Assalamualaikum..
Berapa kali pun entri saya, akan didahului salam. Agar anda yang membaca mendapat pahala menjawab salam dan saya pula dapat pahala memberi salam. Intipati tulisan saya yang kadangkala terbuai oleh perasaan barangkali ada yang memberi manfaat, mungkin ada yang tidak. Cumanya saya berharap benar tidak ada yang mendatangkan dosa pula bagi saya yang menulis atau anda yang membaca.
Sekiranya diberi pilihan tidak mungkin saya memilih untuk melukis dan meninggalkan penulisan. Begitu juga sebaliknya. Kedua-dua bidang ini bahasanya sama, cuma rentak saja yang berlainan. Kedua-duanya berkait rapat kemahiran, pelahiran perasaan dan fakta. FAKTA. Ramai orang menulis tetapi tiada fakta. Menulis tanpa fakta boleh mengundang interpretasi yang janggal, dangkal dan fitnah. Jadi, itu sebabnya saya menjadi sangat berhati-hati.
Bukan tak pernah rasa ingin sekali berkongsi cerita gossip terhangat dan berita sensasi. Tetapi, setiap kali saya mahu menekan butang 'SHARE' di Facebook, saya berfikir 20 kali. Oh..mungkin 100 kali. Saya akan berfikir sama ada benar atau tidaknya berita yang saya ingin kongsikan bersama teman-teman di laman sosial. Saya fikirkan soal implikasinya berulang-ulang kali.
Sekiranya kita berkongsi perkara yang bidaah, kita akan mendapat dosanya kerana menyebarkan perkara yang tidak betul malah menjadi ikutan pula bagi orang yang jahil dan tidak tahu seperti kita. Apatah lagi sekiranya perkara tersebut datang dari sumber yang tidak sahih..akan mendatangkan fitnah pula. Sekiranya berita itu melibatkan individu, dan berita itu pula berita yang tidak benar, sudah pasti mendatangkan keaiban, kesusahan dan pelbagai implikasi buruk lainnya terhadapa individu terbabit. Fikirkan jika orang yang di'popular'kan di Facebook, Twitter, Instagram, Foursquare itu KAMU? Bagaimana rasanya melihat diri kita dihakimi, diketawakan, dicarut-marutkan di ruangan KOMEN? Bagaimana jika yang diaibkan itu anak-anak kita, adik-beradik kita, suami atau isteri kita? Nauzubillah...
Gambar boleh dipalsukan. Kata-kata bisa diputar-belitkan. FAKTA boleh dipesongkan.
Manusia memilih untuk mendengar apa yang dia mahu dengar.
Manusia memilih untuk mempercayai siapa yang dia mahu percayai.
Sekalipun perkara itu belum tentu mempunyai bukti sahih, kita akan mempercayai kata-kata orang yang kita percayai itu.
Sekalipun apa yang anda percayai itu datang dari Facebook, dari hasil carian anda di Google dan blog-blog..dari fakta yang bisa saja terpesong, digembar-gemburkan atau ditambah perisa agar bertambah enak dibaca.
Dunia siber ini adalah satu dunia yang tiada sempadan. Apa yang kita tulis atau apa saja gambar yang kita kongsikan di Facebook, di Twitter, di blog dan lain-lain laman perkongsian sosial atau penulisan siber akan KEKAL di mana anda menulisnya, sehinggalah tangan anda sendiri memadamnya. Dalam jangka masa itu, berapa ribu orang membaca dan berkongsi cerita atau gambarnya. Sekiranya perkara yang kita kongsikan mendatangkan keburukan, bayangkan rantaian dosa kita bakal bertambah satu-persatu selama puluhan tahun.
ALLAHU AKBAR!!
Mampukah kita menanggung dosanya?
Saya bukanlah seorang yang arif dan pakar dalam bidang agama. Saya, dengan ilmu yang dangkal ini, masih bertatih mendalami ilmu Allah..tetapi dari segi moral saja perkara ini sudah jelas. Jangan mudah berkongsi apa saja di laman sosial atau di blog-blog penulisan anda sekiranya anda tidak pasti FAKTA dan kebenarannya.
Atau, berkongsi sajalah perkara-perkara yang baik. Perkara yang bijaksana. Agar kebaikan dan kebijaksanaan itu dapat dimanfaatkan selama berpuluh-puluh tahun menjadi amal jariah yang tidak putus menambah catatan demi catatan di dalam lembaran sebelah kanan.
Saya kadangkala ngeri untuk membuka Facebook melihat perang saudara di antara kita kerana ketaksuban masing-masing. Di sana-sini kata caci-maki dengan 'LIKE' yang jumlahnya menjangkau puluhan ribu.
Ameen.
ReplyDeleteMemang macam-macam ada di laman sosial. Kena hati2 dan pikir dulu sebelum berkongsi, kan?