Monday, October 29, 2012

Tantrum / Meltdown / Mengamuk

Assalamualaikum w.b.t.

Cuti Hari Raya Aidil Adha baru saja berlalu. Hari ni ada masjlis qurban di pejabat. Dalam kesibukan hari ini, rutin harian menghantar dan menjemput anak-anak dari sekolah tetap diteruskan. Malam tadi Eusoff tidur lewat. Mula-mulanya dia bermain sendirian, sehingga akhirnya menjelang pukul 3 pagi, dia mula tantrum/ meltdown (mengamuk) kerana mahu kami semua bangun dan bermain dengannya.

Tantrum, meltdown atau mengamuk ni adalah perkara biasa dalam dunia autisme. Eusoff ada masalah behaviour yang agak teruk. Termasuk tantrumnya. Malam tadi kerana saya tidak mahu melayan kerenah Eusoff dan kasihankan adiknya yang sedang nyenyak tidur nampaknya sudah mula terganggu, saya memilih untuk membawa adik Daniel masuk ke dalam bilik dan meninggalkan Eusoff dengan babahnya. Walaupun saya sudah keluar dari zon mengamuk Eusoff dan membuat tindakan 'extinct the behaviour'..saya tetap tak dapat tidur sehingga saya dengar tangisannya berhenti dan keadaan di luar bilik kembali senyap.

Pagi ini saya bangun dan melihat dia tidur di ruang tamu dengan perasaan yang sayu... Saya rasa bersalah meninggalkannya semalam, tetapi saya terpaksa memilih menyelamatkan adiknya dan mengelakkan si kecik tu tercedera terkena libasan kaki dan tangan Eusoff. Kalaulah saya boleh membahagikan diri menjadi dua.. :'(

Hari ini Eusoff behave. Manis dan manja. Saya sedar apa yang dilakukan ketika dia sedang mengalami meltdown, adalah di luar kemampuannya mengawal diri. Saya sering memerhatikan dia menangis dan menjerit, kemudian membuat isyarat senyap dengan meletakkan jari telunjuk ke mulut sambil berkata "Syhhh.". Kemudian dia menangis lagi dan kembali menyuruh dirinya sendiri diam. Perlakuan ini berulang beberapa kali setiap kali dia mengalami meltdown. Saya membuat sedikit kajian di internet dan mendapat tahu bahawa perlakuan ini disebabkan individu autistik terbabit jelas mengetahui bahawa tindakannya mengamuk dan menangis adalah perbuatan yang teruk, tetapi dia tidak mampu untuk mengawal perlakuannya sendiri kerana pelbagai masalah. Antaranya:

1. overloaded sensory (bayangkan anda berada mendengar bunyi enjin jet yang kuat di kedua-dua buah telinga anda, anda pasti berasa bingit dan tak selesa. Ini adalah apa yang anak saya rasakan ketika saya berkemas menggunakan vacuum cleaner. Individu autisme mempunya masalah memproses maklumat berkaitan deria sama ada bunyi, sentuhan, rasa atau penglihatan. Apa yang biasa saja bagi anda, mungkin menyakitkan bagi mereka (hyper sensitive).)

2. Letih atau lapar. (Eusoff mempunyai masalah pertuturan dan komunikasi. Bayangkan anda berseorangan di sebuah tempat di mana semua orang tidak memahami bahasa anda. Anda sedang  letih dan lapar tetapi tidak dapat menyuarakan keperluan anda. Anda sangat haus, tetapi seseorang menghulurkan kipas. Anda menjerit dengan bahasa anda sendiri meminta air, tetapi tetap juga anda diberikan kain, sudu atau bola.  Apakah anda tidak kecewa dan marah-marah?)

3. Bertukar rutin ( kebanyakan individu autisme terikat dengan rutin. Mereka tidak suka dan selesa sekiranya rutin itu bertukar. Contoh: Setiap hari saya akan menghantar Eusoff ke sekolah dari pejabat. Sekiranya hari itu saya mengambil cuti dan menghantar Eusoff melalui jalan lain yang lebih dekat kerana tak perlu singgah di pejabat. Ketika saya turunkan Eusoff di sekolah dia akan menangis kerana pada fikirannya hari ini adalah hari cuti kerana saya tidak ke pejabat. Belajar dari pengalaman: sekiranya saya mengambil cuti tahunan pada hari itu, saya tetap singgah di pejabat, berhenti sekejap..masuk ke dalam mengambil surat-surat saya sekiranya ada, dan terus memandu ke sekolahnya. Saya boleh memulakan hari saya dan Eusoff juga dalam keadaan gembira tanpa perlu menghadapi meltdownnya di dalam kereta. Mudah aje kalau dah faham.. :)).

Saya telah melalui beratus kali pengalaman mengharungi siri 'meltdown' ini dengan Eusoff, sesetengahnya berlaku di kawasan awam dan ditonton oleh puluhan pasang mata. Anak autisme yang tidak mempunyai perbezaan fizikal dengan anak-anak tipikal sering dilabelkan kanak-kanak berperangai buruk, kurang ajar, tidak tahu adab dan lepas laku ketika mereka mengalami meltdown. Sebagai ibu bapa, rasanya sudah tebal muka saya dilabel sebagai ibu yang tidak pandai mendidik anak. Kesan meltdown ini bukan hanya ditanggung oleh kanak-kanak autisme itu sahaja, tetapi seluruh keluarga termasuk ibu bapa dan adik-beradiknya yang lain tidak lepas dari dihakimi dan dipandang serong oleh masyarakat.

Tengok wajah Eusoff ni..tak ada bezanya dengan anak-anak tipikal lain sebayanya. 

Sekiranya anda ke pasaraya, lalu terjumpa dengan seorang kanak-kanak yang mengamuk, berguling di lantai, menghentak kaki dan menghempas badan sambil menjerit dan menangis sekuat-kuatnya, tolong jangan hakimi dia.. atau ibu bapanya. Jangan labelkan dia sebagai budak yang tidak pandai menjaga tingkah laku, budak yang tak makan dek ajar ..Atau ibu bapanya tak pandai mendisiplinkan anak, terlalu memanjakan anak sehingga anak naik lemak, tak pandai mengajar anak behave di tempat awam atau kata caci-maki yang sewaktu dengannya. Budak itu mungkin sahaja seorang kanak-kanak autisme yang mengalami masalah sensory overload apabila mengalami pelbagai ransangan sensory berlebihan dari pelbagai bunyi, hiruk-pikuk orang ramai, cahaya yang terlalu terang atau suram serta pelbagai bau dan warna-warni disekelilingnya yang terdapat di pasaraya itu. Sekiranya anda tidak tahu bagaimana untuk membantu, silakan anda angkat kaki dan berlalu pergi.. kerana pandangan jelik, tunjuk-menunjuk antara anda dan teman-teman anda serta komen-komen yang 'bias' berdasarkan pemerhatian sendiri sesungguhnya tidak membantu. 

Situasi meltdown mungkin berlaku di premis makanan seperti ini..


Selamat Hari Raya Aidil Adha..semoga ibadah qurban anda semua diterima Allah s.w.t.. 

1 comment:

  1. Sobs! Indeed! Last week adalah minggu yg penuh dgn jeritan drpd Ihsan. Kita stress sgt kak. So miserable for d whole family. Kesian sbnrnya and hopeless xtau nk buat apa bila semua cara xjalan... Lets hope for better tomorrow again and again!

    ReplyDelete