Monday, January 25, 2016

Insiden di Kolam Renang


Assalamualaikum w.b.t.

Semenjak buka sekolah pada awal bulan Januari, saya telah enroll Eusoff untuk menyertai kelas belajar berenang di Pusat Akuatik, Wisma Belia Kuantan, anjuran Persatuan Ibu Bapa Anak Istimewa Pahang (PIANiS). Kelas tu diadakan setiap hujung minggu di bawah bimbingan Coach Alias.


Pada minggu pertama Eusoff memang takut nak belajar terapung di tempat dalam. Mengenali dia yang memang ada problem anxiety, Eusoff mula menjerit2 bila kakinya dah tak boleh cecah lantai kolam walaupun dia saya pakaikan pelampung lengan yang boleh buat badannya terapung.


Bila masuk minggu kedua Eusoff nampak dah berani dan dia sendiri ada inisiatif untuk perlahan-lahan masuk dalam kolam renang dalam. Dia dah tau paddle kakinya untuk bergerak dalam air dan pandai dongakkan kepala dia supaya air tak masuk dalam hidung dan dia tak tertelan air. Dia pun nampak happy, takdelah terjerit-jerit macam masa minggu pertama dulu.



Semalam kami ke kelas berenang seperti biasa. Semua nampak ok, Eusoff happy, kakak Damia dan Daniel pun seronok mandi-manda kat kolam kanak-kanak. Kali ini kami bawa swimming board sendiri sebab board yg coach bawa tu ramai sangat yang guna. 


Masa saya pergi tandas dengan kakak, Eusoff telah ambik swimming board seorang budak perempuan kecik yang mungkin usia lingkungan 3 - 4 tahun. Bapa budak itu marah. Kerana terkejut, Eusoff telah campak board tu. Bila Eusoff campak board tu, bapa budak perempuan tu jerit sekuat-kuat hati kat Eusoff "WOIIIII!!!". Eusoff terus nangis dan tantrum selama 15 minit inconsolable. 

Suami saya dah minta maaf dan terangkan kat lelaki tu yang Eusoff autistik dan dia tak faham apa dia buat tu salah. Lelaki tu hanya diam sambil buat muka 'meluat' dekat suami saya. Mujur jugak ramai parents dari persatuan dan Coach pun ada lepak dengan kami dan sabarkan, kalau tidak mau bertumbuk agaknya dekat situ.



Kesian Eusoff...teresak-esak nangis. Puas saya peluk dan pujuk dia, dia tak boleh berhenti jugak menangis. Mesti kecut perutnya dan ketakutan bila orang tengking dia sampai macam tu sekali. Kalau saya yang dah dewasa pun boleh nangis kalau kena tengking dengan orang lelaki macam tu, apatah lagi seorang budak umur 7 tahun. 

Masa hari kejadian tu saya ada bawa pizza untuk Eusoff makan dengan kawan-kawan, saya bagi dia pizza untuk pujuk dia. Dia makan sambil menangis. Bila dah agak tenang..tiba-tiba tengah-tengah makan dia menangis semula. Allahu..sedihnya rasa hati saya. Saya rasa helpless kerana tak dapat melindungi Eusoff waktu dia perlukan saya.


Saya jugak rasa ralat kerana perkara tu berlaku hanya berpunca dari perkara kecil. Dan saya rasa boleh diselesaikan dengan baik tanpa perlu pun orang tu nak tengking Eusoff sampai macam tu. Bukannya tindakan Eusoff tu ada mencederakan siapa-siapa. Saya rasa Eusoff mungkin fikir board tu kepunyaan coach sebab coach pun ada bawak beberapa swimming board untuk kelas berenang. Menggunakan kemudahan awam di tempat ramai orang macam ni, insiden budak-budak terambil barang macam ni sememangnya dah boleh dijangka. Even makanan kami dalam plastik pun ada budak-budak lain ambil dan makan, takkanlah kita nak mengamuk untuk benda kecik dan tak seberapa pula harganya.

Saya tidak kata apa Eusoff buat tu betul, tetapi kita yang dewasa cubalah berbelas ihsan sikit dengan kanak-kanak. Kita dulu pun budak juga. Umur tak matang dah tentu tindakan mereka pun tak matang juga. Kita yang dewasa ni pulak janganlah jadi budak-budak  dengan buat tindakan bodoh dan menjatuhkan air muka sendiri macam tu ;menengking seorang kanak-kanak kerana perkara kecil, apatah lagi anak istimewa. Kat tempat awam pula tu yang semua orang sedang tengok. Saya rasa anak dia sendiri terkejut bapak dia menjerit macam orang hilang akal kat situ, sebab lepas tu budak tu hanya duduk berkepit je dan tak mandi pun dalam kolam.


