Showing posts with label pregnancy. Show all posts
Showing posts with label pregnancy. Show all posts

Monday, June 20, 2011

Berdebar menunggu hari...

Chewah...tajuk posting macam dalam majalah Pengantin pulak...ecececece! Perasan sekejap... Bukan menunggu hari nak naik pelamin la...menunggu hari nak bersalin. Ekekekeke..

Aku dah dapat tarikh masuk wad dan operation semasa temujanji aku di Klinik O&G HTAA pada Isnin lepas.. 27hb Jun 2011 ni aku kena masuk wad, dan pembedahan Caesarean aku dijadualkan pada esok harinya iaitu pada tanggal 28hb Jun 2011 bersamaan 26 Jamadilakhir 1432. Tu dia aihhh...tarikh lahir anak bongsuku ini... InsyaAllah.

Berdebar jugak menunggu hari itu...lebih kurang seminggu lagi. Barang-barang baby dan aku sume dah siap dalam beg. Tunggu nak hangkut pegi hospital je lagi... Pada mak pun aku dah bagitau tarikh ni, supaya mak bleh datang sebelum tarikh operation utk tolong uruskan 2 cucu dia kat umah tu.

Sekarang masih dalam proses berfikir sama ada nak menjalani proses BTL atau tak. BTL tu ialah Bilateral Tubal Ligation iaitu proses mengikat tiub Fallopio sebagai kaedah mencegah kehamilan. Untuk info lebih lanjut ce kome try klik sini.. Disebabkan aku bakal menjalani pembedahan Caesarean buat kali ke-3, dengan faktor-faktor risiko dan rekod kandungan aku yang selalu bermasalah..doktor telah cadangkan supaya aku tak mengandung lagi. Tapi umur aku belum pun masuk 32 tahun...jadi ramai jugak doktor-doktor kat hospital dan klinik swasta yang bagitahu aku supaya tak payah buat BTL. Sebab dengan kecanggihan peralatan perubatan sekarang, 5 kali caesar pun boleh...kata diorang.

Bila ada percanggahan pendapat dari para medical practitioner ni, government VS private doctors, aku telah menjadi berbelah bagi pulak. Nak buat ke tidak...nak buat ke tidak...dah seminggu aku fikirkan. Jawapannya masih menemui jalan buntu... Dah try mintak pendapat ramai orang pun, aku masih tak boleh decide... Solat istikharah pun dah buat, masih tak dapat jawapan.

Bila berbincang dengan Mr. Hubby...dia cakap "Ikut awaklah"...Heee...tak membantu langsung la jawapan tu!! Padahal surat consent untuk undergo prosedur tu, dia yang kena sain. Aku ni bukan nak beranak lagi...tapi aku takut kot-kot esok2, tetiba aku kemaruk bau baby kecik ke, tetiba teringin nak beranak lagi ke, tapi itu jam...aku dah tableh conceive. Sedih kan?? Memandangkan prosedur ni dikira sebagai pemandulan kekal, so...itulah yang merunsingkan otak aku ni. Macam tak logik je aku nak mandulkan diri aku sendirik... :(

Hmmm... susah betul nak decide, dan aku cuma tinggal seminggu lagi. :(

Monday, June 6, 2011

Wooo...tak laratnya!!

Sebulan lagi menanti tarikh bersalin ni memang memenatkan... Nak duduk susah, nak bangun susah, nak pegi toilet cangkung...hoho...jangan mimpilah!! Nak tidur senak, nak ngajar penat, nak masak penat, nak buat keje umah tak larat, nak jalan-jalan kaki bengkak dan perut asyik mengeras je..nak drive pulak, perut kena stereng (lupa nak cakap yang kaki aku ni pendek, so nak adjust driver's seat nanti tak lepas nak tekan pedal minyak pulak....chait! Jgn gelak oke??)...

Segala-galanya sudah tak selesa nak dilakukan...Ditambah dengan pelvic pain yang semakin teruk, dan si Eusoff tak habis-habais nak berdukung kat rumah... Kesian tengok mukanya yang mengharap dan gaya manjanya terlompat-lompat menghalang aku dari terus berjalan tak mempedulikan dia, aku dukung jugaklah...walaupun pinggang aku rasa nak patah.

