Thursday, March 21, 2013

Hyperlexia & Hypergraphia

Assalamualaikum...

Sejak kebelakangan ini, Eusoff seronok betul menulis. Saya suka sangat..sebab secara tak langsung dia sendiri sukarela nak perbaiki fine motor skill dia. Alhamdulillah.. dari tak pandai pegang pensel, sekarang dah pandai. Tulisan pun  makin kemas dan cantik. Tetapi lama-kelamaan menulis tu dah jadi obsesi pulak. Kalau kat rumah, pen dan buku tulis tak pernah lekang dari tangan. Selalunya dia akan tulis tajuk filem, tajuk drama, tajuk rancangan tv, senarai channel Astro, intisari rancangan, logo dan jenama dari iklan tv, score sukan, nama selebriti seperti pelakon, ahli sukan, penceramah, ustaz, nama syarikat produksi, nama penerbit filem, nama pengarah filem, tarikh wayang keluar panggung dan macam-macam lagi. 

Kalau tak cukup kertas dinding jadi mangsa. Penuh dari depan sampai ke belakang. Dari pintu sliding hingga ke segenap bilik, belakang pintu dan pada cermin, lantai mozek, cadar, sarung bantal, baju, bahagian interior kereta pun dia tulis (nasib baik boleh padam). Sampailah badan dia sendiri pun dia tulis. Setakat buku latihan biasa tu, 2-3 hari je dan habis penuh satu buku. Tak cukup buku contengan, dia tulis macam-macam pada buku sekolah. Dinding sekolah pun dia dah tulis tapi cikgu dia kata nasib baik cat interior jenis yang boleh dibersihkan. 
Buku tulis Eusoff...penuh setiap muka suratnya dengan tulisan macam ni..

Buku sekolah pun jadi mangsa.

Dinding bilik tidur yang diconteng dek budak Eusoff.

Kalau saya pegang tangan kanannya supaya dia berhenti menulis, dia akan menulis guna tangan kiri. Kalau saya pegang kedua-dua tangan, dia pernah menulis guna mulut. Kalau saya sorok semua pen, dia akan tulis guna air liur atau kuah kicap. Atau dia akan guris dinding menggunakan bucu tajam dari permainan untuk menulis. Kalau saya sorok semua pen, buku, kuah kicap, permainan hingga dah takde surface lagi untuk dia tulis atau dia ada di suatu tempat yang takde langsung ruang dan permukaan untuk menulis (contoh: ketika naik motor), dia akan menulis di angin. Waktu nak tidur pun sama...satu tangan akan keluar dari selimut dan dia akan menulis di awangan sehingga terlena.


Eusoff si hyperlexia kini sedikit demi sedikit bercambah tumbuh satu lagi kategori baru iaitu HYPERGRAPHIA iaitu keinginan luar biasa untuk menulis. Walau bagaimanapun, ianya bukanlah sejenis kecelaruan tetapi dicetuskan oleh aktiviti luar biasa di bahagian temporal lobe pada otak manusia. Study case antara hyperlexia dan hypergraphia pula tak banyak yang saya jumpa, kerana kes begini adalah dikatakan jarang-jarang berlaku.


Sebenarnya saya merasa sedikit gusar melihat perkaitan antara hypergraphia dan serangan epilepsy. Itu belum lagi baca kaitannya dengan skizofrenia dan bipolar. Memang merisaukan. Saya harap obsesi baru Eusoff ini tidaklah sampai tahap itu..mungkin cuma pelahiran secara fizikal dari kebolehan membacanya itu saja.

Tuesday, March 19, 2013

Daniel dan Pneumonia

Assalamualaikum...