Sepanjang pengalaman saya berhadapan dengan ramai orang yang tidak tahu apa itu autism, ramai juga yang berminat nak tahu dan faham bila saya terangkan kondisi Eusoff. Tapi melihat muka mamat tu semalam, saya tidak rasa dia jenis yang baik dan berfikiran terbuka. Saya rasa dia sangat tak matang dan bodoh sombong. Kalau dia berfikiran jauh, dia takkan buat tindakan memalukan diri sendiri macam tu dekat tempat awam.

Saya tidak boleh dan tak ada niat pun untuk memaafkan dia. Dan saya tidak tahu macamana dia nak minta maaf pada Eusoff yang tidak faham pun konsep maaf. Saya harap dia jawab sendiri di depan Allah nanti dan silalah merangkak cari Eusoff di padang mahsyar untuk mohon maaf dari anak saya tu. 


Orang buat salah tu perkara biasa sebab manusia memang tak lari dari buat kesalahan. Tapi kalau dah buat salah pun masih ego dan sombong serta tak sedar diri pulak lagi nak buat muka kerek dekat orang, silalah bawa kesombongan anda itu selagi ada hayat di dunia ini. Tempat kita ini berdiri hari ini hanya dibatasi suatu garisan. Tak mustahil Allah akan tukarkan tempat saya dan anda suatu hari nanti, wallahualam.







Monday, January 11, 2016

Cerita Tamil ke Hindustani?

Assalamualaikum w.b.t

Sekarang kan demam Dilwale? Sana sini orang asyik bercakap pasal betapa bestnya cerita Dilwale tu kat panggung wayang. Saya pun teringin jugak nak tengok..tapi movie selama 3 jam. Aduhhh..macamanalah saya nak pergi tengok. Anak-anak dah tentu nak ikut. Tapi bila terlalu lama dah tentu mereka akan gelisah.

Jadinya, tengok yang version download. Saya tahu tak baik tengok movie donwload mcm ni..tapi saya tak ada pilihan lain.

Sabtu lepas, saya pun menonton di rumah.

Eusoff perhatikan aje saya sedang pasang movie tu. Dah mula je tayangannya, dia tiba tiba cakap kat saya "Ini Tamil. Tengok Tamil ke?"

Saya jawab "Bukan Tamil lah!".

Eusoff cakap "Tamil ke Hindustani?" (selalunya orang cakap Hindustan).
  Saya cakap "Tak taulah!"..sebab nak tengok reaksinya.

Eusoff cakap "Hindustani! Apalahhhh.."

"Kenapa? Tak best ke?" saya cuba pancing bicaranya lagi.

"Apa-apalah..hindustani tamil kesihatan ye? Tiada aedes, tiada denggi."

Tak tahan rasa nak gelak kalau berborak dengan budak ni..tengah berborak pasal lain, tiba2 masuk bab kesihatan..bab aedes denggi semua.


*ihsan pakcik Google

Tuesday, December 29, 2015

My walking Google Translate



Assalamualaikum..

Bila Eusoff dah boleh cakap walaupun macam orang luar baru belajar cakap melayu, seronoknya usik dia. Kadang2 sengaja tenung dia lama2. Bila dia perasan je, dia cakap

"Eh..apa tengok sana sini?"

Bila dia buat perangai dan kita tegur, dia pandai komplen...
"Sentiasa kesalahan Eusoff. Usaha lagi ye?"

Bila kita pura-pura rampas Kit Kat favorite dia, dia cakap...
"Jangan jangan..Jangan ambik ye?"
Bila kita pulangkan semula, dia cakap..
"Hmm! Good girl. Begitulah bagus!"

Struktur ayat lintang-pukang macam translation cerita dalam DVD cetak rompak. Terjemahannya macam guna Google Translate pun ada. Kadang-kadang dari nak marah, jadi nak gelak pulak..

Monday, December 28, 2015

Penyakit label-melabel

Assalamualaikum w.b.t.


Selalu ibu bapa memperkenalkan anak mereka dengan ayat." Anak saya mild autism." Tak ada seorang pun pernah approach dan beritahu "Anak saya severe autism".

Semua highlight...

"Anak pandai, belajar dapat 20A. 
Tiada masalah hyper langsung.
Uii..pandai bercakap!
Tiada masalah berkawan.
Sayang adik beradik dan keluarga.
Tidak pernah mencederakan sesiapa.
Tak pernah stimming.
Tak pernah lari.

Toilet train baru 3 hari terus pandai.
Anak saya seperti anak tipikal je..belajar pun di mainstream".