Mr. Hubby banyak jugak membantu kat rumah...Alhamdulillah. Kadang-kadang dia yang lebih menguruskan anak-anak daripada aku. Kesian... kadang-kadang tidur pun berlingkar dengan anak-anak...Sorang anak kat celah ketiak, sorang kat kaki... Sebab nak bagi aku tidur selesa la tu... So sweet.... :)

Tak sabar rasanya nak pegi appointment kat Klinik O&G HTAA tu untuk dapatkan tarikh booking operation aku...Tak sabar rasanya nak lahirkan si kecik ini... Yang penting..penderitaan aku mengadap penyakit gestational diabetes melitus (GDM) ni akan berakhir...dah tak sanggup nak cucuk insulin oke... Kesian kaki aku!!!

Tuesday, May 24, 2011

Sakit Pelvik..

Argghh...Sakitnya!! Masalah sama masa mengandungkan Eusoff berulang lagi. Sakitnya tulang pelvik aku ni Tuhan aje yang mengetahui. Kalau dah bersila atau duduk di lantai, atau semasa duduk tahiyat dalam solat, masalah ni akan bertambah teruk sampai aku tak boleh bangun.

Malam tadi sampai tak lena tidur sebab setiap kali nak beralih posisi tidur punyalah sakit sampai rasa nak nangis. Agaknya semalam masa pendaftaran pelajar kat ofis, aku banyak sangat berjalan kot... Hari tu masa Diploma Show dah jadi sekali dah macam ni sampai doktor beri 2 hari MC. Cuma kali ni aku malas nak ke klinik. Esok tak tahulah...kalau aku masih boleh drive, aku pegi la keje. Kalau tak memang komfem akan MC lagi.

Kat sini ada maklumat lebih lanjut mengenai Sakit Pelvik.. Perghh! Memang sengsara!!

Monday, April 18, 2011

7 bulan sudah..


Alhamdulillah...dah 28 minggu usia kandungan aku ni. Baby ni bukan main aktif lagi sampaikan pergerakan dia kat dalam perut boleh dilihat dari sebalik baju. Perut aku jangan cakaplah...memang beso. Nak sujud waktu solat pun, perut dah berlaga dengan paha. Ramai orang cakap kat aku.."Kejap je eaa? Dah tujuh bulan.".. Biasanya macam tulah. Kalau kita tengok orang mengandung kita rasa cam kejap je, tapi tuan punya badan yang bawak perut tu rasa punyalah lama...punyalah lambat lagi nak bersalin.

Baru-baru ni ada rezeki lebih. Dapat tunggakan medical claim. Jadi aku beli sikit lagi barang-barang baby. Setakat ni adalah lebih kurang banyak ni aje..Takde yang branded pun..sebab rasa cam rugi plak. Sebab badan baby ni cepat sangat besar. Nanti jadi macam baju-baju Eusoff tu, masih baru tapi dah tak muat dipakai. Jadi beli yang biasa-biasa aje. Bila baby dah besar sikit nanti, barulah ingat nak belikan baju-baju yang kualiti agak bagus dari yang ini. Baju Eusoff masa dulu pun banyak yang cantik-cantik. Tu pun banyak yang dah hilang dalam simpanan...kat mana aku simpan pun tak tau. Kena cari balik ni...



Baru ada banyak ni aje...



Operasi membasuh baju, baby blanket, mitten dan booties baby kepunyaan Eusoff yang mana masih cantik dan boleh sedekah kat adik dia ni..


Nak bagi baby ni pakai semua barang second hand abang dia, rasa kesian pulak. Ada lebih kurang 3 bulan lagi sebelum dia lahir. Nantilah aku beli sikit-sikit every month buat tambah-tambah barang yang dah ada tu. Kalau duit banyak kan senang..pilih je, pastu bayor. Nak mintak macam-macam kat Mr.Hubby rasa kesian pulak bila tengok muka dia. Hmmm...susah jugak jadi bini yang lembut hati ni. Bak kata P. Ramlee dalam cerita Anak Bapak: Lembut hati takpe...jangan murah hati dah laa...Hehehehehe...

Thursday, April 14, 2011

Check-up & Doctor's review

Semalam aku check-up dan buat test BSP (Blood Sugar Profile). Bagi penghidap diabetes atau Gestational Diabetes (diabetes semasa mengandung cam aku nih), doktor akan arahkan untuk kita buat test ni sekali dalam setiap dua minggu atau sekali seminggu. Tengoklah pada tahap keseriusan diabetes seseorang tu. Darah akan diambil sebanyak 4 x pada hari tersebut dan seseorang tu mesti berpuasa sekurang-kurangnya 10 jam pada malam sebelumnya. Sekali waktu pagi sebelum sarapan. Lepas tu sebelum makan tengahari. Waktu petang pun kena buat jugak dalam kul 6 sebelum makan malam dan last sekali selepas makan malam lebih kurang jam 9 malam.