Baru-baru ini Daniel masuk wad Pediatrik kerana paru-parunya dijangkiti kuman, atau Broncho Pneumonia. Sejujurnya memang saya memang takut bila dia mula selesema dan batuk. Sekiranya tak baik dalam masa dua hari, Daniel akan kena bronchitis dan seterusnya develop menjadi pneumonia. Saluran pernafasan akan mengalami radang dan menyempit, sedangkan kahak yang tak pandai dibuang oleh bayi seusianya kan terus memenuhi paru2 lalu mengakibatkan dia sukar bernafas. Selalunya sekali dua ambil nebulizer di klinik, dan teruskan makan ubat, Daniel akan sembuh. Tetapi tidak kali ini. Setelah dua hari batuk berkahak dan selesema dia mula demam panas yang tak baik-baik. Cemas dan bimbang dengan keadaannya, saya bawa dia ke hospital lebih kurang pukul 10.20 malam selepas neb terakhir di klinik pukul 8 malam. Laporan x-ray menunjukkan paru-parunya dijangkiti kuman..sah, Daniel kena pneumonia. Demam masih tinggi sekitar 38 darjah celsius. Selepas itu, doktor mengeluarkan surat admission dan Daniel kena masuk wad.

Mujur saya dah suruh Cikgu Misai call mak dan abah mertua supaya datang, sebab saya dah bajet memang Daniel kena tahan di wad sebab keadaan dia memang tak bagus...kalau takde mak dan abah, macamana babah dia nak daftarkan kemasukan ke wad dan hantar barang kain baju semua dan nak jaga Kakak Damia dan Eusoff pulak kat rumah tu. Sebaik saja mak dan abah sampai lebih kurang pukul 1 pagi, Cikgu Misai dgn cepat pecut ke hospital dan tolong uruskan pendaftaran dan tolong dukung si Daniel yg meragam.

Agaknya memang dia penat dan susah gile nak nafas, bila pakaikan je tiub oksigen kat hidung dia, Daniel terus diam. Masa masuk wad dia siap happy lagi gelak2. Lepas tu kena masuk IV line dia nangis la..tak gelak dah. Masa tu oksigen level dia 2 liter oo... agak tinggi jugak sebab blood oxygen dia dah drop gile2.

Selepas tu Daniel kena masuk ubat antibiotik melalui drip. Dan makan ubat demam secara oral. Nasiblah dia jenis yang senang makan ubat. Kalau Eusoff yang masuk wad, saya tak taulah macamana...Haihh....

IV line Daniel masa first day tahan sehari je sebab tangan dah bengkak dan dah clog, so kena cabut dan masuk yg lain. Masuk yg lain tahan sampai petang je, dah bengkok pulak, cabut lagi dan masuk IV line lain lagi. Kali ni kat kaki plak. Adoiii...dalam sakit-sakit tu lasak betul! Sampai 3 kali kena masuk IV line...sakit kan masuk IV line tu? Hmm.. kesian Daniel. Tulah, muka je jambu, tetapi ganas jugak sebenarnya..hahaha..


Ni masa demam kat rumah...panas betul badannya. Jerlum air banyak2 kali, kebah...tapi lepas tu naik balik panas.

Pagi hari kejadian. Tido bantal tinggi..walupun demam dan lelah, rambut tetap maintain K-Pop.

On admission.. pakai tiub oksigen.

Ni tampal kat kepala katil.

Curi2 nenen.. Abaikan muka mak yg buroks itu ye? Tak sempat nengok cermin dah..

Daniel kena puasa satu hari sebab doktor takut dia tersedak kalau minum air atau susu. Tapi dah dia dahaga, saya bagi jelah curi2 minum air. Bab nenen pulak sebab dia masih breastfeed, dan tudung saya beso, saya curi2 la bagi dia menyusu mcm ni... nampak mcm tengah tido melekap kat badan macam koala bear, tapi sebenarnya dia tengah nenen. Hahaha...bagus tak?

Nak tido kat bahu je dengan babah dia..ngada tahap gaban.

