minta maaf, sedangkan aku sibuk pertahankan ego aku walaupun dengan budak kecik. Walhal umur dia tu muda sesangat, dan jauh dari kematangan, sedangkan aku ni orang dewasa tapi kadang-kadang perangai macam budak-budak...

Aku mahu kawal kemarahan aku yang kadang-kadang datang menggila ni... Aku tak mau anak aku membesar dengan mengingati bahawa dia ada mama yang pemarah dan suka pukul dia. Aku mahu Damia cuma ingat benda yang indah-indah tentang mamanya ini. Aku tak nak la nanti dia dah jadi mama pun dia jadi mama yang cepat marah macam aku. Semoga Tuhan mengurniakan aku kesabaran yang tinggi dalam membesarkan anak-anak. Amin...