Masa check-up tu, aku tengok berat aku naik 0.5 kg. Tekanan darah pun normal. Alhamdulillah.. BSP aku pun ok. Semua di bawah julat normal. So, hari ni aku kena jumpa doktor la untuk review semula keputusan BSP aku tu dan ultrasound scan untuk tengok tumbesaran baby.

Pagi tadi aku pegi timbang semula, aikkk!! Dah turun 1 kg semula dah...sampai 2-3 kali aku turun naik penimbang tu sambil misi-misi tu sume buat muka pelik. Takkan semalam berat naik 0.5 kg, hari ni dah turun 1kg?? Adoiii...mana la aku tau...diorang yang tengok skala penimbang tu. Diorang jugak yang tulis kat buku aku tu. Bukan aku buat sendiri... lepas tu macam biasa la. Mesti tulis merah punya kat ruangan berat tu. Cheh!

Bila jumpa doktor lepas tu, doktor pun scan la baby aku. Katanya berat baby ada lebih kurang 1.4kg. Katanya berat baby dalam julat normal. Haaa...tu diaa..!! Baru sebulan lepas pegi scan kata dalam 600 gram. Sekarang dah sekilo lebih. Alhamdulillah...aku sebenarnya risau jugak sbb berat aku payah nak naik. Risau pulak kalau baby underweight. Biar aku kurus takpe, jangan baby aku kurus..nanti banyak pulak risikonya.

Aaa...doktor dah kurangkan dos insulin aku. Dari 8 unit ke 6 unit setiap kali cocok. Katanya result BSP aku comei dah (kat pantai timur ni, kalau cantik diorang sebut comei..hehe). Kalau aku bleh kontrol diet dan keperluan insulin badan aku mencukupi nanti tak payahlah cucuk dah. Waaahhh...hepinyaaaa!! Aku akan berdiet dengan ketat mulai sekarang...sian kat paha aku, sampai lebam-lebam dan bengkak hari-hari kena inject.

Lepas tu doktor refer aku untuk buat test mata kat klinik pakar mata yang terletak kat Hospital Besar. Katanya ni common test la untuk orang yang ada diabetes. OK la doktor...apa-apa jelah... Tadi dah pegi buat appointment dah.. Lambat lagi dia bagi tarikh. Dah dekat-dekat nak due baru ada kosong. Hmm...itu je nak cerita.. Penat gi sana-sini tadi pun tak abis lagi. Kaki pun naik lenguh dok tekan clutch sebab masuk bandar kan, punya la banyak traffic light. Nak rehat jap kat opis ni... Cau cincauuuu! :)

Tuesday, April 12, 2011

Baby dan baju..

Hari ni kuliah aku batal sebab ramai student yang pegi ambik exam MUET. Tinggal 3 orang je yang tak terlibat sebab diorang dah ambik paper tu semalam. Silibus pun sebenarnya dah habis, aku cuma nak buat revision je hari ni dan nak edarkan kertas soalan tahun lepas supaya student-student aku tu terdedah banyak sikit pada bentuk-bentuk soalan exam yang akan dihadapi nanti. Nampaknya plan aku tak jadi dan minggu depan diorang dah study week. Kiranya berakhirlah kelas aku semester nih dan harapan aku biarlah semua budak-budak tu lulus cemerlang paper aku tu.

Ok..nak cerita pasal baby aku ni. Sangat-sangat AKTIF oke? Pergerakan yang lasak tu menyebabkan aku selalu tersentak dari tidur, atau mengalami Braxton Hicks macam yang aku dah cerita dalam entri lepas. Kadang-kadang paling kronik ialah bila baby tendang pundi kencing aku, dan-dan tu jugak rasa nak terkencing sesangat. Kalau masa tu tengah drive?? Hahaha...korang pikir sendiri la...