Pintu ke PICU, bertentangan dengan wad Pediatrik tempat Daniel ditempatkan.  Teringat kenangan lama...iskkk
Daniel ditempatkan kat Wad Kenanga 6C (Pediatrik) bertentangan dengan Wad Kenangan 6B (Pediatric ICU) tempat Eusoff kena severe pneumonia tahun 2010. Masa tu tak tau lagi Eusoff autistic dan masa tu keadaan dia memang bad shape. Sayu pulak teringat kenangan lama bila lalu kat pintu ni..

Daniel on nebulizer 4 hourly.

Tido selepas puas ngamuk.

Gelang ni tak laku dijual di mana-mana pajak gadai.

Hari terkahir duduk kat wad, drip dah off, IV line dah cabut, oksigen pun dah off. Dah boleh bukak puasa...Alhamdulillah. Sakan dapat ngadap bihun satu tray. hihi..

Makan ke main honey star tu?

Percubaan ngorat awek katil sebelah.. Namanya Mya. Daniel siap cakap "Hai...hai..!" Doktor dalam gambar ni panggil Daniel pretty boy sebab muka cam gegirl. Hikhik..
Pemandangan waktu malam dari balkoni Wad Kenanga 6C.. tingkat 6 tu...tinggi oo..cantik jugak kan?

Selepas 4 hari 3 malam kat hospital, Daniel dibenarkan keluar wad. Tapi masa tu batuk dia masih ada walaupun tak seteruk masa masuk wad. Bunyi kahak tu pun masih ada. Jadi saya pun buat keputusan untuk sambor sebijik benda nebulizer tu dan Ventolin 2.5mg just in case dia lelah balik tetiba. Survey kat Farmasi Voon harga dalam RM395.00. Lepas discount tinggal 319.00 jadinye saya pun beli le. Selamat duit gaji...tinggal nam kupang je dalam poket. Huwaaaaaa!!!




Masa ni dia cuma neb 6 hourly sebanyak 3 kali je. Lepas tu bunyi rhonchi dan kahak tu dah completely gone. Alhamdulillah...

Neb kat rumah siap sengih lagi..kalau kat klinik/hospital menjerit dan meronta macam nak  terbalik terlungkup mesin nebulizer tu.

Inilah Omron Compressed Nebulizer yang telah mengeringkan poket saya tu. Tengah kira belen posen-posen  dalam wallet ni...cukup ke nak sampai gaji?? Huwaaaaa...

Budak dah sihat...asyik nak main beskal je keje dia! 
Moral of the story, jangan ambk keputusan lama sangat nak rujuk anak ke hospital sekiranya terdapat masalah pernafasan. Kita takde alat nak measure blood oxygen. Sekiranya drop below 70%, anak boleh pengsan dan menyebabkan komplikasi lain yang lebih merbahaya. Seperti yang korang tau, saya ni sebenarnya kalau boleh tanak anak saya consume antibiotic, dan tanak anak saya makan modern medicine yang ada bahan kimia, tetapi sekiranya kita dah habih ikhtiar dan naluri ibu tu dah bagi signal red alert, jangan berlengah pergilah ke hospital. Alhamdulillah anak saya dah baik dari sakit.. Dan juga janganlah kedekut nak invest demi kesihatan. Walupun peralatannya mahal, atau vitamin atau makanan yang sihat tu mahal, kita kena la usahakan walaupun duit tak berapa nak ada. Duit banyak pun, kalau badan sakit tak guna jugak..tak gitu? Lagi pun nyawa anak dan diri sendiri tiada galang gantinya..

Kiranya dah selamat la duit gaji dan peruntukan untuk balik kampung cuti sekolah ni... Putus harapan nak balik Kuale...huwaaaa!




Tuesday, February 26, 2013

Eusoff: Latest Update

Assalamualaikum...

