Tuesday, September 20, 2011

Belasungkawa buat Yana


"Terima kasih kak.."

Terasa macam baru semalam dia cakap terima kasih pada aku masa aku pimpinkan dia masuk ke dalam bilik.

"Terima kasih kak.." Dia ucap terima kasih lagi saat aku lapikkan tempat tidurnya dengan plastik.

"Terima kasih kak..." Bila aku bantu dia pakaikan tualanya selesai saja dia dimandikan mak di kamar mandi belakang.


Ucapan terima kasih itu terngiang-ngiang di ingatan. Terasa macam dia masih ada lagi di rumah ibu dan bapa mertuaku. Terasa macam mimpi Yana dah tak ada... Sedih bila aku terbayangkan perbualan kami yang panjang buat kali terakhir 2 minggu lepas.

"Saya tak sangkak kak.. saya akan kena penyakit macam ni.."
Aku katakan padanya "Sakit tu kifarah Yana... membersihkan dosa-dosa kita. Itu tandanya Allah sayangkan Yana. Dia mahu Yana bersih dari dosa"

Dia senyum bila aku kata begitu. Dan senyuman itulah yang membuatkan hatiku sebak bila aku kenang-kenangkan balik saat itu. Simpati aku menggunung melihat keadaan dia, tapi apalah yang mampu aku lakukan selain berikan semangat dan bisikkan kata-kata positif padanya.

16 September yang lalu...ketika rakyat Malaysia bergembira meraikan Hari Malaysia, Yana telah pergi dijemput Ilahi pada usia 26 tahun.. Air mataku jatuh dan hatiku menjadi sebu. Tak tahu apa harus aku katakan pada mak saat dia hamburkan air mata di bahuku.

Yana pergi dengan tenang setelah hampir 3 bulan bertarung melawan penyakit ketumbuhan otak. Dia pergi dikelilingi insan-insan yang disayangi dan dirinduinya.

Aku lihat abah termenung...tiada titis air pada mata tuanya. Tapi pandangan kosong itu sarat berisi kepiluan yang entah berapa lama sudah tertanggung. Manakan tidak..semenjak Yana jatuh sakit, abah dan emaklah yang menguruskan segala-galanya tentang Yana...tidak terkecuali anak-anak Yana yang masih kecil. Yana sudah tidak lincah seperti dulu. Kakinya sudah hilang keupayaan, berak kencingnya sudah tidak mampu dikawal, matanya sudah kabur berbalam kerana ketumbuhan itu telah menekan segala saraf yang berada dalam otaknya. Dia bagaikan kembali menjadi bayi yang perlu diuruskan segala-galanya. Abah dan emak jugalah yang tanpa jemu cuba menyembuhkan Yana dengan cara alternatif kerana Yana tetap dengan pendiriannya tak mahu dibedah.

Dan anak-anak Yana, Hariz dan Mysarra kini telah menjadi piatu...

"Abang pergi mana tadi?" waktu aku nampak Hariz di serambi setelah 2 hari pemergian ibunya.

"Abang pergi kubur."

"Abang buat apa kat sana?"

"Abang siram air (tahlil)...lepas tu abang tabur bunga. Abah tanam pokok..satu kat sini, satu kat sana.", sambil dia mendepangkan tangan kiri dan kanannya menunjukkan aksi menanam pokok. "Lepas tu abang tabur bunga banyak-baaaaanyak sangat...Haa! Dah cantik pun rumah baru mak!" kata Hariz dengan nada ceria.

Aku lihat adik iparku yang bongsu mengalihkan wajah ke arah lain... menyembunyikan matanya berkaca.

Hariz masih terlalu mentah untuk mengerti bahawa ibunya telah pergi..pergi yang tak akan kembali lagi. Dan mungkin masih belum terasa kehilangan kerana rumah neneknya masih dipenuhi sanak-saudara yang datang berziarah. Kadang-kala dia nampaknya keliru mengapa ramai yang menitiskan air mata, dan sayu apabila mereka menggosok kepalanya. Dan Mysarra masih leka bermain dengan anak-anakku...seperti tiada apa yang berlaku.

Ada kata-kata terakhir Yana yang akan kekal menjadi kenangan padaku lewat pertemuan kami yang terakhir. Kata-kata yang akan kekal menjadi rahsia kami yang abadi. Walaupun aku bersedih atas pemergiannya, namun aku bahagia kerana dia sudah tidak perlu menderita lagi.

Dia sudah bebas...dan aku bersyukur dengan iringan doa agar dia bahagia di sana dan ditempatkan bersama golongan orang-orang yang dikasihi ALLAH s.w.t...
~Al-Fatihah~




Marliana binti Abdul Halim
8 Februari 1985 - 16 September 2011





No comments:

Post a Comment