Pergerakan dia sangat comel, dan buat aku tak sabar pulak nak tunggu kelahirannya. Aduhai...walau dah beranak banyak kali pun, setiap sorang baby tu tetap istimewa dan dinantikan kan? Excitednya macam baru nak menimang anak sulung. Masa husband aku nak outstation hari tu, dia ada la tinggalkan duit belanja sikit. Sudahnya duit tu aku buat beli baju dan keperluan baby. Takdelah banyak..cuma benda-benda asas aje. Geram la tengok baju comel-comel...tak dapat nak menahan nafsu membeli-belah tu. Balik rumah pulak pegi selongkar storage cari baju-baju Eusoff yang lama-lama. Badan dia cepat besar, jadi banyak baju newborn tu yang masih elok dan ada yang cuma sempat pakai sekali-dua aje sebab dia lahir dulu pun dah 4.1 kg. Pakai baju newborn macam pakai jersi pelumba basikal...ketat beb! Hehehe... So, buleh la sedekah je kat adik dia ni..

Cari-punya cari dekat satu bakul jugaklah aku jumpa baju-baju Eusoff lengkap dengan barut, stokin, mitten & booties. Cuma yang kaler putih byk yang agak kekuningan, jadi aku pun buat operasi merendam dan membasuh la malam tu.

Husband balik dari outstation aje terkejut tgk ampaian banyak tergantung baju baby. Nasib baik aku tak beranak lagi. Ingatkan bini dia dah terberanak sorang-sorang waktu dia takde kat rumah. Hehehe..

Tuesday, April 5, 2011

Kontraksi Braxton Hicks dan HbA1c

Sedar tak sedar dah nak masuk 27 minggu...Akhir-akhir ni aku dah mula rasa kontraksi Braxton Hicks. Bagi siapa yang tak tau apa bendanya kontraksi Braxton Hicks tu, boleh klik kat sini.

Jangkamasa kontraksi tu tak lama, tapi bila perut mengeras je, boleh terdiam jugak kalau aku tengah bagi kuliah masa tu. Tak selesa sangat. Awal jugak aku rasa kontraksi Braxton Hicks kali ni. Selalunya bila dah masuk 7 bulan lebih baru aku mengalaminya.

Esok aku temujanji doktor dan ujian darah HbA1c. Bagi mereka yang mengalami diabetes tentu tahu apa itu ujian darah HbA1c. Tapi bagi yang tak tau, ujian darah HbA1c tu ialah ujian darah bagi menentukan tahap purata jumlah glukosa dalam darah dalam jangkamasa 2-3 bulan sebelum tu. Kalau nak keterangan lebih lanjut, boleh klik sini untuk mendapatkan info mengenainya.

Berdebar jugak perasaan aku. Harap-harap hasil ujian itu berada pada tahap normal. Sebab kalau tidak, mesti doktor akan naikkan dos insulin yang perlu aku ambil setiap hari. Dan yang paling penting, aku mahu baby aku sihat dan berada pada tahap paling bagus.

Dalam pada sibuk-sibuk dengan kerja dan penyakit aku ni, bahagia rasanya bila baby aku ni bergerak aktif. Itu tandanya dia sihat. Aku dan babahnya masih mencari nama yang sesuai buat si kecil ni. Banyaknya pilihan... semua nama tu cantik dan bagus-bagus pula maksudnya. Rambang mata!!


Dan rasanya bulan depan dah mula kena cari barang kelengkapan bayi.. :)

Thursday, March 24, 2011

Rajin memasak..

Selalunya orang mengandung cepat rasa penat, lesu dan rasa malas je nak buat kerja rumah. Kat pejabat pun rasa nak tertido je 24 jam. Kalau buleh masa-masa macam ni rasa macam nak suruh laki gajikan bibik aje untuk tolong uruskan rumah tangga dan anak-anak. Tapi itu bagi yang mampu le, kalau tak mampu, suami atau mak-abah la yang jadi mangsa tolong uruskan semua tu.Tapi lain pulak dengan aku. Masa mabuk teruk awal-awal mengandung dulu, tengok kuali pun rasa nak muntah, jangan kata nak masak. Tapi bila alahan dah berakhir genap aje 3 bulan usia kandungan aku ni, aku dah terlebih cergas dari biasa pulak.