Dah lama tak buat entri. Nak bukak blog pun tak sempat. Sekarang saya sibuk buat silibus kursus baru. Ya Allah..rasa nak pecah kepala memikirkan. Tau sajalah...nak merekacipta benda yang tak ada/ belum ada. Tentu banyak kajian dan rujukan yang perlu saya buat. Kadang-kadang sampai tak sempat nak makan, apatah lagi nak taip entri.

So...this will be a quick one. 


  1. Eusoff dah bleh feel hujan. Faham bahawa air yg turun dari langit tu dipanggil 'hujan'. Dah tau mesti cepat2 berteduh kalau hari hujan.
  2. Eusoff dah potong rambut sebab kena alergi. Habis gatal2 kat hidung, dagu dan telinga. Sangat kesian tengok dia tergaru-garu. Jadinya terpaksa potong rambut awan nano dia tu..
  3. Eusoff dah boleh tanya soalan. Tapi tahap merapu punya soalan. Contohnya "Aku kaya ke?"  Selagi tak cakap "Ye...Eusoff kaya." selagi tulah dok tanya. Haha..ape pesen tah soalannya. Hik hik!!
  4. Eusoff dah pandai senduk nasi. Bila nak tambah nasi, dia bangun sendiri pegi senduk nasi dan letak dalam pinggan. Tuang kicap, duduk balik kat kerusi dan dia sambung makan. Semua very neatly, takde sepah2 dan berkecah di sana-sini.
  5. Eusoff dah pandai request nak pegi Giant. (Apa yang best sangat kat situ tak taulah!)
  6. Eusoff dah faham kalau kita bergurau dengan dia. Dulu kalau kita gurau dia akan nangis sebab tak faham yg kita bergurau atau acah2 dia je. Sekarang ni dia acah saya balik.. :)
  7. Baru-baru ni Eusoff ada pergi jumpa psikiatris hospital. Dari sesi interview dan pemerhatian, doktor kata Eusoff dah improved banyak. Dah kurang hyper, boleh duduk dan menulis agak lama, attention span meningkat, eye contact dengan orang yang tak dikenali (doktor tu refer kepada diri dia) pun dah ada, dah tak macam dulu dia akan avoid eye contact dengan orang yg tak dikenali. Fine motor skill dan improve, boleh menulis dengan baik. Boleh peluk Mama. Boleh salam dan cium tangan doktor dan tak nangis dah masuk office doktor tu. Dia balas senyuman doktor. Sebagai kesimpulan, Eusoff dah improve dari moderate to severe autism ke mild autism dalam time frame setahun.
  8. Eusoff dah pandai sebut perkataan dalam bahasa cina. Boleh faham simple command dalam bahasa cina. In fact dia react lebih baik dengan bahasa cina. (Pitam mak nak kena belajar bahasa cina pulak la lepas ni!) Cikgu cakap dia banyak belajar dari kawan2 tipikal dari English Class kat sekolah. 
  9. Eusoff boleh engage dalam komunikasi dua hala. Tetapi ni kadang-kadang aje, secara tiba-tiba.
  10. Eusoff dah sangaaaaaat kurang stimming. Sangaaaaat kurang tantrum jugak. Kekadang je kalau ngantuk sangat dia buat jugak la..tapi kdg2 dalam sehari memang takde langsung.
Alhamdulillah syukur sangat2 dengan perubahan yang begitu banyak.

Nak tau hasil apa?

TERAPI AL-QURAN. 

Sambil2 tu terapi jugak pada mak yang tukang baca ni.. Mak pun dah kurang tantrum. Hehehehe..


Rambut baru. Hensem tak??






Wednesday, February 13, 2013

Sebuah Pengakuan

Assalamualaikum..

Saya kerap mimpi buruk dan mimpi yang berulang. Mimpi yang sama setiap kali. Dalam seminggu mungkin 2-3 kali saya mimpi subjek yang sama.

1. Buaya-buaya besar dalam air cetek. Dekat sangat dengan bibir perahu atau dekat dengan tempat saya berpijak dalam air, tetapi dia tidak menyerang. Saya sangat takut masa itu sampai kalau terjaga susah nak tidur balik.

