Monday, March 21, 2011

Eusoff Oh Eusoff..

Eusoff lahir sebagai anak yang manja, tak banyak kerenah dan sangat mudah dijaga semasa bayi. Dia tak pernah menyusahkan aku. Selalu senyum, tak pernah moody walaupun waktu aku bawak dia berjalan-jalan sehari-suntuk masa kami sekeluarga pergi melancong ke mana-mana. Dia tak cerewet makan dan tak kisah minum air kosong. Susu jenis mahal atau murah, kualiti sederhana atau bagus pun tak pernah beri kesan padanya. Dia tetap sihat dan tetap ceria.


Bila aku balik kerja dia menyambutku di pintu bersama senyuman manis dengan lesung pipit terukir di pipi. Bila aku duduk disampingnya dia beri aku ciuman sayang. Bila kami makan malam di meja makan, dia pegang erat jari-jemariku. Waktu dia kusyuk menonton rancangan kartun kegemaran dan aku tarik tangannya untuk waktu mandi atau makan, dia menurut saja. Waktu dia aku bawa ke pusat beli-belah, dia tak pernah minta aku belikan apa-apa untuknya. Tidak pernah membentak atau menghentak kaki ketika apa yang dimahukannya tidak diperolehi.

Apa lagi yang seorang ibu mahukan dari seorang anak, melainkan seorang anak yang baik, patuh dan mudah dijaga? Aku bersyukur punya anak seperti Eusoff. Dia sungguh menawan hati...


Tapi...
Sejak mula aku mengandung anak ketiga, dia mula berubah perangai. Dia tak mahu makan, tak mahu minum susu. Tak mahu mandi, tak mahu gosok gigi. Tak mahu aku bercakap dengan orang lain kecuali diri dia saja. Tak mahu tidur, tak mahu turun kereta bila aku hantar ke taska. Kalau aku tegur sedikit saja pun sudah cukup buat dia mengamuk membantingkan badan ke lantai. Menghantuk kepala hingga lebam dan benjol, malahan hingga pecah bibir dan berdarah hidung...
Ramai orang kata, dia cemburu kerana tak lama lagi akan punya adik yang akan 'merampas' aku mamanya dari dia.. Benarkah seorang budak berusia dua tahun boleh berasa begitu cemburu dan tertekan kerana mamanya akan mempunyai seorang lagi 'buah hati' baru?

Eusoff...mama sayangkan kamu. Sayang sekali pada kamu... Walau ada 10 orang lagi anak pun, kamu tetap teman terbaik mama. Kamu anak mama yang istimewa, yang pandai mengambil hati, yang paling comel dan yang paling manja. Walaupun kamu kelak akan dewasa, kamu akan sentiasa menjadi 'baby' mama... Kehadiran kakak dan adikmu takkan merubah cinta mama pada kamu. Setiap seorang anak mama punya tempat yang khusus di dalam hati mama ini. Tidak terkecuali kamu Eusoff... Tolonglah jangan begini lagi. Tolong jangan cederakan dirimu lagi. Ia buat mama sedih dan bimbang... Mama sangat sayangkan kamu Eusoff. Percayalah cinta mama buat kamu ini adalah abadi dan buat selama-lamanya...


2 comments:

  1. kak..ceqla rasa eusoff cemburu ni.. anak ceqla pun suka merajuk biler cakap pasal baby... kadang2 biler cocot nakal, ceqla cakap la.. taknak sayang cocot.. sayang baby jek.. bole dia cakap kalau baby kuar nanti nak pukul baby.. biar mama tak sayang baby dah.. hurmm.. entah la.. mcm2 budak2 ni..

    ReplyDelete
  2. ramai org cakap kat akak mmg perangai orang yg nak beradik mcm ni. tapi masa akak ngandungkan dia dulu, kakak dia si damia rilek je. takde plak nak buat perangai ke hape. agaknya sebab eusoff tu manja dgn akak kot, sebab tu mcm terasa hati. maklumlah...adik dia pun boy jugak, InsyaAllah. dia sengaja je pukul perut akak, tendang, stunt atas perut (kalau dapat la, selalunya tak dapat..hehe). sekarang nak baring2 sambil tengok TV pun tak berani, takut dia lompat atas perut. tido pun mengiring je.. Adik dia kuar nanti tak tau la apa pulak perangainya. harap2 baby dah lahir nanti perangai ngamuk dia tu pun ilang sama laa....

    ReplyDelete