Aku sangggup bangun jam 5.30 pagi tiap-tiap hari nak masak breakfast untuk suami. Dia cikgu sekolah dan sekolahnya agak jauh, jadi setiap hari dia terpaksa keluar awal dan tak sempat bersarapan kat rumah. Kalau dah bangun tu macam2 yang aku masakkan. Dari nasi goreng kampung, nasi goreng belacan, bihun goreng tomyam, mee goreng mamak, mee kari, mee sup, burger, sandwich, cucur udang dan macam-macam lagi la. Semua aku bungkuskan panas2 supaya 'cikgu kesayangan' saya tu tak lapar masa mengajar kat sekolah nanti. Lagi best, siap tapaukan bekal untuk lunch lagi tuuu...Kat pejabat pulak, aku suka berjalan. Kalau kelas tak berapa jauh, aku akan berjalan kaki aje. Atau pegi koperasi, atau tapau lunch. Sume aku jalan kaki je. Laju pulak tu...sampai ramai kawan-kawan kat opis aku tegur suruh aku jalan perlahan-lahan sebab aku tengah mengandung. Risau agaknya diorang tengok aku berjalan macam lipas kudung... Haha!

Balik rumah pulak, mesti nak masak. Hidangan lengkap dan seimbang, meriah dengan segala mak nenek ulam-ulaman dicicah sambal belacan tomato/sambal tempoyak masak/ budu untuk makan malam. Tapi dalam banyak-banyak benda, aku ni tak berapa gemor masak ayam..

Sekarang ni dah jarang bebenor la makan kat kedai...kecuali pada hari-hari yang aku tak sihat atau balik keje lambat. Jadinya memang tak sempat nak masak sebab timing sudah lari. Pelik jugak...memandangkan aku ni kena gestational diabetes, aku mana la bleh makan banyak-banyak. Kadang-kadang sampai berlebih makanan tu semua..sebab serius la memang seronok memasak tapi takde sapa nak habiskan. Ramai orang cakap yang aku mungkin mengandung anak perempuan, sebab 'super'-rajin memasak, tapi bila scan, rupanya 'hero' jugak... Hmm..agaknya anak aku ni besar nanti jadi Chef agaknya...bagus jugak ek, ada la teman aku nanti memasak kat dapur... I like.... :)

Kat bawah ni beberapa gambar masakan aku ketika kerajinan melanda diri. Sila usha dan telan air liur oke... :)


* ketam balck pepper, ikan goreng & sayur campur

* sambal tumis lala petai

* talapia 3 rasa


* sambal tumis ikan bilis tempoyak (Lipis style)


* grilled chicken with parsley potato & mini sausages

*udang galah masak lemak cili api

*sambal udang petai, kailan ikan masin & sambal tumis ikan bilis

*kari ikan kembung


Mmm...balik karang aku nak masak apa pulak eaa??


Wednesday, March 16, 2011

Anak Teruna Lagi..

Hari ni ada dua berita yang menggembirakan hati aku. Satu ialah berat badan aku dah mula naik. (Orang gile je yang happy bila berat badan naik rasanya...sebab selalunya semua orang nak slim..seselim Slim River!) Naik tak banyak pun...0.5 kg je. Tapi aku dah happy sangat sebab sepanjang 24 minggu mengandung ni, inilah kali pertama berat badan aku naik. Selalunya mesti turun..Bayangkan ajelah, dari mula buat check-up sampai sekarang dah turun berat badan sebanyak 7kg. Patutnya time ngandung berat naik, tapi aku ni kes dia terbalik pulak. Haha...macamana berat nak naik, makan ikut diet plan dietitian. Kalau tak gula darah aku naik pulak...jadinya sambil ngandung, sambil menguruskan badan. (korang yang mengandung jangan gatal nak diet macam aku ni pulak tau? aku ni special case, takpe laa...)

Perkara yang happy no.2 ialah tadi pegi scan 4D...perghhhh!! Nampak dengan jelasnya wajah baby dalam perut aku ni. Sebijik macam abangnya Eusoff. Dan doktor telah menunjukkan dan memastikan bahawa 100% confirm baby ni LELAKI!! Alhamdulillah...memang happy sangat sebab jauh di sudut hati, memang aku teringin baby lelaki. Memang Allah Maha Pemurah dan Maha Mengasihani. Dia tahu bahawa aku ni cuma boleh bersalin 3 kali (sebab semua anak aku lahir melalui kaedah pembedahan Caesarean), maka dia mengabulkan permintaan aku untuk mendapatkan seorang lagi anak lelaki buat kali terakhir ini.

Yang lebih penting dari segalanya, doktor cakap baby aku ni normal dan sihat. Heartbeat dia pun bagus. Perkembangan otak, vital organs, tulang belakang, kaki dan tangan semuanya normal. Aku ni mmg risau sebenarnya memandangkan aku ni ada masalah diabetes. Maka result detail scan tu lah yang paling aku nanti-nantikan untuk memastikan yang baby aku ni normal dan sihat. Alhamdulillah..Alhamdulillah...Alhamdulillah.. Maha Suci Allah!