2. Kelas-kelas kosong dengan pintu yang banyak di sebuah sekolah yang besar tapi tak berpenghuni.

3. Berada di sebuah negara asing. Tempat seperti sebuah universiti, lengkap dengan perpustakaan. Penuh orang lalu-lalang tetapi tiada siapa mempedulikan saya. Keadaan seperti seakan benar. Saya boleh menghidu bau daun-daun yg berguguran, boleh merasa dinginnya udara dan mendengar percakapan orang yang berada di sekitarnya. Saya berteman di tempat itu, tetapi bukan dari orang yang saya kenali.

Dalam ketiga-tiga mimpi tu, mimpi no. 1 yang paling kerap. Sampai saya tak tengok dah channel discovery yang ada gambar haiwan liar. Saya takut. Tapi mimpi tu tetap datang.  Sampai saya terbayang buaya kalau saya pergi laut, sungai atau swimming pool. Seram..

Akhirnya saya minta pandangan seorang kaunselor yang saya hubungi melalui email. Kaunselor ni ialah kaunselor Jabatan Pembangunan Wanita dan memang bertugas memberikan khidmat kaunseling percuma kepada orang awam. Beliau ini boleh ditemui, dan juga boleh dihubungi melalui telefon dan email. Saya pernah hantar email kepada beliau beberapa kali, sejak tahun 2008 dan feedback memang cepat. Kali ini saya juga cuba mohon nasihat dan pandangan dari beliau.

Kaunselor itu mencadangakan bahawa saya mempunyai trauma. Saya mempunyai isu yang belum selesai. Saya mungkin pernah mengalami tragedi yang amat menyedihkan atau saya barangkali mempunyai dendam yang tak dapat saya hilangkan dari perasaan, atau rahsia besar yang saya simpan hingga memudaratkan emosi. Setelah bercerita dengannya secara telus, dia mencadangkan bahawa saya sebenarnya belum sepenuhnya menerima apa yang telah berlaku kepada Eusoff. Saya masih marah, masih kecewa, masih merasa bersalah. Sebahagian dari perasaan saya masih dalam fasa 'denial'. Saya begitu sibuk mencari penawar untuk mengubati Eusoff sehingga saya lupa, saya juga mengalami trauma, bukan secara fizikal tetapi emosi. Apabila sesuatu teagedi berlaku kepada seseorang, penderitaannya bukan sekadar ditanggung si pesakit/mangsa, tetapi juga semua orang di dalam keluarga itu.

Saya sibuk merawati Eusoff, tetapi lupa bahawa saya juga perlukan rawatan. Ramai orang yang mampu menayangkan muka gembira kepada semua orang, tetapi di sebalik apa yang kita lihat, hatinya sedang hancur berderai sedikit demi sedikit. Ramai orang berkata "saya bersyukur dikurniakan anak istimewa", tetapi ianya sekadar pujukan hati kepada diri sendiri kerana kita tau kita tidak dapat berbuat apa-apa lagi. Semua orang mampu berkata aku redha dan bersabar, tetapi sekadar mengiyakan kata-kata nasihat dari orang lain yang memandang, sedangkan beratnya dugaan itu hanya bahu kita yang memikul, hanya kita yang mengerti betapa sebenarnya kita sedang menderita. Kita boleh menipu orang lain, tetapi tidak diri kita sendiri. Membaca email dari beliau membuatkan saya insaf sehingga saya menangis bersungguh-sungguh.

