Monday, October 10, 2011

Aku sangat sedih..

Mak (mentua) aku bagi aku laptop arwah Yana.. "Tolong mak.. tutupkan Facebook arwah ..nanti mintak kat adik passwordnya".. Aku pun dengan pantas la ambik laptop tu. Bila bukak tengok laptop dah berdebu.. antivirus pun dah expired. ... Ye lah..laptop tu dah tak bertuan..terbiar macam tu saja.

Selesai buat apa yang mak suruh, aku ni gatai tangan pi godek2 file dalam hard disk tu..mana tau ada gambar-gambar arwah ke..buleh print dan simpan buat tatapan anak-anak dia. Lepas tu aku terjumpa gambar kahwin suami arwah..dengan isteri dia yang kedua.. a.k.a madu arwah Yana. Bila aku track down rangkaian gambar tu, aku buka Facebook sepupu madu arwah tu dan kebetulannya pulak dia tak privatekan wall & photos.. terjumpa 1 album gambar perkahwinan suami arwah & isteri keduanya tu.. gambar bertunang, gambar bersanding, gambar potong kek, gambar majlis cukur jambul anak mereka. Ada sesetengah gambar tu arwah telah save ke dalam hard disk..

Tetiba je rasa sebak yang teraaaaaamat sangat... (Menaip ni pun air mata dah bergenang).. Aku sebak fikirkan mesti arwah sangat sedih tengok gambar-gambar tu.. Suami yang dicintai sepenuh hati sanggup menduakan dia... Aku tahu arwah Yana sangat sayangkan suaminya sehinggakan dia sanggup menerima dirinya dimadukan dan mengambil langkah berbaik-baik pula dengan perempuan itu.. Asalkan suaminya tidak membuang dan mensia-siakan dia..

Tetapi apa balasan yang dia dapat? Diabaikan sehingga ke akhir hayatnya...

Kasihan arwah yana..

Masa suka, arwah Yana dibawa kahwin lari kat Siam sana tu. Bila dah mengandung, disembunyikan dari keluarga.. Aku masih ingat lagi, abah menangis bila arwah hilang tak balik-balik.. Merata-rata orang tua tu cari..sampai ke Putrajaya.. tapi tetap tak jumpa. Aku masih ingat masa arwah balik selepas anak sulungnya lahir. Dia dibawa pulang oleh ibu mertua dan adik iparnya..sedangkan suaminya tak ikut bersama. Rumah akulah tempat arwah Yana bersatu semula dengan mak dan abah. Itu pun selepas sekian lama aku pujuk melalui SMS agar dia pulang bertemu mak dan abah dan meminta maaf atas perbuatannya berkahwin dengan membelakangkan orang tua..

Arwah Yana tak ada gambar bertunang.. tak ada gambar bersanding di hari perkahwinan yang meriah dikelilingi sahabat handai dan sanak-saudara.. Anak-anaknya Hariz dan Mysarra tak pernah merasa diraikan dengan majlis cukur jambul seperti apa yang dimiliki oleh madu arwah dan anaknya. Mereka anak-beranak tak pernah diraikan secara beradat seperti yang sepatutnya oleh keluarga mertua dan suaminya..tapi berbeza benar bila suami arwah bernikah satu lagi. Semuanya meriah dan sanggup berbelanja mewah.. kenduri-kendara bukan main meriah sedangkan perbelanjaan harian arwah dan anak-anaknya kadang-kadang bagi..kadang-kadang buat-buat lupa. Yang selalu berkorban kasih dan wang ringgit ialah mak dan abah. Itulah yang buat aku sedih sangat...dan sudah pasti arwah lebih sedih lagi..kerana seberat-berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Aku tak dapat melupakan arwah Yana menangis menceritakan kesedihannya diabaikan suami 6 hari sebelum dia pergi dijemput Ilahi.. Aku tak mungkin dapat melupakan kata-katanya. Dan sukar juga bagi aku nak memaafkan apa yang mereka tu buat pada arwah sebelum dia meninggal. Memang aku tak boleh nak beramah-mesra dengan keluarga mertua dan suami arwah semasa mereka datang menguruskan kenduri tahlil.. dan agaknya lepas ni lagilah aku tak boleh tengok muka-muka tu lagi bila mereka datang pada tahlill arwah yg ke-40 yang akan diadakan 2 minggu lagi.. selepas apa yang aku tengok dan bongkar dalam laptop arwah.

Sehingga ke hari-hari terakhir hidupnya pun arwah Yana masih menangis.. kerana perbuatan mereka. Itu yang aku kesalkan. Tak ada perasaan ke manusia-manusia ni? Datang ziarah dia pun tidak..sedangkan keadaan arwah begitu uzur waktu itu... Masa suka bawak lari, bila dah tak suka campak balik ke kampung..sehingga dah sakit tahap kritikal pun tak datang jenguk. Biarlah mereka abaikan kamu Yana...kerana ALLAH ternyata lebih sayangkan kamu. Allah Maha Mengetahui dan Dia telah menamatkan penderitaanmu... Akak, along, mak dan abah akan cuba mendidik anak-anak kamu sedaya yang termampu supaya mereka jadi anak yang soleh dan berguna. Al-Fatihah buatmu dik.. Semoga kamu tenang dan berbahagia di sana...





No comments:

Post a Comment