Tiada ibu dengan anak severe autism pernah ke hadapan memperkenalkan diri dan anaknya kecuali saya yang approach dulu dan bertanya. Barangkali rasa rendah diri dan merasakan tiada sesiapa memahami apa cabaran yang mereka lalui setiap hari.

Sebenarnya autism tetap autism..
Sejenis kecacatan neurology, 
Mild, moderate atau severe autism..Low atau high functioning, anak2 ini tetap autistik. Dan jelas bahawa autism ini ada isu-isunya yang tersendiri.

Media tempatan pun berat sebelah. Jemputan di rancangan TV hanya nak dengar cerita yang indah2. Anak-anak autism yang savant. Atau dengan bakat istimewa. Hakikatnya savant hanyalah peratusan kecil dalam dunia autism. Yang terlebih ramai adalah anak-anak yang mencabar nak membesarkannya. Tak kurang yang biasa-biasa sahaja.

Ibu dengan anak low functioning tidak pernah dijemput. Rakaman mengenai struggle mereka juga tiada, Sebab apa..? Penerbit sendiri takut dengan label "SEVERE AUTISM". Takut budak itu agresif dan tidak boleh dikawal. Takut seperti budak-budak itu makhluk asing ganas yang selalu gaduh dengan Ultraman. Severe autism atau low functioning itu tak semestinya agresif tahu?

Sekarang timbul pula gejala parents mendiagnos anak sendiri angkara terlebih rajin membaca di Google. Semua mengaku anaknya mild kerana tak puas hati, sebab dalam report doktor selalunya tulis 'Autism' atau 'Autism Spectrum Disorder' sahaja. Walhal sebaik saja dapat diagnosis, perkara yang paling penting harus difikirkan adalah INTERVENSI.

Dalam kelompok ibu bapa pun ada penyakit label-melabel. Sudahlah dilabel macam-macam oleh manusia-manusia tipikal dalam dunia mereka yang serba sempurna ini, sesama kita pun sibuk bebenor nak label anak-anak ni.

Untuk apa?
Nak tunjuk siapa lebih hebat mendidik anak?
Atau anak siapa lebih "functioning?"

Jujur saja..benarkan anak anda seorang mild autism? 
Padahal bila kita toleh, kita lihat anak kita sedang bercakap sorang-sorang sambil mulutnya menggigit leher baju.


Yang lebih penting ialah persoalan "Dengan 'mild autism'nya dia, bolehkan dia hidup tanpa kita di luar sana?"

Atau adakah kita yang masih hidup dalam denial?






Sunday, December 20, 2015

Orang baru belajar bercakap..

Assalamualaikum w.b.t.

Sejak dah pandai cakap, dia cakap macam-macam. Sambil bercakap berselang dengan vocal tics perkataan seperti 'denggi', 'aedes' dan 'kesihatan'. Kebanyakan soalan dan jawapan dalam ayat skema seperti:-

"Saya salah."
"Saya salah ke?"
"Ini salah saya."


Atau..

"Sayang tak?"
"Awak tak sayang saya?"
"Awak sayang saya ke?"
"Saya ini bising ye?"


Dia menyebut perkataan 'tidur', 'seluar' atau 'besar' dengan membunyikan huruf 'r' di hujung.
Sekali imbas nadanya seperti orang sedang membaca berita atau skrip. Kadang-kadang tengah nak marah terasa lucu pulak bila dengar dia cakap...

"Sudahlah tu. Sabar..sabar. Untuk kesihatan mental ye?"
Atau "Ke Tesco pula ye? Untuk hilangkan stress."

Kalau untuk nak menguntungkan dia, memang pandai pulak dia bercakap. Nak pergi sana sini..nak beli aiskrim atau nak tengok Shieldtox. Siap berlakon sedih... :D 

Wednesday, December 16, 2015

Bengkel Penulisan

Assalamualaikum..

Ketika menaip ini saya sedang  dalam perjalanan balik ke Kuala Kangsar. Siang tadinya saya berkesempatan menghadiri bengkel penulisan yang disampaikan oleh penulis buku 'Harta Yang Menyeret Ke Neraka'; Saudara Firdaus Shahidin yang juga merupakan rakan pensyarah di kolej tempat saya bekerja.

Banyak ilmu dan tips penulisan yang beliau kongsikan. Sangat menarik dan saya pun selesa berkongsi dan bertanya sebab penceramah kawan sekerja sendiri.

Saya sempat berkongsi hasil coretan saya di blog ini dengannya dan beliau bersungguh-sungguh mahu saya ketengahkan hasil penulisan saya dengan menerbitkannya dalam bentuk buku.