Saya akui saya tidak berjaya menghilangkan rasa bersalah itu dari hati. Saya merasa bersalah tidak menjaga diri lebih baik ketika mengandungkan Eusoff. Saya merasa bersalah memberi kebenaran kepada Eusoff mengambil suntikan MMR kerana kejahilan saya mengenai isu itu. Kerana saya membutakan mata melihat simptom-simptom alergi anak saya, tetapi meneruskan juga untuk mengambil imunisasi itu.( hingga akhirnya Eusoff mengalami apa yang saya percayai adalah adverse effect MMR - 5 hari bertarung nyawa di PICU kerana accute pneumonia dan diarrhoeal high-fever, seminggu selepas mengambil imunisasi). Saya mengakui jauh di sudut hati, saya kepingin melihat Eusoff sembuh, walaupun saya tahu autism adalah life long disabity. Eusoff akan mempunyai autism sampai bila-bila. Akhirnya persoalan terjawab mengapa saya kerap menangis, walaupun untuk perkara yang kecil-kecil.

Saya sebenarnya terkejut dan tidak mahu percaya, tetapi akhirnya mengakui cadangan kaunselor itu. Saya belum sepenuhnya redha. Selama bertahun-tahun ini, saya belum menerima 100% apa yang telah Allah takdirkan buat saya. Berkata kepada orang bahawa kita redha apabila ditimpa musibah adalah mudah, tetapi redha dengan sebenar-benarnya redha, tidaklah semudah mengucapkannya. Redha adalah apabila kita berserah 100% kepada Allah, mahu dicorakkan bagaimana nasib kita, tanpa kesal, tanpa bimbang dan ragu-ragu. Maka bebanan perasaan dan fikiran kita akan menjadi tenang kerana kita telah menyerahkan segalanya kepada Allah kerana yakin Allah memberikan yang terbaik buat hambaNya di samping berdoa untuk yang terbaik. Mungkin penerimaan orang lain terhadap kenyataan seperti ini adalah mudah dan cepat, tidak seperti saya.


Dengan rendah diri, saya mengakui yang saya masih belum mencapai tahap itu. 

Untuk memulihkan trauma saya, saya mengikut saranan kaunselor untuk mengakui rasa bersalah itu, mengakui kesedihan saya, mengakui saya merasa kecewa anak yang saya lahirkan sempurna akhirnya didiagnos menghidapi autism. Saya tidak boleh berpura-pura lagi kerana perasaan sedih itu akhirnya memakan diri. Saya harus mengakui bahawa saya tidak ok dengan semua ini, melalui apa cara sekalipun. Termasuk dengan menulisnya di sini. Terima kasih kerana anda sudi membacanya.. Doakan kehidupan saya tenang dan dikuatkan semangat. Semoga REDHA yang saya bakal tulis di blog ini nantinya adalah REDHA sebenar-benar REDHA.

Saya ingin memeluk Eusoff dengan bahagianya..tanpa linangan air mata lagi. Terima kasih Allah.

P/S: Sekiranya anda perlukan khidmat kaunseling, boleh klik di sini.











Friday, February 8, 2013

Happy Chinese New Year



Assalamualaikum..


Eusoff selalu minta tolong cikgu. Bila pergi tampal gigi menjerit panggil Cikgu. Bila terkunci dalam bilik jerit panggil Cikgu juga. Bila saya marah, dia menangis pun panggil Cikgu. Cikgu dia nak sambut tahun baru ni..cuti seminggu. Kalau rindu Cikgu boleh cakap kat telefon takpelah juga..ni karang Cikgu tanya macam-macam kat telefon, tak pandai jawab pulak. Dulu, kalau dia nakal saya  ugut nak suruh tidur kat sekolah dengan Cikgu, dia takut..sekarang dia siap cakap "Jom!".

Cikgu Eusoff cakap, kalau Eusoff tak nak makan, dia suapkan. Kalau Eusoff berhingus cikgu lapkan. Kalau Eusoff mengamuk, cikgu pujukkan sampai tenang. Kalau kat sekolah, cikgu ajar toilet train, Eusoff boleh poo-poo kat tandas. (Kat rumah tak pulak..pelik ni!) Masa belajar kat sekolah dengan Cikgu, Eusoff pandai sebut macam-macam tapi kalau kat rumah sikit je cakapnya. Setiap hari cikgu tunggu Eusoff di pintu sekolah dengan senyuman dan ucapan selamat pagi. Bila saya intai dari jauh, mereka bergurau main tolak-menolak siapa nak naik ke kelas dulu sambil ketawa gembira. 