Dalam pada sibuk-sibuk tu, ada kejadian kelakar sikit berlaku tadi. Masa pergi scan itu, aku pergi dengan husband dan anak sulung aku, Damia. Sekarang kan cuti sekolah, so aku bercadang nak luangkan masa cuti sekolah ni dengan membawak si Damia ni nengok wayang cerita animasi Rango. Kami singgah sekejap kat klinik untuk scan dan nak tunjukkan dia wajah adik barunya.

Bila doktor tanya dia, "Kakak nak baby boy ke girl?" Dia dengan confident la cakap "Nak girl!!"..Sekali bila tengok baby tu boy aje, muka dah macam tak puas hati. Untuk pujuk dia, doktor tu siap upah vitamin lagi. Walaupun senyum rupanya dalam hati, Damia ni tetap la rasa tak best sebab tak dapat adik pompuan yang diidam-idamkannya tu.

Balik dari klinik kami pun terus la menuju ke pangggung GSC kat East Coast Mall. Sampai aje kat sana, bila aku toleh seat belakang kereta, aku tengok air mata dah berjurai-jurai macam pelakon cite Air Mata Ibu. Ya Allah...ingatkan pasal apalah menangis beria sangat, rupanya dia sedih sangat tak dapat adik pompuan. Lawak oiii... Aku dengan bapak dia punyalah excited berborak dalam keta sebab nak dapat anak lelaki, dia pulak boleh menangis sebab tak dapat adik pompuan. Lepas tu terpaksalah kami pujuk dia dengan belikan macam-macam benda supaya dia berenti nangis. Kalau tak, takut dibantainya 'mengobok' pulak dalam panggung karang, abislah kena halau keluar panggung pulak nanti...Macam-macam hal anak-anak ni..Saboooo je le!!


* Gambar scan 4D baby aku berusia 24 minggu. Pengalaman yang menakjubkan sebenarnya bagi aku sebab dapat tengok 'si dia' yang selalu membuat 'martial art' kat dalam perut jam 3 pagi. Hehe...


Monday, March 14, 2011

Doa Semasa Mengandung




"Ya Allah, peliharalah anakku ini selama ia berada di dalam perutku, dan sihatkanlah dia, Engkau yang menyembuhkan, tidak ada penyembuhan selain penyembuhanMu, Penyembuhan yang tidak meninggalkan penyakit."

"Ya Allah, rupakanlah atau bentukkanlah dia yang ada diperutku dengan rupa yang baik dan tetapkanlah di dalam hatinya iman kepada Engkau dan kepada RasulMu. Ya Allah, keluarkanlah dia dari perutku dengan mudah dan selamat."

"Ya Allah jadikanlah dia sihat yang sempurna berakal dan pandai, alim dan beramal. Ya Allah, panjangkanlah umurnya, sihatkanlah badannya, baikkanlah akhlaknya, fasihkanlah lisannya, baguskanlah suaranya untuk membaca Al-Quran dan hadis dengan berkat Nabi Muhammad S.A.W, dan segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam."

Monday, February 14, 2011

Yey..!!! Sudah 19 minggu!!!

Lama aku tak tulis dalam blog ni...sibuk dengan keje. Kalau tak pun aku sibuk buat design aje nak bagi lawa blog aku ni sampai tak sempat nak tulis apa-apa pun. Disebabkan aku ni tengah mengandung jadi banyaklah hormon itu dan ini yang sedang melanda badan ku lantas menyebabkan aku ni agak motherly sikit.. Tapi...bila sampai bab menjerit marah anak kat rumah tu tak dengar langsung suara motherly pun...Hahaha...biasalah tu eaa??
Kandungan aku dah 19 minggu dan Ahad ni akan jadi genap 20 minggu bersamaan 5 bulan. Horeyyy! Tinggal 20 minggu lagilah aku kena usung perut aku ni. Kiranya Separuh Masa Pertama aku dah selesai.. Si kecik kat dalam ni pun bukan main aktif lagi sekarang sampai sesekali bleh tersedak jugak kena flying kick, side kick atau apa2 jenis kick lagilah...Last week aku pegi scan baby ni dan masa doktor tengah scan itu pun dia boleh tergedik-gedik jugak sehingga mengundang senyuman dari bibir si doktor yang agak Muslimah tersebut. Aku ni selaku mamanye lagilah tersengih lebar, bahagia dan geram tengok budak kecik yang comel dan ala-ala ngengade tersebut. :)
Untuk menambah ilmu pengetahuan dalam subjek Sains korang, di sini aku kepilkan sekali ilustrasi dan sedikit penerangan mengenai bayi berusia 19 minggu semasa di dalam kandungan...