Semangat juga bila ada orang beri galakan. Isi dan catatan saya yang banyak dan bertahun-tahun di sini sudah lebih dari cukup untuk saya menghasilkan sebuah buku.

Terima kasih big boss Vice President Academic kerana beri peluang pada saya untuk hadir bengkel yang menarik ini. Dan terima kasih Firdaus atas perkongsian, tips dan teknik menulis  yang sangat menarik dan dorongan yang diberikan.

Manalah tahu,ada rezeki mungkin kisah saya dan Eusoff bakal diterbitkan dalam bentuk buku pula. InsyaAllah...

Tuesday, December 15, 2015

Jaga anak semasa cuti sekolah

Assalamualaikum..

Sekarang cuti sekolah. Centre pun tak bukak. Eusoff hanya duduk di rumah dengan cikgu misai. Saya kerja kerana semester baru sudah bermula.
Bila tak ada aktiviti dia bosan. Dia pun selalu cakap pada saya.."saya bosan". Saya suruh cikgu misai bawa dia naik kuda, mandi laut atau jalan2 di taman bandar bagi keluar peluh. Dia tak nak. Bila dibawa keluar, hanya ke pasaraya sebab ada barang yang nak dicari. Bila ke tempat mcm tu, Eusoff mulalah nak tengok Shieldtox..atau mintak makan coklat.

Setiap hari babah dia mengadu macam2.
Eusoff main air pancutkan dalam bilik air master bedroom, sampai basah lantai bilik.
Eusoff makan gula macam makan nasi.
Eusoff conteng dinding.
Eusoff tak basuh berak.
Eusoff kencing dekat sliding door.
Eusoff itu.. Eusoff ini.
Kepala rasa nak pecah dengar aduan yg macam2 sampai pernah satu hari saya cakap "Bunuh sajalah budak tu kalau menyusahkan sangat. Setiap hari cakap benda sama je."

Masa cikgu misai jaga exam STPM baru2 ni, saya jaga Eusoff hampir setiap hari bawak dia ke pejabat. Dia lari ke jalan. Saya kejar. Dia main air kat pantry, saya mop. Saya aturkan dia bawa ke toilet sbb dia tak biasa dgn toilet office. Dia kotorkan diri dia, saya mandikan. Dia lapar, saya bawak keluar lunch.

Sambil tu saya kerja. Saya pergi kelas saya tinggalkan dia dlm kereta dengan enjin running dan aircond terpasang dengan ditemani kakak Damia. Saya  buat dokumen OBE dan dokumentasikan silibus. Saya jugak buat kerja2 admin dan P&P lain.

Ingat senang ke?

Ada merungut tak? Ada mengadu siang malam hitung satu2 kerja yg dibuat tak?

Tak ada.

Sebab apa? Sebab saya ikhlas. Sebab Eusoff anak saya. Sebab saya sayang dia walaupun kadang2 saya cepuk jugak sebab nakal sangat. Kalau saya mati siapa nak jaga dia? Dua minggu ini pun babah dia asyik pening, penat, berleter macam2. Yang pelik tu kalau saya dekat rumah dengan Eusoff memang dia buat nakal juga. Tapi tak keterlaluan sangat. Sebab budak ni nak dilayan..nak diajak berbual. Nak kena buat aktiviti.

Kalau jaga anak awal-awal lagi dah dianggap beban, memang semuanya rasa tak kena. Sebab aura negatif tu dah dipupuk dalam kepala tu sebelum kejadian berlaku. Saya tak banyak merungut dengan perangai Eusoff, bukan kerana saya ni hati besi sangat dan tidak terkesan dengan kelakuan nakal dia. Tapi saya tidak mahu mulut ini yang menjadi agen negatif kepada hati dan minda agar turut berfikiran dan berpersepsi negatif pada Eusoff.

Ini realiti. Keluarga dengan anak autism. Kalau ada sekelumit kebahagiaan dapat hirup kopi di kafe satu jam tanpa anak autism pun rasanya lebih happy dari hari raya. Dan parents dengam anak autism..kami struggle utk bahagia dalam perkahwinan.

Sekian luahan hati tulus ikhlas. Tak kisah siapa pun nak baca. Malam ini hampir pukul 1 pagi, dan saya baru sapu beras dalam bilik tidur yg bertabur-tabur dimain dek Eusoff. Maaflah...tak dapat nak cerita yg indah-indah, melainkan realiti yg berlaku sebenar-benarnya. Saya lebih rela penat mengejar si Eusoff yang lari sana-sini dari mendengar sungutan dan komplen dari siang membawak ke malam. Penat otak. Penat telinga.

Pendek kata....

"Don't complaint about things you are not willing to change."