Bukan senang nak jumpa orang yang kasihkan anak kita seadanya dia, anak istimewa yang biasanya tidak ramai orang yang suka. Tidak ramai pula Cikgu yang sanggup mengajar pelajar seperti anak saya, yang dikategorikan 'bermasalah pembelajaran', tidak pandai bertutur dan banyak pula perangai pelik selain tantrumnya. Episod diberhentikan dari tadika adalah pengalaman pahit yang mesti ditelan oleh kebanyakan anak-anak dan ibu bapa yang senasib malah saat Eusoff juga di'tendang' keluar dari tadika masih segar dalam ingatan saya. 

Penerimaan dari seorang 'stranger' melalui perbualan telefon yang tanpa ragu mengatakan  bahawa anak saya boleh diajar menulis, membaca dan mengira sudah cukup meyakinkan saya untuk menghantar Eusoff belajar dengan Cikgunya ini. Bermula dari kelas secara kecil-kecilan yang hanya dibuat di rumah, kini Eusoff sudah belajar di bangunan sekolah yang lebih besar dan selesa.


Walaupun cikgu Eusoff tidak sebangsa dan seagama dengan saya, saya doakan  beliau dilimpahi kebahagiaan dan kesenangan yang berpanjangan. 


Thank you so much Teacher Val.. Happy Chinese New Year.

Teacher Val
(Gambar ihsan FB Cikgu)

Lawatan ke Mini Zoo Teruntum. Eusoff sorang je yg kulit kaler Remy Ishak oke...?? :)
(Gambar ihsan FB Cikgu jugak)

Tuesday, February 5, 2013

Bahagia

Assalamualaikum..

Berapa orang berani mengaku bahawa hidupnya tak bahagia? Dan apa sebenarnya konteks 'bahagia' itu sendiri? Ada orang bahagia bila cukup makan, pakai dan mampu memberikan pendidikan terbaik untuk anak-anak. Ada orang bahagia bila dapat bermewah-mewah, boleh membeli apa saja yang diinginkan dan bercuti ke luar negara dengan tak perlu tunggu syarikat penerbagan tambang murah buat offer atau tak perlu tunggu dapat duit bonus. Bila-bila masa pun boleh pergi luar negara. Sebut saja semua dapat.

Tapi ada juga orang yang bahagia cuma tinggal di kampung yang jauh di pedalaman..dalam rumah pusaka yang daif bersama keluarga dan anak-anak, hanya makan ala kadar tapi tak punya masalah hutang bank, tak perlu bayar cukai, berhadapan  masalah pejabat dan lain-lain hiruk-pikuk kota. Konteks bahagia bagi pasangan bercinta pula mungkin apabila dapat mendirikan rumahtangga bersama kekasih yang dicintai, menghabiskan masa berdua tanpa ada lagi yang menghalangi.

Bagi saya bahagia itu ada, tinggal lagi perlu dicari. 
Bahagia itu walaupun sedikit harus diraikan. 
Bahagia itu kalau mensyukuri nikmat, bukan hanya bersifat kebendaan.

Sebenarnya saya pernah keliru dengan definisi bahagia. Saya katakan saya bahagia ketika itu, tetapi sebenarnya saat itu saya sedang sangat menderita. Saya berpura-pura bahagia kerana cuba menafikan hakikat kerana bagi saya, saya tak mungkin menjadi orang yang tidak bahagia. Saya ada keluarga, ada suami dan anak-anak. Ada kerjaya yang stabil. Boleh memiliki kereta dan kami punyai rumah sendiri. Saya sandarkan kebahagiaan pada kebendaan. 