Minggu ke-19 :
Tubuh bayi diselimuti vernix caseosa, semacam lapisan lilin yang melindungi kulit dari luka. Otak bayi telah mencapai jutaan saraf motorik dan kerana itu ia mampu membuat gerakan sedar seperti menghisap jari. Beratnya 226 gram dengan panjang hampir 16 cm.


Comel kan?? Hehehe...

Monday, January 17, 2011

Masih sedih...

Sudah lebih sebulan kebelakangan ini, aku masih rasa sedih. Adakah ini mood swing orang mengandung ke, atau memang nasib dan keadaan tak menyebelahi aku, aku sendiri pun tak tahu. Perasaan aku selalu rasa sayu dan sedih aje. Pulak tu tak ada tempat nak aku berkongsi cerita. Lebih tepat aku sendiri tak mahu berkongsi apa-apa pun dengan sesiapa. Memang sebelum ini, aku jenis yang suka meluahkan perasaan, sekurang-kurangnya pada beberapa orang teman baik, tapi kali ni aku lebih suka menyendiri. Nasib baiklah ada blog ini. Teman yang tak punya suara...

Cuma Tuhan yang tahu semua yang tersirat di dalam hati kecilku. Dan hanya Dia yang selalu mendengar keluh-kesah dan semua rahsia hatiku dalam setiap doaku padaNya. Kadang-kadang aku rasa berdosa. Aku hambaNya yang tidak bersyukur dan tidak sedar diri. Aku hanya dekat denganNya waktu aku susah. Namun sering pula alpa bila aku senang. Ampunkan aku Tuhanku...Aku memang seorang manusia yang penuh dosa.

Akhirnya aku tahu, walau sebanyak mana kasih pun kita pada sesuatu atau seseorang di dunia ini, tidak ada satupun yang mampu menenangkan hati kecuali Allah. Suami, anak-anak, rumah yang cantik bagai mahligai, duit yang berkepuk-kepuk dalam bank atau intan berlian dan emas permata...semuanya tak mampu menenangkan hati seindah perasaan waktu aku sujud dan berdoa di kesunyian malam. Semoga aku tak akan lupa hakikat ini. Walau di masa senangku akan datang...Mungkin ini hikmah yang tersurat di sebalik semua ini. Ya Allah, janganlah engkau biarkan aku tersesat dari jalanMu.

Friday, January 14, 2011

My baby flutters..

Semenjak dua hari yang lalu, aku dah mula merasakan pergerakan bayi dalam kandunganku. Pengalaman mengandung sebelum ni, pergerakan pertama itu memang sangat dinanti dan sangat mengujakan.

Cuma kali ini, pergerakan pertama bayiku ini mengundang perasaan yang bercampur-baur. Bukan bermaksud aku tak teruja dan tak gembira, tapi dalam suasana yang lebih melankolik. Gembira, teruja, sayu, bimbang dan syukur...semuanya bercampur menjadi satu. Air mata aku bergenang tiap kali aku rasa pergerakan kecil itu...sayu membayangkan keadaan dan kesihatan bayiku kerana aku didiagnosis mengalamai gestational diabetes di awal kehamilan. Aku terpaksa melakukan sendiri 4 suntikan insulin setiap hari, menahan lapar dan menjaga pemakanan agar paras gula darahku kembali normal dan terkawal.



* Pen insulin yang aku gunakan setiap hari untuk suntikan.

Dugaan ini walaupun perkara remeh bagi sesetengah orang, pada diriku sungguh berat dan merentap separuh kebahagiaan aku. Apa yang paling aku bimbangkan ialah sekiranya bayiku ini mempunyai sebarang kecacatan, atau keabnormalan organ dalaman. Setiap doaku dipenuhi harapan agar bayi yang ku kandung ini lahir normal dan sihat seperti anak-anakku yang lain...

Walaupun mendapat pemantauan rapi doktor, dan menghadiri kaunseling dengan kaunselor diabetes, diberi jaminan dan mendapat sokongan insan-insan yang rapat denganku, nyata kebimbangan itu sukar pergi begitu saja. Aku cuma bimbangkan dia...dan teringatkan dia setiap saat. Semoga ALLAH mendengar rayuanku dan mengabulkan hajatku yang satu ini...selamatkanlah bayiku ini. Walau dengan nyawaku ditukar ganti....Amin.

Tuesday, December 7, 2010

Apabila orang mabuk berkata-kata...


Pengalaman pertama ketika kehamilan ke-3...Tolonglah..kenapa asyik muntah ni?? Sungguh ajaib kerana dua anak yang aku kandungkan sebelum ini sgt obedient di dalam perut hingga mamanya tak rasa apa2 pun kecuali berat diorang yg semakin bertambah dari sehari ke sehari... Gejala muntah2 dan keletihan melampau serta kurang selera makan ini jugak turut menjangkiti suami dan anak2 aku. Perghh...mmg hebat penangan kali ni!
Bab2 perasaan pulak jangan ceritalah...hati aku tetiba je super-sensitive, deria bau aku pun jadi hyper-sensitive sampai aku bwk spray air freshner dan minyak cap kapak ke mana2 aje, termasuk la bila jalan2 kat shopping complex...Bila aku penat pulak, secara otomatik keadaan akan bertambah buruk sehingga aku akan muntahkan habis apa yg ada dlm perut sampai takde apa lagi yg tinggal kecuali air. Dan tengok toilet tersebut pun aku rasa bercinta nak masuk apatah lagi berus gigi kesayangan aku yg tetiba je aku rasa nak lempang2 aje dan menyesal sambil memikir kenapalah aku kena berus gigi??? Kalaulah mulut takkan berbau busuk walaupun tak digosok selama suku abad, sumpah aku akan buang berus gigi tersebut supaya tak payah la menahan seksa memberus gigi dan muntah, berus dan muntah sehingga berulang2 lebih kurang 3-4 kali setiap sessi.
Bukan tu aje, aku akan muntah bila aku menyampah dengan seseorang, atau dengar lagu yg aku tak suka, bila tengok tv plak ada pelakon gedik yg aku meluat..atau bila anak2 aku buat bising. Rasanya aku nak berkurung dalam bilik aje takyah kuar2. Nak masak?? Serius tak boleh...tapi bila tengok anak2 hanya mkn sesuap dua nasik / mee yg babah diorang beli kat kedai...hatiku jadi belas. Maka aku akan masak jugak sambil memakai surgical mask yg dah ditonggang dengan minyak cap kapak sebanyak setengah botol. Walaupun aku hanya masak bubur ayam, atau ikan goreng...cara anak2 aku makan dengan berselera itulah yang menguatkan semangat aku untuk terus memasak walaupun aku akan muntah lebih kurang 15 x dalam proses memasak tersebut. Nak makan masakan ibu jugak...abeh tu camno??? Terpaksalah...
Inilah pengorbanan seorang ibu yang tak akan dapat dibalas. Maka dengan rasminya aku tabik spring sebanyak 200x kat mak aku yg berjaya mengandung dan melahirkan sebanyak 5 kali..pulak tu kena besarkan 5 makhluk Allah yang buleh tahan nakal jugak semuanya tu sampai la besar dan mampu hidup berdikari. Tak sabor rasanya aku melakukan upacara tabik spring tersebut secara rasmi pada hujung minggu ini sebab aku gembira sangat nak balik kampung nih!
Walaupun terseksa, aku redha dan bersyukur kerana atas kurniaan Illahi ini. Ini mungkin kali terakhir aku akan mengalami semua ini (sebab aku dah 2 kali caesar dan doktor suggest ini adalah kehamilan buat kali terakhir..pun confirm kena caesar jugak), jadi mungkin Allah nak bagi rasa jugak pengalaman mengalami alahan mengandung yg agak teruk sebab sebelum2 ni bukan main enjoy lagi aku tak alah apa2 pun. Tak sabar aku nak tengok muka budak ini, kerana dia yg bongsu dan ajaib dari abang dan kakaknya dan confirm aku akan geletek tapak kakinya sampai lebam for giving me such a hard time. Memetik kata2 positif dari babahnya yang sama2 mabuk .."budak ini mungkin mempunyai pengaruh luar biasa terhadap masyarakat, mungkin menjadi orang ternama atau alim ulama'...jadi mama bersabarlah dan tolong buatkan babah air sarsi"...chehh!! Nasib baik air sarsi tak bau busuk...kalau tak...