Di situlah sebenarnya kesilapan saya.

Kebendaan itu tidak kekal.
Keluarga tidak kekal.
Anak-anak tidak kekal.
Kebahagiaan rumah-tangga itu tidak kekal selamanya.
Kerana semuanya bukan hak kita..
Semuanya hak Allah.
Dan hanya Allah yang kekal.

Hidayah yang saya mohon diketemukan akhirnya tiba melalui Eusoff.
Kerana dia saya belajar erti REDHA.
Kerana dia saya menghargai KEBAHAGIAAN walaupun hanya sebesar satu titik disebuah hamparan yang luas.

Saya tahu Eusoff punya cinta yang besar buat saya; Mamanya. Tetapi cinta itu tak terzahirkan. Dia tidak petah berkata sayang, tidak pandai bermanja, tidak pandai membuai perasaan..tetapi saya merasakan cinta Eusoff terhadap saya melaui bahasa tubuhnya, melalui sentuhannya dan dari apa yang terpancar di matanya.

Banyak konsep tauhid yang berjaya saya fahamkan bila saya kaitkannya kepada Eusoff. Walaupun dia tidak petah bertutur, bibirnya sentiasa basah dengan kalimah Allah. Dalam ejaannya dia mengakui Tuhan itu ada..Tuhan itu Satu. TIdak pernah belajar bahasa Arab dan huruf hijaiyah, dia tahu membaca ayat Al-Quran harus dari kanan ke kiri. Siapa yang mengajari dia? Siapa???

Saya jadi insaf. Saya jadi malu. Dia tahu siapa Allah.. tetapi saya ibunya hanya pentingkan DUNIA. Sejak itu, saya belajar mencintai Allah dan Rasul (SAW). Kerana dia secara tidak langsung, saya belajar menjadi rindu kepada Al-Quran. Entah dari mana ketabahan datang sehingga saya terasa saya siap diuji..saya siap merasa kehilangan kerana saya yakin janji Allah itu pasti. Tiba-tiba saya terasa mahu ke Jannah..benar-benar mahu dalam erti kata sebenarnya.

Saya lebih bahagia mencari keredhaan Allah kerana nikmatnya tak tergambarkan dengan kata-kata. 


Semua kesusahan saya terasa ringan kerana saya yakin Allah Itu Ada. 
Dia Maha Mendengar, Maha Penyayang dan Maha Pengasihani.














Monday, February 4, 2013

Rindukan Ka'abah

Assalamualaikum...

Beberapa hari ini terasa rindu melihat Ka'abah. Saya hanya mampu menatap gambar dan mengagumi kesucian dan keindahan Tanah Haram dari gambar-gambar di internet. Saya tak pernah dapat menatap kiblat saya ini dengan kedua-dua belah mata..tak pernah membau udara yang mengelilinginya. Sayunya hati tak tau bagaimana hendak diceritakan.

Indahnya kan? Subhanallah..

Kebetulan seorang sahabat saya meng'update status'nya mengenai keinginan menunaikan umrah bersama anak-anak..termasuk seorang anak syurga beliau. Saya membaca status itu dengan penuh rasa terharu.. Kalaulah saya dapat bawa Eusoff bertawaf mengelilingi Ka'abah..alangkah syahdunya. Pasti air mata saya turun selaju-lajunya mengiringi gerak langkah dan doa. Dan alangkah bahagianya saya kalau dapat menziarahi makam Kekasih Allah..


Mampukah saya? Dapatkah saya jejaki Tanah Suci dengan keadaan begini. Saya miskin dengan harta. Hendak balik kampung pun menyimpan duit dan berhutang kad kredit. Saya juga miskin amal ibadah dan banyak berbuat dosa kepada Allah. Mahukah Dia menerima saya menjadi tetamuNya?

....................................

Gambar ihsan Google.


Ya Allah..berilah kesempatan itu buatku sebelum mata ini tertutup.